Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 36


Bahagian 36

Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith kepada Edward Partridge, berdekatan dengan Fayette, New York, 9 Disember 1830 (lihat pengenalan untuk bahagian 35). Sejarah Joseph Smith menyatakan bahawa Edward Partridge “adalah teladan kealiman, dan salah seorang orang kuat Tuhan.”

1–3, Tuhan meletakkan tangan-Nya ke atas Edward Partridge melalui tangan Sidney Rigdon; 4–8, Setiap lelaki yang menerima Injil dan imamat mesti dipanggil untuk pergi dan berkhutbah.

1 Demikianlah firman Tuhan Raja, Yang Perkasa dari Israel: Lihatlah, Aku berfirman kepadamu, hamba-Ku Edward, bahawa kamu diberkati, dan dosa-dosamu diampuni bagimu, dan kamu dipanggil untuk mengkhutbahkan Injil-Ku bagaikan bunyi sangkakala;

2 Dan Aku akan meletakkan tangan-Ku ke atas dirimu melalui tangan hamba-Ku Sidney Rigdon, dan kamu akan menerima Roh-Ku, Roh Kudus, bahkan Penolong, yang akan mengajarmu hal-hal kedamaian tentang kerajaan;

3 Dan kamu akan memaklumkannya dengan suara nyaring, mengatakan: Hosana, terpujilah nama Tuhan yang maha tinggi.

4 Dan sekarang, panggilan dan perintah ini Aku berikan kepadamu tentang semua orang—

5 Bahawa seberapa banyak yang akan datang ke hadapan hamba-hamba-Ku Sidney Rigdon dan Joseph Smith Jr., memeluk panggilan dan perintah ini, haruslah ditahbiskan dan dihantar untuk mengkhutbahkan Injil abadi di kalangan bangsa-bangsa itu—

6 Menyerukan pertaubatan, mengatakan: Selamatkanlah dirimu dari generasi yang nahas ini, dan keluarlah dari api, bencilah bahkan pakaian yang ternoda dengan daging.

7 Dan perintah ini akan diberikan kepada para penatua gereja-Ku, agar setiap orang yang akan memeluknya dengan kesatuan hati boleh ditahbiskan dan diutus, bahkan seperti yang telah Aku firmankan.

8 Aku ialah Yesus Kristus, Putera Tuhan; kerana itu, persiapkanlah dirimu dan Aku akan datang secara tiba-tiba ke bait suci-Ku. Demikianlah. Amin.