Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 17


Bahagian 17

Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith kepada Oliver Cowdery, David Whitmer, dan Martin Harris, di Fayette, New York, Jun 1829, sebelum mereka melihat kepingan-kepingan berukir yang mengandungi catatan Kitab Mormon. Joseph dan jurutulisnya, Oliver Cowdery, telah mendapat tahu dari terjemahan kepingan-kepingan Kitab Mormon bahawa tiga orang saksi istimewa akan dipilih (lihat Eter 5:2–4; 2 Nefi 11:3; 27:12). Oliver Cowdery, David Whitmer, dan Martin Harris digerakkan oleh suatu hasrat yang diilhami untuk menjadi tiga orang saksi istimewa itu. Nabi bertanya kepada Tuhan, dan wahyu ini diberikan sebagai jawapan melalui Urim dan Tumim.

1–4, Dengan iman Tiga Orang Saksi akan melihat kepingan-kepingan tersebut dan benda-benda kudus yang lain; 5–9, Kristus memberikan kesaksian terhadap keilahian Kitab Mormon.

1 Lihatlah, Aku berfirman kepadamu, bahawa kamu mesti bersandar pada firman-Ku, yang mana jika kamu lakukan dengan maksud hati yang sepenuhnya, kamu akan dapat melihat kepingan-kepingan itu, dan juga perisai dada, pedang Laban, Urim dan Tumim, yang diberikan kepada saudara lelaki Yared di atas gunung, semasa dia berbicara dengan Tuhan secara bersemuka, dan alat-alat penunjuk ajaib yang diberikan kepada Lehi semasa berada di padang belantara, di persempadanan Laut Merah.

2 Dan adalah dengan imanmu bahawa kamu akan dapat melihatnya, bahkan dengan iman yang dimiliki oleh para nabi zaman dahulu.

3 Dan setelah kamu mendapatkan iman, dan telah melihatnya dengan matamu, kamu akan bersaksi tentangnya, melalui kuasa Tuhan;

4 Dan kamu akan melakukan ini agar hamba-Ku Joseph Smith Jr., tidak dihancurkan, agar Aku boleh membawakan tujuan-Ku yang benar kepada anak-anak manusia dalam pekerjaan ini.

5 Dan kamu akan bersaksi bahawa kamu telah melihatnya, bahkan seperti hamba-Ku Joseph Smith Jr., telah melihatnya; kerana adalah melalui kuasa-Ku dia telah melihatnya, dan ini adalah kerana dia memiliki iman.

6 Dan dia telah menterjemahkan kitab itu, bahkan bahagian itu yang telah Aku perintahkan kepadanya, dan seperti mana Tuhanmu dan Rajamu hidup ia adalah benar.

7 Kerana itu, kamu telah menerima kuasa yang sama, dan iman yang sama, dan kurnia yang sama seperti dia;

8 Dan jika kamu melakukan perintah-perintah terakhir milik-Ku ini, yang telah Aku berikan kepadamu, pintu-pintu gerbang neraka tidak akan berjaya melawanmu; kerana rahmat-Ku cukup bagimu, dan kamu akan diangkat pada hari terakhir.

9 Dan Aku, Yesus Kristus, Tuhanmu dan Rajamu, telah memfirmankannya kepadamu, agar Aku boleh membawakan tujuan-Ku yang benar kepada anak-anak manusia. Amin.