Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 65


Bahagian 65

Wahyu dalam doa yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith, di Hiram, Ohio, Oktober 1831.

1–2, Kunci-kunci kerajaan Tuhan dianugerahkan kepada manusia di atas bumi, dan tujuan Injil akan menang; 3–6, Kerajaan syurga seribu tahun akan datang dan bergabung dengan kerajaan Tuhan di atas bumi.

1 Dengarkanlah, dan lihatlah, seperti suatu suara daripada seseorang yang diutus turun dari syurga, yang perkasa dan penuh kuasa, yang bergerak ke hujung-hujung bumi, ya, yang suaranya adalah kepada manusia—Sediakanlah kamu jalan Tuhan, jadikanlah jalan-Nya lurus.

2 Kunci-kunci kerajaan Tuhan dianugerahkan kepada manusia di atas bumi, dan dari situ Injil akan berguling ke hujung-hujung bumi, bagaikan batu yang dikerat dari gunung tanpa tangan akan berguling, sehingga ia telah memenuhi seluruh bumi.

3 Ya, suatu suara berseru—Sediakanlah kamu jalan Tuhan, sediakanlah kamu jamuan malam Anak Domba, bersedialah untuk Pengantin Lelaki.

4 Berdoalah kepada Tuhan, panggillah nama kudus-Nya, beritahukanlah pekerjaan-pekerjaan-Nya yang menakjubkan di kalangan semua orang.

5 Mintalah kepada Tuhan, agar kerajaan-Nya boleh menyebar luas di atas bumi, agar para penduduknya boleh menerimanya, dan disediakan untuk masa yang akan datang, apabila Putera Manusia akan turun dari dalam syurga, diselubungi kemuliaan-Nya yang gemilang, untuk menemui kerajaan Tuhan yang didirikan di atas bumi.

6 Kerana itu, semoga kerajaan Tuhan menyebar luas, agar kerajaan syurga boleh datang, agar Engkau, Ya Tuhan, boleh dimuliakan di dalam syurga begitu juga di atas bumi, agar para musuh-Mu boleh ditundukkan; kerana kepada-Mulah kehormatan, kekuasaan dan kemuliaan, selama-lamanya. Amin.