Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 122


Bahagian 122

Firman Tuhan kepada Nabi Joseph Smith, semasa menjadi seorang tahanan di dalam penjara di Liberty, Missouri. Bahagian ini merupakan sebuah petikan dari sepucuk surat kepada Gereja bertarikh 20 Mac 1839 (lihat pengenalan untuk bahagian 121).

1–4, Hujung-hujung bumi akan bertanya tentang nama Joseph Smith; 5–7, Segala bahaya dan penderitaannya yang berat akan memberinya pengalaman dan demi kebaikannya; 8–9, Putera Manusia telah mengalami lebih teruk dari kesemuanya.

1 Hujung-hujung bumi akan bertanya tentang namamu, dan yang bodoh akan mengejek engkau, dan neraka akan mengamuk menentang engkau;

2 Sementara mereka yang murni hatinya, dan yang bijak, dan yang mulia, dan yang berhemah, akan mencari nasihat, dan wewenang, dan berkat-berkat secara berterusan dari tanganmu.

3 Dan umatmu tidak akan pernah berpaling menentang engkau melalui kesaksian para pengkhianat.

4 Dan walaupun pengaruh mereka akan pernah melemparkan engkau ke dalam kesusahan, dan ke dalam palang-palang besi dan dinding, engkau akan ditempatkan di dalam kehormatan; dan hanya untuk suatu saat yang kecil dan suaramu di tengah musuh-musuhmu akan lebih menakutkan daripada singa yang ganas, kerana kesolehanmu; dan Tuhanmu akan berdiri di sisimu selama-lamanya.

5 Jika engkau dipanggil untuk melalui kesengsaraan; jika engkau berada dalam bahaya di kalangan saudara-saudara yang tidak setia; jika engkau berada dalam bahaya di kalangan para perompak; jika engkau berada dalam bahaya di darat atau di laut;

6 Jika engkau dituduh dengan pelbagai tuduhan palsu; jika musuhmu menyerang engkau; jika mereka meragut engkau dari pangkuan ayah dan ibu dan adik-beradikmu; dan jika dengan sebilah pedang dihunuskan oleh musuhmu meragut engkau dari pelukan isterimu, dan dari anak-anakmu, dan anak lelakimu yang sulung, walaupun hanya berusia enam tahun, akan menggenggam erat pakaianmu, dan mengatakan, Ayahku, ayahku, mengapa engkau tidak tinggal bersama kami? Oh, ayahku, apakah yang akan dilakukan oleh orang-orang itu kepadamu? dan jika kemudian dia akan dipisahkan daripadamu dengan pedang, dan engkau diseret ke penjara, dan musuh-musuhmu berkeliaran di sekelilingmu bagaikan serigala demi darah anak domba;

7 Dan jika engkau akan dilemparkan ke dalam lubang, atau ke dalam tangan para pembunuh, dan hukuman mati dijatuhkan ke atas dirimu; jika engkau dilemparkan ke dalam laut dalam; jika ombak yang menggulung bersubahat melawan engkau; jika angin dahsyat menjadi musuhmu; jika langit mengumpulkan kegelapannya, dan semua unsur bergabung untuk menghalang jalan; dan lebih dari segalanya, jika rahang neraka akan menganga membuka mulut dengan luas terhadapmu, ketahuilah engkau, anak-Ku, bahawa semua hal ini akan memberi engkau pengalaman, dan akan menjadi kebaikanmu.

8 Putera Manusia telah mengalami lebih teruk dari kesemuanya. Adakah engkau lebih hebat daripada Dia?

9 Oleh kerana itu, bertahanlah pada jalanmu, dan imamat akan tetap bersamamu; kerana batas-batas mereka telah ditentukan, mereka tidak dapat melepasinya. Hari-harimu telah diketahui, dan riwayatmu tidak akan dipendekkan; oleh kerana itu, janganlah takut apa yang manusia dapat lakukan, kerana Tuhan akan bersamamu selama-lamanya.