Bahagian 70
Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith, di Kirtland, Ohio, 12 November 1831. Sejarah Nabi menyatakan bahawa empat persidangan khusus diadakan dari 1 sehingga 12 November. Pada akhir perhimpunan-perhimpunan ini, kepentingan wahyu yang kemudiannya akan diterbitkan sebagai Book of Commandments (Kitab Perintah) dan kemudiannya Ajaran dan Perjanjian dipertimbangkan. Wahyu ini telah diberikan setelah persidangan mengundi bahawa wahyu tersebut adalah “lebih berharga dari kekayaan seluruh bumi.” Sejarah Joseph Smith merujuk padanya sebagai “landasan Gereja pada zaman akhir ini, dan suatu manfaat bagi dunia, memperlihatkan bahawa kunci misteri-misteri kerajaan Juruselamat kita telah dipercayakan kembali kepada manusia.”
1–5, Petugas pengawasan ditetapkan untuk menerbitkan wahyu-wahyu tersebut; 6–13, Mereka yang bekerja dalam hal-hal rohani layak untuk menerima upah mereka; 14–18, Para Orang Suci haruslah sama rata dalam hal-hal duniawi.
1 Lihatlah, dan dengarlah, Wahai kamu para penduduk Sion, dan kamu semua umat gereja-Ku yang berada jauh, dan dengarlah firman Tuhan yang Aku berikan kepada hamba-Ku Joseph Smith Jr. dan juga kepada hamba-Ku Martin Harris, dan juga kepada hamba-Ku Oliver Cowdery, dan juga kepada hamba-Ku John Whitmer, dan juga kepada hamba-Ku Sidney Rigdon, dan juga kepada hamba-Ku William W. Phelps, dengan cara perintah kepada mereka.
2 Kerana Aku memberikan kepada mereka sebuah perintah; kerana itu dengarkanlah, kerana demikianlah firman Tuhan kepada mereka—
3 Aku, Tuhan, telah menetapkan mereka, dan menahbiskan mereka untuk menjadi petugas pengawasan ke atas wahyu dan perintah-perintah yang telah Aku berikan kepada mereka, dan yang selepas ini akan Aku berikan kepada mereka;
4 Dan sebuah laporan tentang tugas pengawasan ini akan Aku tuntut daripada mereka pada hari penghakiman.
5 Kerana itu, Aku telah menetapkan kepada mereka, dan inilah urusan mereka di dalam gereja Tuhan, untuk menguruskannya dan hal-halnya, ya, keuntungan darinya.
6 Kerana itu, sebuah perintah Aku berikan kepada mereka, agar mereka tidak akan memberikan hal-hal ini kepada gereja, tidak juga kepada dunia.
7 Walaupun demikian, sejauh mereka menerima lebih daripada yang diperlukan untuk keperluan asas mereka dan keinginan mereka, ianya akan disimpan ke dalam gudang penyimpanan-Ku;
8 Dan keuntungan itu harus dibaktikan bagi para penduduk Sion, dan untuk generasi-generasi mereka, sejauh mereka menjadi para pewaris menurut hukum-hukum kerajaan.
9 Lihatlah, inilah yang Tuhan tuntut daripada setiap orang dalam pengawasannya, bahkan seperti Aku, Tuhan, telah tetapkan atau akan tetapkan selepas ini kepada sesiapa pun.
10 Dan lihatlah, tiada seorang pun dikecualikan dari hukum ini yang termasuk di dalam gereja Tuhan yang hidup;
11 Ya, tidak juga uskup, tidak juga wakil yang mengawasi gudang penyimpanan Tuhan, tidak juga dia yang ditetapkan dalam tugas pengawasan ke atas hal-hal yang duniawi.
12 Dia yang telah ditetapkan untuk menguruskan hal-hal rohani, orang yang sama itu layak menerima upahnya, bahkan seperti mereka yang telah ditetapkan untuk tugas pengawasan bagi menguruskan hal-hal duniawi;
13 Ya, bahkan dengan lebih berlimpah-limpah, yang mana kelimpahan itu dilipatgandakan kepada mereka melalui pernyataan Roh.
14 Walaupun demikian, dalam hal-hal duniawimu kamu haruslah sama rata, dan bukan dengan berat hati, jika tidak kelimpahan pernyataan Roh akan ditahan.
15 Sekarang, perintah ini Aku berikan kepada para hamba-Ku demi manfaat mereka sementara mereka masih tinggal, untuk pernyataan berkat-berkat-Ku ke atas kepala mereka, dan untuk ganjaran bagi ketekunan mereka dan bagi keselamatan mereka.
16 Untuk makanan dan untuk pakaian; untuk warisan; untuk rumah dan untuk tanah, dalam keadaan apa pun Aku, Tuhan, akan tempatkan mereka, dan ke mana pun Aku, Tuhan, akan mengutuskan mereka.
17 Kerana mereka telah setia dalam banyak hal, dan telah melakukan dengan baik sejauh mereka tidak berdosa.
18 Lihatlah, Aku, Tuhan, penuh berbelas kasihan dan akan memberkati mereka, dan mereka akan masuk ke dalam kebahagiaan hal-hal ini. Demikianlah. Amin.