Tiada Kegembiraan Lebih Daripada Mengetahui Bahawa Anak-anak Mengenali Juruselamat
Saya tidak tahu apa lagi di dunia ini yang boleh membawa kegembiraan dan keriangan yang lebih selain daripada mengetahui bahawa anak-anak kita mengenali Juruselamat.
Saudara dan saudari, baru-baru ini saya telah merenungkan soalan ini: “Jika kesemua pengetahuan anak-anak anda mengenai Injil datang dari anda—sebagai satu-satunya sumber mereka—berapa banyakkah yang mereka akan ketahui?” Soalan ini berkenaan dengan semua yang mengasih, menasihat, dan mempengaruhi kanak-kanak.
Apakah hadiah hebat yang kita boleh berikan kepada anak-anak kita selain daripada ingatan mendalam bahawa kita tahu Sang Penebus hidup? Adakah mereka ketahui apa yang kita ketahui? Dan paling pentingnya, sudahkah mereka ketahui untuk diri sendiri bahawa Dia hidup?
Ketika saya muda, sayalah anak ibu yang paling susah untuk dibesarkan. Saya punyai tenaga yang banyak. Ibu memberitahu bahawa perkara yang paling ditakutkan ialah jika kehidupan saya tidak mencapai kedewasaan. Saya terlalu aktif.
Saya ingati ketika kecil duduk bersama keluarga dalam satu pertemuan Sakramen. Ibu saya baru sahaja menerima satu set kitab suci baru. Set baru ini menggabungkan semua tulisan suci ke dalam satu buku, dan di tengah-tengahnya terdapat kertas bergaris untuk tulisan nota.
Ketika pertemuan itu, saya bertanya jika saya boleh memegang kitab sucinya. Dengan harapan agar ia menggalakkan ketakziman saya, ibu pun memberinya kepada saya. Sambil saya meneliti kitab sucinya, saya perasan bahawa dia telah menulis matlamat peribadinya di bahagian nota itu. Untuk memberi pemahaman matlamatnya itu, saya mesti memberitahu anda bahawa saya anak kedua dalam enam adik beradik dan nama saya ialah Brett. Ibu saya telah menulis, dengan pen merah, hanya satu matlamat: “Kesabaran terhadap Brett!”
Sebagai bukti lebih agar anda fahami cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa saya dalam membesarkan keluarga kami, biarlah saya berkongsi dengan anda mengenai pembacaan kitab suci keluarga kami. Setiap pagi, ibu saya membaca Kitab Mormon kepada kami semasa bersarapan. Pada masa ini, abang saya, Dave, dan saya akan duduk diam tetapi tidak berketakziman. Secara jujurnya, kami langsung tidak mendengar. Kami sedang membaca tulisan pada kotak-kotak bijiran.
Akhirnya, satu pagi, saya membuat keputusan untuk menghadapi ibu saya. Saya berseru, “Ibu, mengapa melakukan ini kepada kami? Mengapa ibu membaca dari Kitab Mormon setiap pagi?” Kemudiannya saya membuat kenyataan yang saya malu untuk akui. Hakikatnya, saya tidak percaya saya betul-betul menyatakannya. Saya memberitahunya, “Ibu, saya tidak mendengar!”
Balasan penuh kasihnya merupakan saat yang penting dalam kehidupan saya. Dia berkata, “Anak, saya telah menghadiri satu pertemuan di mana Presiden Marion G. Romney telah mengajar mengenai berkat-berkat daripada pembacaan tulisan suci. Ketika pertemuan ini, saya menerima satu janji bahawa jika saya membaca Kitab Mormon kepada anak-anak saya setiap hari, saya tidak akan kehilangan mereka.” Dia melihat terus kepada saya dan, dengan penuh azam, berkata, “Dan saya tidak akan kehilangan kamu!”
Kata-katanya menusuk hati saya. Walau apa pun ketidaksempurnaan saya, saya layak diselamatkan! Dia telah mengajar saya kebenaran abadi bahawa saya anak terkasih Bapa Syurgawi. Saya pelajari bahawa tidak kira apa jua keadaannya, saya cukup bernilai. Ini merupakan saat yang sempurna untuk seorang budak kecil yang tidak sempurna.
Saya bersyukur kepada ibu saya dan kepada semua malaikat-malaikat yang mengasihi kanak-kanak dengan sempurnanya, walau apa pun ketidaksempurnaan mereka. Saya percaya kukuh bahawa semua saudari—saya akan memanggil mereka “malaikat”—merupakan ibu-ibu Sion, tidak kira jika mereka telah berkahwin atau melahirkan anak di pengalaman dunia ini.
Bertahun-tahun dahulu Presidensi Utama telah mengisytiharkan: “Keibuan berhampiran keilahian. Ia merupakan layanan tertinggi, terkudus yang boleh disandang oleh manusia. Mereka yang menghormati panggilan kudus dan layanan ini menjadikan mereka setaraf dengan malaikat.”1
Saya bersyukur kepada para malaikat di seluruh Gereja yang mengisytiharkan kebenaran abadi dengan berani dan penuh kasih kepada anak-anak Bapa Syurgawi.
Saya bersyukur dengan kurniaan Kitab Mormon. Saya tahu bahawa ia benar! Ia mengandungi kegenapan Injil Yesus Kristus. Saya tidak ketahui seorang pun yang telah kehilangan kesaksian dan meninggalkan gereja akibat pembacaan Kitab Mormon sehari-hari dengan ikhlas dan kepercayaannya kepada Kristus. Janjian nabi Moroni memberi kunci kebenaran dalam segala hal—termasuklah kebolehan untuk membeza dan mengelak penipuan musuh. (Lihat Moroni 10:4–5.)
Saya juga bersyukur kepada Bapa Syurgawi yang penyayang dan Putera-Nya, Yesus Kristus. Juruselamat telah menyediakan teladan yang sempurna untuk hidup dalam dunia yang tidak sempurna. “Kita mengasihi Dia kerana Dia mengasihi kita terdahulu” (1 Yohanes 4:19). Kasih sayang-Nya terhadap kita tidak tersukat. Dialah sahabat yang paling ikhlas. Dia berpeluhkan titisan darah hebat untuk anda dan juga saya (Lukas 22:44). Dia mengampuni mereka yang lahiriah tidak boleh diampuni. Dia mengasihi mereka yang tidak boleh dikasihi. Dia melakukan sesuatu yang tiada manusia boleh lakukan: Dia menyediakan Korban Tebusan untuk mengatasi pelanggaran, kesakitan, dan penyakit kaum manusia.
Oleh kerana Korban Tebusan Yesus Kristus, kita boleh hidup dengan janji bahawa tidak kira apa pun kesusahan kita, kita akan sentiasa berharapan terhadap Dia, “yang perkasa untuk menyelamatkan” (2 Nefi 31:19). Oleh kerana Korban Tebusan-Nya, kita memperoleh keriangan, kedamaian, kegembiraan, dan kehidupan abadi.
Presiden Boyd K. Packer menyatakan: “Kecualilah segelintir mereka yang dalam kebinasaan, tiada tabiat, tiada ketagihan, tiada pemberontakan, tiada pelanggaran, tiada kemurtadan, tiada jenayah yang dikecualikan daripada janji pengampunan sepenuh. Itulah janji korban tebusan Kristus.”2
Satu-satunya peristiwa terhebat dalam sejarah manusia ialah lawatan pelayanan Juruselamat kepada penduduk purba Amerika. Bayangkanlah dalam minda anda bagaimanakah perasaan kita semasa itu. Sambil saya merenungkan kasih dan perhatian-Nya terhadap kumpulan Orang Suci yang berada di bait suci, saya telah membayangkan setiap anak yang saya amat kasihi. Saya telah cuba untuk membayangkan bagaimana perasaan saya untuk melihat anak-anak kecil kami, bersaksi dengan sendiri apabila Juruselamat menjemput setiap kanak untuk datang kepada-Nya, menyaksikan tangan Juruselamat yang terbuka, untuk berdiri bersebelahan setiap kanak, satu demi satu, merasai parut di tangan dan kaki-Nya, dan melihat setiap satu berdiri dan memberi saksi bahawa Dia hidup! (Lihat3 Nefi 11:14 -17; lihat juga 17:21; 18:25.) Untuk anak-anak kita berpaling dan berkata, “Ibu, Ayah, itu Dia!”
Saya tidak tahu apa di dunia ini yang akan memberi kegembiraan dan keriangan yang lebih selain daripada mengetahui bahawa anak-anak kita mengenali Juruselamat, untuk mengetahui apa yang mereka ketahui “kepada punca mana mereka dapat berpaling bagi pengampunan dosa-dosa mereka.” Itulah sebab mengapa, sebagai ahli Gereja, “kita mengkhutbahkan berkenaan Kristus” dan kita bersaksi berkenaan Kristus (2 Nefi 25:26).
-
Itulah sebab mengapa kita berdoa bersama anak-anak kita setiap hari.
-
Itulah sebab mengapa kita membaca kitab suci bersama mereka setiap hari.
-
Itulah sebab mengapa kita mengajar mereka untuk melayan sesama, supaya mereka boleh menuntut berkat-berkat dengan menjumpai diri apabila mereka berada dalam pelayanan sesama (lihat Markus 8:35;Mosia 2:17).
Apabila kita menumpukan diri kepada corak penganutan yang mudah ini, kita memperkasakan anak-anak kita dengan kasih Juruselamat dan dengan arahan dan perlindungan ilahi apabila mereka menghadapi cabaran yang menggoda.
Injil sememangnya untuk seseorang. Ia mengenai satu domba yang hilang (lihat Lukas 15:3–7); ia mengenai satu wanita Samaria di perigi (lihat Yohanes 4:5–30); ia mengenai satu anak yang terhilang (lihat Lukas 15:11–32).
Dan ia mengenai seorang kanak lelaki yang tidak mendengar.
Ia mengenai setiap kita—setidak sempurnanya kita—menjadi satu dengan Juruselamat sepertimana Dia satu bersama Bapa-Nya (lihat Yohanes 17:21).
Saya bersaksi bahawa kita mempunyai Bapa Syurgawi yang penyayang, yang kenali nama setiap kita! Saya bersaksi bahawa Yesus Kristus ialah Putera Tuhan yang hidup. Dialah Anak Yang Tunggal dan Pembela kita dengan Bapa. Seterusnya saya bersaksi bahawa keselamatan datang dari dan melalui nama-Nya—dan tiada cara lain.
Adalah doa saya agar kita menumpukan hati dan tenaga untuk membantu anak-anak Bapa Syurgawi mengenali dan merasai kasih-Nya. Apabila kita melakukannya, Dia menjanjikan kita keriangan dan kegembiraan abadi di dunia ini dan dunia yang akan datang. Dalam nama Yesus Kristus, amin.