Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 86


Bahagian 86

Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith, di Kirtland, Ohio, 6 Disember 1832. Wahyu ini diterima semasa Nabi sedang mengkaji semula dan menyunting naskah terjemahan Alkitab.

1–7, Tuhan memberikan maksud perumpamaan tentang gandum dan lalang; 8–11, Dia menjelaskan berkat-berkat imamat kepada mereka yang merupakan para pewaris sah menurut darah daging.

1 Sesungguhnya, demikianlah firman Tuhan kepadamu para hamba-Ku, mengenai perumpamaan tentang gandum dan lalang:

2 Lihatlah, sesungguhnya Aku berfirman, ladang adalah dunia, dan para rasul adalah penabur benih;

3 Dan selepas mereka tertidur penganiaya besar gereja, orang murtad, pelacur, bahkan Babilon, yang membuatkan semua bangsa minum dari cawannya, yang berada di dalam hatinya si musuh, bahkan Setan, duduk untuk memerintah—lihatlah dia menabur lalang; kerana itu, lalang menghimpit gandum dan menghalau gereja ke padang belantara.

4 Tetapi lihatlah, pada zaman terakhir, bahkan sekarang sementara Tuhan mula untuk membawakan firman, dan daunnya tumbuh dan masih lembut—

5 Lihatlah, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, para malaikat berseru kepada Tuhan siang dan malam, yang bersedia dan menunggu untuk diutuskan untuk menuai ladang;

6 Tetapi Tuhan berfirman kepada mereka, janganlah mencabut lalang semasa daunnya masih lembut (kerana sesungguhnya imanmu lemah), agar jangan kamu menghancurkan gandumnya juga.

7 Oleh kerana itu, biarlah gandum dan lalang tumbuh bersama sehingga tuaian matang sepenuhnya; kemudian pertama-tama kamu harus mengumpulkan gandum di kalangan lalang, dan selepas pengumpulan gandum, lihat dan tengoklah, lalang diikat di dalam berkas-berkas, dan ladang itu tinggal untuk dibakar.

8 Oleh kerana itu, demikianlah firman Tuhan kepadamu, dengan siapa imamat telah diteruskan melalui keturunan nenek moyangmu—

9 Kerana kamu ialah para pewaris sah, menurut darah daging, dan telah disembunyikan dari dunia bersama Kristus di dalam Tuhan—

10 Oleh kerana itu kehidupanmu dan imamat tetap tinggal, dan haruslah tetap tinggal melalui kamu dan keturunanmu sehingga pemulihan segala hal yang dibicarakan oleh mulut semua nabi kudus sejak dunia bermula.

11 Oleh kerana itu, diberkatilah kamu jika kamu meneruskan dalam kebaikan-Ku, suatu cahaya bagi bangsa bukan Israel, dan melalui imamat ini, seorang penyelamat bagi umat-Ku Israel. Tuhan telah memfirmankannya. Amin.