“Adakah Tuhan mengasihi saya?” Tarikan Sesama Jenis: Individu (2020)
“Adakah Tuhan mengasihi saya?” Tarikan Sesama Jenis: Individu
Adakah Tuhan mengasihi saya?
Tuhan Mengasihi Anda Sepenuhnya
Presiden Dieter F. Uchtdorf menggambarkan kasih Tuhan:
“Tuhan tidak memandang pada penampilan luaran. Saya percaya bahawa Dia tidak peduli sedikit pun sama ada kita tinggal di istana atau pondok, sama ada kita tampan atau bersahaja, sama ada kita terkenal atau dilupakan. Walaupun kita tidak sempurna, Tuhan mengasihi kita sepenuhnya. Walaupun kita tidak sempurna, Dia mengasihi kita dengan sempurna. Walaupun kita mungkin berasa sesat dan tanpa hala tuju, kasih Tuhan merangkumi kita sepenuhnya.
“Dia mengasihi kita kerana Dia dipenuhi dengan kasih yang kudus, suci dan tidak terbatas. Kita penting bagi Tuhan bukan kerana resume kita tetapi kerana kita ialah anak-anak-Nya. Dia mengasihi setiap daripada kita” (“The Love of God”, Liahona, Nov. 2009, 22–23).
Tuhan mengasihi kita semua. Dia mengasihi orang yang berlainan kepercayaan dan orang yang tidak beriman. Dia mengasihi orang yang menderita. Dia mengasihi orang kaya dan miskin. Dia mengasihi orang daripada setiap bangsa dan budaya, yang sudah berkahwin atau yang masih bujang, dan orang yang mengalami tarikan sesama jenis atau dikenal pasti sebagai gay, lesbian atau biseksual. Tuhan mengharapkan kita agar mengikuti teladan-Nya.
Tuhan Memberikan Putera-Nya kepada Anda
“Kerana begitu besar kasih Tuhan akan dunia ini, sehingga Dia telah mengurniakan Putera-Nya yang Tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa, melainkan peroleh kehidupan kekal” (Yohanes 3:16).
Tiada yang lebih menunjukkan kedalaman dan jangkauan kasih Tuhan sepenuhnya daripada kesediaan-Nya untuk mengorbankan Putera-Nya agar kita, anak-anak-Nya, dapat mengatasi kematian dan akan ditawarkan kehidupan abadi.
Tiada yang lebih baik menyatakan kasih Yesus Kristus daripada kesediaan-Nya untuk memberikan nyawa-Nya untuk menebus dosa umat manusia, mengimbangi semua penderitaan dan ketidakadilan dan memutuskan belenggu kematian untuk semua (lihat Alma 7:11–13).