Persidangan Umum
Mencari Perlindungan Daripada Ribut Kehidupan
Persidangan Umum April 2020


2:3

Mencari Perlindungan Daripada Ribut Kehidupan

Yesus Kristus dan Korban tebusan-Nya merupakan perlindungan yang kita semua perlukan, tidak kira apa pun ribut yang kita hadapi dalam kehidupan.

Pada pertengahan tahun 1990-an, ketika masih di kolej, saya merupakan sebahagian daripada Rombongan Ke-empat Bahagian Bomba Santiago di Chile. Semasa bertugas di sana, saya tinggal di balai bomba sebagai pengawal malam. Apabila hujung tahun tiba, saya diberitahu bahawa saya perlu berada di balai bomba pada malam Tahun Baru kerana sentiasa terdapat kecemasan pada hari tersebut. Terkejut, saya menjawab, “Benarkah?”

Saya ingat ketika menunggu bersama teman sejawat pada tengah malam, pertunjukan bunga api bermula di pusat bandar Santiago. Kami saling berpelukan dan memberi ucapan selamat bagi tahun baru itu. Tiba-tiba loceng balai bomba mula berdering, menandakan terdapat kecemasan. Kami mengambil peralatan dan menaiki kenderaan bomba. Dalam perjalanan ke tempat kecemasan itu, kami melalui orang ramai yang sedang meraikan tahun baru, saya perhatikan ramai yang tiada kebimbangan dan riang. Mereka tenang dan sedang menikmati malam hangat itu. Namun di suatu tempat berdekatan, orang yang kami sedang bergegas untuk membantu sedang menghadapi kesukaran.

Pengalaman ini telah membantu saya menyedari bahawa walaupun kadangkala kehidupan kita agak tenang, ada masanya kita akan menghadapi cabaran-cabaran dan ribut yang tidak dijangka yang akan mencabar keupayaan kita untuk bertahan. Cabaran fizikal, mental, keluarga, dan pekerjaan; dan hal-hal kehidupan atau kematian lain merupakan beberapa contoh ribut yang kita akan hadapi dalam kehidupan ini.

Apabila berhadapan dengan ribut-ribut sedemikian, kita sering berasa putus harapan atau takut. Presiden Russell M. Nelson berkata, “Iman merupakan penawar bagi ketakutan”—kepercayaan kepada Tuhan kita Yesus Kristus (“Let Your Faith Show,” Liahona, Mei 2014, 29). Setelah melihat ribut-ribut yang mengesani kehidupan orang, saya menyimpulkan bahawa tidak kira apa pun ribut yang melanda kita—tidak kira terdapat penyelesaian atau penghujung bagi cabaran—hanya terdapat satu tempat perlindungan, dan ia sama bagi segala jenis ribut. Satu-satunya perlindungan yang disediakan oleh Bapa Syurgawi ialah Tuhan kita Yesus Kristus dan Korban Tebusan-Nya.

Tiada di antara kita yang terkecuali daripada menghadapi ribut-ribut tersebut. Helaman, seorang nabi Kitab Mormon, mengajarkan kita: “Ingatlah bahawa adalah di atas batu Penebus kita, iaitu Kristus, Putera Tuhan, bahawa kamu mesti membina landasanmu; agar ketika iblis akan menghantarkan anginnya yang kuat, ya, penahan petirnya dalam puting beliung, ya, ketika semua hujan batunya dan badainya yang kuat akan melanda ke atas dirimu, ia tidak akan berkuasa ke atas dirimu untuk menyeretmu turun ke dalam jurang kegetiran dan kecelakaan tanpa akhir, kerana di atas batu yang kamu dibangunkan, yang merupakan suatu landasan yang kukuh, landasan yang mana jika manusia dibangunkan di atasnya mereka tidak dapat jatuh” (Helaman 5:12).

Elder Robert D. Hales, yang mempunyai pengalaman peribadi ini, berkata: “Penderitaan adalah umum; bagaimana kita bertindak balas terhadap penderitaan itu adalah peribadi. Penderitaan boleh mengesani kita dalam dua cara. Ia boleh menjadi pengalaman yang memperkukuhkan dan menyucikan disertai iman, atau ia boleh menjadi kuasa yang boleh memusnahkan kehidupan jika kita tidak mempunyai iman terhadap korban tebusan Tuhan” (“Your Sorrow Shall Be Turned to Joy,” Ensign, Nov. 1983, 66).

Untuk menikmati perlindungan yang ditawarkan oleh Yesus Kristus dan Korban Tebusan-Nya, kita harus mempercayai Dia—iman yang akan membenarkan kita bangkit dari segala kelukaan yang terhad dari segi pandangan dunia. Dia berjanji bahawa Dia akan meringankan beban jika kita datang kepada Dia dalam segala yang kita lakukan.

“Marilah kepada-Ku,” Dia berfirman, “semua yang lelah kerana memikul beban yang berat, Aku akan membebaskan kamu daripada beban kamu.

“Ikutlah perintah-Ku dan terimalah ajaran-Ku, kerana aku ini lemah lembut dan rendah hati; kamu akan mendapat kesejahteraan.

“Sebab kuk yang Ku-pasang itu enak dan beban-Ku pun ringan” (Matius 11:28–30; lihat juga Mosia 24:14–15).

Dikatakan bahawa “mereka yang beriman, tiada penjelasan yang diperlukan. Mereka yang tidak mempunyai iman, tiada penjelasan yang mampu.” (Kenyataan ini disifatkan Thomas Aquinas tetapi berkemungkinan adalah istilah yang lebih panjang dari hal yang dia ajarkan.) Namun, kita mempunyai pemahaman terhad tentang hal-hal yang berlaku di bumi, dan kita sering tidak mempunyai jawapan bagi soalan mengapa. Mengapa ini berlaku? Mengapakah ini berlaku kepada saya? Apakah yang harus saya belajar? Apabila jawapan tidak ditemu, maka kata-kata yang diungkapkan oleh Juruselamat kita kepada Nabi Joseph Smith di Penjara Liberty amat sesuai:

“Anak-Ku, damai sejahteralah bagi jiwamu; kesusahanmu dan kesengsaraanmu akan menjadi bahkan suatu saat yang kecil;

“Dan kemudian, jika engkau bertahan di dalamnya dengan baik, Tuhan akan memuliakan engkau di syurga” (Ajaran dan Perjanjian 121:7–8).

Walaupun ramai orang percaya dalam Yesus Kristus, soalan utama adalah adakah kita percayai Dia dan adakah kita percaya hal-hal yang Dia ajarkan kita dan minta kita lakukan. Ada yang mungkin berfikir, “Apakah yang Yesus Kristus tahu saya lalui? Bagaimanakah Dia tahu apa yang saya perlukan untuk menjadi gembira?” Sesungguhnya, Penebus dan Perantara kitalah yang nabi Yesaya rujukkan apabila dia berkata:

“Kita menghina dan menolak dia; dia menderita kesengsaraan dan kesakitan. …

“Padahal penderitaan kitalah yang ditanggungnya, penyakit kitalah yang dideritanya. …

“Tetapi dia dilukai kerana dosa kita, dia diseksa kerana perbuatan jahat kita. Kita diselamatkan kerana hukuman yang ditanggungnya, kita disembuhkan kerana luka-lukanya” (Yesaya 53:3–5).

Rasul Petrus juga mengajarkan kita tentang Juruselamat, berkatakan, “Kristus sendiri memikul dosa kita pada tubuh-Nya di kayu salib, supaya kita bebas daripada kuasa dosa, lalu hidup menurut kehendak Tuhan. Luka-luka Kristuslah yang menyembuhkan kamu” (1 Petrus 2:24).

Walaupun masa kesyahidan Petrus semakin dekat, kata-kata dia tidak dipengaruhi ketakutan atau pesimis; sebaliknya, dia mengajarkan Orang Suci untuk “bersukacita,” walaupun mereka “berdukacita … kerana mengalami berbagai-bagai cubaan.” Petrus menasihati kita untuk ingat bahawa “semuanya bertujuan untuk membuktikan sama ada [kita] sungguh-sungguh percaya kepada Tuhan, … walaupun diuji dengan api,” yang akan mendorong kepada “pujian, kemuliaan, dan penghormatan daripada Tuhan” dan “penyelamatan jiwa [kita]” (1 Petrus 1:6–7, 9).

Petrus meneruskan:

“Sahabat-sahabat yang aku kasihi! Kamu sekarang menanggung penderitaan yang berat kerana kamu sedang diuji. Janganlah hairan dan janganlah anggap perkara itu luar biasa.

“Sebaliknya, bersyukurlah kerana kamu turut menanggung penderitaan bersama-sama Kristus. Dengan demikian kamu akan bersukacita, apabila kemuliaan Kristus dinyatakan kelak” (1 Petrus 4:12–13).

Presiden Russell M. Nelson mengajarkan bahawa “Orang Suci boleh menjadi begitu gembira dalam setiap situasi. … Apabila tumpuan hidup kita berdasarkan rancangan keselamatan Tuhan … dan Yesus Kristus dan injil-Nya, kita akan dapat merasa kegembiraan tidak kira apa yang berlaku—atau tidak berlaku—dalam hidup kita. Kebahagiaan datang dari Dia dan wujud kerana Dia. Dia ialah punca segala kebahagiaan” (“Kebahagiaan dan Penakatan Rohani,” Liahona, Nov. 2016, 82).

Senang untuk mengatakan semua ini apabila kita tidak berada di dalam ribut untuk melalui dan menggunakannya. Namun sebagai saudara anda, saya berharap anda merasa keikhlasan saya untuk berkongsi betapa berharganya pengetahuan bahawa Yesus Kristus dan Korban tebusan-Nya merupakan perlindungan yang kita perlukan, tidak kira apa pun ribut yang kita hadapi dalam kehidupan.

Saya tahu bahawa kita semua anak-anak Tuhan, Dia mengasihi kita, dan kita tidak keseorangan. Saya menjemput anda untuk datang dan lihat bahawa Dia dapat meringankan beban anda dan menjadi tempat perlindungan yang anda cari. Marilah bantu mereka yang lain menemukan perlindungan yang amat mereka rindu. Marilah kekal bersama dalam perlindungan ini, yang akan membantu anda menentang ribut-ribut kehidupan. Saya tahu jika anda datang, anda akan lihat, anda akan bantu, dan anda akan kekal.

Nabi Alma memberi kesaksian berikut kepada anaknya Helaman: “Aku tahu bahawa barang siapa akan menaruh kepercayaannya kepada Tuhan akan didukung dalam percubaan mereka, dan kesusahan mereka, dan kesengsaraan mereka, dan akan diangkat pada hari terakhir” (Alma 36:3).

Juruselamat Sendiri berfirman:

“Biarlah hatimu terhibur … ; kerana semua manusia berada dalam tangan-Ku; tenanglah dan ketahuilah bahawa Aku ialah Tuhan. …

“Kerana itu, janganlah takut bahkan pada kematian; kerana di dunia ini kebahagiaanmu tidaklah penuh, tetapi di dalam Aku kebahagiaanmu penuh” (Ajaran dan Perjanjian 101:16, 36).

Lagu rohani “Be Still, My Soul,” telah banyak menyentuh hati saya, mempunyai satu pesanan yang menenangkan bagi jiwa kita. Seni kata lagu adalah seperti berikut:

Tenanglah, jiwa ku: Jam sedang disegerakan

Apabila kita bersama Tuhan selamanya,

Apabila kecewa, kesedihan, dan ketakutan hilang,

Dukacita dilupakan, kasih suci kebahagiaan dipulihkan.

Tenanglah, jiwa ku: Apabila perubahan dan titisan air mata telah lalu,

Semua selamat dan diberkati kita akan berjumpa akhirnya. (Hymns, no. 124)

Apabila kita menghadapi ribut-ribut kehidupan, saya tahu jika kita berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk bergantung kepada Yesus Kristus dan Korban Tebusan-Nya sebagai perlindungan kita, kita akan diberkati dengan kelegaan, penghiburan, kekuatan, kesederhanaan, dan kedamaian yang kita cari, bersama kepastian dalam hati bahawa di akhir tempoh kita di bumi, kita akan mendengar firman Tuan: “Bagus, kamu hamba yang baik dan setia: … masuklah dan bersukacitalah bersama-sama tuanmu” (Matius 25:21). Dalam nama Yesus Kristus, amin.