Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 90


Bahagian 90

Wahyu kepada Nabi Joseph Smith, diberikan di Kirtland, Ohio, 8 Mac 1833. Wahyu ini adalah langkah seterusnya dalam pembentukan Presidensi Utama (lihat pengenalan untuk bahagian 81); sebagai akibatnya, para penasihat yang disebutkan telah ditahbiskan pada 18 Mac 1833.

1–5, Kunci-kunci kerajaan dianugerahkan kepada Joseph Smith dan melaluinya kepada Gereja; 6–7, Sidney Rigdon dan Frederick G. Williams melayani dalam Presidensi Utama; 8–11, Injil mesti dikhutbahkan kepada bangsa-bangsa Israel, kepada bangsa bukan Israel, dan kepada bangsa Yahudi, setiap orang mendengar dalam bahasanya sendiri; 12–18, Joseph Smith dan para penasihatnya mesti mengaturkan Gereja; 19–37, Pelbagai individu dinasihati oleh Tuhan untuk berjalan dengan lurus dan melayani di dalam kerajaan-Nya.

1 Demikianlah firman Tuhan, sesungguh-sungguhnya Aku berfirman kepadamu anak-Ku, dosa-dosamu diampuni, menurut rayuanmu, kerana doamu dan doa saudara-saudaramu telah naik ke dalam telinga-Ku.

2 Oleh kerana itu, engkau diberkati sejak dari sekarang yang memegang kunci-kunci kerajaan yang diberikan kepadamu; yang mana kerajaan itu datang untuk kali terakhir.

3 Sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, kunci-kunci kerajaan ini tidak akan pernah diambil daripadamu, semasa engkau berada di dunia, tidak juga di dunia yang akan datang;

4 Walaupun demikian, melalui kamu wahyu itu akan diberikan kepada yang lain, ya, bahkan kepada gereja.

5 Dan mereka semua yang menerima wahyu Tuhan, biarlah mereka berhati-hati bagaimana mereka memegangnya agar jangan ianya dianggap sebagai hal yang remeh, dan dibawa ke bawah penghukuman olehnya, dan tersandung dan jatuh semasa ribut melanda, dan angin bertiup, dan hujan turun, dan menimpa rumah mereka.

6 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepada saudaramu, Sidney Rigdon dan Frederick G. Williams, dosa-dosa mereka diampuni juga, dan mereka dianggap sama rata denganmu dalam memegang kunci-kunci kerajaan yang terakhir ini;

7 Seperti juga melalui pengurusanmu kunci-kunci sekolah para nabi, yang telah Aku perintahkan untuk diorganisasikan;

8 Agar dengannya mereka boleh disempurnakan dalam pelayanan mereka demi keselamatan Sion, dan bangsa-bangsa Israel, dan bangsa bukan Israel, sebanyak mana yang akan percaya;

9 Agar melalui pengurusanmu mereka boleh menerima firman, dan melalui pengurusan mereka firman itu boleh disebarkan ke hujung-hujung bumi, kepada bangsa bukan Israel dahulu, dan kemudian, lihatlah, dan tengoklah, mereka akan berpaling kepada bangsa Yahudi.

10 Dan kemudian datanglah harinya apabila lengan Tuhan akan ditunjukkan dalam kuasa untuk meyakinkan bangsa-bangsa, bangsa kafir, bani Yusuf, tentang Injil keselamatan mereka.

11 Kerana akan terjadilah pada hari itu, bahawa setiap orang akan mendengar kegenapan Injil dalam loghatnya sendiri, dan dalam bahasanya sendiri, melalui mereka yang telah ditahbiskan pada kuasa ini, melalui pelayanan Penolong, dicurahkan ke atas diri mereka untuk wahyu tentang Yesus Kristus.

12 Dan sekarang, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, Aku memberi kepadamu sebuah perintah agar kamu meneruskan dalam pelayanan dan presidensi.

13 Dan apabila kamu telah menyelesaikan penterjemahan para nabi, kamu sejak dari itu akan mengetuai urusan-urusan gereja dan sekolah;

14 Dan dari semasa ke semasa, sebagaimana yang akan dinyatakan oleh Penolong, menerima wahyu-wahyu untuk mendedahkan misteri-misteri kerajaan;

15 Dan mengaturkan jemaah-jemaah gereja, dan menelaah dan belajar, dan mengenali semua buku yang baik, dan dengan bahasa, loghat, dan orang.

16 Dan ini akan menjadi urusan dan misimu dalam seluruh kehidupanmu, untuk mengetuai majlis, dan mengaturkan segala urusan gereja dan kerajaan ini.

17 Janganlah malu, tidak juga dimalukan; tetapi biarlah diberi nasihat dalam segala keangkuhan dan kesombonganmu, kerana itu akan membawa jerat pada jiwamu.

18 Aturkanlah rumah-rumahmu; jauhkanlah kemalasan dan ketidakbersihan daripadamu.

19 Sekarang, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, biarlah ada sebuah tempat disediakan, secepat mungkin, untuk keluarga penasihat dan juru tulismu, bahkan Frederick G. Williams.

20 Dan biarlah hamba-Ku yang sudah berumur, Joseph Smith Sr., terus bersama keluarganya di tempat di mana dia tinggal sekarang; dan biarlah ianya tidak dijual sehingga mulut Tuhan akan mengatakannya.

21 Dan biarlah penasihat-Ku, bahkan Sidney Rigdon, tinggal di tempat tinggalnya sekarang sehinggalah mulut Tuhan akan mengatakannya.

22 Dan biarlah uskup mencari dengan tekun untuk mendapatkan seorang wakil, dan biarlah dia merupakan seorang lelaki yang mempunyai kekayaan yang tersimpan—seorang hamba Tuhan, dan beriman kuat—

23 Agar dengannya dia dapat melunaskan setiap hutang; agar gudang penyimpanan Tuhan tidak terjejas di hadapan mata orang-orang itu.

24 Carilah dengan tekun, berdoalah selalu, dan percayalah, dan segala hal akan bekerja bersama demi kebaikanmu, jika kamu berjalan dengan lurus dan mengingati perjanjian yang dengannya kamu telah membuat perjanjian antara satu sama lain.

25 Biarlah keluargamu kecil, terutamanya hamba-Ku yang seudah berumur Joseph Smith Sr., berkaitan dengan mereka yang tidak termasuk dalam keluargamu;

26 Agar hal-hal itu yang telah disediakan bagimu, untuk mendatangkan pekerjaan-Ku, tidak diambil daripadamu dan diberikan kepada mereka yang tidak layak—

27 Dan dengannya kamu dihalang untuk mencapai hal-hal yang telah Aku perintahkan kepadamu.

28 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, adalah kehendak-Ku bahawa hamba perempuan-Ku Vienna Jaques harus menerima wang untuk menanggung perbelanjaannya, dan pergi ke negeri Sion;

29 Dan lebihan wang itu boleh dibaktikan kepada-Ku, dan dia diberi ganjaran pada waktu-Ku sendiri yang tepat.

30 Sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, bahawa adalah layak di mata-Ku bahawa dia harus pergi ke negeri Sion, dan menerima sebuah warisan dari tangan uskup;

31 Agar dia boleh menetap dalam kedamaian sejauh dia setia, dan tidak malas dalam kehidupannya sejak dari itu.

32 Dan lihatlah, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, bahawa kamu harus menuliskan perintah ini, dan mengatakan kepada saudara-saudaramu di Sion, dengan salam kasih, bahawa Aku telah memanggilmu juga untuk mengetuai Sion pada waktu-Ku sendiri yang tepat.

33 Oleh kerana itu, biarlah mereka berhenti mengganggu-Ku tentang masalah ini.

34 Lihatlah, Aku berfirman kepadamu bahawa saudara-saudaramu di Sion mulai bertaubat, dan para malaikat bersukacita ke atas diri mereka.

35 Walaupun demikian, Aku tidak terlalu berkenan dengan banyak hal; dan Aku tidak terlalu berkenan dengan hamba-Ku William E. McLellin, tidak juga dengan hamba-Ku Sidney Gilbert; dan uskup juga, dan yang lain yang memiliki banyak hal untuk bertaubat.

36 Tetapi sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, bahawa Aku, Tuhan, akan berhadapan dengan Sion, dan memohon kepada orang-orangnya yang kuat, dan menghukumnya sehingga dia mengatasi dan bersih di hadapan-Ku.

37 Kerana dia tidak akan dikeluarkan dari tempatnya. Aku, Tuhan, telah memfirmankannya. Amin.