Penampilan Kitab Mormon
Fakta sejarah dan saksi-saksi khusus Kitab Mormon bersaksi bahawa penampilan Kitab Mormon adalah menakjubkan.
Dalam suatu pertemuan bersama para penatua Gereja, Nabi Joseph Smith mengisytiharkan: “Tanpa Kitab Mormon, dan wahyu, apakah agama kita? Kita tidak memiliki apa-apa.”1 Saudara dan saudari saya yang dikasihi, menyusuli selepas Penglihatan Pertama, penampilan Kitab Mormon adalah asas penting kedua bagi Pemulihan injil Yesus Kristus dalam zaman keagamaan ini. Kitab Mormon bersaksi tentang kasih Tuhan terhadap anak-anak-Nya, tentang korban tebusan Tuhan Yesus Kristus, dan tentang pelayanan Yesus Kristus di kalangan bangsa Nefi selepas Kebangkitan-Nya.2 Ia juga bersaksi tentang bani Israel yang selebihnya akan disatukan melalui pekerjaan-Nya di zaman akhir dan mereka tidak disingkirkan selamanya.3
Jika kita kaji penampilan kitab kudus ini di zaman akhir, kita akan sedar seluruh proses itu adalah menakjubkan—dari Nabi Joseph menerima kepingan-kepingan emas daripada malaikat hingga kepada penterjemahan “melalui kurnia dan kuasa Tuhan,”4 pemeliharaannya, dan penerbitannya oleh tangan Tuhan.
Penampilan Kitab Mormon bermula lama sebelum Joseph Smith menerima kepingan-kepingan emas daripada malaikat Moroni. Para nabi zaman dahulu kala telah bernubuat tentang kitab kudus ini.5 Yesaya berbicara tentang gulungan yang bermeterai, bahawa apabila ia muncul orang akan bertikai tentang firman Tuhan. Keadaan ini akan menyediakan kesempatan bagi Tuhan melaksanakan “pekerjaan [-Nya] yang menakjubkan dan sebuah keajaiban,” yang menyebabkan “mereka yang bijak akan terbukti bodoh, segala kepandaian mereka akan menjadi sia-sia” sementara orang yang miskin dan hina “mengalami kebahagiaan yang diberikan oleh Yang Kudus dari Israel.”6 Yehezkiel berbicara tentang Kayu [Kerajaan] Yehuda (Alkitab) dan Kayu [Kerajaan] Efraim (Kitab Mormon) akan disatukan. Yehezkiel (Perjanjian Lama) dan Lehi (Kitab Mormon) mengatakan kedua kitab ini akan “bersatu bersama” untuk menundukkan ajaran-ajaran palsu, menegakkan kedamaian, dan membawa kita pada pengetahuan berkenaan perjanjian-perjanjian.7
Pada malam 21 September 1823, tiga tahun setengah selepas Penglihatan Pertama, Joseph telah dikunjungi sebanyak tiga kali oleh malaikat Moroni, nabi terakhir bangsa Nefi di Amerika kuno, hasil doa-doanya yang tulus. Semasa kunjungan sepanjang malam itu, Moroni memberitahu Joseph bahawa Tuhan mempunyai pekerjaan yang menakjubkan untuk dilaksanakan—penterjemahan dan penerbitan bagi dunia tentang kata-kata berilham para nabi dahulu kala di benua Amerika.8 Keesokan harinya, Joseph pergi ke tempat itu, tidak jauh dari rumahnya, di mana kepingan-kepingan itu dikubur oleh Moroni di penghujung hidupnya. Di situ Joseph nampak Moroni sekali lagi, yang mengarahkan Joseph untuk menyediakan dirinya untuk menerima kepingan-kepingan itu pada masa depan.
Empat tahun seterusnya, pada 22 September setiap tahun, Joseph menerima petunjuk tambahan daripada Moroni tentang pengetahuan cara kerajaan Tuhan harus ditadbirkan pada zaman akhir. Persediaan Joseph juga termasuk kunjungan daripada malaikat Tuhan, yang membuka peristiwa-peristiwa agung dan mulia yang akan terjadi dalam zaman keagamaan ini.9
Perkahwinannya dan Emma Hale pada 1827 adalah sebahagian dari persiapan itu. Emma memainkan peranan penting dalam membantu Nabi sepanjang hidup dan pelayanannya. Pada September 1827, Emma menemani Joseph ke bukit di mana kepingan-kepingan itu disembunyikan, dan menanti Joseph sewaktu malaikat Moroni menyampaikan catatan tersebut kepada Joseph. Joseph menerima janji bahawa kepingan-kepingan itu akan terpelihara jika dia menggunakan segala usaha untuk memastikan ia selamat sehingga ia dikembalikan ke tangan Moroni.10
Rakan dalam injil sekalian, banyak penemuan dari zaman purba berlaku semasa penggalian arkeologi atau secara tidak sengaja ditemui semasa projek pembinaan. Joseph Smith pula dibawa kepada kepingan-kepingan itu oleh malaikat. Hasil itu adalah sebuah mukjizat.
Proses penterjemahan Kitab Mormon juga adalah sebuah mukjizat. Catatan kudus ini tidak “diterjemahkan” dengan cara tradisional cendekiawan menterjemahkan tulisan kuno iaitu dengan mempelajari bahasa kuno. Kita melihat proses itu lebih seperti “wahyu” dengan alat bantuan jasmani yang disediakan oleh Tuhan berbanding “penterjemahan” oleh seseorang yang mempunyai pengetahuan bahasa. Joseph Smith mengisytiharkan melalui kuasa Tuhan dia “menterjemahkan Kitab Mormon dari [hieroglif], pengetahuan yang hilang dari dunia, peristiwa di mana [dia] bersendirian, seorang pemuda yang tidak terpelajar, dalam memerangi kebijaksanaan dan ketidakpedulian duniawi selama lapan-belas abad dengan wahyu baharu.”11 Bantuan Tuhan dalam penterjemahan kepingan-kepingan—atau wahyu—juga terbukti dengan mengambil kira masa singkat yang Joseph Smith gunakan untuk menterjemah.12
Jurutulis Joseph bersaksi tentang kuasa Tuhan yang dinyatakan ketika proses penterjemahan Kitab Mormon. Oliver Cowdery pernah berkata: “Inilah hari-hari yang tidak akan pernah dilupakan—duduk di bawah bunyi suara yang dibimbing oleh ilham dari syurga, membangunkan rasa penuh dengan kesyukuran! Dari hari ke hari aku meneruskan, tanpa halangan, untuk menulis daripada mulutnya, semasa dia menterjemah … ‘Kitab Mormon.’”13
Dalam sumber sejarah, dari saat Joseph memperoleh kepingan-kepingan itu pada tahun 1827, cubaan mencuri kepingan-kepingan itu berlaku. Joseph katakan “usaha-usaha yang paling dahsyat digunakan untuk mendapatkan [kepingan-kepingan] itu daripada [-nya]” dan “setiap tipu muslihat yang dapat diciptakan digunakan untuk tujuan itu.”14 Joseph dan Emma terpaksa berpindah dari Manchester, New York, ke Harmony, Pennsylvania, untuk mencari tempat yang selamat untuk meneruskan kerja penterjemahan, jauh dari perusuh dan individu yang ingin mencuri kepingan-kepingan itu.15 Seorang ahli sejarah katakan: “Demikian tamat fasa pertama penjagaan sukar ke atas kepingan-kepingan itu oleh Joseph. … Catatan itu selamat, dan dalam perjuangan untuk memeliharanya, Joseph pelajari banyak tentang cara Tuhan dan orang yang akan melayaninya pada masa akan datang.”16
Ketika menterjemah Kitab Mormon, Joseph pelajari bahawa Tuhan akan memilih saksi-saksi untuk melihat kepingan-kepingan itu.17 Ini adalah ketika Tuhan berfirman, “Tiap-tiap tuduhan harus dikuatkan oleh kesaksian dua atau tiga orang saksi.”18 Oliver Cowdery, David Whitmer, dan Martin Harris merupakan rakan awal Joseph dalam pekerjaan Tuhan yang menakjubkan dalam zaman keagamaan ini dan juga saksi-saksi pertama yang dipanggil untuk memberi kesaksian khusus tentang Kitab Mormon kepada dunia. Mereka bersaksi tentang malaikat, yang datang dari hadirat Tuhan, dan menunjukkan catatan kuno itu kepada mereka dan mereka melihat tulisan yang terpahat padanya. Mereka juga bersaksi bahawa mereka mendengar suara Tuhan dari syurga mengisytiharkan catatan kuno itu diterjemahkan dengan kurnia dan kuasa Tuhan. Kemudian mereka diperintahkan untuk bersaksi kepada seluruh dunia.19
Tuhan juga telah memanggil lapan lagi saksi untuk melihat sendiri kepingan-kepingan emas itu dan untuk menjadi saksi-saksi khusus bagi kebenaran dan keilahian Kitab Mormon. Mereka bersaksi bahawa mereka melihat dan meneliti kepingan-kepingan itu dan tulisan yang terpahat. Meskipun terjadi perselisihan, penganiayaan, segala macam kesukaran, termasuk sebahagiannya goyah dalam iman mereka, sebelas saksi-saksi Kitab Mormon ini tidak pernah menyangkal kesaksian mereka. Joseph Smith tidak lagi bersendirian dalam pengetahuan kunjungan Moroni dan kepingan-kepingan emas.
Lucy Mack Smith mencatat bahawa anaknya tiba di rumah dan dipenuhi dengan kegembiraan selepas para saksi ditunjukkan kepingan-kepingan itu. Joseph menjelaskan kepada ibu bapanya, “Saya merasa seolah-olah dibebani beban yang hampir terlalu berat untuk saya tanggung, dan jiwa saya bersukacita, yang saya tidak lagi sendirian di dunia.”20
Joseph Smith telah menghadapi banyak tentangan dalam pencetakan Kitab Mormon ketika ia siap diterjemahkan. Joseph dapat meyakinkan pencetak [Egbert B. Grandin] di Palmyra, New York, untuk mencetak [catatan] itu hanya selepas Martin Harris, dengan iman dan pengorbanan besar, menggadai ladangnya sebagai cagaran untuk kos pencetakan. Oleh kerana tentangan berterusan selepas penerbitan Kitab Mormon, Martin Harris menjual 151 ekar (0.6 km2) ladangnya untuk membayar kos penerbitan. Melalui wahyu kepada Joseph Smith, Tuhan mengarahkan Martin Harris untuk tidak mendambakan harta miliknya sendiri dan membayar kos pencetakan kitab yang “mengandungi kebenaran dan firman Tuhan.”21 Pada bulan Mac 1830, 5,000 salinan pertama Kitab Mormon diterbitkan, dan hari ini, lebih daripada 180 juta salinan telah dicetak dalam lebih dari seratus bahasa.
Fakta sejarah dan saksi-saksi khusus Kitab Mormon bersaksi bahawa penampilan Kitab Mormon adalah menakjubkan. Walau bagaimanapun, kuasa kitab ini bukan terletak pada sejarah tetapi pada pesanannya yang mengubah hidup banyak orang—termasuklah [hidup] saya!
Saya telah membaca seluruh Kitab Mormon pertama kalinya ketika masih pelajar Seminari. Seperti yang dicadangkan oleh pengajar saya, saya mulakan dengan membaca halaman pengenalannya. Janji dalam Kitab Mormon ini masih di minda saya: “Merenungkan dalam hati [anda] … dan kemudian … bertanya kepada Tuhan [dalam iman] … dalam nama Kristus jika kitab ini benar. Mereka yang menuruti cara ini … akan memperoleh kesaksian akan kebenaran dan keilahiannya melalui kuasa Roh Kudus.”22
Dengan janji itu dan ketekunan untuk ketahui lebih banyak tentang kebenarannya, dan dengan doa, saya mengkaji Kitab Mormon, sedikit demi sedikit, saya menyelesaikan pelajaran mingguan seminari. Saya masih ingat bahawa perasaan hangat itu beransur-ansur mengisi hati saya, menerangi pemahaman saya, dan menjadi lebih menyenangkan, seperti yang digambarkan oleh Alma ketika sedang mengkhutbahkan firman Tuhan kepada orang-orangnya.24 Perasaan ini bertukar menjadi pengetahuan yang berakar dalam hati saya dan menjadi asas kesaksian saya tentang peristiwa besar itu dan ajaran-ajaran yang ditemui dalam kitab kudus ini.
Melalui pengalaman peribadi ini dan pengalaman yang lain, Kitab Mormon menjadi batu kunci yang menyokong iman saya dalam Yesus Kristus dan kesaksian saya dalam ajaran injil-Nya. Ia menjadi tiang yang bersaksi kepada saya tentang korban tebusan Kristus. Ia menjadi perisai dalam melawan cubaan musuh untuk melemahkan iman saya dan menanam ketidakpercayaan di minda saya dan ia memberi saya keberanian untuk berkongsi kesaksian tentang Juruselamat kepada dunia.
Saudara dan saudari yang dikasihi, kesaksian saya tentang Kitab Mormon datang baris demi baris23 seperti mukjizat. Sehingga hari ini, kesaksian ini terus berkembang semasa saya terus mencari, dengan hati ikhlas, untuk memahami sepenuhnya firman Tuhan yang terdapat dalam kitab suci ini.
Kepada semua, saya menjemput anda untuk menjadikan penampilan Kitab Mormon ini menakjubkan dalam kehidupan anda sendiri. Saya berjanji, semasa anda dengan penuh doa dan konsisten mengkaji firmannya, anda memperoleh janjinya dalam kehidupan anda. Saya meneguhkan lagi janji dalamnya: bahawa jika anda “bertanya kepada Tuhan, Bapa Yang Abadi, dalam nama Kristus, jikalau hal-hal ini tidak benar; dan jika kamu akan bertanya dengan hati yang tulus, dengan niat yang bersungguh-sungguh, beriman kepada Kristus,” Dia “akan menyatakan kebenarannya kepadamu, melalui kuasa Roh Kudus.”25 Saya jamin bahawa Dia akan memberi anda jawapan secara peribadi, seperti yang Dia lakukan untuk saya dan orang lain. Pengalaman anda akan jadi menakjubkan dan kudus seperti pengalaman Joseph Smith, seperti juga dengan para saksi pertama dan semua yang telah menerima kesaksian tentang integriti dan kebenaran kitab kudus ini.
Saya berkongsi kesaksian saya bahawa Kitab Mormon adalah firman Tuhan. Saya bersaksi catatan kudus ini “menerangkan ajaran-ajaran injil, menggariskan rancangan keselamatan, dan memberitahu manusia apa yang mesti mereka lakukan untuk memperoleh kedamaian dalam kehidupan ini dan keselamatan abadi dalam kehidupan yang akan datang.”26 Saya bersaksi bahawa Kitab Mormon adalah alat Tuhan dalam pengumpulan Israel di zaman kita dan untuk membawa orang ramai untuk mengenali Putera-Nya, Yesus Kristus. Saya bersaksi bahawa Tuhan hidup dan mengasihi kita dan Putera-Nya, Yesus Kristus, adalah Juruselamat dunia, batu asas agama kita. Saya katakan semua ini dalam nama kudus Penebus, Tuan, dan Tuhan kita, Yesus Kristus, amin.