Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 62


Bahagian 62

Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith, di tepi Sungai Missouri di Chariton, Missouri, 13 Ogos 1831. Pada hari itu Nabi dan rombongannya, yang sedang dalam perjalanan mereka dari Independence ke Kirtland, telah bertemu dengan beberapa penatua yang sedang dalam perjalanan mereka ke negeri Sion, dan, selepas persalaman yang penuh bahagia, telah menerima wahyu ini.

1–3, Kesaksian dicatatkan di dalam syurga; 4–9, Para penatua mesti melakukan perjalanan dan berkhutbah menurut pertimbangan dan sebagaimana yang diarahkan oleh Roh.

1 Lihatlah, dan dengarlah, Wahai kamu para penatua gereja-Ku, firman Tuhan Rajamu, bahkan Yesus Kristus, pembelamu, yang mengetahui kelemahan manusia dan bagaimana membantu mereka yang digoda.

2 Dan sesungguhnya mata-Ku memandang mereka yang masih lagi belum pergi ke negeri Sion; kerana itu misimu belumlah selesai.

3 Walaupun demikian, kamu diberkati, kerana kesaksian yang telah kamu berikan dicatatkan di dalam syurga untuk dilihat oleh para malaikat; dan mereka bersukacita keranamu, dan dosa-dosamu diampuni.

4 Dan sekarang teruskanlah perjalananmu. Berhimpunlah kamu di atas negeri Sion; dan adakanlah sebuah pertemuan dan bersukacitalah bersama, dan persembahkanlah sakramen kepada Yang Maha Tinggi.

5 Dan kemudian kamu boleh kembali untuk memberikan kesaksian, ya, bahkan bersama, atau berdua-dua, seperti yang kelihatannya baik bagimu, tiada halnya bagi-Ku; hanya setialah, dan maklumkanlah khabar gembira kepada para penduduk bumi, atau di kalangan para jemaah yang jahat.

6 Lihatlah, Aku, Tuhan, telah mengumpulkanmu bersama agar janji itu boleh digenapi, bahawa yang setia di kalangan kamu akan dilindungi dan bersukacita bersama di negeri Missouri. Aku, Tuhan, menjanjikan kepada yang setia dan tidak dapat berdusta.

7 Aku, Tuhan, rela, jika ada di kalangan kamu berhasrat untuk menunggang kuda, atau keldai, atau kereta kuda, dia akan menerima berkat ini, jika dia menerimanya daripada tangan Tuhan, dengan hati yang penuh rasa berterima kasih dalam segala hal.

8 Hal-hal ini tetap tinggal bersamamu untuk dilakukan menurut pertimbangan dan arahan Roh.

9 Lihatlah, kerajaan adalah milikmu. Dan lihatlah, dan tengoklah, Aku sentiasa bersama dengan yang setia. Demikianlah. Amin.