Pengisytiharan Rasmi 1
Alkitab dan Kitab Mormon mengajar bahawa monogami merupakan taraf Tuhan bagi perkahwinan melainkan Dia firmankan sebaliknya (lihat 2 Samuel 12:7–8 dan Yakub 2:27, 30). Menurut wahyu kepada Joseph Smith, amalan perkahwinan jamak diperkenalkan antara para ahli Gereja pada awal 1840-an (lihat bahagian 132). Dari 1860-an ke 1880-an, pentadbiran Amerika Syarikat mengusulkan hukum-hukum menjadikan amalan keagamaan ini tidak sah. Hukum-hukum ini pada akhirnya di sokong oleh Mahkamah Agung Amerika Syarikat. Setelah menerima wahyu, Presiden Wilford Woodruff mengeluarkan Manifesto berikut, yang diterima oleh Gereja sebagai yang berkuasa dan sah pada 6 Oktober 1890. Ini membawa perhentian amalan perkahwinan jamak dalam Gereja.
Kepada yang Berkenaan:
Laporan-laporan berita yang telah dikeluarkan untuk tujuan politik, dari Salt Lake City, yang telah diberitakan secara meluas, yang menyatakan bahawa Suruhanjaya Utah, dalam laporan terkini mereka kepada Menteri Dalam Negeri, mendakwa bahawa perkahwinan jamak masih dilangsungkan dan bahawa empat puluh atau lebih perkahwinan seperti itu telah didaftarkan di Utah sejak Jun yang lalu atau sepanjang satu tahun yang lalu, dan juga di dalam ucapan-ucapan umum para pemimpin Gereja telah mengajarkan, mendorong dan menegaskan penerusan amalan poligami—
Saya, oleh kerana itu, sebagai Presiden Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, dengan ini, dengan cara yang paling rasmi, memaklumkan bahawa dakwaan-dakwaan ini adalah salah. Kami tidak mengajarkan poligami atau perkahwinan jamak, tidak juga mengizinkan sesiapa pun untuk masuk ke dalam amalan itu, dan saya menyangkal bahawa empat puluh atau berapa pun jumlah perkahwinan jamak sepanjang tempoh tersebut telah dilangsungkan di dalam Bait-bait Suci kami atau di mana-mana tempat lain pun di Wilayah ini.
Satu kes telah dilaporkan, dimana ada pihak-pihak yang mendakwa bahawa perkahwinan itu dilaksanakan di dalam Rumah Penganugerahan, di Salt Lake City, pada Musim Bunga 1889, tetapi saya belum dapat mengetahui siapa yang melaksanakan upacara itu; apa pun yang dilakukan dalam hal ini adalah tanpa pengetahuan saya. Akibat daripada dakwaan tentang kejadian tersebut, Rumah Penganugerahan, dengan arahan saya, dirobohkan dengan serta-merta.
Sejauh undang-undang telah digubal oleh Kongres melarang perkahwinan jamak, yang mana undang-undang itu telah dinyatakan berdasarkan perlembagaan oleh mahkamah tinggi, saya dengan ini memaklumkan niat saya untuk tunduk pada undang-undang itu, dan untuk menggunakan pengaruh saya terhadap para anggota Gereja yang saya ketuai untuk menyuruh mereka melakukan yang sama.
Tidak ada apa pun dalam ajaran saya kepada Gereja atau dalam ajaran teman-teman sejawat saya, sepanjang tempoh waktu yang disebutkan, yang boleh sewajarnya ditafsirkan sebagai menggalak atau mendorong poligami; dan apabila sesiapa pun Penatua Gereja yang telah menggunakan bahasa yang kelihatannya menyampaikan sebarang ajaran yang sedemikian, dia telah ditegur dengan segera. Dan sekarang saya secara umumnya memaklumkan bahawa nasihat saya kepada Orang Suci Zaman Akhir adalah untuk menjauhkan diri dari mengadakan apa pun perkahwinan yang dilarang oleh undang-undang negara.
Wilford Woodruff
Presiden Gereja Yesus Kristus
Orang Suci Zaman Akhir.
Presiden Lorenzo Snow menyampaikan yang berikutnya:
“Saya mencadangkan bahawa, mengakui Wilford Woodruff sebagai Presiden Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, dan satu-satunya orang di atas bumi sekarang yang memegang kunci-kunci tatacara pemeteraian, kita menganggap dia diwenangkan berdasarkan jawatannya untuk mengeluarkan Manifesto yang telah dibacakan dalam pendengaran kita, dan yang bertarikh 24 September 1890, dan bahawasanya sebagai Gereja di dalam Persidangan Umum berhimpun, kita menerima maklumannya tentang perkahwinan jamak sebagai yang berkuasa dan sah.”
Salt Lake City, Utah, 6 Oktober 1890.
Petikan daripada tiga ucapan oleh
Presiden Wilford Woodruff
Berkenaan Manifesto
Tuhan tidak akan pernah mengizinkan saya atau sesiapa pun yang berdiri sebagai Presiden Gereja ini untuk menyesatkan anda. Itu bukanlah rancangannya. Itu tidak ada di dalam fikiran Tuhan. Jika saya cuba melakukannya, Tuhan akan mengeluarkan saya dari tempat saya, dan demikian juga akan Dia lakukan terhadap sesiapa pun yang cuba untuk menyesatkan anak-anak manusia dari wahyu Tuhan dan dari kewajipan mereka. (Konferensi Umum Setengah-Tahunan Gereja keenam puluh satu, Isnin, 6 Oktober 1890, Salt Lake City, Utah. Dilaporkan dalam Deseret Evening News, 11 Oktober 1890, hlm. 2.)
Tidak kisahlah siapa yang hidup atau siapa yang mati, atau siapa yang dipanggil untuk memimpin Gereja ini, mereka harus memimpinnya melalui ilham Tuhan Yang Maha Kuasa. Jika mereka tidak melakukannya dengan cara itu, mereka tidak dapat melakukannya sama sekali. …
Saya telah memperoleh beberapa wahyu baru-baru ini, dan yang sangat penting bagi saya, dan saya akan memberi tahu anda apa yang telah Tuhan firmankan kepada saya. Biarlah saya membawa fikiran anda pada apa yang diistilahkan sebagai manifesto. …
Tuhan telah memberitahu saya untuk menanyakan kepada Orang Suci Zaman Akhir satu pertanyaan, dan Dia juga memberitahu saya bahawa jika mereka akan mendengarkan pada apa yang saya katakan kepada mereka dan menjawab pertanyaan yang ditanyakan kepada mereka, oleh Roh dan kuasa Tuhan, mereka semua akan menjawab yang sama, dan mereka semua akan percaya yang sama berhubung dengan hal ini.
Inilah pertanyaannya: Yang manakah jalan yang paling bijak bagi Orang Suci Zaman Akhir untuk diikuti—meneruskan cubaan untuk mengamalkan perkahwinan jamak, dengan undang-undang negara ini menentangnya dan tentangan daripada enam puluh juta orang, dan dengan risiko penyitaan dan kehilangan semua Bait Suci, dan penamatan semua tatacara di dalamnya, baik bagi yang hidup mahupun yang mati, dan penahanan Presidensi Utama dan Dua Belas dan ketua-ketua keluarga di dalam Gereja, dan penyitaan harta-harta peribadi umat ini (yang mana semuanya ini akan menghentikan amalan itu); atau, setelah melalui dan menderita apa yang telah kita alami melalui kepatuhan kita pada asas ini untuk menghentikan amalan itu dan tunduk pada undang-undang, dan dengan melakukan demikian membiarkan para Nabi, Rasul dan ayah di rumah, supaya mereka dapat memberi tunjuk ajar kepada umat ini dan melaksanakan kewajipan Gereja, dan juga membiarkan Bait-bait Suci dalam tangan para Orang Suci, supaya mereka dapat melaksanakan tatacara-tatacara Injil, baik bagi yang hidup mahupun yang mati?
Tuhan telah menunjukkan kepada saya melalui penglihatan dan wahyu dengan tepat apa yang akan terjadi jika kita tidak menghentikan amalan ini. Jika kita tidak menghentikannya, anda tidak akan memerlukan … sesiapa pun lelaki di dalam bait suci di Logan ini; kerana semua tatacara akan dihentikan di seluruh negeri Sion. Kekacauan akan berkuasa di seluruh Israel, dan banyak lelaki akan dijadikan tahanan. Masalah ini akan datang ke atas seluruh Gereja, dan kita akan dipaksa untuk menghentikan amalan itu. Sekarang, persoalannya adalah, adakah ia harus dihentikan dengan cara ini, atau dengan cara yang telah Tuhan nyatakan kepada kita, dan membiarkan para Nabi dan Rasul dan ayah kita sebagai orang-orang yang bebas, dan bait-bait suci berada di dalam tangan umat ini, supaya yang mati boleh ditebus. Suatu jumlah roh yang besar telah dibebaskan dari penjara di dunia roh oleh umat ini, dan haruskah pekerjaan ini berterusan atau berhenti? Inilah pertanyaan yang saya sampaikan di hadapan para Orang Suci Zaman Akhir. Anda harus menilainya sendiri. Saya ingin anda untuk menjawabnya sendiri. Saya tidak akan menjawabnya; tetapi saya mengatakan kepada anda bahawa itulah keadaan yang akan di alami oleh kita sebagai sebuah umat jika kita tidak mengambil jalan yang telah kita ambil.
… Saya telah melihat apa yang akan betul-betul terjadi jika tiada sesuatu yang dilakukan. Saya telah sudah lama merasakan roh ini pada diri saya. Tetapi saya ingin mengatakan ini: Saya harus membiarkan semua bait suci terlepas daripada tangan kita; saya sendiri akan pergi ke penjara, dan membiarkan setiap lelaki yang lain pergi ke sana, sekiranya Tuhan syurgawi tidak memerintahkan saya untuk melakukan apa yang telah saya lakukan; dan apabila waktunya tiba bahawa saya diperintahkan untuk melakukannya, semuanya jelas bagi saya. Saya pergi ke hadapan Tuhan, dan saya menuliskan apa yang Tuhan beritahu untuk saya tuliskan. …
Saya meninggalkan ini bersama anda, untuk anda renungkan dan pertimbangkan. Tuhan sedang bekerja bersama kita. (Persidangan Pancang Cache, Logan, Utah, Minggu, 1 November 1891. Dilaporkan dalam Deseret Weekly, 14 November 1891.)
Sekarang, saya akan memberitahu Anda apa yang telah dinyatakan kepada saya dan apa yang Putera Tuhan laksanakan dalam hal ini. … Segala hal ini akan terjadi, sebagaimana Tuhan Yang Maha Kuasa hidup, sekiranya Manifesto itu tidak diberikan. Oleh kerana itu, Putera Tuhan merasa cenderung untuk menjadikan hal itu disampaikan kepada Gereja dan kepada dunia untuk tujuan dalam fikiran-Nya sendiri. Tuhan telah menetapkan penubuhan Sion. Dia telah menetapkan penyiapan bait suci ini. Dia telah menetapkan bahawa keselamatan dari yang hidup dan yang mati akan diberikan di lembah-lembah pegunungan ini. Dan Tuhan Yang Maha Kuasa menetapkan bahawa Iblis tidak akan menghalangnya. Jika anda dapat memahaminya, itulah kunci baginya. (Dari sebuah ucapan pada sesi keenam dari pembaktian Bait Suci Salt Lake, April 1893. Naskah petikan dari Upacara Pembaktian, Arkib, Bahagian Sejarah Gereja, Salt Lake City, Utah.)