Bahagian 113
Jawapan terhadap persoalan-persoalan tertentu tentang tulisan Yesaya, diberikan oleh Nabi Joseph Smith, di atau berdekatan Far West Missouri, Mac 1838.
1–6, Tunggul Isai, tunas yang tumbuh darinya, dan akar Isai dikenalpasti; 7–10, Lebihan keturunan Sion yang tercerai-berai memiliki hak ke atas imamat dan dipanggil untuk kembali kepada Tuhan.
1 Siapakah Tunggul Isai yang dibicarakan dalam ayat ke-1, 2, 3, 4, dan 5 dalam Yesaya bab ke-11?
2 Sesungguhnya demikianlah firman Tuhan: Itu ialah Kristus.
3 Apakah tunas yang dibicarakan dalam ayat pertama bab ke-11 dari Yesaya, yang akan tumbuh dari Tunggul Isai?
4 Lihatlah, demikianlah firman Tuhan: Dia ialah seorang hamba dalam tangan Kristus, yang separuhnya berketurunan Isai dan separuh dari Efraim, atau dari bani Yusuf, yang di dalamnya terletak banyak kuasa.
5 Apakah akar Isai yang dibicarakan dalam ayat ke-10 bab ke-11?
6 Lihatlah, demikianlah firman Tuhan, itu ialah keturunan Isai, juga keturunan Yusuf, kepadanya imamat adalah kepunyaannya secara sah, dan kunci-kunci kerajaan, untuk sebuah panji, dan untuk pengumpulan umat-Ku pada zaman akhir.
7 Soalan-soalan oleh Elias Higbee: Apakah yang dimaksudkan dengan perintah di dalam Yesaya, bab ke-52, ayat ke-1, yang mengatakan: Kenakanlah pakaian kebesaranmu, Wahai Sion—dan umat manakah yang dirujuk oleh Yesaya?
8 Dia merujuk kepada mereka yang akan Tuhan panggil pada zaman akhir, yang akan memegang kuasa imamat untuk membawa Sion kembali, dan penebusan Israel; dan mengenakan pakaian kebesarannya adalah mengenakan wewenang imamat, yang dia, Sion, miliki haknya melalui garis keturunan; juga untuk kembali pada kuasa itu yang telah hilang daripadanya.
9 Apa yang mesti kita fahami apabila Sion melepaskan dirinya dari ikatan di lehernya; ayat ke-2?
10 Kita mesti memahami bahawa lebihan keturunan yang tercerai-berai didorong untuk kembali kepada Tuhan dari tempat mereka telah jatuh; yang mana jika mereka melakukannya, janji Tuhan adalah bahawa Dia akan berfirman kepada mereka, atau memberikan mereka wahyu. Lihat ayat ke-6, 7, dan 8. Ikatan di lehernya adalah kutukan Tuhan ke atasnya, atau sisa bani Israel dalam keadaan mereka yang tercerai-berai di kalangan bangsa bukan Israel.