Marilah dan Tergolong
Kita menjemput semua anak Tuhan di seluruh dunia untuk menyertai kita dalam usaha yang besar ini.
Saudara dan saudari saya yang dikasihi, setiap minggu para ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir di seluruh dunia menyembah Bapa Syurgawi, Tuhan dan Raja alam semesta yang terkasih, dan Putera-Nya yang Dikasihi, Yesus Kristus. Kita merenungkan kehidupan dan ajaran-ajaran Yesus Kristus—satu-satunya jiwa tanpa dosa yang pernah hidup, Anak Domba Tuhan yang tidak bernoda. Selagi boleh, kita mengambil sakramen sebagai peringatan pengorbanan-Nya dan mengakui bahawa Dia ialah pusat hidup kita.
Kita mengasihi dan menghormati Dia. Kerana kasih-Nya yang mendalam serta abadi, Yesus Kristus menderita dan mati bagi kita. Dia membuka pintu gerbang maut, menghancurkan halangan yang memisahkan rakan dan orang tersayang,1 dan membawa harapan kepada orang yang tiada harapan, penyembuhan kepada orang sakit dan pembebasan kepada orang tertawan.2
Kita membaktikan hati, hidup dan kesetiaan harian kita kepada Dia. Oleh itu “kita berbicara berkenaan Kristus, kita berbahagia dalam Kristus, [dan] kita berkhutbah berkenaan Kristus, … agar anak-anak kita dapat mengetahui kepada punca mana mereka dapat berpaling bagi pengampunan dosa-dosa mereka.”3
Berlatih Penganutan
Tetapi, menjadi seorang pengikut Yesus Kristus melibatkan lebih sekadar berbicara dan berkhutbah berkenaan Kristus. Juruselamat Sendiri memulihkan Gereja-Nya untuk menolong kita menjadi lebih seperti Dia. Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir diorganisasikan untuk menyediakan peluang-peluang untuk berlatih asas-asas penganutan. Melalui penglibatan dalam Gereja, kita belajar untuk menyedari dan bertindak atas dorongan Roh Kudus. Kita membentuk tabiat menjangkau dengan rasa kasihan dan kebaikan hati kepada orang lain.
Inilah usaha sepanjang umur, dan ia memerlukan latihan.
Atlet-atlet yang berjaya meluangkan banyak masa berlatih asas-asas sukan mereka. Jururawat, pekerja rangkaian, jurutera nuklear, dan bahkan saya yang minat memasak bersaing di dapur Harriet telah menjadi cekap dan berkemahiran hanya selepas berlatih dengan tekun.
Sebagai kapten penerbangan, saya sering melatih juruterbang menggunakan simulator penerbangan—sebuah mesin canggih yang mencontohi pengalaman penerbangan. Simulator tidak hanya menolong juruterbang belajar asas-asas penerbangan, tetapi juga membenarkan mereka untuk mengalami dan bertindak balas terhadap kejadian tidak diduga yang mungkin dialami apabila mereka menerbangkan kapal terbang sebenar.
Itu asas yang sama bagi para pengikut Yesus Kristus.
Menyertai Gereja Yesus Kristus secara aktif dan pelbagai peluangnya yang besar akan menolong kita untuk lebih bersedia untuk keadaan hidup yang berubah-ubah, tidak kira betapa serius. Sebagai ahli Gereja, kita digalakkan untuk memenuhi diri dalam firman Tuhan melalui para nabi-Nya, sepanjang zaman. Melalui doa ikhlas dan rendah hati kepada Bapa Syurgawi, kita belajar untuk mengenali suara Roh Kudus. Kita menerima panggilan untuk melayani, mengajar, merancangkan dan memberi. Peluang-peluang ini membenarkan kita berkembang dalam roh, minda dan sifat.
Itu akan menolong kita bersedia untuk membuat dan mentaati perjanjian kudus yang akan memberkati kita dalam hidup ini dan hidup yang akan datang.
Mari, Sertai Kami!
Kita menjemput semua anak Tuhan di seluruh dunia untuk menyertai kita dalam usaha yang besar ini. Marilah dan lihat! Sewaktu masa COVID-19 yang mencabar ini, bertemulah dengan kami dalam talian. Bertemu dengan para penginjil kami dalam talian. Ketahui bagi diri anda tujuan Gereja ini! Apabila masa susah ini telah berlalu, bertemu dengan kita di rumah dan tempat menyembah kami!
Kami menjemput anda untuk datang dan menolong! Datanglah dan melayani bersama kami, melayani anak-anak Tuhan, mengikut jejak Juruselamat, dan menjadikan dunia ini lebih baik.
Marilah dan tergolong! Anda akan membuat kami lebih kuat. Dan anda juga akan menjadi lebih baik, ramah dan gembira. Iman anda akan mendalam dan menjadi lebih berdaya tahan—lebih berupaya untuk menahan kesukaran dan ujian hidup yang tidak diduga.
Bagaimana kita bermula? Terdapat banyak cara untuk mula.
Kami menjemput anda untuk membaca Kitab Mormon. Jika anda tidak mempunyainya, anda boleh membacanya di ChurchofJesusChrist.org4 atau muat turun aplikasi Book of Mormon. Kitab Mormon ialah satu lagi kesaksian tentang Yesus Kristus dan pelengkap kepada Perjanjian Lama dan Baru. Kami mengasihi semua kitab suci ini dan kami belajar darinya.
Kami menjemput anda untuk meluangkan masa di ComeuntoChrist.org untuk mengetahui ajaran dan kepercayaan Gereja.
Jemputlah para penginjil untuk bertemu dengan anda dalam talian atau di rumah anda jika boleh—mereka mempunyai pesanan harapan dan penyembuhan. Para penginjil ini merupakan lelaki dan wanita berharga yang melayani di banyak tempat di seluruh dunia dengan masa dan wang mereka sendiri.
Dalam Gereja Yesus Kristus, anda akan menemui keluarga yang terdiri daripada orang yang tidak banyak beza daripada anda. Anda akan menemui orang yang perlu pertolongan anda dan ingin menolong anda semasa anda berusaha menjadi versi diri anda yang terbaik—orang yang Tuhan ciptakan anda untuk menjadi.
Pelukan Juruselamat Dihulurkan Kepada Semua Orang
Anda mungkin berfikir, “Saya telah membuat kesalahan dalam hidup saya. Saya tidak pasti jika saya boleh tergolong dalam Gereja Yesus Kristus. Tuhan tidak berminat dengan seseorang seperti saya.”
Yesus Kristus, walaupun Dia “Raja yang terutama,”5 Mesias, Putera Tuhan yang hidup,6 sangat mengambil berat tentang setiap anak-anak Tuhan. Dia mengambil berat tanpa mengira kedudukan seseorang—miskin mahupun kaya, tidak sempurna mahupun diuji. Semasa pelayanan fana-Nya, Juruselamat melayani semua orang: orang gembira dan berjaya, yang patah hati dan sesat, dan yang tanpa harapan. Sering kali, orang yang Dia layani bukan individu-individu dari kemasyhuran, kecantikan atau kekayaan. Sering kali, orang yang Dia angkat tidak mempunyai banyak untuk ditawarkan melainkan kesyukuran, kerendahan hati dan keinginan untuk beriman.
Jika Yesus menghabiskan hidup fana-Nya untuk melayani “yang paling hina,”7 tidakkah Dia mengasihi mereka hari ini? Tidakkah ada tempat dalam Gereja-Nya untuk semua anak Tuhan? Bahkan untuk mereka yang berasa tidak layak, dilupai atau berseorangan?
Tiada kesempurnaan yang mesti anda peroleh untuk menjadi layak bagi rahmat Tuhan. Doa anda tidak perlu lantang, fasih atau betul secara tatabahasa untuk mencapai syurga.
Tuhan tidak bersikap berat sebelah8—hal-hal yang dunia hargai tidak bermakna kepada Dia. Dia mengenali hati anda, dan Dia mengasihi anda tanpa mengira gelaran, nilai kewangan, atau jumlah pengikut Instagram anda.
Semasa kita memalingkan hati kita kepada Bapa Syurgawi dan mendekati Dia, kita akan berasa Dia juga mendekati kita.9
Kita anak-anak-Nya yang terkasih.
Termasuk mereka yang menolak Dia juga.
Mereka yang seperti budak degil dan tidak dapat dikawal, marah dengan Tuhan dan Gereja-Nya, mengemas beg mereka, dan pergi sambil mengatakan bahawa mereka tidak akan kembali.
Apabila seseorang melarikan diri dari rumah, dia tidak sedar kebimbangan ibu bapanya. Dengan hati lembut, mereka melihat anak mereka pergi—berharap anak mereka akan belajar sesuatu daripada pengalaman ini dan memandang kehidupan dengan pandangan baru—dan akan kembali ke rumah.
Demikian juga dengan Bapa Syurgawi kita yang penuh kasih. Dia menunggu kepulangan kita.
Juruselamat anda, dengan tangisan kasih sayang dan rasa kasihan di mata-Nya, menunggu kepulangan anda. Apabila anda berasa jauh dari Tuhan, Dia akan melihat anda, Dia akan berasa kasihan bagi anda dan berlari untuk memeluk anda.10
Marilah dan tergolong.
Tuhan Membenarkan Kita untuk Belajar dari Kesilapan Kita
Kita merupakan penziarah di jalan kefanaan dalam pencarian besar bagi makna dan kebenaran. Sering kali, yang kita lihat ialah jalan terus ke hadapan—kita tidak dapat melihat selekoh jalan itu. Bapa Syurgawi kita yang penuh kasih tidak memberikan setiap jawapan kepada kita. Dia berharap agar kita belajar banyak hal. Dia berharap agar kita percaya—bahkan ketika ia susah.
Dia berharap agar kita bertindak dengan keyakinan dan membangunkan sedikit keazaman—sedikit kekuatan—dan mengorak langkah ke depan.
Itulah cara kita belajar dan berkembang.
Adakah anda ingin semua hal dijelaskan secara terperinci? Adakah anda ingin setiap soalan dijawab? Setiap destinasi dipetakan?
Saya percaya kebanyakan kita akan cepat bosan dengan terlalu banyak kawalan syurgawi. Kita belajar pelajaran penting melalui pengalaman. Melalui kesilapan kita. Melalui bertaubat dan menyedari bahawa “kejahatan tidak pernah merupakan kebahagiaan.”11
Yesus Kristus, Putera Tuhan, mati supaya kesilapan kita tidak boleh menghukum dan menghalang kemajuan kita selamanya. Kerana Dia, kita boleh bertaubat, dan kesilapan kita boleh menjadi batu loncatan untuk kemuliaan lebih besar.
Anda tidak seharusnya berjalan di jalan ini berseorangan. Bapa Syurgawi kita tidak meninggalkan kita untuk merayau dalam kegelapan.
Ini sebabnya, pada musim bunga tahun 1820, Dia muncul bersama Putera-Nya, Yesus Kristus, kepada seorang pemuda bernama Joseph Smith.
Renungkan seketika! Tuhan alam semesta muncul kepada manusia!
Inilah salah satu daripada banyak pertemuan yang Joseph alami dengan Tuhan dan makhluk syurgawi lain. Kebanyakan utusan makhluk syurgawi ini kepada Joseph dicatatkan dalam kitab suci Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Kitab suci ini mudah untuk didapati. Sesiapa pun boleh membaca dan mempelajari pesanan Tuhan untuk zaman kita.
Kami menjemput anda untuk mengkajinya sendiri.
Joseph Smith agak muda ketika dia menerima wahyu-wahyu ini. Kebanyakan dari wahyu ini datang sebelum dia berumur 30 tahun.12 Dia tidak berpengalaman, dan bagi sesetengah orang, dia kelihatan kurang kelulusan untuk menjadi nabi Tuhan.
Tetapi Tuhan memanggil dia—mengikuti pola yang kita temui dalam tulisan suci.
Tuhan tidak menunggu seseorang yang sempurna untuk memulihkan injil-Nya.
Jika dia menunggu, Dia masih akan menunggu.
Joseph seperti kita. Walaupun Joseph membuat kesilapan, Tuhan menggunakan dia untuk mencapai tujuan besar Tuhan.
Presiden Thomas S. Monson sering mengulangi nasihat ini: “Sesiapa yang Tuhan panggil, Dia akan melayakkan.”13
Rasul Paulus berhujah: “Saudara-saudaraku! Ingatlah akan keadaan kamu semasa Tuhan memanggil kamu. Menurut pandangan manusia hanya sedikit antara kamu yang bijak, atau berkuasa ataupun berkedudukan tinggi.”14
Tuhan menggunakan yang lemah dan yang sederhana untuk mencapai tujuan-Nya. Kebenaran ini berdiri sebagai kesaksian bahawa melalui kuasa Tuhan, bukan kuasa manusia, pekerjaan-Nya di atas bumi tercapai.15
Dengarkanlah Dia, Ikutlah Dia
Apabila Tuhan muncul kepada Joseph Smith, Dia memperkenalkan Putera-Nya, Yesus Kristus, dan berkata, “Dengarkanlah Dia!”16
Joseph menggunakan sisa kehidupannya untuk mendengar dan mengikuti Dia.
Seperti Joseph, penganutan kita bermula dengan keputusan untuk mendengar dan mengikuti Juruselamat Yesus Kristus.
Jika anda ingin mengikuti Dia, kumpulkan iman anda dan pikul salib-Nya.
Anda akan tergolong dalam Gereja-Nya—tempat menyenangkan dan mesra yang anda boleh sertai dalam pencarian penganutan dan kegembiraan yang besar.
Saya berharap pada ulang tahun ke-200 Penglihatan Pertama, semasa kita merenungkan dan belajar tentang Pemulihan Gereja Yesus Kristus, kita akan menyedari ia bukan peristiwa bersejarah sahaja. Kita berperanan yang penting dalam cerita agung dan berterusan ini.
Jadi, apakah peranan kita?
Ia adalah untuk belajar tentang Yesus Kristus. Untuk mengkaji firman-Nya. Untuk mendengar dan mengikuti Dia dengan menyertai secara aktif dalam pekerjaan besar ini. Saya menjemput anda untuk datang dan tergolong!
Anda tidak perlu menjadi sempurna. Anda hanya perlu berhasrat untuk membangunkan iman anda dan mendekati Dia setiap hari.
Tugas kita adalah untuk mengasihi dan melayani Tuhan dan anak-anak-Nya.
Semasa anda melakukannya, Tuhan akan memeluk anda dengan kasih, kebahagiaan dan bimbingan-Nya sepanjang hidup ini, bahkan dalam keadaan paling serius, dan selebihnya.
Dengan ini saya bersaksi dan meninggalkan berkat dan kasih saya bagi anda semua, dalam nama kudus Juruselamat kita, Tuan kita—dalam nama Yesus Kristus, amin.