Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 53


Bahagian 53

Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith kepada Algernon Sidney Gilbert, di Kirtland, Ohio, 8 Jun 1831. Di atas permintaan Sidney Gilbert, Nabi bertanya kepada Tuhan berkaitan dengan pekerjaan dan pelantikkan Saudara Gilbert di dalam Gereja.

1–3, Pemanggilan dan pemilihan Sidney Gilbert di dalam Gereja adalah untuk ditahbiskan sebagai seorang penatua; 4–7, Dia juga mesti melayani sebagai wakil uskup.

1 Lihatlah, Aku berfirman kepadamu, hamba-Ku Sidney Gilbert, bahawa Aku telah mendengar doa-doamu; dan kamu telah meminta kepada-Ku agar ia akan diberitahukan kepadamu, daripada Tuhan Rajamu, tentang pemanggilan dan pemilihanmu di dalam gereja, yang telah Aku, Tuhan, bangkitkan pada zaman terakhir ini.

2 Lihatlah, Aku, Tuhan, yang telah disalibkan bagi dosa-dosa dunia, memberi kepadamu sebuah perintah bahawa kamu haruslah melupakan dunia.

3 Ambillah ke atas dirimu penahbisan-Ku, bahkan sebagai penatua, untuk mengkhutbahkan iman dan pertaubatan dan pengampunan dosa-dosa, menurut firman-Ku, dan penerimaan Roh Kudus melalui perletakan tangan;

4 Dan juga untuk menjadi wakil bagi gereja ini di tempat yang akan ditetapkan oleh uskup, menurut perintah-perintah yang akan diberikan selepas ini.

5 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, kamu harus melakukan perjalananmu bersama hamba-hamba-Ku Joseph Smith Jr., dan Sidney Rigdon.

6 Lihatlah, inilah tatacara-tatacara pertama yang akan kamu terima; dan selebihnya akan diberitahukan pada masa yang akan datang, menurut pekerjaanmu di dalam ladang anggur-Ku.

7 Dan lagi, Aku menghendaki bahawa kamu harus belajar bahawa hanya dia yang diselamatkan yang bertahan sampai akhir. Demikianlah. Amin.