Persidangan Umum
Mukjizat, Malaikat, dan Kuasa Imamat
persidangan umum April 2024


11:43

Mukjizat, Malaikat, dan Kuasa Imamat

Jika anda menghasratkan berkat-berkat imamat, termasuk mukjizat dan pelayanan para malaikat, berjalan di jalan perjanjian yang Tuhan telah sediakan.

Ramai hari ini berkata mukjizat tidak lagi wujud, bahawa malaikat adalah fiksyen, dan syurga ditutup. Saya bersaksi bahawa mukjizat tidak berhenti, para malaikat berada di kalangan kita, dan syurga benar-benar terbuka.

Apabila Juruselamat kita, Yesus Kristus, berada di bumi, Dia memberi kunci-kunci imamat kepada ketua Rasul-Nya Petrus1. Melalui kunci-kunci ini, Petrus dan para Rasul yang lain memimpin Gereja Juruselamat. Tetapi apabila rasul-rasul itu meninggal dunia, kunci-kunci imamat diambil dari bumi.

Saya bersaksi kunci-kunci imamat ini telah dipulihkan. Petrus, Yakobus, dan Yohanes dan para nabi zaman dahulu muncul sebagai makhluk yang dibangkitkan, memberikan Nabi Joseph Smith “kunci-kunci kerajaan-Ku, dan suatu zaman keagamaan injil.”2

Kunci-kunci yang sama telah diturunkan dari nabi kepada nabi sehingga hari ini. 15 orang yang kita sokong sebagai nabi, pelihat, dan pewahyu menggunakannya untuk memimpin Gereja Juruselamat. Seperti pada zaman dahulu, ada seorang Rasul senior yang memegang dan diberi wewenang untuk menjalankan semua kunci imamat. Dia ialah Presiden Russell M. Nelson, nabi dan Presiden Gereja Kristus yang dipulihkan pada zaman kita: Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir.

Melalui Gereja Juruselamat, kita menerima berkat-berkat imamat—termasuk kuasa Tuhan untuk membantu kita dalam hidup kita. Di bawah kunci-kunci imamat yang dibenarkan, kita membuat janji kudus kepada Tuhan dan menerima tatacara kudus yang menyediakan kita untuk hidup di hadirat-Nya. Bermula dengan pembaptisan dan penetapan, dan kemudian di bait suci, kita maju di jalan perjanjian yang membawa kita kembali kepada-Nya.

Dengan tangan yang diletakkan di atas kepala kita, kita juga menerima berkat imamat, termasuk arahan, penghiburan, nasihat, penyembuhan, dan kuasa untuk mengikuti Yesus Kristus. Sepanjang hidup saya, saya telah diberkati oleh kuasa hebat ini. Seperti tulisan suci telah ungkapkan, kita merujuknya sebagai kuasa Imamat Kudus Melkisedek.3

Pada zaman remaja, saya mendapat penghormatan yang besar terhadap kuasa ini, terutamanya semasa dinyatakan dalam berkat-berkat imamat. Semasa melayani sebagai misionari muda di Chile, rakan saya dan saya ditangkap dan dipisahkan. Kami tidak diberitahu mengapa. Ia merupakan masa pertempuran politik yang hebat. Beribu orang ditahan polis tentera dan tiada berita tentang mereka lagi.

Selepas disoal siasat, saya duduk bersendirian di dalam penjara, tidak tahu jika saya akan melihat orang tersayang lagi. Saya berdoa kepada Bapa Syurgawi, dengan bersungguh-sungguh merayu: “Bapa, saya selalu diajar bahawa Engkau mengawasi para misionari-Mu. Tolonglah Bapa, saya tidak istimewa, tetapi saya telah patuh dan saya perlukan bantuan-Mu malam ini.”

Benih bantuan ini telah di tanam bertahun sebelumnya. Selepas pembaptisan saya, saya ditetapkan sebagai seorang ahli Gereja dan diberikan kurnia Roh Kudus. Semasa saya berdoa, bersendirian, dipenjara, Roh Kudus segera datang dan menghiburkan saya. Dia membawa ke minda saya satu petikan istimewa dari berkat bapa bangsa saya, yang merupakan satu lagi berkat imamat. Di dalamnya, Tuhan menjanjikan saya bahawa melalui kesetiaan saya, saya akan dapat dimeteraikan di bait suci untuk masa dan keabadian kepada seorang wanita yang cantik, dan penuh kehemahan dan kasih, bahawa kami akan menjadi ibu bapa kepada anak lelaki dan perempuan yang berharga, dan saya akan diberkati dan berkembang sebagai seorang bapa di Israel.

Kata-kata berilham tentang masa depan itu memenuhi jiwa saya dengan kedamaian. Saya tahu bahawa ia datang daripada Bapa Syurgawi yang penuh kasih, yang selalu mentaati janji-Nya.4 Pada ketika itu, saya mendapat jaminan saya akan dilepaskan dan hidup untuk melihat janji-janji itu dipenuhi.

Kira-kira setahun kemudian, Bapa Syurgawi berkati saya dengan seorang isteri yang cantik, dan penuh kehemahan dan kasih. Lynette dan saya dimeteraikan di bait suci. Kami diberkati dengan tiga anak lelaki dan empat anak perempuan yang berharga. Saya menjadi seorang bapa, semuanya menurut janji-janji Tuhan dalam berkat bapa bangsa yang saya terima semasa berumur 17 tahun.

“Oleh kerana itu, saudara-saudaraku yang dikasihi [dan saudari], adakah mukjizat telah berhenti kerana Kristus telah naik ke syurga? …

“… Tidak; para malaikat juga tidak berhenti melayani anak-anak manusia.”5

Saya bersaksi mukjizat dan pelayanan sentiasa berlaku dalam hidup kita, sering kali sebagai hasil langsung kuasa imamat. Beberapa berkat imamat digenapi dengan segera, dalam cara kita dapat lihat dan faham. Yang lain berlaku secara beransur-ansur dan tidak akan direalisasikan sepenuhnya dalam kehidupan ini. Tetapi Tuhan mentaati semua janji-Nya, selalu, seperti yang digambarkan dalam laporan sejarah keluarga kami ini:

Datuk sebelah bapa saya, Grant Reese Bowen adalah seorang lelaki yang beriman. Saya masih ingat dia menceritakan bagaimana dia menerima berkat bapa bangsanya sendiri. Dalam jurnalnya, dia mencatat: “Bapa bangsa menjanjikan kurnia kesembuhan. Dia berkata, ‘Yang sakit akan disembuhkan. Ya, orang mati akan dibangunkan di bawah tanganmu.’”

Bertahun kemudian, Datuk sedang menyusun jerami apabila dia terdorong untuk pulang ke rumah. Dia disambut oleh ayahnya yang datang menghadapinya. “Grant, Ibu kamu sudah meninggal dunia,” kata bapanya.

Saya memetik lagi dari jurnal Datuk: “Saya tidak berhenti tetapi bergegas ke rumah dan ke anjung depan di mana dia terbaring di atas katil. Saya melihat dia dan tidak ada tanda-tanda bernyawa lagi. Saya teringat berkat bapa bangsa saya dan janji jika saya setia, melalui iman saya orang sakit akan disembuhkan; dan orang mati akan dibangunkan. Saya meletakkan tangan di kepalanya, dan saya memberitahu Tuhan jika janji yang Dia buat melalui bapa bangsa adalah benar, buktikannya pada masa ini dan hidupkan semula ibu saya. Saya berjanji kepada-Nya jika Dia akan melakukan ini, saya tanpa ragu-ragu akan melakukan semua dalam kuasa saya untuk membina kerajaan-Nya. Semasa saya berdoa, ibu membuka mata dan berkata, ‘Grant, bantu saya duduk. Saya telah berada di Dunia Roh, tetapi kamu memanggil saya kembali. Jadikan ini kesaksian kepada kamu dan seluruh keluarga kita.’”

Presiden Russell M. Nelson telah mengajar kita untuk cari dan harapkan mukjizat.6 Saya bersaksi kerana imamat telah dipulihkan, kuasa dan wewenang Tuhan berada di atas bumi. Melalui panggilan dan majlis, lelaki dan wanita, muda dan tua, boleh terlibat dalam pekerjaan imamat. Ia adalah pekerjaan mukjizat, diawasi oleh para malaikat. Ia adalah pekerjaan syurga, dan ia memberkati semua anak Tuhan.

Pada tahun 1989, keluarga kami yang terdiri daripada tujuh orang pulang dari aktiviti luar bahagian. Ia sudah lewat. Lynette sedang mengandung anak ke-enam kami. Dia merasakan dorongan yang kuat untuk memasang tali pinggang keledarnya, yang dia lupa. Tidak lama selepas itu kami tiba di selekoh jalan raya; sebuah kereta melintasi garisan ke lorong kami. Memandu kira-kira 70 batu (112 km) sejam, saya berpusing untuk mengelak dari kereta yang datang. Van kami bergolek, tergelincir di lebuh raya, dan meluncur dari jalan, akhirnya berhenti, mendarat pada sebelah penumpang di tanah.

Hal seterusnya yang saya ingat adalah suara Lynette: “Shayne, kita perlu keluar melalui pintu kamu.” Saya tergantung di udara dengan tali pinggang keledar saya. Ia mengambil masa beberapa saat untuk sedar. Kami mula mengangkat setiap anak-anak dari van melalui tingkap saya, yang sekarang adalah siling van itu. Mereka menangis, tertanya-tanya apa yang telah berlaku.

Kemudian kami sedar bahawa anak perempuan kami yang berumur 10 tahun, Emily, telah hilang. Kami memanggil namanya, tetapi tidak ada jawapan. Ahli-ahli bahagian, yang juga dalam perjalanan pulang ke rumah, berada di tempat kejadian segera mencarinya. Keadaan sangat gelap waktu itu! Saya melihat ke dalam van sekali lagi dengan lampu suluh dan melihat tubuh kecil Emily terperangkap di bawah van. Saya menjerit dengan terdesak, “Kita harus alihkan van dari Emily.” Saya pegang bumbung dan menarik. Hanya ada beberapa orang yang mengangkat, tetapi van itu secara ajaib dapat diterbalikkan, mendedahkan badan Emily yang tidak bermaya.

Emily tidak bernafas. Mukanya kebiru-biruan. Saya berkata, “Kita perlu berikan dia berkat.” Seorang kawan dan ahli bahagian berlutut bersama saya dan dengan wewenang Imamat Melkisedek, dalam nama Yesus Kristus, kami memerintahkan dia untuk hidup. Pada ketika itu, Emily menarik nafas yang panjang.

Selepas pergelutan panjang itu, ambulans akhirnya tiba. Emily dikejarkan ke hospital. Paru-parunya cedera dan tendon lututnya terputus. Dibimbangi kerosakan otak kerana masa lama tanpa oksigen. Emily berada dalam koma selama satu setengah hari. Kami terus berdoa dan berpuasa untuk dia. Dia diberkati dengan kesembuhan penuh. Hari ini, Emily dan suaminya, Kevin, adalah ibu bapa kepada enam orang anak perempuan.

Ajaibnya, semua orang selamat. Bayi yang sedang dikandung oleh Lynette ialah Tyson. Dia juga dilindungi dan lahir pada bulan Februari berikutnya. Lapan bulan kemudian, selepas menerima tubuh fananya, Tyson kembali kepada Bapa Syurgawi. Dia adalah anak malaikat penjaga kami. Kami merasai pengaruhnya dalam keluarga kami dan berharap untuk bersama dia lagi.7

Mereka yang mengalihkan van dari Emily merasakan bahawa van itu ringan. Saya tahu bahawa malaikat syurgawi telah bergabung dengan malaikat duniawi untuk mengalihkan kenderaan itu dari tubuh Emily. Saya juga tahu bahawa Emily dihidupkan semula melalui kuasa imamat kudus.

Tuhan mengungkapkan kebenaran ini kepada para hamba-Nya: “Aku akan pergi di hadapan mukamu. Aku akan berada di kanan dan kirimu, dan Roh-Ku akan berada dalam hatimu, dan para malaikat-Ku di sekelilingmu, untuk menyokongmu.”8

Saya bersaksi bahawa “Imamat Kudus, menurut Tarekat Putera Tuhan”9—Imamat Melkisedek—dengan kunci-kunci, wewenang, dan kuasanya telah dipulihkan ke bumi ini, di zaman akhir. Saya tahu meskipun tidak semua keadaan terjadi seperti yang kita harapkan dan doakan, mukjizat Tuhan akan sentiasa datang mengikut kehendak-Nya, masa-Nya, dan rancangan-Nya untuk kita.

Jika anda menghasratkan berkat-berkat imamat, termasuk mukjizat dan pelayanan para malaikat, saya menjemput anda untuk berjalan di jalan perjanjian yang Tuhan telah sediakan untuk kita semua. Para ahli dan pemimpin Gereja yang mengasihi anda akan membantu anda mengambil langkah seterusnya.

Saya bersaksi bahawa Yesus Kristus, Putera Tuhan, hidup dan memimpin Gereja-Nya melalui nabi hidup yang memegang dan menjalankan kunci-kunci imamat. Roh Kudus itu benar. Juruselamat memberi nyawa-Nya untuk menyembuhkan kita, memulihkan kita, dan membawa kita pulang.

Saya bersaksi bahawa mukjizat tidak berhenti, para malaikat berada di kalangan kita, dan syurga benar-benar terbuka. Ia terbuka luas! Dalam nama Yesus Kristus, amin.