Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 99


Bahagian 99

Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith kepada John Murdock, 29 Ogos 1832, di Hiram, Ohio. Selama satu tahun, John Murdock mengkhutbahkan Injil semasa anak-anakya—tidak beribu setelah kematian isterinya, Julia Clapp, pada April 1831—tinggal bersama keluarga lain di Ohio.

1–8, John Murdock dipanggil untuk memaklumkan Injil, dan mereka yang menerimanya menerima Tuhan dan akan mendapatkan belas kasihan.

1 Lihatlah, demikianlah firman Tuhan kepada hamba-Ku John Murdock—engkau dipanggil untuk pergi ke negara-negara sebelah timur dari rumah ke rumah, dari desa ke desa, dan dari kota ke kota, untuk memaklumkan Injil abadi-Ku kepada penduduknya, di tengah-tengah penganiayaan dan kejahatan.

2 Dan yang menerimamu menerima-Ku; dan kamu akan memiliki kuasa untuk memaklumkan firman-Ku dalam penyataan Roh Kudus-Ku.

3 Dan yang menerimamu seperti seorang anak kecil, menerima kerajaan-Ku; dan diberkatilah mereka, kerana mereka akan mendapatkan belas kasihan.

4 Dan barang siapa menolakmu akan ditolak oleh Bapa-Ku dan seisi rumah-Nya; dan kamu harus membersihkan kakimu di tempat-tempat rahsia dalam perjalanan sebagai kesaksian terhadap mereka.

5 Dan lihatlah, dan tengoklah, Aku datang dengan cepat untuk penghakiman, untuk meyakinkan segala perbuatan fasiq mereka yang telah mereka lakukan menentang-Ku, seperti yang tertulis tentang Aku dalam jilid kitab itu.

6 Dan sekarang, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, bahawa tidaklah perlu bahawa kamu harus pergi sehinggalah anak-anakmu diurus, dan dihantar dengan baik kepada uskup di Sion.

7 Dan selepas beberapa tahun, jika engkau hasratkan daripada-Ku, engkau juga boleh pergi ke tanah yang baik itu, untuk memiliki warisanmu;

8 Jika tidak, engkau haruslah meneruskan untuk memaklumkan Injil-Ku sehinggalah engkau diambil. Amin.