“Bab 3: Pelajaran 2—Rancangan Penyelamatan Bapa Syurgawi,” Mengkhutbahkan Injil-Ku: Panduan Untuk Berkongsi Injil Yesus Kristus (2023)
“Bab 3: Pelajaran 2,” Mengkhutbahkan Injil-Ku
Bab 3: Pelajaran 2
Rancangan Penyelamatan Bapa Syurgawi
Injil Yesus Kristus yang dipulihkan membantu kita menjawab soalan-soalan penting dalam jiwa. Melalui injil, kita belajar tentang identiti ilahi dan potensi abadi kita sebagai anak-anak Tuhan. Injil memberi kita harapan dan bantu kita mencari kedamaian, kebahagiaan dan makna. Menjalankan injil membantu kita berkembang dan memperoleh kekuatan semasa kita menghadapi cabaran hidup.
Tuhan mahu yang terbaik untuk anak-anak-Nya dan Dia berhasrat untuk memberi kita berkat-berkat terbesar-Nya, iaitu kebaqaan dan kehidupan abadi (lihat Musa 1:39; Ajaran dan Perjanjian 14:7). Kerana Dia mengasihi kita, Dia telah menyediakan sebuah rancangan untuk kita menerima berkat-berkat ini. Dalam tulisan suci, rancangan ini dipanggil rancangan penyelamatan, rancangan kebahagiaan yang besar dan rancangan penebusan (lihat Alma 42:5, 8, 11, 13, 15, 16, 31).
Dalam rancangan Tuhan, setiap kita membuat perjalanan melalui kehidupan pra-fana, kelahiran, kehidupan fana, kematian dan kehidupan selepas kematian. Tuhan telah menyediakan apa yang kita perlukan dalam perjalanan ini supaya selepas kita mati, kita akhirnya dapat kembali ke hadirat-Nya dan menerima kegenapan kebahagiaan.
Yesus Kristus adalah pusat rancangan Tuhan. Melalui Korban Tebusan dan Kebangkitan-Nya, Yesus membolehkan kita untuk menerima kebaqaan dan kehidupan abadi.
Semasa kehidupan kita di bumi, kita tidak mengingati kehidupan pra-fana kita. Kita juga tidak memahami sepenuhnya kehidupan selepas kematian. Namun, Tuhan telah mengungkapkan banyak kebenaran tentang bahagian-bahagian perjalanan abadi kita ini. Kebenaran-kebenaran ini menyediakan pengetahuan yang mencukupi bagi kita untuk memahami tujuan kehidupan, untuk mengalami kebahagiaan dan memiliki harapan bagi hal-hal baik yang akan datang. Pengetahuan ini adalah harta kudus untuk membimbing kita semasa kita berada di bumi.
Cadangan untuk Mengajar
Bahagian ini menyediakan contoh rangka panduan untuk membantu anda bersedia untuk mengajar. Ia juga termasuk contoh-contoh soalan dan jemputan yang anda boleh gunakan.
Semasa anda bersedia untuk mengajar, pertimbangkan dengan penuh doa situasi dan keperluan rohani setiap orang. Tentukan hal yang paling berguna untuk diajar. Bersedia untuk menjelaskan istilah yang orang tidak fahami. Rancang mengikut masa yang anda akan ada, pastikan pelajaran itu ringkas.
Pilih tulisan suci untuk digunakan semasa anda mengajar. Bahagian “Landasan Ajaran” dalam pelajaran ini mengandungi banyak tulisan suci yang berguna.
Pertimbangkan soalan-soalan yang mana untuk ditanya semasa anda mengajar. Rancang jemputan yang akan menggalakkan setiap orang untuk bertindak.
Tekankan berkat-berkat yang Tuhan janjikan, dan kongsi kesaksian anda tentang apa yang anda ajar.
Apa yang Anda Boleh Ajarkan Kepada Orang dalam 15–25 Minit
Pilih satu atau lebih asas-asas tentang rancangan penyelamatan untuk diajar. Landasan ajaran bagi setiap asas disediakan selepas rangka panduan ini.
Kehidupan Pra-fana: Tujuan dan Rancangan Tuhan untuk Kita
-
Kita semua anak rohani Tuhan. Dia mencipta kita menurut rupa-Nya.
-
Kita hidup bersama Tuhan sebelum kita datang ke bumi. Kita adalah ahli keluarga-Nya. Dia kenali dan kasihi setiap kita.
-
Tuhan telah menyediakan satu rancangan untuk kegembiraan dan kemajuan kita dalam kehidupan ini dan dalam keabadian.
-
Dalam kehidupan pra-fana, kita telah memilih untuk mengikuti rancangan Tuhan. Ini bermaksud untuk datang ke bumi supaya kita boleh mengambil langkah seterusnya dalam kemajuan abadi kita.
-
Yesus Kristus adalah pusat rancangan Tuhan. Dia membolehkan kita untuk memperoleh kehidupan abadi.
Penciptaan
-
Di bawah arahan Tuhan, Yesus Kristus mencipta bumi.
Kejatuhan Adam dan Hawa
-
Adam dan Hawa adalah anak-anak rohani pertama Tuhan yang datang ke bumi. Tuhan menciptakan tubuh mereka dan menempatkan mereka di Taman Eden.
-
Adam dan Hawa telah melanggar perintah, diusir dari taman itu,dan dipisahkan dari hadirat Tuhan. Peristiwa ini dipanggil Kejatuhan.
-
Selepas Kejatuhan, Adam dan Hawa menjadi fana. Sebagai manusia, mereka dapat belajar, maju dan mempunyai anak-anak. Mereka juga mengalami kesedihan, dosa dan kematian.
-
Kejatuhan adalah satu langkah ke hadapan bagi kaum manusia. Kejatuhan membolehkan kita dilahirkan di bumi dan maju dalam rancangan Bapa Syurgawi.
Kehidupan Kita di Bumi
-
Dalam rancangan Tuhan, kita perlu datang ke bumi untuk menerima tubuh jasmani, belajar dan berkembang.
-
Di bumi, kita belajar untuk berjalan dengan iman. Namun, Bapa Syurgawi tidak meninggalkan kita sendirian. Dia telah menyediakan banyak kurnia dan panduan untuk membantu kita kembali ke hadirat-Nya.
Korban Tebusan Yesus Kristus
-
Setiap kita berdosa dan setiap kita akan mati. Kerana Tuhan mengasihi kita, Dia mengutuskan Putera-Nya, Yesus Kristus, ke bumi untuk menebus kita daripada dosa dan kematian.
-
Kerana korban tebusan Yesus, kita boleh diampuni dan dibersihkan daripada dosa-dosa kita. Hati kita boleh diubah untuk menjadi lebih baik apabila kita bertaubat. Ini membolehkan kita kembali ke hadirat Tuhan dan menerima kegenapan kebahagiaan.
-
Kerana Kebangkitan Yesus, kita semua akan dibangkitkan selepas kematian. Ini bererti roh dan tubuh setiap orang akan bersatu semula, dan setiap kita akan hidup selamanya dalam tubuh yang sempurna dan dibangkitkan.
-
Yesus Kristus menawarkan penghiburan, harapan, dan penyembuhan. Korban tebusan-Nya adalah ungkapan kasih-Nya yang muktamad. Segala yang tidak adil dalam kehidupan boleh dibetulkan melalui Korban Tebusan Yesus Kristus.
Dunia Roh
-
Bila tubuh jasmani kita mati, roh terus hidup di dunia roh. Ini adalah satu keadaan sementara untuk pembelajaran dan persediaan sebelum Kebangkitan.
-
Injil Yesus Kristus diajar di dunia roh dan kita boleh terus berkembang dan maju.
Kebangkitan, Keselamatan dan Permuliaan
-
Selepas tempoh kita di dunia roh, Kebangkitan adalah langkah seterusnya dalam perjalanan abadi kita.
-
Kebangkitan adalah penyatuan semula roh dan tubuh kita. Setiap kita akan dibangkitkan dan mempunyai tubuh jasmani yang disempurnakan. Kita akan hidup selama-lamanya. Ini diperbolehkan melalui Korban Tebusan dan Kebangkitan Juruselamat.
Penghakiman dan Kerajaan Kemuliaan
-
Apabila kita dibangkitkan, Yesus Kristus akan menjadi hakim kita. Dengan sedikit pengecualian, semua anak Tuhan akan menerima sebuah tempat di dalam kerajaan kemuliaan.
-
Walaupun kita semua akan dibangkitkan, tidak semua akan menerima kemuliaan abadi yang sama. Yesus akan menghakimi kita menurut iman, pekerjaan dan pertaubatan kita dalam kefanaan dan di dunia roh. Kita boleh kembali untuk hidup di hadirat Tuhan jika kita beriman.
Soalan-soalan yang Anda Boleh Tanyakan Orang
Berikut adalah contoh soalan-soalan yang anda boleh tanya orang. Soalan-soalan ini boleh membantu anda mempunyai perbualan yang bermakna dan memahami keperluan dan perspektif seseorang.
-
Anda rasa apakah itu tujuan kehidupan?
-
Apakah yang membawa anda kebahagiaan?
-
Apakah cabaran yang anda perlukan bantuan Tuhan?
-
Apakah yang anda telah pelajari dari cabaran yang anda telah hadapi?
-
Apakah yang anda tahu tentang Yesus Kristus? Bagaimanakah kehidupan dan misi-Nya mempengaruhi kehidupan anda?
Jemputan yang Anda Boleh Hulurkan
-
Adakah anda akan berdoa dan meminta Tuhan untuk membantu anda tahu bahawa apa yang kami telah ajar adalah benar? (Lihat “Tanggapan Pengajaran: Doa” dalam bahagian terakhir pelajaran 1.)
-
Adakah anda akan menghadiri gereja bersama kami hari Ahad ini untuk tahu lebih lanjut tentang apa yang kami telah ajarkan?
-
Adakah anda akan membaca Kitab Mormon dan berdoa untuk tahu bahawa ia adalah firman Tuhan? (Anda boleh mencadangkan bab atau ayat-ayat tertentu.)
-
Adakah anda akan mengikuti teladan Yesus dan dibaptiskan? (Lihat “Jemputan untuk Dibaptiskan dan Ditetapkan,” yang terdapat sebelum pelajaran 1.)
-
Bolehkah kita tetapkan masa untuk kunjungan yang seterusnya?
Landasan Ajaran
Bahagian ini menyediakan ajaran dan tulisan suci untuk anda kaji bagi memperkukuhkan pengetahuan dan kesaksian injil anda dan untuk membantu anda mengajar.
Kehidupan Pra-fana: Tujuan dan Rancangan Tuhan untuk Kita
Kita Anak-Anak Tuhan, dan Kita Hidup Bersama-Nya sebelum Kelahiran Kita
Tuhan ialah Bapa kepada roh kita. Kita adalah anak-anak-Nya, yang dicipta menurut rupa-Nya. Setiap kita mempunyai sifat ilahi sebagai anak Tuhan. Pengetahuan ini dapat membantu kita dalam masa kesusahan dan mengilhami kita untuk menjadi yang terbaik.
Kita hidup bersama Tuhan sebagai anak-anak roh-Nya sebelum kita dilahirkan di bumi. Kita adalah ahli keluarga-Nya.
“Ada satu identiti penting yang kita semua kini kongsi dan selamanya, sesuatu yang kita tidak harus lupa, dan yang kita harus syukuri. Bahawa anda ialah dan sentiasa seorang putera atau puteri Tuhan dengan akar rohani dalam keabadian.
“… Memahami kebenaran ini—benar-benar faham dan memeluknya—mengubah kehidupan. Ia memberi anda satu identiti luar biasa yang tiada seorang pun dapat mengambilnya daripada anda. Tetapi lebih daripada itu, ia akan memberi anda nilai diri yang besar dan tidak terhingga. Akhirnya, ia memberikan anda tujuan kehidupan yang ilahi, mulia, dan layak” (M. Russell Ballard, “Children of Heavenly Father” [pertemuan rohani Brigham Young University, 3 Mac 2020], 2, speeches.byu.edu).
Kita Memilih untuk Datang ke Bumi
Bapa Syurgawi kita mengasihi kita dan berhasrat agar kita menjadi seperti Dia. Dia makhluk agung dengan tubuh jasmani yang dimuliakan.
Dalam kehidupan pra-fana, kita belajar bahawa Tuhan mempunyai rancangan untuk kita menjadi seperti Dia. Sebahagian daripada rancangan-Nya adalah untuk kita tinggalkan rumah syurgawi dan datang ke bumi untuk menerima tubuh jasmani. Kita juga perlu memperoleh pengalaman dan mengembangkan iman ketika terpisah daripada hadirat Tuhan. Kita tidak akan ingat kehidupan bersama Tuhan. Namun, Dia akan menyediakan apa yang kita perlukan supaya kita boleh kembali untuk hidup bersama-Nya.
Hak pilihan, atau kebebasan dan kebolehan untuk memilih, adalah bahagian penting dalam rancangan Tuhan bagi kita. Dalam kehidupan pra-fana, setiap kita telah memilih untuk mengikut rancangan Tuhan dan datang ke bumi supaya kita boleh mengambil langkah seterusnya dalam kemajuan abadi kita. Kita faham bahawa semasa kita berada di sini, kita akan mempunyai banyak peluang baharu untuk berkembang dan mengalami kebahagiaan. Kita juga faham bahawa kita akan menghadapi pertentangan. Kita akan mengalami godaan, cubaan, kesedihan, dan kematian.
Dengan memilih untuk datang ke bumi, kita percaya kepada kasih dan bantuan Tuhan. Kita mempercayai rancangan-Nya demi keselamatan kita.
Bapa Syurgawi Memilih Yesus Kristus untuk Menyelamatkan Kita.
Yesus Kristus adalah pusat rancangan Tuhan. Sebelum datang ke bumi, kita tahu bahawa kita tidak dapat kembali ke hadirat Tuhan dengan sendiri. Bapa Syurgawi memilih Yesus Kristus, Putera sulung-Nya, untuk membolehkan kita kembali kepada-Nya dan memperoleh kehidupan abadi.
Yesus rela menerimanya. Dia bersetuju untuk datang ke bumi dan menebus kita melalui korban tebusan-Nya. Korban Tebusan dan Kebangkitan-Nya menggenapkan tujuan Tuhan untuk kita.
Penciptaan
Rancangan Bapa Syurgawi menyediakan penciptaan bumi, di mana anak-anak roh-Nya akan menerima tubuh jasmani dan memperoleh pengalaman. Kehidupan di bumi diperlukan untuk kita maju dan menjadi seperti Tuhan.
Di bawah arahan Bapa Syurgawi, Yesus Kristus telah menciptakan bumi dan semua makhluk hidup. Bapa Syurgawi kemudian mencipta lelaki dan wanita menurut rupa-Nya. Penciptaan ialah satu ungkapan kasih Tuhan dan hasrat-Nya untuk kita memperoleh peluang untuk berkembang.
Kejatuhan Adam dan Hawa
Sebelum Kejatuhan
Adam dan Hawa adalah anak-anak rohani pertama Bapa Syurgawi yang datang ke bumi. Tuhan mencipta tubuh jasmani mereka menurut rupa-Nya dan meletakkan mereka di Taman Eden. Di taman mereka tidak berdosa, dan Tuhan menyediakan keperluan mereka.
Ketika Adam dan Hawa di taman, Tuhan memerintah mereka untuk tidak memakan buah dari pohon pengetahuan tentang yang baik dan yang jahat. Jika mereka mematuhi perintah ini, mereka boleh tinggal di taman. Namun, mereka tidak dapat maju dan belajar dari pertentangan dan cabaran kefanaan. Mereka tidak akan dapat mengetahui kebahagiaan kerana mereka tidak dapat mengalami kesedihan dan kesakitan.
Setan menggoda Adam dan Hawa untuk makan buah terlarang itu, dan mereka memilih untuk berbuat demikian. Kerana pilihan ini, mereka diusir dari taman dan terpisah dari hadirat Tuhan. Peristiwa ini dipanggil Kejatuhan.
Selepas Kejatuhan
Selepas Kejatuhan, Adam dan Hawa menjadi fana. Tidak lagi dalam keadaan tidak berdosa, mereka memahami dan mengalami kebaikan dan kejahatan. Mereka boleh menggunakan hak pilihan mereka untuk memilih di antaranya. Kerana Adam dan Hawa menghadapi pertentangan dan cabaran, mereka dapat belajar dan maju. Kerana mereka mengalami kesedihan, mereka juga boleh mengalami kebahagiaan. (Lihat 2 Nefi 2:22–25.)
Di samping kesusahan mereka, Adam dan Hawa merasakan bahawa menjadi fana adalah satu berkat yang besar. Satu berkat adalah mereka boleh mempunyai anak-anak. Ini menyediakan jalan bagi anak-anak roh Tuhan yang lain untuk datang ke bumi dan menerima tubuh jasmani.
Mengenai berkat-berkat Kejatuhan, Adam dan Hawa bersukacita. Hawa berkata, “Seandainya bukan kerana pelanggaran kita, kita tidak akan pernah mempunyai [anak-anak], dan tidak akan pernah mengetahui kebaikan dan kejahatan, dan kebahagiaan penebusan kita, dan kehidupan abadi yang Tuhan berikan kepada semua yang patuh” (Musa 5:11; lihat juga ayat 10).
Hidup Kita di Bumi
Ramai orang bertanya, “Mengapakah saya ada di bumi ini?” Kehidupan kita di bumi adalah bahagian penting dalam rancangan Tuhan untuk kemajuan abadi kita. Tujuan utama kita adalah untuk bersedia kembali ke hadirat Tuhan dan menerima kegenapan kebahagiaan. Digariskan di bawah adalah beberapa cara kehidupan bumi menyediakan kita untuk ini.
Menerima Tubuh Jasmani
Satu tujuan datang ke bumi adalah untuk menerima tubuh jasmani di mana roh kita boleh tinggal. Tubuh kita adalah ciptaan Tuhan yang kudus dan menakjubkan. Dengan tubuh jasmani, kita boleh lakukan, belajar dan mengalami banyak hal yang mana roh tidak dapat. Kita boleh maju dalam cara-cara yang kita tidak boleh sebagai roh.
Kerana tubuh kita fana, kita mengalami kesakitan, penyakit dan cubaan lain. Pengalaman ini dapat membantu kita belajar kesabaran, belas kasihan dan sifat ilahi yang lain. Ia boleh menjadi sebahagian daripada jalan ke arah kebahagiaan kita. Memilih yang benar apabila ia sukar untuk dilakukan sering kali membentuk iman, harapan dan kasih ihsan sebahagian daripada kita.
Belajar untuk Menggunakan Hak Pilihan dengan Bijaksana
Satu lagi tujuan kefanaan adalah untuk belajar menggunakan hak pilihan kita dengan bijaksana—untuk memilih yang benar. Belajar menggunakan hak pilihan kita dengan bijaksana adalah penting untuk menjadi seperti Tuhan.
Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus mengajar kita apa yang benar dan memberi perintah-perintah untuk membimbing kita ke arah kegembiraan. Setan menggoda kita untuk melakukan kesalahan dan mahu kita menjadi sengsara seperti dia. Kita menghadapi pertentangan antara yang baik dan yang jahat kerana ia merupakan pembelajaran wajib untuk menggunakan hak pilihan kita (lihat 2 Nefi 2:11).
Apabila kita mematuhi Tuhan, kita berkembang dan menerima berkat-berkat-Nya yang dijanjikan. Apabila kita tidak patuh, kita menjauhkan diri daripada Dia dan menerima akibat dosa. Walaupun kadangkala ia kelihatan sebaliknya, dosa akhirnya membawa kesedihan. Sering kali berkat-berkat kepatuhan—dan kesan-kesan dosa—tidak berlaku dengan segera atau jelas kelihatan secara luaran. Tetapi ia pasti, kerana Tuhan maha adil.
Bahkan ketika kita melakukan yang terbaik, kita semua berdosa dan “jauh daripada Tuhan” (Roma 3:23). Dengan pengetahuan ini, Bapa Syurgawi menyediakan jalan bagi kita untuk bertaubat supaya kita boleh kembali kepada-Nya.
Pertaubatan membawa kuasa Penebus kita, Yesus Kristus, ke dalam kehidupan kita (lihat Helaman 5:11). Semasa kita bertaubat, kita dibersihkan daripada dosa melalui korban tebusan Yesus Kristus dan kurnia Roh Kudus (lihat 3 Nefi 27:16–20). Melalui pertaubatan, kita mengalami kebahagiaan. Jalan kembali kepada Bapa Syurgawi dibukakan kepada kita, kerana Dia penuh belas kasihan. (Lihat “Pertaubatan” dalam pelajaran 3.)
Belajar Untuk Berjalan Dengan Iman
Satu lagi tujuan kehidupan ini adalah untuk memperoleh pengalaman yang hanya boleh datang melalui perpisahan daripada Bapa Syurgawi. Kerana kita tidak melihat-Nya, kita perlu belajar berjalan dengan iman (lihat 2 Korintus 5:6–7).
Tuhan tidak meninggalkan kita sendirian dalam perjalanan ini. Dia telah menyediakan Roh Kudus untuk membimbing, memperkuatkan, dan menguduskan kita. Dia juga telah menyediakan tulisan suci, nabi, doa, dan injil Yesus Kristus.
Setiap bahagian pengalaman fana kita—kebahagiaan dan kesedihan, kejayaan dan kemunduran—boleh membantu kita berkembang semasa kita bersedia untuk kembali kepada Tuhan.
Korban Tebusan Yesus Kristus
Kerana Kejatuhan Adam dan Hawa, kita semua tertakluk kepada dosa dan kematian. Kita tidak dapat mengatasi kesan dosa dan kematian sendirian. Dalam rancangan penyelamatan Bapa Syurgawi kita, Dia menyediakan satu cara untuk mengatasi kesan-kesan Kejatuhan supaya kita boleh kembali kepada-Nya. Sebelum dunia diciptakan, Dia memilih Yesus Kristus untuk menjadi Juruselamat dan Penebus kita.
Hanya Yesus Kristus yang dapat menebus kita daripada dosa dan kematian. Dia Putera Tuhan. Dia menjalani kehidupan yang tidak berdosa, patuh sepenuhnya kepada Bapa-Nya. Dia bersedia dan rela melakukan kehendak Bapa Syurgawi.
Korban Tebusan Juruselamat termasuk penderitaan-Nya di Getsemani, penderitaan dan kematian-Nya di atas salib, dan Kebangkitan-Nya. Dia menderita yang teramat—sehingga berdarah dari setiap liang (lihat Ajaran dan Perjanjian 19:18).
Korban Tebusan Yesus Kristus adalah peristiwa yang paling mulia dalam seluruh sejarah manusia. Melalui korban tebusan-Nya, Yesus menjadikan rancangan Bapa berjalan. Kita akan menjadi tidak terdaya tanpa Korban Tebusan Yesus Kristus kerana kita tidak dapat menyelamatkan diri kita daripada dosa dan kematian (lihat Alma 22:12–15).
Pengorbanan Juruselamat ialah satu ungkapan kasih tertinggi kepada Bapa-Nya dan bagi kita. “Luas dan panjangnya serta betapa tinggi dan dalamnya” kasih Kristus melampaui pemahaman kita (Efesus 3:18; lihat juga ayat 19).
Yesus Kristus Mengatasi Kematian untuk Semua Orang
Apabila Yesus Kristus mati di atas salib, roh-Nya terpisah dari tubuh-Nya. Pada hari ketiga, roh dan tubuh-Nya bersatu semula, tidak akan dipisahkan lagi. Dia muncul kepada ramai orang, menunjukkan kepada mereka bahawa Dia mempunyai tubuh daging dan tulang yang baqa. Penyatuan tubuh dan roh ini dipanggil Kebangkitan.
Sebagai manusia fana, setiap kita akan mati. Namun, kerana Yesus telah mengalahkan kematian, setiap orang yang dilahirkan di bumi akan dibangkit. Kebangkitan adalah kurnia ilahi untuk semua, diberikan melalui belas kasihan Juruselamat dan rahmat penebusan. Roh dan tubuh setiap orang akan bersatu semula, dan setiap kita akan hidup selamanya dalam tubuh yang sempurna dan dibangkitkan. Jika bukan kerana Yesus Kristus, kematian akan mengakhiri semua harapan untuk kewujudan masa depan dengan Bapa Syurgawi (lihat 2 Nefi 9:8–12).
Yesus Membolehkan Kita Dibersihkan dari Dosa-dosa Kita
Untuk memahami harapan yang kita boleh terima melalui Kristus, kita perlu memahami hukum keadilan. Inilah hukum tetap yang membawa akibat untuk tindakan kita. Kepatuhan kepada Tuhan membawa akibat yang positif, dan ketidakpatuhan membawa yang negatif. (Lihat Alma 42:14–18.) Apabila kita berdosa, kita menjadi tidak bersih secara rohani, dan tidak ada apa pun yang tidak bersih dapat hidup di hadirat Tuhan (lihat 3 Nefi 27:19).
Semasa korban tebusan Yesus Kristus, Dia berdiri bagi pihak kita, menderita, dan membayar hukuman untuk dosa-dosa kita (lihat 3 Nefi 27:16–20). Rancangan Tuhan memberi Yesus Kristus kuasa untuk membuat perantaraan bagi pihak kita—untuk berdiri di antara kita dan keadilan (lihat Mosia 15:9). Kerana korban tebusan Yesus, Dia boleh menuntut hak belas kasihan-Nya bagi pihak kita semasa kita menjalankan iman untuk pertaubatan (lihat Moroni 7:27; Ajaran dan Perjanjian 45:3–5). “Demikianlah belas kasihan dapat memuaskan tuntutan keadilan, dan mengelilingi [kita] dalam lengan penyelamatan” (Alma 34:16).
Hanya melalui kurnia Korban Tebusan Juruselamat dan pertaubatan kita dapat kembali untuk hidup bersama Tuhan. Apabila kita bertaubat, kita diampuni dan dibersihkan secara rohani. Kita dilegakan dari beban kesalahan untuk dosa-dosa kita. Jiwa-jiwa kita yang terluka disembuhkan. Kita dipenuhi dengan kebahagiaan (lihat Alma 36:24).
Walaupun kita tidak sempurna dan mungkin akan gagal lagi, terdapat lebih banyak rahmat, kasih, dan belas kasihan dalam Yesus Kristus daripada kegagalan, cela atau dosa dalam diri kita. Tuhan sentiasa bersedia dan bersemangat untuk memeluk kita apabila kita berpaling kepada-Nya dan bertaubat (lihat Lukas 15:11–32). Tiada apa atau siapa pun yang “dapat menghalang Tuhan mengasihi kita, seperti yang sudah ditunjukkan-Nya melalui Kristus Yesus, Tuhan kita” (Roma 8:39).
Yesus Mengambil Ke Atas Dirinya Kesakitan, Penderitaan dan Kelemahan Kita
Dalam korban tebusan-Nya, Yesus Kristus mengambil ke atas diri-Nya kesakitan, kesengsaraan dan kelemahan kita. Kerana ini, Dia tahu “menurut keadaan daging bagaimana menyokong umat-Nya menurut kelemahan mereka” (Alma 7:12; lihat juga ayat 11). Dia menjemput, “Marilah kepada-Ku,” dan apabila kita melakukannya, Dia memberi kita rehat, harapan, kekuatan, perspektif dan penyembuhan (Matius 11:28; lihat juga ayat 29–30).
Apabila kita bergantung kepada Yesus Kristus dan Korban Tebusan-Nya, Dia boleh membantu kita menahan percubaan, penyakit dan kesakitan kita. Kita boleh dipenuhi dengan kebahagiaan, kedamaian dan kesenangan hati. Segala yang tidak adil dalam kehidupan boleh dibetulkan melalui Korban tebusan Yesus Kristus.
Dunia Roh
Ramai orang bertanya, “Apakah yang berlaku selepas saya mati?” Rancangan penyelamatan menyediakan beberapa jawapan penting bagi soalan ini.
Kematian adalah sebahagian daripada “rancangan yang penuh belas kasihan” Tuhan bagi kita (2 Nefi 9:6). Sebalik pengakhiran kewujudan kita, kematian adalah langkah seterusnya dalam perkembangan abadi kita. Untuk menjadi seperti Tuhan, kita mesti mengalami kematian dan kemudian menerima tubuh badan yang disempurnakan dan dibangkitkan.
Bila tubuh jasmani kita mati, roh terus hidup dalam dunia roh. Ini adalah keadaan sementara untuk pembelajaran dan persediaan sebelum Kebangkitan dan Penghakiman Akhir. Pengetahuan kita dari kehidupan fana tetap bersama kita.
Di dunia roh, orang yang menerima dan menjalankan injil Yesus Kristus “diterima ke dalam keadaan kebahagiaan, yang dipanggil firdaus” (Alma 40:12). Anak-anak kecil juga diterima ke dalam firdaus apabila mereka mati.
Roh-roh di firdaus akan menjadi damai dari masalah dan kesedihan mereka. Mereka akan teruskan perkembangan rohani mereka, melakukan pekerjaan Tuhan dan melayani orang lain. Mereka akan mengajar injil kepada orang yang tidak menerimanya semasa kehidupan fana mereka (lihat Ajaran dan Perjanjian 138:32–37, 57–59).
Di dunia roh, orang yang tidak dapat menerima injil di bumi, atau yang memilih untuk tidak mengikuti perintah-perintah, akan mengalami beberapa batasan (lihat Ajaran dan Perjanjian 138:6–37; Alma 40:6–14). Namun, kerana Tuhan adil dan penuh belas kasihan, mereka akan berpeluang untuk diajar injil Yesus Kristus. Jika mereka menerimanya dan bertaubat, mereka akan ditebus daripada dosa-dosa mereka (lihat Ajaran dan Perjanjian 138:58, lihat juga 138:31–35; 128:22). Mereka akan dialu-alukan ke dalam kedamaian firdaus. Akhirnya mereka akan menerima tempat dalam kerajaan kemuliaan berdasarkan pilihan yang mereka buat dalam kefanaan dan di dunia roh.
Kita tetap tinggal di dunia roh sehingga kita dibangkitkan.
Kebangkitan, Keselamatan dan Permuliaan
Kebangkitan
Rancangan Tuhan membolehkan kita berkembang dan menerima kehidupan abadi. Selepas tempoh kita di dunia roh, Kebangkitan adalah langkah seterusnya dalam perkembangan itu.
Kebangkitan adalah penyatuan semula tubuh dan roh kita. Setiap kita akan dibangkitkan. Ini diperbolehkan melalui Korban Tebusan dan Kebangkitan Juruselamat. (Lihat Alma 11:42–44.)
Apabila kita dibangkitkan, kita masing-masing akan mempunyai tubuh jasmani yang sempurna, bebas dari kesakitan dan penyakit. Kita akan menjadi baqa, hidup untuk selama-lamanya.
Keselamatan
Kerana kita semua akan dibangkitkan, kita semua akan diselamatkan—atau memperoleh keselamatan—dari kematian jasmani. Kurnia ini diberikan kepada kita melalui rahmat Yesus Kristus.
Kita juga boleh diselamatkan—atau memperoleh keselamatan—akibat hukum keadilan yang diperlukan untuk dosa-dosa kita. Kurnia ini juga dimungkinkan melalui jasa dan belas kasihan Yesus Kristus semasa kita bertaubat. (Lihat Alma 42:13–15, 21–25.)
Permuliaan
Kemuliaan, atau kehidupan abadi, adalah keadaan kebahagiaan dan kemuliaan tertinggi di kerajaan selestial. Kemuliaan adalah kurnia yang bersyarat. Presiden Russell M. Nelson mengajar, “Syarat-syarat yang layak itu termasuk iman kepada Tuhan, pembaptisan, menerima Roh Kudus, dan tetap setia kepada tatacara dan perjanjian bait suci” (“Keselamatan dan Permuliaan,” Liahona, Mei 2008, 9).
Kemuliaan bermaksud hidup bersama Tuhan selama-lamanya dalam keluarga abadi. Ia adalah untuk mengenali Tuhan dan Yesus Kristus, untuk menjadi seperti Mereka dan untuk mengalami kehidupan yang Mereka nikmati.
Penghakiman dan Kerajaan Kemuliaan
Nota: Apabila mengajar tentang kerajaan kemuliaan buat pertama kali, ajar pada tahap yang asas menurut keperluan dan pemahaman seseorang.
Apabila kita dibangkitkan, Yesus Kristus akan menjadi hakim kita yang adil dan penuh belas kasihan. Dengan sedikit pengecualian, setiap kita akan menerima satu tempat dalam kerajaan kemuliaan. Walaupun kita semua akan dibangkitkan, tidak semua akan menerima kemuliaan abadi yang sama (lihat Ajaran dan Perjanjian 88:22–24, 29–34; 130:20–21; 132:5).
Individu yang tidak berpeluang untuk memahami sepenuhnya dan mematuhi hukum Tuhan semasa kehidupan fana akan diberikan peluang itu di dunia roh. Yesus akan menghakimi setiap orang menurut iman, pekerjaan, hasrat, dan pertaubatan dalam kefanaan dan di dunia roh (lihat Ajaran dan Perjanjian 138:32–34, 57–59).
Tulisan suci mengajar tentang kerajaan kemuliaan selestial, terestrial dan telestial. Setiap satu adalah pernyataan kasih, keadilan, dan belas kasihan Tuhan.
Mereka yang menjalankan iman kepada Kristus, bertaubat daripada dosa-dosa mereka, menerima tatacara injil, mentaati perjanjian mereka, menerima Roh Kudus dan bertahan sampai akhir akan diselamatkan ke dalam kerajaan selestial. Kerajaan ini juga akan termasuk orang yang tidak berpeluang untuk menerima injil semasa kehidupan fana tetapi “akan menerimanya dengan segenap hati mereka” dan berbuat sedemikian di dunia roh (Ajaran dan Perjanjian 137:8; lihat juga ayat 7). Kanak-kanak yang mati sebelum umur pertanggungjawaban (lapan tahun) juga akan diselamatkan di kerajaan selestial (lihat Ajaran dan Perjanjian 137:10).
Dalam tulisan suci, kerajaan selestial dibandingkan dengan kemuliaan atau kecerahan matahari (Lihat Ajaran dan Perjanjian 76:50–70).
Orang yang telah menjalani hidup mulia “yang tidak menerima kesaksian tentang Yesus dalam keadaan daging, tetapi sesudah itu menerimanya” akan menerima tempat di kerajaan terestrial (Ajaran dan Perjanjian 76:74). Begitu juga bagi mereka yang tidak berani dalam kesaksian mereka tentang Yesus. Kerajaan ini dibandingkan dengan kemuliaan bulan. (Lihat Ajaran dan Perjanjian 76:71–80.)
Mereka yang berterusan dalam dosa-dosa mereka dan tidak bertaubat dalam kehidupan ini atau menerima injil Yesus Kristus di dunia roh akan menerima ganjaran mereka di kerajaan telestial. Kerajaan ini dibandingkan dengan kemuliaan bintang-bintang. (Lihat Ajaran dan Perjanjian 76:81–86.)
Panduan Ajaran Singkat ke Sederhana
Rangka panduan berikut adalah contoh apa yang anda boleh ajarkan seseorang jika anda hanya mempunyai masa yang singkat. Apabila menggunakan rangka panduan ini, pilih satu atau lebih asas untuk diajar. Landasan ajaran bagi setiap asas disediakan pada awal pelajaran.
Semasa anda mengajar, tanya soalan dan dengar. Hulurkan jemputan yang akan membantu orang belajar bagaimana untuk lebih mendekati Tuhan. Satu jemputan penting adalah untuk orang itu bertemu dengan anda lagi. Panjang pelajaran akan bergantung pada soalan yang anda tanya dan dengar.
Apa yang Anda Boleh Ajarkan Kepada Orang dalam 3-10 Minit
-
Kita semua anak rohani Tuhan. Kita adalah ahli keluarga-Nya. Dia kenali dan kasihi setiap kita.
-
Tuhan telah menyediakan satu rancangan untuk kegembiraan dan kemajuan kita dalam kehidupan ini dan dalam keabadian.
-
Dalam rancangan Tuhan, kita perlu datang ke bumi untuk menerima tubuh jasmani, belajar dan berkembang.
-
Yesus Kristus adalah pusat rancangan Tuhan. Dia memungkinkan kita untuk memperoleh kehidupan abadi.
-
Di bawah arahan Tuhan, Yesus mencipta bumi.
-
Pengalaman kita di bumi adalah untuk membantu kita bersedia untuk kembali ke hadirat Tuhan.
-
Setiap kita berdosa, dan setiap kita akan mati. Kerana Tuhan mengasihi kita, Dia mengutuskan Putera-Nya, Yesus Kristus, ke bumi untuk menebus kita daripada dosa dan kematian.
-
Segala yang tidak adil dalam kehidupan boleh dibetulkan melalui Korban tebusan Yesus Kristus.
-
Apabila tubuh jasmani kita mati, roh kita terus hidup. Akhirnya kita semua akan dibangkitkan. Ini bererti roh dan tubuh setiap orang akan bersatu semula, dan setiap kita akan hidup selamanya dalam tubuh yang sempurna dan dibangkitkan.
-
Apabila kita dibangkitkan, Yesus Kristus akan menjadi hakim kita. Dengan sedikit pengecualian, semua anak Tuhan akan menerima sebuah tempat di dalam kerajaan kemuliaan. Kita boleh kembali untuk hidup di hadirat Tuhan jika kita beriman.