Tiang dan Sinar
Kita juga boleh ada tiang cahaya kita sendiri—satu sinar pada satu masa.
Pesanan saya adalah untuk mereka yang risau tentang kesaksian mereka kerana belum miliki pengalaman rohani yang luar biasa. Saya berdoa agar saya dapat berikan kedamaian dan jaminan.
Pemulihan injil Yesus Kristus bermula dengan letupan cahaya dan kebenaran! Seorang pemuda di New York, dengan nama biasa Joseph Smith, memasuki hutan untuk berdoa. Dia risau tentang jiwanya dan kedudukannya di hadapan Tuhan. Dia mencari pengampunan untuk dosa-dosanya. Dan dia keliru tentang gereja mana yang harus diikuti. Dia perlukan kejelasan dan kedamaian—dia perlukan cahaya dan pengetahuan.1
Semasa Joseph berlutut untuk berdoa dan “mempersembahkan hasrat hatinya kepada Tuhan,” kegelapan yang pekat menyelubunginya. Sesuatu yang jahat, menindas, dan sangat nyata cuba menghentikan dia—untuk mengikat lidahnya supaya dia tidak dapat bercakap. Kuasa kegelapan menjadi begitu kuat sehingga Joseph fikir dia akan mati. Tetapi dia “mengerahkan segala kekuatan[nya] meminta kepada Tuhan untuk membebaskan [dia] dari kekuatan musuh yang telah mencengkam [dia].” Dan kemudian, “pada saat itu ketika [dia] bersedia untuk tenggelam ke dalam keputusasaan dan menyerahkan diri[nya] sendiri pada kehancuran,” ketika dia tidak tahu sama ada dia boleh terus bertahan, kegemilangan yang mulia memenuhi hutan itu, mencerai-beraikan kegelapan dan musuh jiwanya.2
Suatu “tiang cahaya” melebihi keterangan matahari turun secara perlahan-lahan ke atasnya. Satu lembaga muncul, dan kemudian yang lain.3 “Keterangan dan kemuliaan Mereka tidak dapat digambarkan.” Yang pertama, Bapa Syurgawi kita, memanggil nama-Nya, “menunjuk kepada yang seorang lagi—[Joseph!] Inilah Putera-Ku yang Ku kasihi. Dengarkanlah Dia!”4
Dan dengan keterangan cahaya dan kebenaran itu, Pemulihan telah bermula. Kebanjiran wahyu dan berkat ilahi akan menyusul: tulisan suci baharu, kunci imamat yang dipulihkan, para rasul dan nabi, tatacara dan perjanjian, dan pembinaan semula Gereja Tuhan yang hidup dan sejati, yang akan mengisi bumi suatu hari nanti dengan cahaya dan kesaksian tentang Yesus Kristus dan injil-Nya yang dipulihkan.
Semua itu, dan banyak lagi, bermula dengan doa seorang pemuda dan tiang cahaya.
Kita juga ada keperluan terdesak kita. Kita juga perlukan kebebasan dari kekeliruan rohani dan kegelapan duniawi. Kita juga perlu belajar untuk diri kita sendiri.5 Itulah satu sebab Presiden Russell M. Nelson menjemput kita untuk “mencelupkan diri [kita] dalam kegemilangan cahaya Pemulihan.”6
Salah satu kebenaran besar Pemulihan adalah syurga terbuka—kita juga boleh menerima cahaya dan pengetahuan dari syurga. Saya bersaksi itu benar.
Tetapi kita mesti berhati-hati dengan perangkap rohani. Kadangkala ahli Gereja yang beriman menjadi kecewa dan hanyut kerana mereka belum miliki pengalaman rohani yang luar biasa—kerana mereka belum mengalami tiang cahaya mereka sendiri. Presiden Spencer W. Kimball memperingatkan bahawa “Selalu mengharapkan yang menakjubkan, ramai akan terlepas sepenuhnya aliran komunikasi yang diungkapkan.”7
Presiden Joseph F. Smith juga mengenang “Tuhan menahan keajaiban daripada saya [ketika saya masih muda], dan menunjukkan kepada saya kebenaran, baris demi baris, ajaran demi ajaran, di sini sedikit dan di sana sedikit.”8
Saudara dan saudari, itulah pola biasa Tuhan. Daripada menghantar kita suatu tiang cahaya, Tuhan menghantar kita sinar cahaya, dan kemudian satu lagi, dan satu lagi.
Sinar cahaya itu dicurahkan secara berterusan ke atas kita. Tulisan suci mengajar bahawa Yesus Kristus “adalah cahaya dan … kehidupan dunia,”9 bahawa “ Roh[-Nya] memberikan cahaya kepada setiap orang yang datang ke dunia,”10 dan bahawa cahaya-Nya “memenuhi keluasan ruang,” memberi “kehidupan pada segalanya.”11 Cahaya Kristus benar-benar berada di sekeliling kita.
Jika kita telah menerima kurnia Roh Kudus dan berusaha untuk menjalankan iman, bertaubat, dan menghormati perjanjian kita, maka kita layak untuk menerima sinar ilahi ini secara berterusan. Dalam frasa Elder David A. Bednar yang tidak dapat dilupakan, “kita hidup dalam wahyu.”12
Namun, setiap kita berbeza. Tidak ada dua orang mengalami cahaya dan kebenaran Tuhan dengan cara yang sama. Luangkan masa untuk memikirkan bagaimana anda mengalami cahaya dan Roh Tuhan.
Anda mungkin telah mengalami sinar kesaksian ini sebagai “kedamaian [diucapkan] pada fikiranmu tentang hal” yang telah membimbangkan anda.13
Atau sebagai tanggapan—suatu suara yang lembut—yang menetap “dalam fikiranmu dan dalam hatimu”14 dan mendorong anda untuk melakukan sesuatu yang baik, seperti membantu seseorang.
Mungkin anda pernah berada di kelas gereja—atau di kem remaja—dan merasakan hasrat yang kuat untuk mengikuti Yesus Kristus dan kekal beriman.15 Mungkin anda berdiri dan berkongsi kesaksian yang anda harap adalah benar dan kemudian merasakannya.
Atau mungkin anda telah berdoa dan merasakan jaminan gembira bahawa Tuhan mengasihi anda.16
Anda mungkin telah dengar seseorang memberi kesaksian tentang Yesus Kristus dan ia menyentuh hati anda dengan harapan.17
Mungkin anda sedang baca Kitab Mormon dan satu ayat berbicara kepada jiwa anda, seolah-olah Tuhan meletakkannya hanya untuk anda—dan kemudian anda menyedari bahawa Dia yang melakukannya.18
Anda mungkin telah merasakan kasih Tuhan untuk orang lain semasa anda melayani mereka.19
Atau mungkin anda bergelut untuk merasakan Roh pada masa ini kerana kemurungan atau kebimbangan tetapi mempunyai kurnia berharga dan iman untuk melihat ke belakang dan mengenali “kasihan Tuhan yang lembut” pada masa lalu.20
Maksud saya adalah terdapat banyak cara untuk menerima sinar syurgawi kesaksian. Sudah tentunya, ini hanya beberapa contoh. Ia mungkin tidak dramatik, tetapi semuanya menjadi sebahagian kesaksian kita.
Saudara dan saudari, saya tidak pernah lihat tiang cahaya, tetapi seperti anda, saya telah mengalami banyak sinar ilahi. Selama bertahun-tahun, saya cuba menghargai pengalaman sedemikian. Semasa saya melakukannya, saya mengenali dan mengingati lebih banyak daripadanya. Berikut adalah beberapa contoh dari kehidupan saya sendiri. Ia mungkin tidak begitu mengagumkan, tetapi ia amat berharga bagi saya.
Saya ingat saya remaja yang bising di satu pembaptisan. Apabila pertemuan itu akan bermula, saya merasakan Roh menggesa saya untuk duduk dan takzim. Saya duduk dan diam sepanjang pertemuan itu.
Sebelum misi saya, saya takut kesaksian saya tidak cukup kuat. Tiada seorang pun dalam keluarga saya yang pernah melayani misi, dan saya tidak tahu sama ada saya boleh melakukannya. Saya mengkaji dan berdoa dengan sungguh-sungguh untuk menerima kesaksian Yesus Kristus yang lebih teguh. Pada suatu hari, semasa saya merayu kepada Bapa Syurgawi, saya rasa cahaya dan kehangatan yang kuat. Dan saya tahu. Saya terus tahu.
Saya ingat dibangunkan pada satu malam beberapa tahun kemudian dengan perasaan “kecerdasan murni” memberitahu saya bahawa saya akan dipanggil untuk melayani dalam kuorum penatua.21 Dua minggu kemudian saya dipanggil.
Saya ingat satu persidangan umum di mana seorang ahli Kuorum Dua Belas Rasul yang dikasihi mengucap kata-kata kesaksian tepat seperti apa yang saya berharap untuk dengar.
Saya ingat berlutut bersama ratusan saudara untuk berdoa bagi seorang kawan yang tidak sedarkan diri yang menggunakan ventilator di hospital kecil dan jauh selepas jantungnya terhenti. Semasa kami menyatukan hati kami untuk merayu untuk nyawanya, dia bangun dan menarik ventilator dari tekaknya. Kini dia melayani sebagai presiden pancang.
Dan saya ingat bangun dengan perasaan rohani yang kuat selepas mimpi jelas tentang seorang kawan dan mentor yang telah meninggal dunia, meninggalkan satu lubang besar dalam hidup saya. Dia tersenyum dan gembira. Saya tahu dia OK.
Inilah beberapa sinaran saya. Anda ada pengalaman anda sendiri—cetusan kesaksian anda sendiri yang penuh terang. Semasa kita mengenali, mengingati, mengumpulkan dan “menyatukan”22 sinar-sinar itu, sesuatu yang menakjubkan dan berkuasa mula berlaku. “Cahaya berpegang teguh pada cahaya”—”kebenaran memeluk kebenaran.”23 Realiti dan kuasa satu sinar kesaksian memperkukuh dan bergabung dengan satu lagi, dan kemudian satu lagi, dan satu lagi. Baris demi baris, ajaran demi ajaran, di sini sinar dan di sana sinar—satu saat rohani yang kecil dan dihargai pada satu masa—terjadinya satu teras pengalaman rohani yang penuh dengan cahaya. Mungkin tidak ada sinar individu yang cukup kuat atau terang untuk menjadi kesaksian yang penuh, tetapi bersama-sama ia boleh menjadi cahaya yang tidak dapat diatasi oleh kegelapan keraguan.
“Ya maka, bukankah ini nyata?” Alma bertanya. “Aku berkata kepadamu, Ya, kerana itu cahaya.”24
“Apa yang daripada Tuhan adalah cahaya; dan dia yang menerima cahaya, dan meneruskan di dalam Tuhan, menerima lebih banyak cahaya; dan cahaya itu semakin bertambah terang dan benderang sehingga hari yang sempurna.”25
Ini bermaksud, saudara dan saudari, dalam masa dan melalui “ketekunan yang besar,”26 kita juga boleh memiliki tiang cahaya kita sendiri—satu sinar dalam satu masa. Dan di tengah-tengah tiang itu, kita juga akan temui Bapa Syurgawi yang penuh kasih, memanggil nama kita, menunjuk kita kepada Juruselamat Yesus Kristus, dan menjemput kita untuk “Dengarkanlah Dia!”
Saya bersaksi tentang Yesus Kristus, bahawa Dia adalah cahaya dan kehidupan seluruh dunia—dan dunia peribadi anda dan saya.
Saya bersaksi bahawa Dia adalah Putera Tuhan yang hidup dan sejati, dan Dia berdiri sebagai pemimpin Gereja yang hidup dan sejati ini, dibimbing dan diarahkan oleh para nabi dan rasul-Nya yang sejati dan hidup.
Semoga kita mengenali dan menerima cahaya-Nya yang mulia dan kemudian memilih Dia berbanding kegelapan dunia—selalu dan selamanya. Dalam nama Yesus Kristus, amin.