Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 91


Bahagian 91

Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith, di Kirtland, Ohio, 9 Mac 1833. Nabi pada waktu itu terlibat dalam penterjemahan Perjanjian Lama. Apabila sampai pada bahagian dari tulisan kuno itu yang disebut Deuterokanonika, dia bertanya kepada Tuhan dan menerima petunjuk ini.

1–3, Deuterokanonika sebahagian besarnya diterjemahkan dengan betul tetapi mengandungi banyak selitan-selitan oleh tangan manusia yang tidak benar; 4–6, Ia bermanfaat bagi mereka yang diterangi oleh Roh.

1 Sesungguhnya, demikianlah firman Tuhan kepadamu mengenai Deuterokanonika—Ada banyak hal yang terkandung di dalamnya yang benar, dan sebahagian besarnya diterjemahkan dengan betul;

2 Ada banyak hal yang terkandung di dalamnya yang tidak benar, yang merupakan selitan-selitan oleh tangan manusia.

3 Sesungguhnya, Aku berfirman kepadamu, bahawa Deuterokanonika tidak perlu diterjemahkan.

4 Oleh kerana itu, barang siapa membacanya, biarlah dia mengerti, kerana Roh menyatakan kebenaran;

5 Dan barang siapa diterangi oleh Roh akan mendapatkan manfaat darinya;

6 Dan barang siapa tidak menerimanya melalui Roh, tidak dapat memperoleh manfaat. Oleh kerana itu tidaklah perlu bahawa ia harus diterjemahkan. Amin.