“Adakah Gereja akan mengubah ajarannya dan membenarkan perkahwinan sesama jenis?” Tarikan Sesama Jenis: Pemimpin-pemimpin Gereja (2020)
“Adakah Gereja akan mengubah ajarannya dan membenarkan perkahwinan sesama jenis?” Tarikan Sesama Jenis: Pemimpin-pemimpin Gereja
Adakah Gereja akan mengubah ajarannya dan membenarkan perkahwinan sesama jenis?
Ajaran Perkahwinan adalah Abadi
Sebagai matlamat utama dalam rancangan Tuhan, ajaran mengenai perkahwinan antara lelaki dengan wanita merupakan ajaran Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir yang penting dan tidak akan berubah:
“Sebagai asas ajaran, berdasarkan kitab suci, Gereja menegaskan bahawa perkahwinan antara seorang lelaki dengan seorang wanita adalah sangat penting terhadap rancangan Pencipta untuk takdir abadi anak-anak-Nya. Gereja juga menegaskan bahawa hukum Tuhan mendefinisikan perkahwinan sebagai penyatuan yang sah dan mengikut undang-undang antara seorang lelaki dengan seorang wanita.
“Hanya seorang lelaki dan seorang wanita yang telah menjadi suami isteri secara sah dan mengikut undang-undang yang boleh melakukan hubungan seksual. Apa-apa hubungan seksual yang lain, termasuk hubungan antara orang sesama jenis, adalah berdosa dan merosakkan institusi keluarga yang diciptakan ilahi” (“Same-Sex Marriage”, General Handbook: Serving in The Church of Jesus Christ of Latter-day Saints, 38.6.13).
Sampaikan Ajaran dengan Kasih
Tidak ada perubahan dalam pendirian Gereja tentang perkara yang betul dari segi moral. Tetapi perkara yang berubah—dan perkara yang perlu diubah—adalah untuk membantu ahli-ahli Gereja bertindak balas secara sensitif dan bijaksana ketika mereka menemui tarikan sesama jenis dalam keluarga mereka sendiri, antara ahli-ahli Gereja lain atau di tempat lain (lihat Dallin H. Oaks, “What Needs to Change”, ChurchofJesusChrist.org).
Perkahwinan ialah bahagian penting dalam rancangan Tuhan untuk kebahagiaan kita. Perkahwinan abadi antara seorang lelaki dengan seorang wanita adalah penting (pada suatu ketika) dalam kemajuan kita untuk mencapai permuliaan, suatu keadaan yang ditakrifkan sebagai menjalani jenis kehidupan yang dinikmati oleh Ibu Bapa Syurgawi kita sekarang.
“Di dalam kemuliaan selestial ada tiga syurga atau tingkat; dan untuk mendapatkan yang paling tinggi, seseorang itu mesti masuk ke dalam tarekat keimamatan ini [bermaksud perjanjian perkahwinan yang baru dan kekal]; dan jika dia tidak melakukannya, dia tidak boleh mendapatkannya. Dia boleh masuk ke dalam yang lain, tetapi itu adalah kerajaannya yang muktamad; dia tidak dapat memperoleh peningkatan” (Ajaran dan Perjanjian 131:1–4).