Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 117


Bahagian 117

Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith, di Far West, Missouri, 8 Julai 1838, tentang kewajipan William Marks, Newel K. Whitney, dan Oliver Granger.

1–9, Para hamba Tuhan janganlah mendambakan hal-hal duniawi, kerana “apalah harta benda bagi Tuhan?”; 10–16, Mereka harus meninggalkan kesempitan jiwa, dan pengorbanan mereka akan menjadi kudus bagi Tuhan.

1 Sesungguhnya demikianlah firman Tuhan kepada hamba-Ku William Marks, dan juga kepada hamba-Ku Newel K. Whitney, biarlah mereka membereskan urusan mereka secepatnya dan melakukan perjalanan dari negeri Kirtland, sebelum Aku, Tuhan, mengirimkan salji ke atas bumi lagi.

2 Biarlah mereka bangun, dan bangkit, dan datang, dan tidak berlengah, kerana Aku, Tuhan, memerintahkannya.

3 Oleh kerana itu, jika mereka berlengah-lengah, tidak baik bagi mereka.

4 Biarlah mereka bertaubat dari segala dosa mereka, dan dari segala nafsu serakah mereka, di hadapan-Ku, firman Tuhan; kerana apalah harta benda bagi-Ku? firman Tuhan.

5 Biarlah harta benda di Kirtland dijual untuk hutang, firman Tuhan. Biarlah itu semua dilepaskan, firman Tuhan, dan apa pun yang tinggal, biarlah ia tetap dalam tanganmu, firman Tuhan.

6 Kerana bukankah Aku memiliki burung-burung di langit, dan juga ikan di laut, dan binatang di gunung? Bukankah Aku telah menciptakan bumi? Tidakkah Aku menentukan nasib seluruh bangsa di bumi?

7 Oleh kerana itu, tidakkah Aku akan menjadikan tempat-tempat yang terpencil tumbuh dan mekar, dan berhasil dengan banyak? firman Tuhan.

8 Tidakkah ada cukup ruang di atas pergunungan Adam-ondi-Ahman, dan di atas dataran-dataran Olaha Sineha, atau tanah di mana Adam tinggal, sehingga kamu akan mendambakan apa yang hanyalah setitis, dan mengabaikan hal-hal yang lebih penting?

9 Oleh kerana itu, datanglah ke mari ke negeri umat-Ku, bahkan Sion.

10 Biarlah hamba-Ku William Marks setia dalam beberapa hal, dan dia akan menjadi pemerintah dalam banyak hal. Biarlah dia mengetuai di tengah-tengah umat-Ku di Kota Far West, dan biarlah dia diberkati dengan berkat-berkat umat-Ku.

11 Biarlah hamba-Ku Newel K. Whitney menjadi malu terhadap kumpulan Nikolaitane dan terhadap semua kekejian rahsia mereka, dan terhadap semua kesempitan jiwanya di hadapan-Ku, firman Tuhan, dan datang ke negeri Adam-ondi-Ahman, dan menjadi uskup kepada umat-Ku, firman Tuhan, bukan hanya dalam nama tapi dalam perbuatan, firman Tuhan.

12 Dan lagi, Aku berfirman kepadamu, Aku mengingati hamba-Ku Oliver Granger; lihatlah, sesungguhnya Aku berfirman kepadanya bahawa namanya akan diingati dengan kudus dari generasi ke generasi, selama-lamanya, firman Tuhan.

13 Oleh kerana itu, biarlah dia berjuang dengan bersungguh-sungguh untuk penebusan Presidensi Utama Gereja-Ku, firman Tuhan; dan apabila dia jatuh dia akan bangkit semula, kerana pengorbanannya akan lebih kudus bagi-Ku daripada kejayaannya, firman Tuhan.

14 Oleh kerana itu, biarlah dia datang ke mari secepatnya, ke negeri Sion; dan pada waktu yang tepat dia akan dijadikan saudagar demi nama-Ku, firman Tuhan, demi manfaat umat-Ku.

15 Oleh kerana itu janganlah biarkan seorang pun mengeji hamba-Ku Oliver Granger, tetapi biarlah berkat-berkat umat-Ku ada padanya selama-lamanya.

16 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, biarlah semua hamba-Ku di negeri Kirtland mengingati Tuhan Raja mereka, dan rumah-Ku juga, untuk menjaga dan mengekalkan kekudusannya, dan untuk mengusir para penukar wang pada waktu-Ku sendiri yang tepat, firman Tuhan. Demikianlah. Amin.