Bahagian 89
Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith, di Kirtland, Ohio, 27Â Februari 1833. Disebabkan dahulu para saudara menggunakan tembakau di dalam pertemuan-pertemuan mereka, menyebabkan Nabi untuk merenungkan tentang masalah itu; akibatnya, dia bertanya kepada Tuhan mengenainya. Wahyu ini, yang dikenali sebagai Kata-kata Bijaksana, merupakan hasilnya.
1–9, Penggunaan wain, minuman keras, tembakau, dan minuman panas dilarang; 10–17, Tumbuhan herba, buah-buahan, daging, dan bijirin ditetapkan untuk kegunaan manusia dan haiwan; 18–21, Kepatuhan pada hukum Injil, termasuk Kata-kata Bijaksana, membawakan berkat-berkat duniawi dan rohani.
1 Suatu Kata-kata Bijaksana, demi manfaat majlis imam tinggi, yang dihimpunkan di Kirtland, dan gereja, dan juga para orang suci di Sion—
2 Dikirimkan sebagai salam; bukan sebagai perintah atau desakan, tetapi melalui wahyu dan kata-kata bijaksana, menunjukkan tarekat dan kehendak Tuhan dalam keselamatan duniawi semua orang suci pada zaman akhir—
3 Diberikan sebagai suatu asas dengan janji, disesuaikan dengan kemampuan yang lemah dan yang paling lemah daripada semua orang suci, yang merupakan atau boleh dipanggil orang suci.
4 Lihatlah, sesungguhnya, demikianlah firman Tuhan kepadamu: Disebabkan kejahatan dan rancangan yang ada dan akan ada di dalam hati orang-orang jahat yang bersubahat pada zaman akhir, Aku telah memperingatkanmu, dan memperingatkanmu sebelumnya, dengan memberikan kepadamu kata-kata bijaksana ini melalui wahyu—
5 Agar sejauh sesiapa pun minum wain atau minuman keras di antara kamu, lihatlah ianya tidak baik, tidak juga baik pada pandangan Bapamu, kecuali dalam berhimpun bersama untuk mempersembahkan sakramenmu di hadapan-Nya.
6 Dan, lihatlah, ini seharusnya wain, ya, wain murni dari buah pokok anggur, buatanmu sendiri.
7 Dan, lagi, minuman keras bukanlah untuk perut, tetapi untuk mencuci tubuhmu.
8 Dan lagi, tembakau bukanlah untuk tubuh, tidak juga untuk perut, dan tidaklah baik untuk manusia, tetapi ia adalah tumbuhan herba untuk lebam-lebam dan semua haiwan ternakan yang sakit, untuk digunakan dengan pertimbangan dan kemahiran.
9 Dan lagi, minuman panas bukanlah untuk tubuh atau perut.
10 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, semua tumbuhan herba yang menyihatkan telah Tuhan tetapkan sebagai kesejahteraan, fitrah, dan penggunaan manusia—
11 Setiap tumbuhan herba semasa musimnya, dan setiap buah semasa musimnya; semua ini untuk digunakan dengan kebijaksanaan dan kesyukuran.
12 Ya, juga daging binatang dan burung-burung di udara, Aku, Tuhan, telah tetapkan untuk kegunaan manusia dengan kesyukuran; walaupun demikian ia harus diambil dengan jarang-jarang.
13 Dan adalah menyenangkan bagi-Ku bahawa ianya tidak diambil, kecuali semasa musim sejuk, atau untuk cuaca sejuk, atau bencana kebuluran.
14 Semua bijirin ditetapkan untuk kegunaan manusia dan binatang, untuk menjadi tongkat kehidupan, bukan hanya untuk manusia tetapi untuk binatang-binatang di ladang, dan burung di langit, dan segala haiwan liar yang berlari atau merayap di atas bumi;
15 Dan semua ini telah Tuhan jadikan untuk kegunaan manusia hanya pada waktu bencana kebuluran dan kelaparan yang berlebihan.
16 Semua bijirin adalah baik untuk makanan manusia; seperti juga buah dari tanaman; yang menghasilkan buah, sama ada di dalam tanah atau di atas tanah—
17 Walaupun demikian, gandum untuk manusia, dan jagung untuk lembu, dan oat untuk kuda, dan rumput rai untuk burung-burung dan khinzir, dan untuk semua binatang di ladang, dan barli untuk semua haiwan yang berguna, dan untuk minuman ringan, seperti juga bijirin-bijirin lain.
18 Dan semua orang suci yang ingat untuk mentaati dan melakukan firman ini, berjalan dalam kepatuhan pada perintah-perintah, akan menerima kesihatan pada pusat dan tulang sumsum mereka;
19 Dan akan menemui kebijaksanaan dan harta pengetahuan yang besar, bahkan harta-harta yang tersembunyi;
20 Dan akan berlari dan tidak letih, dan akan berjalan dan tidak lemah.
21 Dan Aku, Tuhan, memberi kepada mereka sebuah janji, bahawa malaikat kehancuran akan melepasi mereka, seperti anak-anak Israel, dan tidak membunuh mereka. Amin.