Pertentangan dalam Segala Hal
Untuk menggunakan hak pilihan kita, perlu adanya pilihan yang bertentangan untuk kita pertimbangkan.
Baru-baru ini, semasa memandu di sebuah kota asing, saya tersilap pusing, yang membawa isteri saya dan saya ke satu lebuh raya pandu laju tanpa dapat membuat pusingan balik. Kami menerima jemputan ke rumah seorang kawan dan risau kami akan sampai lewat daripada yang dijangkakan.
Sementara di lebuh raya ini dan terdesak mencari jalan keluar, saya menyalahkan diri kerana tidak memberi perhatian kepada sistem navigasi. Pengalaman ini buat saya berfikir tentang bagaimana dalam hidup kadang-kala kita buat keputusan yang salah dan kita mesti menerima akibat itu dengan rendah hati dan bersabar sehingga kita dapat mengubah laluan kita lagi.
Hidup adalah tentang membuat pilihan. Bapa Syurgawi memberi kita kurnia ilahi iaitu hak pilihan supaya kita dapat belajar dari pilihan kita—dari yang betul dan juga yang salah. Kita membetulkan pilihan salah apabila kita bertaubat. Di situlah perkembangan berlaku. Rancangan Bapa Syurgawi untuk kita semua adalah tentang pembelajaran, perkembangan, dan kemajuan ke arah kehidupan abadi.
Sejak isteri saya dan saya diajar oleh para misionari dan menyertai Gereja bertahun-tahun yang lalu, saya selalu kagum dengan ajaran mendalam yang Lehi berikan kepada anak lelakinya Yakub dalam Kitab Mormon. Dia mengajar Yakub bahawa “Tuhan telah membenarkan manusia bertindak bagi dirinya sendiri”1 dan “semestinya ada pertentangan dalam segala hal.”2 Untuk menggunakan hak pilihan kita, perlu adanya pilihan yang bertentangan untuk kita pertimbangkan. Dengan itu, Kitab Mormon juga mengingatkan bahawa kita telah “diberi arahan yang mencukupi”3 dan “Roh Kristus”4 telah diberikan kepada setiap kita untuk “tahu yang baik dari jahat.”5
Dalam kehidupan, kita sentiasa menghadapi banyak pilihan penting. Contohnya:
-
Pilih sama ada kita akan ikut perintah-perintah Tuhan atau tidak.
-
Pilih untuk beriman dan mengenali apabila mukjizat berlaku atau untuk tunggu sesuatu berlaku sebelum pilih untuk percaya.
-
Pilih untuk kembangkan kepercayaan kepada Tuhan atau untuk takuti cabaran yang akan datang.
Sepertimana saya tersilap pusing di lebuh raya itu, penderitaan akibat keputusan buruk kita sendiri sering kali menyakitkan kerana kita hanya boleh salahkan diri sendiri. Namun, kita boleh selalu pilih untuk menerima penghiburan melalui proses pertaubatan ilahi, memperbetulkan kesilapan semula, dan dan melaluinya mempelajari beberapa pengajaran penting.
Kadangkala kita turut mengalami pertentangan dan percubaan dari hal-hal di luar kawalan kita, seperti:
-
Waktu sihat dan sakit.
-
Masa kedamaian dan masa peperangan.
-
Waktu siang dan malam serta musim panas dan musim sejuk.
-
Masa kerja diikuti oleh masa rehat.
Walaupun kita tidak dapat memilih situasi seperti ini, kita masih bebas untuk pilih bagaimana untuk bertindak balas. Kita boleh melakukannya dengan sikap yang positif atau pesimis. Kita boleh belajar dari pengalaman dan meminta bantuan dan sokongan Tuhan, atau menganggap kita bersendirian dalam percubaan ini dan mesti menderita sendirian. Kita boleh “menyesuaikan layar kita” kepada realiti baharu, atau kita boleh pilih untuk tidak mengubah apa pun. Dalam kegelapan malam, kita boleh menghidupkan lampu kita. Dalam musim sejuk, kita harus pilih untuk memakai pakaian hangat. Pada musim penyakit, kita boleh mendapatkan bantuan perubatan dan rohani. Kita pilih bagaimana untuk bertindak balas terhadap keadaan ini.
Sesuaikan, belajar, cari, pilih semua kata kerja. Ingatlah bahawa kita ialah ejen dan bukan objek. Janganlah lupa bahawa Yesus berjanji untuk “mengambil ke atas diri-Nya kesakitan dan penyakit umat-Nya … agar Dia boleh … menyokong” atau membantu kita semasa kita berpaling kepada-Nya.6 Kita boleh pilih untuk membina landasan kita di atas Yesus Kristus, supaya apabila puting beliung datang “ia tidak akan berkuasa ke atas diri [kita].”7 Dia telah berjanji bahawa “sesiapa yang akan datang [kepada-Nya], dia akan [Yesus] terima; dan diberkatilah mereka yang datang kepada [Dia].”8
Sekarang, terdapat satu asas tambahan yang sangat penting. Lehi berkata bahawa “semestinya ada … pertentangan dalam segala hal.”9 Ini bererti bahawa pertentangan tidak wujud tanpa satu sama lain. Pertentangan juga boleh saling melengkapi. Kita tidak akan mengenali kegembiraan kecuali kita pernah mengalami kesedihan. Rasa lapar membantu kita untuk bersyukur apabila kita dapat makan semula. Kita tidak akan mengenali kebenaran kecuali kita pernah lihat pembohongan.
Semua pertentangan ini adalah seperti dua belah syiling yang sama. Kedua-dua belah sentiasa ada. Charles Dickens memberi contoh ini apabila dia menulis “Ia adalah masa yang terbaik, [dan] masa yang terburuk.”10
Izinkan saya memberi contoh dari kehidupan sendiri. Berkahwin, memulakan sebuah keluarga, dan mempunyai anak adalah saat-saat kegembiraan terbesar dalam hidup kami, tetapi juga detik-detik kesakitan, kepedihan, dan kesedihan yang terdalam apabila sesuatu berlaku kepada kami. Kegembiraan dan kebahagiaan yang tidak terhingga bersama anak-anak kami kadang-kadang juga diikuti dengan masa sakit, kemasukan ke hospital, dan malam tanpa tidur yang meletihkan, dan juga temui kelegaan dalam doa dan berkat imamat. Pengalaman yang berbeza ini mengajar bahawa kami tidak bersendirian dalam penderitaan, dan ia juga menunjukkan betapa banyak yang kami boleh hadapi dengan sokongan dan bantuan Tuhan. Pengalaman ini telah membentuk kami secara indah, dan semuanya sangat berbaloi. Bukankah ini tujuan kita datang ke sini?
Dalam tulisan suci terdapat beberapa contoh yang menarik.
-
Lehi mengajar anaknya Yakub bahawa kesengsaraan yang dideritanya di padang belantara membantunya mengetahui kebesaran Tuhan dan “[Tuhan] akan membaktikan kesengsaraan[nya] demi keuntungan[nya].”11
-
Semasa Joseph Smith di Penjara Liberty, Tuhan memberitahu dia bahawa “semua hal ini akan memberi [dia] pengalaman, dan akan menjadi kebaikan [dia].”12
-
Akhirnya, pengorbanan Yesus Kristus yang tidak terhingga sememangnya merupakan contoh kesakitan dan penderitaan terbesar, tetapi ia juga membawa berkat-berkat Korban Tebusan-Nya kepada semua anak Tuhan.
Di mana adanya cahaya matahari, di sana juga ada bayang-bayang. Banjir mendatangkan kehancuran, tetapi ia juga membawa kehidupan. Air mata kesedihan sering berubah menjadi air mata kelegaan dan kegembiraan. Perasaan sedih apabila kematian orang terkasih kemudian digantikan dengan kebahagiaan pertemuan lagi. Dalam masa peperangan dan kehancuran, banyak tindakan kebaikan dan kasih juga berlaku bagi mereka yang mempunyai “mata untuk melihat, dan telinga untuk mendengar.”13
Dunia kita hari ini sering dicirikan oleh ketakutan dan kekhuatiran—takuti masa depan. Tetapi Yesus mengajar kita untuk percaya dan “lihatlah kepada[-Nya] dalam setiap pemikiran; janganlah ragu, janganlah takut.”14
Marilah kita berusaha untuk melihat kedua-dua belah setiap syiling yang kita terima dalam hidup kita. Meski tidak dapat melihat kedua belah dengan segera, kita boleh tahu dan percaya ia sentiasa ada.
Kita boleh yakin bahawa kesusahan, kesedihan, kesengsaraan, kesakitan, dan kepedihan kita tidak menentukan kita; sebaliknya bagaimana kita bertindak terhadapnya yang akan membantu kita berkembang dan mendekati Tuhan. Sikap dan pilihan yang menentukan kita dan bukannya cabaran kita.
Apabila sihat, hargailah dan bersyukur untuk setiap saat. Apabila sakit, belajarlah dengan sabar dan tahu bahawa ini boleh berubah menurut kehendak Tuhan. Apabila berdukacita, percayalah bahawa kebahagiaan adalah dekat; kita hanya belum melihatnya. Alihkan fokus anda dan penuhi fikiran anda dengan aspek cabaran yang positif, kerana ia sentiasa ada! Jangan lupa untuk bersyukur. Pilih untuk percaya. Pilih untuk beriman kepada Yesus Kristus. Pilih untuk selalu mempercayai Tuhan. Pilih untuk “berfikiran selestial,” seperti Presiden Russell M. Nelson ajarkan kita baru-baru ini!15
Marilah kita sentiasa ingat rancangan hebat Bapa Syurgawi untuk kita. Dia mengasihi kita dan menghantar Putera Terkasih-Nya untuk membantu kita dan membuka pintu untuk kita kembali kepada-Nya. Yesus Kristus hidup dan sentiasa ada, menunggu kita untuk memanggil-Nya untuk memberi bantuan, kekuatan, dan keselamatan. Saya bersaksi segala ini dalam nama Yesus Kristus, amin.