Bahagian 14
Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith kepada David Whitmer, di Fayette, New York, Jun 1829. Keluarga Whitmer telah menjadi sangat tertarik pada penterjemahan Kitab Mormon. Nabi menjadikan rumah Peter Whitmer Sr., tempat tinggalnya, di mana dia tinggal sehingga pekerjaan penterjemahan dijalankan hingga selesai dan hak cipta kitab yang akan datang itu diperoleh. Tiga orang daripada anak-anak lelaki Whitmer, masing-masing telah menerima suatu kesaksian tentang keaslian pekerjaan itu, menjadi amat risau atas hal kewajipan individu mereka. Wahyu ini dan dua bahagian yang seterusnya (bahagian 15 dan 16) diberikan sebagai jawapan terhadap pertanyaan melalui Urim dan Tumim. David Whitmer kemudian menjadi salah seorang daripada Tiga Orang Saksi Kitab Mormon.
1–6, Para pekerja di dalam ladang anggur akan memperoleh keselamatan; 7–8, Kehidupan abadi adalah yang terbesar dari kurnia-kurnia Tuhan; 9–11, Kristus menciptakan langit dan bumi.
1 Suatu pekerjaan yang menakjubkan dan agung hampir tiba kepada anak-anak manusia.
2 Lihatlah, Aku ialah Tuhan; endahkanlah firman-Ku, yang hidup dan penuh kuasa, lebih tajam daripada sebilah pedang bermata dua, untuk pembelahan baik tulang sendi mahupun sumsum; oleh kerana itu endahkanlah firman-Ku.
3 Lihatlah, ladang telah memutih sedia dituai; oleh kerana itu, barang siapa berhasrat untuk menuai biarlah dia menghayunkan sabitnya dengan dayanya, dan menuai sementara hari masih ada, agar dia boleh menyimpan bagi jiwanya keselamatan abadi di dalam kerajaan Tuhan.
4 Ya, barang siapa akan menghayunkan sabitnya dan menuai, orang yang sama dipanggil oleh Tuhan.
5 Oleh kerana itu, jika kamu akan meminta daripada-Ku kamu akan menerima; jika kamu akan mengetuk akan dibukakan bagimu.
6 Usahakanlah untuk mewujudkan dan menegakkan Sion-Ku. Taatilah perintah-perintah-Ku dalam segala hal.
7 Dan, jika kamu mentaati perintah-perintah-Ku dan bertahan sampai akhir kamu akan memperoleh kehidupan kekal, iaitu kurnia yang terbesar dari segala kurnia Tuhan.
8 Dan akan terjadilah, bahawa jika kamu akan meminta kepada Bapa dalam nama-Ku, dalam iman percaya, kamu akan menerima Roh Kudus, yang memberikan pertuturan, agar kamu boleh berdiri sebagai seorang saksi tentang hal-hal yang akan kamu dengar dan juga lihat, dan juga agar kamu boleh memaklumkan pertaubatan kepada generasi ini.
9 Lihatlah, Aku ialah Yesus Kristus, Putera Tuhan yang hidup, yang menciptakan langit dan bumi, suatu cahaya yang tidak dapat disembunyikan dalam kegelapan;
10 Kerana itu, Aku mesti mendatangkan kegenapan Injil-Ku dari bangsa bukan Israel kepada bani Israel.
11 Dan lihatlah, engkau ialah David, dan engkau dipanggil untuk membantu; yang mana jika kamu lakukannya, dan setia, kamu akan diberkati baik secara rohani mahupun secara duniawi, dan besarlah ganjaranmu. Amin.