Marilah Dengar Suara Nabi
Semasa kita memantapkan tindakan mendengar dan mengikut suara nabi-nabi hidup dalam kehidupan kita, kita akan memperoleh berkat-berkat abadi yang dijanjikan.
Semasa berbicara tentang Presiden Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, Tuhan mengisytiharkan:
“Dan lagi, kewajipan Presiden ke atas jawatan Imamat Tinggi adalah untuk mengetuai seluruh gereja, dan untuk menjadi seperti Musa—
“… Ya, untuk menjadi seorang pelihat, pewahyu, penterjemah, dan nabi, memiliki semua kurniaan Tuhan yang Dia anugerahkan ke atas ketua Gereja” (Ajaran dan Perjanjian 107:91–92; penekanan ditambah).
Saya telah diberkati untuk menyaksikan beberapa kurniaan Tuhan pada nabi-nabi-Nya. Bolehkah saya mengongsi salah satu pengalaman yang demikian dengan anda? Sebelum panggilan saya sekarang, saya membantu dalam mengenal pasti dan pencadangan tempat-tempat bakal bait suci. Selepas 11 September 2001, penyeberangan di sempadan U.S. menjadi lebih dikawal. Oleh itu, banyak ahli gereja perlu mengambil dua atau tiga jam untuk menyeberangi dari Vancouver, Kanada, semasa berjalan ke Bait Suci Seattle Washington. Presiden Gordon B. Hinckley, Presiden Gereja pada masa itu, mencadangkan bahawa sebuah bait suci di Vancouver akan memberkati ahli-ahli Gereja. Pencarian tempat diizinkan, dan selepas kami memeriksa tanah yang dimiliki oleh Gereja, tempat-tempat lain di Vancouver yang tidak dimiliki oleh Gereja juga diperiksa.
Tempat yang indah dengan pengezonan agama dijumpai di sebelah Jalan Raya Trans-Canadian. Tanah itu mudah dimasuki, mempunyai pokok-pokok pain Kanada yang indah, dan merupakan tempat yang mudah dilihat oleh beribu-ribu pemandu kereta yang melintas.
Kami menyampaikan tempat itu dengan gambar-gambar dan peta-peta di mesyuarat bulanan Komiti Tempat dan Pembinaan Bait Suci. Presiden Hinckley mengizinkan agar kami meletakkannya dalam kontrak dan membuat pemeriksaan yang perlu. Pada bulan Disember tahun itu, kami melaporkan kepada komiti bahawa pemeriksaan-pemeriksaan sudah selesai, dan kami minta kelulusan untuk terus membelinya. Selepas mendengar laporan kami, Presiden Hinckley berkata, “Saya rasa saya patut melihat tempat ini.”
Kemudian bulan itu, dua hari selepas hari Krismas, kami berangkat ke Vancouver dengan Presiden Hinckley; Presiden Thomas S. Monson; dan Bill Williams, seorang arkitek bait suci. Kami disambut oleh Paul Christensen, seorang presiden pancang tempatan, yang membawa kami ke tempat itu. Hari itu sedikit basah kerana hujan, tetapi Presiden Hinckley keluar dari kereta dan mula berjalan kaki di seluruh tempat.
Selepas meluangkan masa di tempat itu, saya tanya Presiden Hinckley kalau dia ingin melihat tempat-tempat lain yang telah dipertimbangkan. Dia berkata ya, dia ingin berbuat demikian. Dengan melihat tempat-tempat yang lain, kami dapat membuat perbandingan tentang ciri-cirinya.
Kami berjalan dalam bulatan besar di keliling Vancouver melihat tanah-tanah yang lain, akhirnya sampai balik di tempat pertama. Presiden Hinckley berkata, “Tempat ini indah.” Dia bertanya, “Bolehkah kita pergi ke bangunan Gereja yang suku batu (0.4 km) dari sini?”
“Boleh, Presiden,” kami membalas.
Kami kembali ke kereta dan memandu ke bangunan gereja yang dekat. Ketika kami sampai di gereja, Presiden Hinckley berkata, “Belok kiri di sini.” Kami pusing dan ikut jalan sebagaimana diarahkan. Jalan raya itu mula naik.
Ketika kereta sampai di puncak bukit kecil, Presiden Hinckley berkata, “Hentikan kereta, hentikan kereta.” Dia menunjuk ke sebuah tanah di sebelah kanan dan berkata, “Macam mana dengan tanah ini? Di sinilah bait suci akan berada. Di sinilah Tuhan inginkan sebuah bait suci. Bolehkah kamu mendapatkannya?” Bolehkah kamu mendapatkannya?”
Kami belum pernah melihat tempat ini. Ia lebih jauh dari jalan raya, dan ia tidak disenaraikan untuk dijual. Bila kami membalas kami tidak tahu, Presiden Hinckley menunjuk ke tanah dan berkata lagi, “Di sinilah bait suci akan berada.” Kami tinggal beberapa minit, dan kemudian pergi ke lapangan terbang untuk pulang.
Keesokan hari, Brother Williams dan saya dipanggil ke pejabat Presiden Hinckley. Dia telah melukis pelan di kertas: jalan, gereja, belok kiri di sini, tanda X untuk tempat bait suci. Dia tanya apa yang telah kami dapati. Kami memberitahu dia bahawa dia telah pilih tanah yang lebih susah. Tempat itu dimiliki oleh tiga orang: satu dari Kanada, satu dari India, dan satu dari China! Dan ia tidak ada pengezonan agama yang perlu.
“Lakukan sedaya upaya kamu,” dia berkata.
Kemudian mukjizat-mukjizat berlaku. Dalam beberapa bulan kita memiliki tanah itu, dan kemudian kota Langley, British Columbia, memberi izin untuk membina bait suci.
Semasa merenungkan pengalaman ini, saya direndahkan hati bahawa walaupun Brother Williams dan saya mempunyai pendidikan formal dan tahun-tahun pengalaman dalam harta tanah dan reka bentuk bait suci, Presiden Hinckley tiada pengalaman yang demikian, tetapi dia mempunyai sesuatu yang jauh lebih besar—iaitu kurnia pelihat kenabian. Dia dapat melihat di mana bait suci Tuhan harus berdiri.
Apabila Tuhan memerintahkan para Orang Suci awal dalam zaman ini untuk membina bait suci, Dia mengisytiharkan:
“Tetapi biarlah sebuah rumah dibina demi nama-Ku menurut panduan yang akan Aku tunjukkan kepada mereka.
“Dan jika umat-Ku membinanya bukan menurut panduan yang akan Aku tunjukkan … , Aku tidak akan menerimanya daripada tangan mereka” (Ajaran dan Perjanjian 115:14–15).
Seperti dengan Orang Suci awal, begitu juga dengan kita hari ini: Tuhan telah mengungkapkan dan terus mengungkapkan kepada Presiden Gereja pola-pola di mana kerajaan Tuhan akan diarahkan pada zaman kita. Dan, secara peribadi, dia memberikan bimbingan tentang bagaimana setiap kita patut mengarahkan kehidupan kita, supaya kelakuan kita boleh diterima oleh Tuhan.
Pada bulan April 2013 saya berucap tentang usaha-usaha dalam persediaan dasar setiap bait suci untuk memastikan bahawa ia dapat menahan ribut dan bencana yang akan menimpanya. Tetapi dasarnya hanya suatu permulaan. Sebuah bait suci terdiri dari banyak bongkah pembinaan, yang dipasang bersama menurut corak-corak yang direka bentuk sebelumnya. Jika kehidupan kita akan menjadi bait suci yang setiap kita sedang berusaha membina seperti yang diajar oleh Tuhan (lihat 1 Korintus 3:16–17), kita dapat tanya diri kita sendiri, “Apakah bongkah pembinaan yang patut kita memasang untuk membuat kehidupan kita indah, hebat, dan dapat menahan ribut-ribut dunia?”
Kita dapat mencari jawapan pada soalan ini dalam Kitab Mormon. Mengenai Kitab Mormon, Nabi Joseph Smith berkata: “Aku telah memberitahu para saudara bahawa Kitab Mormon adalah yang paling benar dari kitab apa pun di atas bumi, dan batu kunci agama kita, dan seseorang akan menjadi lebih dekat kepada Tuhan dengan menuruti ajaran-ajarannya, lebih daripada kitab lain apa pun” (pengenalan Kitab Mormon). Dalam pengenalan Kitab Mormon, kita diajar bahawa “mereka yang memperoleh kesaksian ilahi daripada Roh Kudus [bahawa Kitab Mormon adalah firman Tuhan] akan juga mengetahui melalui kuasa yang sama bahawa Yesus Kristus ialah Juruselamat dunia, bahawa Joseph Smith ialah pewahyu dan [nabi Pemulihan], dan bahawa Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir adalah kerajaan Tuhan yang sekali lagi ditegakkan di atas bumi.”
Berikut ialah beberapa bongkah pembinaan iman dan kesaksian individu kita yang perlu:
-
Yesus Kristus ialah Juruselamat dunia.
-
Kitab Mormon adalah firman Tuhan.
-
Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir ialah kerajaan Tuhan pada bumi ini.
-
Joseph Smith ialah seorang nabi, dan kita mempunyai nabi-nabi hidup di bumi sekarang.
Kebelakangan ini, saya telah mendengar setiap ucapan persidangan umum yang Presiden Nelson telah memberikan sejak dia dipanggil sebagai seorang Rasul. Ini telah mengubah kehidupan saya. Semasa saya mengkaji dan merenungkan 34 tahun kebijaksanaan Presiden Nelson, tema-tema yang jelas dan konsisten timbul dari ajarannya. Setiap tema ini berkaitan dengan bongkah-bongkah pembinaan yang diucapkan tadi atau merupakan satu lagi bongkah pembinaan untuk bait suci peribadi kita. Tema-tema ini termasuk iman kepada Tuhan Yesus Kristus, pertaubatan, pembaptisan untuk pengampunan dosa-dosa, kurnia Roh Kudus, penebusan orang mati dan pekerjaan bait suci, mematuhi hari Sabat, bermula dengan memikirkan akhir, tinggal di jalan perjanjian. Presiden Nelson telah berucap tentang semuanya dengan kasih dan pengabdian.
Batu penjuru utama dan bongkah pembinaan Gereja dan kehidupan kita ialah Yesus Kristus. Inilah Gereja-Nya. Presiden Nelson ialah nabi-Nya. Ajaran-ajaran Presiden Nelson bersaksi dan mengungkapkan bagi manfaat kita tentang kehidupan dan sifat Yesus Kristus. Dia berucap dengan penuh kasih dan pengetahuan tentang kelakuan Juruselamat dan misi-Nya. Dia telah memberi kesaksian yang kuat tentang panggilan ilahi nabi-nabi hidup—Presiden-presiden Gereja—yang dia telah melayani.
Sekarang, hari ini, kita mempunyai hak istimewa untuk menyokong dia sebagai nabi hidup Tuhan di bumi. Kita sudah biasa dengan menyokong pemimpin-pemimpin Gereja melalui pola ilahi mengangkat tangan kita untuk menunjukkan penerimaan dan sokongan kita. Kita berbuat demikian beberapa minit lalu. Tetapi sokongan sebenar merupakan jauh lebih daripada tanda ini. Seperti yang dikatakan di Ajaran dan Perjanjian 107:22, Presidensi Utama harus “disokong dengan keyakinan, iman, dan doa daripada gereja.” Kita datang untuk betul-betul menyokong nabi hidup semasa kita mengembangkan pola mempercayai kata-katanya, mempunyai iman untuk bertindak padanya, dan berdoa untuk berkat Tuhan berterusan padanya.
Apabila saya berfikir tentang Presiden Russell M. Nelson, saya rasa senang hati dengan kata-kata Juruselamat bila dia berkata, “Dan jika umat-Ku akan mendengar suara-Ku, dan suara para hamba-Ku yang telah Aku tetapkan untuk memimpin umat-Ku, lihatlah, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, mereka tidak akan dipindahkan dari tempat mereka” (Ajaran dan Perjanjian 124:45).
Mendengar dan mengendahkan nabi-nabi hidup akan mengakibatkan kesan yang kuat dan yang mengubah kehidupan kita. Kita diperkuatkan. Kita lebih pasti dan yakin dalam Tuhan. Kita mendengar firman Tuhan. Kita rasa kasih Tuhan. Kita akan tahu bagaimana untuk menjalankan kehidupan kita dengan tujuan.
Saya mengasihi dan menyokong Presiden Russell M. Nelson dan yang lain yang telah dipanggil sebagai nabi, pelihat, dan pewahyu. Saya bersaksi bahawa dia mempunyai kurnia-kurnia yang Tuhan telah memberikannya, dan saya bersaksi bahawa semasa kita memantapkan tindakan mendengar dan mengikut suara nabi-nabi hidup, kehidupan kita akan dibina menurut pola ilahi Tuhan untuk kita, dan kita akan memperoleh berkat-berkat abadi. Jemputan itu diberikan kepada semua. Marilah, dengar suara nabi; ya, datanglah kepada Kristus dan hidup. Dalam nama Yesus Kristus, amin.