Bahagian 39
Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith kepada James Covel, di Fayette, New York, 5Â Januari 1831. James Covel, yang telah menjadi seorang pendeta Methodist selama kira-kira empat puluh tahun, membuat perjanjian dengan Tuhan bahawa dia akan mematuhi apa pun perintah yang Tuhan akan berikan kepadanya melalui Joseph si Nabi.
1–4, Para Orang Suci memiliki kuasa untuk menjadi anak-anak Tuhan; 5–6, Menerima Injil adalah menerima Kristus; 7–14, James Covel diperintahkan untuk dibaptiskan dan bekerja di dalam ladang anggur Tuhan; 15–21, Para hamba Tuhan mesti mengkhutbahkan Injil sebelum Kedatangan Kedua; 22–24, Mereka yang menerima Injil akan dikumpulkan pada waktu ini dan dalam keabadian.
1 Dengarkanlah suara-Nya yang ada dari segala keabadian ke segala keabadian, Aku Yang Agung, bahkan Yesus Kristus—
2 Cahaya dan kehidupan dunia; suatu cahaya yang bersinar dalam kegelapan dan kegelapan itu tidak memahaminya;
3 Yang sama yang datang pada pertengahan zaman kepada umat milik-Ku, dan umat milik-Ku tidak menerima-Ku;
4 Tetapi kepada seberapa banyak yang menerima-Ku, Aku berikan kuasa untuk menjadi anak-anak-Ku; dan demikian pula Aku akan berikan kepada seberapa banyak yang akan menerima-Ku, kuasa untuk menjadi anak-anak-Ku.
5 Dan sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, dia yang menerima Injil-Ku menerima-Ku; dan dia yang tidak menerima Injil-Ku tidak menerima-Ku.
6 Dan inilah Injil-Ku—pertaubatan dan pembaptisan dengan air, dan kemudian datanglah pembaptisan dengan api dan Roh Kudus, bahkan Penolong, yang memperlihatkan segala hal, dan mengajarkan hal-hal kedamaian tentang kerajaan.
7 Dan sekarang, lihatlah, Aku berfirman kepadamu, hamba-Ku James, Aku telah melihat pekerjaanmu dan Aku mengenali engkau.
8 Dan sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, hatimu sekarang adalah benar di hadapan-Ku pada waktu ini; dan, lihatlah, Aku telah memberikan berkat-berkat besar ke atas kepalamu;
9 Walaupun demikian, engkau telah melihat kedukaan yang besar, kerana engkau telah menolak-Ku berulang kali kerana keangkuhan dan kekhuatiran dunia.
10 Tetapi, lihatlah, masa pembebasanmu telah datang, jika engkau akan mendengar suara-Ku, yang memfirmankan kepadamu: Bangkit dan dibaptiskanlah, dan basuhlah dosa-dosamu, memanggil nama-Ku, dan kamu akan menerima Roh-Ku, dan suatu berkat yang begitu besar seperti yang belum pernah kamu ketahui.
11 Dan jika engkau melakukan ini, Aku telah menyediakan engkau untuk sebuah pekerjaan yang lebih besar. Engkau akan mengkhutbahkan kegenapan Injil-Ku, yang telah Aku hantarkan pada zaman terakhir ini, perjanjian yang telah Aku hantarkan untuk memulihkan umat-Ku, yang merupakan dari bani Israel.
12 Dan akan terjadi bahawa kuasa akan diberikan ke atas dirimu; engkau harus menunjukkan iman yang besar, dan Aku akan bersertamu dan pergi dari hadapan mukamu.
13 Engkau dipanggil untuk bekerja di dalam ladang anggur-Ku, dan untuk membangunkan gereja-Ku, dan untuk mendatangkan Sion, agar ia boleh bersukacita di atas bukit-bukit dan tumbuh subur.
14 Lihatlah, sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, engkau tidak dipanggil untuk pergi ke negara-negara sebelah timur, tetapi engkau dipanggil untuk pergi ke Ohio.
15 Dan sejauh mana umat-Ku akan berhimpun bersama di Ohio, Aku telah menyimpan sebuah berkat seperti yang belum diketahui di kalangan anak-anak manusia, dan ia akan dicurahkan ke atas kepala mereka. Dan dari sana mereka akan pergi ke segala bangsa.
16 Lihatlah, sesungguh-sungguhnya, Aku berfirman kepadamu, bahawa orang-orang di Ohio meminta kepada-Ku dengan banyak iman, berfikir Aku akan menahan tangan-Ku dalam penghakiman atas bangsa-bangsa itu, tetapi Aku tidak dapat menyangkal firman-Ku.
17 Kerana itu kerahkanlah dengan dayamu dan panggillah para pekerja yang setia ke dalam ladang anggur-Ku, agar ia boleh dipangkas untuk kali terakhir.
18 Dan sejauh mana mereka bertaubat dan menerima kegenapan Injil-Ku, dan menjadi kudus, Aku akan menahan tangan-Ku dalam penghakiman.
19 Kerana itu, pergilah, berseru dengan suara nyaring, mengatakan: Kerajaan syurga di depan mata; berseru: Hosana! terpujilah nama Tuhan Yang Mahatinggi.
20 Pergilah membaptis dengan air, menyediakan jalan di hadapan muka-Ku untuk waktu kedatangan-Ku;
21 Kerana waktunya di depan mata; hari atau jamnya tiada seorang pun yang tahu; tetapi ia pasti akan datang.
22 Dan dia yang menerima hal-hal ini menerima-Ku; dan mereka akan dikumpulkan kepada-Ku pada waktu ini dan dalam keabadian.
23 Dan lagi, akan terjadilah bahawa ke atas seberapa banyak yang akan kamu baptiskan dengan air, akan kamu letakkan tanganmu, dan mereka akan menerima kurnia Roh Kudus, dan akan menanti-nantikan tanda-tanda kedatangan-Ku, dan akan mengenal-Ku.
24 Lihatlah, Aku datang dengan cepat. Demikianlah. Amin.