Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 85


Bahagian 85

Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith, di Kirtland, Ohio, 27 November 1832. Bahagian ini adalah petikan dari sepucuk surat Nabi kepada William. W. Phelps, yang tinggal di Independence, Missouri. Ia menjawab pertanyaan-pertanyaan tentang para Orang Suci yang telah berpindah ke Sion tetapi belum mengikuti perintah untuk membaktikan harta-harta dan demikian belum menerima warisan mereka menurut aturan yang ditegakkan di dalam Gereja.

1–5, Warisan-warisan di Sion diterima melalui pembaktian; 6–12, Seseorang yang perkasa dan kuat akan memberikan kepada para Orang Suci warisan mereka di Sion.

1 Adalah menjadi kewajipan kerani Tuhan, yang telah Dia lantik, untuk menyimpan sejarah, dan catatan umum gereja tentang segala hal yang terjadi di Sion, dan tentang mereka semua yang membaktikan harta, dan menerima warisan secara sah daripada uskup;

2 Dan juga cara hidup mereka, iman, dan pekerjaan mereka; dan juga tentang orang-orang yang murtad selepas menerima warisan mereka.

3 Adalah bertentangan dengan kehendak dan perintah Tuhan bahawa mereka yang tidak menerima warisan mereka melalui pembaktian, selaras dengan hukum-Nya, yang telah Dia berikan, agar Dia boleh melaksanakan persepuluhan terhadap umat-Nya, untuk menyediakan mereka menghadapi hari pembalasan dan pembakaran, untuk mendapati nama mereka terdaftar bersama umat Tuhan.

4 Tidak juga salasilah mereka disimpan, atau ditempatkan di mana ia boleh ditemui pada apa-apa pun catatan atau sejarah gereja.

5 Nama mereka tidak akan ditemui, tiada juga nama nenek moyang, tiada juga nama anak-anak tertulis dalam kitab hukum Tuhan, firman Tuhan Semesta Alam.

6 Ya, demikianlah kata suara kecil yang lembut, yang berbisik melalui dan menusuk segala sesuatu, dan sering kali membuatkan tulang-tulangku bergegar semasa ia menyatakan dirinya, memfirmankan:

7 Dan akan terjadilah bahawa Aku, Tuhan Raja, akan mengutuskan seseorang yang perkasa dan kuat, memegang cokmar kekuasaan dalam tangannya, dibaluti cahaya sebagai pelindung, yang mulutnya akan menyuarakan perkataan, perkataan-perkataan abadi; sementara sanubarinya akan menjadi sumber kebenaran, untuk mengaturkan rumah Tuhan, dan untuk menyusun warisan para Orang Suci yang namanya ditemui menurut bidang, dan nama nenek moyang mereka, dan anak-anak mereka, terdaftar di dalam kitab hukum Tuhan.

8 Sementara orang itu, yang dipanggil oleh Tuhan dan ditetapkan, yang menghulurkan tangannya untuk menahan tabut Tuhan, akan dijatuhkan oleh panah kematian, bagaikan sebatang pokok yang disambar oleh panahan kilat yang benderang.

9 Dan mereka semua yang tidak didapati tertulis di dalam kitab kenangan tidak akan mendapatkan apapun warisan pada hari itu, tetapi mereka akan dihukum, dan mereka akan ditetapkan di kalangan orang-orang yang tidak percaya, di mana terdapatnya ratapan dan kertakan gigi.

10 Hal-hal ini bukan aku katakan daripada diriku sendiri; oleh kerana itu, sebagaimana Tuhan firmankan, Dia juga akan menggenapi.

11 Dan mereka yang dari Imamat Tinggi, yang nama-namanya tidak didapati tertulis di dalam kitab hukum, atau yang didapati telah murtad, atau telah disingkirkan dari gereja, seperti juga imamat yang lebih rendah, atau para anggota, pada hari itu tidak akan mendapatkan warisan di kalangan para orang suci Yang Maha Tinggi;

12 Oleh kerana itu, ia akan dilakukan kepada mereka seperti kepada anak-anak imam, seperti yang akan ditemui tercatat di dalam bab kedua Ezra dan ayat keenam puluh satu dan dua.