Bahagian 102
Minit mesyuarat tentang pembentukan majlis tinggi Gereja yang pertama, di Kirtland, Ohio, 17 Februari 1834. Minit mesyuarat yang asli dicatat oleh Penatua Oliver Cowdery dan Orson Hyde. Nabi menyemakkan minit pada hari seterusnya, dan pada hari kemudian minit yang dibetulkan diterima sebulat suara oleh majlis tinggi sebagai “satu susunan dan perlembagaan majlis tinggi” Gereja. Ayat 30 sehingga 32, berkaitan Majlis Dua Belas Rasul, telah ditambahkan pada tahun 1835 dibawah arahan Joseph Smith semasa bahagian ini disediakan untuk penerbitan dalam Ajaran dan Perjanjian.
1–8, Sebuah majlis tinggi ditetapkan untuk menyelesaikan masalah-masalah penting yang timbul di dalam Gereja; 9–18, Peraturan bagi membicarakan kes diterangkan; 19–23, Presiden majlis memberikan keputusan; 24–34, Peraturan untuk rayuan dinyatakan.
1 Hari ini sebuah majlis umum dua puluh empat imam tinggi berhimpun di rumah Joseph Smith Jr. melalui wahyu, dan mula untuk membentuk majlis tinggi gereja Kristus, yang harus terdiri daripada dua belas orang imam tinggi, dan satu atau tiga orang presiden menurut keperluan.
2 Majlis tinggi ditetapkan melalui wahyu untuk tujuan menyelesaikan masalah-masalah penting yang mungkin timbul di dalam gereja, yang tidak dapat diselesaikan oleh gereja atau majlis uskup untuk kepuasan setiap pihak.
3 Joseph Smith Jr., Sidney Rigdon dan Frederick G. Williams diakui sebagai presiden oleh suara majlis; dan Joseph Smith Sr., John Smith, Joseph Coe, John Johnson, Martin Harris, John S. Carter, Jared Carter, Oliver Cowdery, Samuel H. Smith, Orson Hyde, Sylvester Smith, dan Luke Johnson, para imam tinggi, dipilih untuk menjadi majlis tetap bagi gereja, melalui sebulat suara oleh majlis.
4 Para anggota majlis yang disebutkan di atas kemudiannya ditanya adakah mereka menerima penetapan mereka dan adakah mereka akan bertindak dalam jawatan itu menurut hukum syurga, yang mana mereka semua menjawab bahawa mereka menerima penetapan mereka, dan akan memenuhi jawatan mereka menurut rahmat Tuhan yang dicurahkan ke atas diri mereka.
5 Jumlah yang membentuk majlis itu, yang telah mengundi dalam nama dan bagi gereja dalam menetapkan para anggota majlis yang telah disebutkan di atas adalah empat puluh tiga, seperti yang berikut: sembilan imam tinggi, tujuh belas penatua, empat imam, dan tiga belas anggota gereja.
6 Telah diundi: bahawa majlis tinggi tidak boleh mempunyai kuasa untuk bertindak tanpa tujuh orang daripada para anggota majlis tinggi yang disebutkan di atas, atau para pengganti mereka yang secara rasminya ditetapkan, hadir.
7 Tujuh orang ini akan memiliki kuasa untuk menetapkan imam tinggi yang lain, yang mereka anggap layak dan mampu untuk bertindak bagi pihak anggota majlis yang tidak hadir.
8 Telah diundi: bahawa pada bila-bila masa pun terdapat sebarang kekosongan yang terjadi disebabkan kematian, penyingkiran jawatan kerana pelanggaran, atau perpindahan ke luar sempadan pentadbiran gereja, di kalangan anggota majlis yang disebutkan di atas, ianya akan diisi melalui pencalonan oleh presiden atau para presiden, dan disahkan oleh suara majlis umum imam tinggi, yang disidangkan untuk tujuan itu, untuk bertindak dalam nama gereja.
9 Presiden gereja, yang juga merupakan presiden majlis itu, ditetapkan melalui wahyu, dan diakui dalam pelayanannya oleh suara gereja.
10 Dan adalah menurut kewibawaan jawatannya bahawa dia harus mengetuai majlis gereja; dan menjadi hak istimewanya untuk dibantu oleh dua presiden yang lain, yang ditetapkan menurut cara penetapannya sendiri.
11 Dan seandainya satu atau kedua-dua mereka yang telah ditetapkan untuk membantunya tidak hadir, dia mempunyai kuasa untuk mengetuai majlis tanpa seorang pembantu; dan seandainya dia sendiri tidak hadir, para presiden yang lain mempunyai kuasa untuk mengetuai sebagai penggantinya, kedua-duanya atau pun salah seorang daripada mereka.
12 Apabila sebuah majlis tinggi gereja Kristus telah dibentuk secara rasmi, menurut panduan yang telah diterangkan sebelumnya, akan menjadi kewajipan dua belas anggota majlis untuk mencabut undi dengan nombor, dan dengan demikian menentukan siapa daripada dua belas orang itu akan berbicara dahulu, bermula dengan nombor satu dan demikianlah berturut-turut sehinggalah ke nombor dua belas.
13 Pada bila-bila masa pun majlis ini bersidang untuk membicarakan apa jua kes sekalipun, kedua belas anggota majlis akan mempertimbangkan sama ada ia adalah kes yang sukar atau tidak; jika ianya tidak, hanya dua orang daripada anggota majlis akan berbicara mengenainya, menurut yang tertulis di atas.
14 Tetapi jika ianya dianggap sukar, empat orang akan ditetapkan; dan jika lebih sukar, enam orang; tetapi sama sekali tidak akan ada lebih daripada enam orang yang ditetapkan untuk berbicara.
15 Tertuduh, dalam semua kes, mempunyai hak terhadap separuh daripada majlis, untuk mencegah penghinaan atau ketidakadilan.
16 Dan para anggota majlis yang ditetapkan untuk berbicara di hadapan majlis mesti membentangkan kes, selepas bukti diperiksa, menurut keterangan yang benar di hadapan majlis; dan setiap orang mesti berbicara menurut kesetaraan dan keadilan.
17 Para anggota majlis itu yang mencabut nombor-nombor genap, iaitu, 2, 4, 6, 8, 10, dan 12, merupakan para individu yang mesti berdiri bagi pihak tertuduh, dan mencegah penghinaan dan ketidakadilan.
18 Dalam semua kes pendakwa dan tertuduh akan mempunyai hak istimewa untuk berbicara bagi diri mereka di hadapan majlis, selepas bukti-bukti telah didengari dan para anggota majlis yang ditetapkan untuk berbicara tentang kes itu telah menyelesaikan ucapan mereka.
19 Selepas bukti-bukti sudah didengari, para anggota dewan, pendakwa dan tertuduh telah berbicara, presiden akan memberikan suatu keputusan menurut pemahaman yang akan dia miliki tentang kes itu, dan meminta kepada kedua belas anggota majlis untuk mengesahkannya melalui undian mereka.
20 Tetapi seandainya para anggota majlis yang selebihnya, yang belum berbicara, atau sesiapa pun daripada mereka, selepas mendengar bukti dan pembelaan dengan saksama, mendapati suatu kesilapan di dalam keputusan presiden, mereka boleh menyatakannya, dan kes itu akan mendapat perbicaraan semula.
21 Dan sekiranya, selepas perbicaraan semula yang cermat, terdapat sebarang keterangan tambahan yang ditunjukkan dalam kes itu, maka keputusan harus diubah menurutnya.
22 Tetapi seandainya tidak ada keterangan tambahan diberikan, keputusan yang pertama akan menjadi sah, majoriti majlis mempunyai kuasa untuk memutuskan hal yang sama.
23 Dalam kes masalah yang berkaitan dengan ajaran atau asas, jika yang tertulis tidak mencukupi untuk menjadikan kes itu jelas pada fikiran majlis, presiden boleh bertanya dan mendapatkan fikiran Tuhan melalui wahyu.
24 Para Imam tinggi, semasa di luar daerah, mempunyai kuasa untuk memanggil dan membentuk sebuah majlis menurut cara yang telah disebutkan dahulu, untuk menyelesaikan masalah, apabila pihak-pihak itu atau salah seorang daripada mereka akan memintanya.
25 Dan majlis imam tinggi tersebut akan memiliki kuasa untuk menetapkan salah seorang daripada kumpulan mereka sendiri untuk mengetuai majlis itu buat sementara waktu.
26 Akan menjadi kewajipan majlis tersebut untuk menghantar, dengan segera, satu salinan catatan tentang tindakan mereka itu, dengan pernyataan lengkap tentang kesaksian yang dilampirkan pada keputusan mereka, kepada majlis tinggi di tempat Presidensi Utama Gereja.
27 Seandainya pihak-pihak itu atau salah seorang daripada mereka tidak berpuas hati dengan keputusan majlis tersebut, mereka boleh merayu kepada majlis tinggi di tempat Presidensi Utama Gereja, dan mendapatkan perbicaraan kembali, yang mana kesnya akan dijalankan di sana, menurut panduan yang dahulunya sudah tertulis, seolah-olah belum dibuat.
28 Majlis imam tinggi di luar daerah ini hanyalah dipanggil untuk kes-kes hal ehwal gereja yang paling sukar; dan tidak ada kes yang lazim atau biasa yang memerlukan majlis seperti itu untuk dipanggil.
29 Para imam tinggi luar daerah yang melakukan perjalanan atau telah ditempatkan memiliki kuasa untuk mengatakan sama ada perlu untuk memanggil suatu majlis yang seperti itu atau pun tidak.
30 Terdapat suatu perbezaan di antara majlis tinggi atau para imam tinggi yang melakukan perjalanan di luar daerah, dan majlis tinggi yang melakukan perjalanan yang terdiri daripada dua belas rasul, dalam keputusan mereka.
31 Terhadap keputusan yang pertama itu boleh ada rayuan; tetapi terhadap keputusan yang kedua itu tidak boleh.
32 Yang kedua itu hanya dapat dipersoalkan semula oleh para penguasa umum gereja seandainya ada pelanggaran.
33 Diputuskan: bahawa presiden atau para presiden di tempat Presidensi Utama Gereja akan memiliki kuasa untuk memutuskan jikalau sebarang kes yang seperti itu, yang boleh dirayu, adalah wajar dibicarakan semula, selepas memeriksa rayuan dan bukti-bukti dan pernyataan yang dilampirkan bersamanya.
34 Kedua belas anggota majlis kemudiannya mula untuk mencabut nombor atau undi, untuk memastikan siapa yang pertama akan berbicara, dan yang berikut merupakan keputusannya, iaitu: 1, Oliver Cowdery; 2, Joseph Coe; 3, Samuel H. Smith; 4, Luke Johnson; 5, John S. Carter; 6, Sylvester Smith; 7, John Johnson; 8, Orson Hyde; 9, Jared Carter; 10, Joseph Smith Sr.; 11, John Smith; 12, Martin Harris.Selepas doa persidangan dibubarkan.
Oliver Cowdery,
Orson Hyde,
Jurutulis