Persidangan Umum
Adakah Anda Masih Sedia?
Persidangan umum Oktober 2022


11:30

Adakah Anda Masih Sedia?

Kesediaan kita untuk mengikut Yesus Kristus secara langsung setimpal dengan jumlah masa yang kita berikan untuk berada di tempat kudus.

Pada satu hari Ahad, semasa bersedia untuk ambil sakramen selepas beberapa minggu tugasan persidangan pancang, satu fikiran yang menarik dan hebat terlintas di minda saya.

Semasa imam mula memberkati roti itu, kata-kata yang saya sering dengar sebelum ini ditekan dengan kuat ke dalam minda dan hati saya. “Dan bersaksi kepada-Mu, Ya Tuhan, Bapa yang Abadi, bahawa mereka bersedia mengambil ke atas diri mereka nama Putera-Mu, dan selalu mengingati-Nya dan taat kepada perintah-perintah-Nya yang telah Dia berikan kepada mereka, agar mereka boleh selalu memiliki Roh-Nya bersama mereka.”1 Berapa kali kita telah bersaksi kepada Tuhan bahawa kita bersedia?

Semasa saya renungkan kepentingan kata-kata suci itu, perkataan bersedia memberi tanggapan yang tidak pernah terjadi sebelumnya. Pengalaman manis dan kudus memenuhi minda dan hati saya, dengan kasih dan kesyukuran atas Korban Tebusan Juruselamat, dan peranan penting-Nya dalam rancangan penebusan Bapa untuk keluarga saya dan saya. Kemudian, saya dengar dan terkena dengan kata-kata doa air:: “Agar mereka boleh bersaksi kepada-Mu … bahawa mereka selalu mengingati-Nya.”2 Saya faham dengan jelas pada saat itu bahawa mematuhi perjanjian semestinya lebih daripada berniat baik.

Mengambil sakramen bukanlah satu ritual agama pasif yang melibatkan persetujuan kita. Ia adalah peringatan kuat tentang realiti Korban Tebusan Juruselamat yang tidak terhingga dan keperluan untuk selalu mengingati-Nya dan mematuhi perintah-Nya. Kesediaan untuk fokus pada Juruselamat adalah sangat penting sehingga ia adalah pesanan utama dua tulisan suci yang banyak dipetik dalam Gereja: doa sakramen. Memahami kebenaran yang Bapa Syurgawi tawarkan kepada kita melalui Putera Tunggal-Nya harus bangkitkan usaha kita untuk selalu bersedia.

Adakah landasan rohani kita dibina dengan teguh pada Yesus Kristus?

Jika landasan rohani kita cetek, kita mungkin cenderung untuk mendasarkan kesediaan kita pada analisis kos sosial atau indeks kesulitan peribadi. Dan jika kita terima bahawa Gereja terdiri daripada polisi sosial yang lapuk atau tidak betul, pembatasan peribadi dan komitmen masa yang tidak wajar; maka kesimpulan kita tentang kesediaan akan bercela. Kita tidak seharusnya harapkan asas kesediaan untuk trend secara positif dengan pengaruh media sosial atau penggemar TikTok. Ajaran manusia jarang sejajar dengan kebenaran ilahi.

Gereja ialah satu tempat pengumpulan bagi individu yang tidak sempurna yang mengasihi Tuhan dan yang sudi mengikuti Tuhan Yesus Kristus. Kesediaan itu berakar dalam realiti bahawa Yesus ialah Kristus, Putera Tuhan yang hidup. Kebenaran ilahi ini hanya dapat diketahui melalui kuasa Roh Kudus. Oleh kerana itu, kesediaan kita secara langsung setimpal dengan jumlah masa yang kita berikan untuk berada di tempat kudus di mana pengaruh Roh Kudus hadir.

Kita perlulah meluangkan masa mempunyai komunikasi bermakna iaitu dengan Bapa di Syurga dan kurangkan mencari pendapat dari suara orang lain. Kita juga boleh pilih khabar harian kepada firman Kristus dalam kitab suci dan ajaran-ajaran para nabi hidup.

Kepentingan yang kita letakkan pada pematuhan hari Sabat, membayar persepuluhan yang jujur, memegang kad rekomen bait suci semasa, menghadiri bait suci dan menghormati perjanjian bait suci kita adalah petunjuk besar tentang kesediaan dan bukti komitmen kita. Adakah kita sanggup berikan lebih daripada usaha yang cetek untuk memperkukuhkan iman kita kepada Kristus?

Bapa Syurgawi kasihi kita dengan sempurna, tetapi kasih itu datang dengan harapan yang besar. Dia harapkan kita untuk bersedia meletakkan Juruselamat di pusat kehidupan kita. Juruselamat ialah teladan sempurna kesediaan untuk tunduk kepada Bapa dalam segala hal. Dialah “jalan untuk mengenal Tuhan dan untuk mendapat hidup.”3 Dia bersedia untuk menebus bagi dosa-dosa kita. Dia bersedia meringankan beban kita, tenangkan ketakutan kita, beri kita kekuatan dan bawa kedamaian dan pemahaman ke hati kita pada masa kesusahan dan kesedihan.

Namun iman kepada Yesus Kristus adalah sebuah pilihan. “Jika [kita] tidak dapat membuat lebih daripada berhasrat untuk percaya”4 menurut firman-Nya, kita ada titik permulaan untuk mula atau tetapkan semula perjalanan iman kita. Jika kita tanamkan firman-Nya ke dalam hati kita seperti benih dan dipelihara dengan baik, maka ia akan berakar, dan iman kita akan berkembang dan menjadi asas tindakan dan kuasa. Kitab Mormon ialah sumber yang paling berkuasa untuk mengembang dan memulih iman kita. Kesediaan adalah pemangkin iman.

Melalui rancangan ilahi, kefanaan tidak mudah dan kadangkala amat membebankan. Walau bagaimanapun, “[kita] wujud, agar kita boleh berbahagia”!5 Fokus kepada Juruselamat dan perjanjian kudus kita membawa kebahagiaan yang kekal! Tujuan kefanaan adalah untuk buktikan kesediaan kita. “Tugas besar kehidupan [dan kos penganutan] adalah untuk mempelajari kehendak Tuhan dan kemudian melakukannya.”6 Penganutan sejati membawa kebahagiaan penuh. Adakah kita sedia untuk bayar harga penganutan?

Jalan perjanjian bukanlah satu senarai semak yang mudah; ia sebuah proses perkembangan rohani dan komitmen yang mendalam kepada Tuhan Yesus Kristus. Tujuan utama setiap perintah, asas, perjanjian dan tatacara adalah untuk membina iman dan kepercayaan kepada Kristus. Keazaman kita untuk memusatkan kehidupan kita kepada Kristus, mestilah konsisten—bukan mengikut syarat, mengikut situasi atau tindakan cetek. Kita tidak boleh mengambil cuti atau berhenti daripada kesediaan kita untuk “berdiri sebagai saksi bagi Tuhan di segala waktu dan dalam segala hal, dan di segala tempat.”7 Penganutan bukan murah, kerana penemanan Roh Kudus adalah tidak ternilai.

Semenangnya, Tuhan sedang fikirkan zaman kita semasa Dia mengajar perumpamaan sepuluh orang gadis. Tentang lima gadis yang bijak, Dia berkata: mereka “telah mengambil Roh Kudus untuk pembimbing mereka, dan belum terpedaya,”8 sementara pelita gadis kurang bijak terpadam kerana kekurangan minyak.9 Mungkin kata-kata Nefi menggambarkan ahli Gereja yang dulunya setia ini: “Dan yang lain akanlah dia tenangkan, dan lalaikan mereka ke dalam keamanan badani, sehingga mereka akan berkata: Segalanya baik di Sion.”10

Keamanan badaniah adalah mencari dan percayai hal-hal duniawi dan bukan Kristus—dalam kata lain, lihat melalui kanta sekular dan bukannya kanta rohani. Roh Kudus beri kita kemampuan untuk lihat “hal-hal sebagaimana ianya wujud pada hakikatnya, dan … sebagaimana ianya benar-benar akan terjadi.”11 Hanya “melalui kuasa Roh Kudus [kita dapat] mengetahui kebenaran tentang semua hal”12 dan tidak terpedaya. Kita letakkan Kristus pada pusat kehidupan kita dan berjanji untuk sedia mematuhi perintah-Nya, bukan kerana kita buta tetapi kerana kita dapat lihat.13

Bagaimana dengan gadis kurang bijak itu? Mengapakah mereka tidak sedia untuk bawa bejana minyak rohani? Adakah mereka hanya berlengah-lengah? Mungkin mereka terlalu bersahaja kerana ia menyusahkan atau kelihatan tidak penting? Tidak kira apa sebabnya, mereka terpedaya tentang peranan penting Kristus. Inilah penipuan Setan sejak permulaan dan sebab pelita kesaksian mereka akhirnya terpadam kerana kekurangan minyak rohani. Perumpamaan ini adalah metafora moden bagi zaman kita. Banyak yang telah meninggalkan Juruselamat dan perjanjian mereka lama sebelum mereka meninggalkan Gereja-Nya.

Kita hidup dalam zaman yang para nabi zaman dahulu ramalkan, suatu hari ketika Setan mengamuk “dalam hati anak-anak manusia, dan menghasut mereka menjadi marah terhadap apa yang baik.”14 Terlalu ramai di antara kita, hidup di dunia maya yang penuh dengan hiburan dan pesanan bertentangan dengan identiti ilahi dan kepercayaan kepada Kristus.

Pengaruh rohani yang paling kuat dalam hidup seorang anak ialah teladan soleh ibu bapa dan datuk nenek yang mentaati perjanjian kudus mereka. Ibu bapa ajar anak-anak mereka beriman kepada Tuhan Yesus Kristus, supaya mereka juga “dapat mengetahui kepada punca mana mereka dapat berpaling bagi pengampunan dosa-dosa mereka.”15 Bersahaja dan tidak konsisten dalam mematuhi perjanjian membawa kepada rohani bersahaja. Kesan kerosakan rohani seringkali lebih besar pada anak-anak dan cucu-cucu kita. Ibu bapa dan datuk nenek, adakah kita masih sedia?

Presiden Russell M. Nelson mengajarkan, “Di hari-hari yang mendatang, ia akan menjadi mustahil untuk bertahan secara rohani tanpa bimbingan, arahan, galakan dan pengaruh yang tetap daripada Roh Kudus.”16 Inilah amaran yang jelas dan tepat untuk sediakan pelita dan tambahkan bekal minyak rohani kita. Adakah kita masih sedia untuk ikuti nabi hidup? Apakah tahap kerohanian dalam pelita anda? Apakah perubahan dalam hidup peribadi anda yang membolehkan pengaruh Roh Kudus tetap bersama?

Hari ini, seperti pada zaman Yesus, akan ada mereka yang akan berundur, tidak sedia menerima harga penganutan. Apabila kritikan yang keras dan benci semakin meningkat terhadap Gereja Juruselamat dan orang yang mengikuti-Nya, penganutan kita perlukan kesediaan yang lebih besar untuk membentuk dan memperkuatkan kerohanian kita dan tidak menghiraukan mereka.17

Jika landasan rohani kita dibina dengan teguh pada Yesus Kristus, kita tidak akan jatuh dan perlu takut.

“Lihatlah, Tuhan menuntut hati dan suatu fikiran yang rela; dan yang rela dan patuh akan menikmati hasil dari negeri Sion pada zaman akhir ini.”18

Semoga kita sentiasa bersedia. Dalam nama kudus Tuhan Yesus Kristus, amin.