Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 71


Bahagian 71

Wahyu yang diberikan kepada Nabi Joseph Smith dan Sidney Rigdon, di Hiram, Ohio, 1 Disember 1831. Nabi telah meneruskan untuk menterjemahkan Alkitab bersama Sidney Rigdon sebagai jurutulisnya sehinggalah wahyu ini diterima, yang pada waktu itu diketepikan buat sementara supaya membolehkan mereka untuk memenuhi arahan yang diberikan di dalam wahyu itu. Mereka mesti pergi berkhutbah supaya meredakan perasaan kurang senang yang telah berkembang menentang Gereja akibat daripada penerbitan surat-surat ditulis oleh Ezra Booth, yang telah murtad.

1–4, Joseph Smith dan Sidney Rigdon diutus untuk memaklumkan Injil; 5–11, Musuh-musuh para Orang Suci akan ditundukkan.

1 Lihatlah, demikianlah firman Tuhan kepadamu hamba-Ku Joseph Smith Jr., dan Sidney Rigdon, bahawa sesungguhnya waktunya telah tiba bahawa ianya perlu dan sesuai menurut-Ku bahawa kamu harus membuka mulutmu untuk memaklumkan Injil-Ku, hal-hal tentang kerajaan, menghuraikan misteri-misterinya dari tulisan suci, menurut sebahagian daripada Roh dan kuasa itu yang akan diberikan kepadamu, bahkan seperti yang Aku kehendaki.

2 Sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, maklumkanlah kepada dunia di wilayah-wilayah sekitarnya, dan di dalam gereja juga, untuk suatu tempoh masa, bahkan sehingga ia akan diberitahukan kepadamu.

3 Sesungguhnya inilah misi untuk suatu tempoh masa, yang Aku berikan kepadamu.

4 Kerana itu, bekerjalah kamu di dalam ladang anggur-Ku. Berserulah kepada para penduduk bumi, dan berikanlah kesaksian, dan sediakanlah jalan untuk perintah-perintah dan wahyu yang akan datang.

5 Sekarang, lihatlah ini adalah kebijaksanaan; sesiapa yang membaca, biarlah dia memahami dan juga menerima;

6 Kerana kepada dia yang menerimanya akan diberikan dengan lebih berlimpah-limpah, bahkan kuasa.

7 Kerana itu, tundukkanlah musuh-musuhmu; berserulah kepada mereka untuk menemuimu baik di hadapan umum mahupun secara peribadi; dan sejauh kamu setia rasa malu mereka akan ditunjukkan.

8 Kerana itu, biarlah mereka mengemukakan alasan-alasan mereka yang kuat menentang Tuhan.

9 Sesungguhnya, demikianlah firman Tuhan kepadamu—tidak ada senjata yang dibentuk untuk menentangmu yang akan berjaya.

10 Dan jika sesiapa pun mengangkat suaranya menentangmu dia akan dibinasakan pada waktu-Ku sendiri yang tepat.

11 Kerana itu, taatilah perintah-perintah-Ku; ia adalah benar dan pasti. Demikianlah. Amin.