Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 123


Bahagian 123

Kewajipan para Orang Suci berkaitan dengan para penganiaya mereka, sebagaimana dituliskan oleh Nabi Joseph Smith semasa menjadi seorang tahanan di dalam penjara di Liberty, Missouri. Bahagian ini merupakan sebuah petikan dari sepucuk surat kepada Gereja bertarikh 20 Mac 1839 (lihat pengenalan untuk bahagian 121).

1–6, Para Orang Suci harus mengumpulkan dan menerbitkan laporan tentang penderitaan dan penganiayaan mereka; 7–10, Roh yang sama yang menegakkan fahaman-fahaman palsu juga membawa pada penganiayaan para Orang Suci; 11–17, Banyak dari kalangan semua mazhab agama masih akan menerima kebenaran.

1 Dan lagi, kami hendak mencadangkan untuk pertimbanganmu kewajaran bagi semua orang suci mengumpulkan suatu pengetahuan tentang semua fakta, dan penderitaan dan penderaan yang diletakkan ke atas diri mereka oleh orang-orang di Negeri ini;

2 Dan juga tentang semua harta benda dan jumlah kerosakan yang telah mereka alami, baik pencemaran nama baik mahupun kecederaan peribadi, serta harta tak alih;

3 Dan juga nama semua orang yang telah terlibat dalam penindasan mereka, sejauh mereka boleh mendapatkan dan menemukan mereka.

4 Dan mungkin sebuah jawatan kuasa boleh dilantik untuk mendapatkan hal-hal ini, dan untuk mencatatkan penyataan-penyataan dan afidavit; dan juga untuk mengumpulkan terbitan-terbitan fitnah yang tersebar;

5 Dan semua yang ada di dalam majalah, dan dalam ensiklopedia, dan semua sejarah fitnah yang telah diterbitkan, dan sedang ditulis, oleh mereka, dan menyampaikan seluruh rangkaian perlakuan kejam dan keji dan bersifat membunuh yang telah dikenakan ke atas umat ini—

6 Agar kita bukan sahaja menerbitkannya ke seluruh dunia, tetapi menunjukkannya kepada ketua-ketua kerajaan dalam semua kegelapan dan keiblisan mereka, sebagai usaha terakhir yang diperintahkan kepada kita oleh Bapa Syurgawi kita, sebelum kita dapat sepenuhnya menuntut perjanjian itu yang akan memanggil-Nya dari tempat persembunyian-Nya; dan juga agar seluruh bangsa tidak akan mempunyai alasan lagi sebelum Dia mengirimkan kuasa daripada lengan perkasa-Nya.

7 Ini merupakan suatu kewajipan penting yang kita hutang dengan Tuhan, dengan para malaikat, iaitu kepada mereka kita akan dibawa untuk berdiri, dan juga kepada diri kita sendiri, kepada isteri dan anak-anak kita, yang telah ditundukkan dengan kesedihan, kedukaan, dan kegelisahan, di bawah tangan pembunuhan, kezaliman, dan penindasan yang paling laknat, yang disokong dan diransang dan didukung melalui pengaruh roh itu yang dengan sangat kuatnya telah memaku fahaman-fahaman daripada nenek moyang, yang telah mewariskan kedustaan, ke atas hati anak-anak mereka, dan memenuhi dunia dengan kekeliruan, dan semakin kuat berkembang, dan sekarang merupakan sumber utama bagi segala kejahatan, dan seluruh bumi merintih di bawah beban kederhakaannya.

8 Itu adalah sebuah kuk besi, itu adalah suatu ikatan yang kuat; ianya adalah gari, dan rantai, dan belenggu, dan pasung neraka.

9 Oleh kerana itu ini adalah kewajipan penting yang menjadi hutang kita, bukan hanya kepada isteri dan anak-anak kita sendiri, tetapi kepada para janda dan anak yatim, yang mana para suami dan ayah mereka telah dibunuh di bawah tangan besinya;

10 Yang mana perbuatan gelap dan hitamnya itu cukup untuk membuat neraka sendiri menggeletar, dan berdiri tergamam dan pucat, dan tangan iblis sendiri gementar dan kaku.

11 Dan juga ini adalah kewajipan penting yang menjadi hutang kita kepada semua generasi muda, dan kepada semua yang suci hatinya—

12 Kerana masih ada banyak lagi di atas bumi di kalangan semua mazhab, pihak, dan golongan agama, yang dibutakan oleh kelicikan manusia, yang dengannya mereka menanti untuk memperdaya, dan mereka yang hanya ditahan dari kebenaran kerana mereka tidak tahu di mana untuk menemuinya—

13 Oleh kerana itu, kita haruslah menghabiskan dan menggunakan hidup kita dalam membawa pada keterangan semua hal yang tersembunyi dalam kegelapan, di mana kita mengetahuinya; dan mereka benar-benar dinyatakan dari syurga—

14 Maka ini haruslah dilaksanakan dengan kesungguhan yang besar.

15 Janganlah biarkan seorang pun menganggapnya sebagai hal-hal yang kecil; kerana ada banyak yang berada di masa depan, berkaitan dengan para orang suci, yang bergantung pada hal-hal ini.

16 Kamu tahu, para saudara, bahawa sebuah kapal yang sangat besar memperoleh kelebihan yang sangat banyak dari sebuah kemudi yang sangat kecil semasa ribut, dengan mengemudikannya menghadapi angin dan ombak.

17 Oleh kerana itu, saudara-saudara terkasih, marilah kita dengan riang melakukan segala hal yang berada dalam kuasa kita; dan kemudian dapatlah kita berdiri teguh, dengan keyakinan sepenuhnya, untuk melihat keselamatan daripada Tuhan, dan untuk lengan-Nya didedahkan.