Beriman Sampai Akhir
Dengan tangan-Nya, anda akan dapat mengalahkan setiap Goliat yang muncul dalam hidup anda.
Rakan muda yang dikasihi, hari ini saya ingin berucap langsung kepada anda—remaja Gereja.
Sudah setahun sejak Presidensi Umum Remaja Puteri kita dipanggil. Banyak telah berlaku dalam tahun yang lalu ini!
Kami telah bertemu dengan ramai daripada anda dan telah mengkaji ajaran Kristus bersama. Kami telah menyanyi, mendapat kawan baharu, dan melayani bersama anda dalam komuniti kita. Kami telah diperkuatkan dengan mendengar kesaksian anda di persidangan remaja dan acara dunia. Dan kita telah menyembah bersama di rumah Tuhan.
Setiap kali kita telah berkongsi pesanan daripada Tuhan kita Yesus Kristus. Malam ini juga sama; saya ada pesanan untuk anda, remaja Gereja Yesus Kristus.
Soalan-soalan Besar
Pernahkah anda tertanya-tanya bagaimana anda boleh setia kepada Tuhan sementara hidup dalam dunia yang berdosa? Di manakah anda mendapat kekuatan untuk maju ke hadapan dan terus berbuat baik? Bagaimanakah anda mengalami kebahagiaan sejati?
Saya rasa pengalaman Daud dan Goliat1 boleh membantu.
Daud dan Goliat
Dalam Perjanjian Lama, tentera Filistin bertempur melawan orang Israel, dan setiap pagi dan setiap petang, seorang gergasi Filistin bernama Goliat mencabar mana-mana orang Israel untuk melawannya.
Daud tinggal di kalangan orang Israel, seorang pengembala muda yang lebih kecil daripada Goliat tetapi memiliki iman yang besar kepada Yesus Kristus! Daud menawarkan diri untuk berperang. Malah raja cuba menghalangnya, tetapi Daud memilih untuk meletakkan kepercayaannya kepada Yesus Kristus.
Sebelum ini, Daud pernah melawan singa dan juga beruang. Dari pengalaman ini, dia tahu bahawa Tuhan telah melindunginya dan membuatnya menang. Bagi Daud, tujuan Tuhan adalah tujuan yang paling penting. Oleh itu, penuh iman kepada Tuhan yang tidak akan meninggalkannya, dia mengumpulkan lima batu licin, mengambil ali-alinya, dan pergi menghadap gergasi itu.
Tulisan suci memberitahu kita bahawa batu pertama yang Daud lempar terkena pada dahi Goliat, mengakhiri nyawanya.2
Mencari Jawapan
Walaupun Daud hanya menggunakan satu batu untuk membunuh Goliat, dia siap sedia dengan lima batu. Dengan lima! Ini membuat saya berfikir tentang bagaimana saya boleh menyediakan diri untuk menghadapi dunia.
Bagaimana jika setiap batu Daud mewakili kekuatan yang kita perlukan untuk menang dalam hidup kita? Apakah lima batu itu? Saya fikir tentang kemungkinan ini:
-
Batu kasih saya kepada Tuhan.
-
Batu iman saya kepada Juruselamat kita, Yesus Kristus.
-
Batu pengetahuan tentang identiti sebenar saya.
-
Batu pertaubatan harian saya.
-
Batu akses saya kepada kuasa Tuhan.
Mari kita bincangkan bagaimana kita diberkati oleh kekuatan ini.
Pertama, batu kasih saya kepada Tuhan. Mengasihi Tuhan ialah perintah pertama yang terbesar.3 Panduan Untuk Kekuatan Remaja mengajar kita: “Tuhan mengasihi anda. Dia Bapa anda. Kasih sempurna-Nya boleh mengilhami anda untuk mengasihi-Nya. Apabila kasih anda terhadap Bapa Syurgawi menjadi pengaruh yang paling penting dalam hidup anda, banyak keputusan menjadi lebih mudah.”4
Kasih kita kepada Tuhan dan perhubungan rapat kita dengan Dia memberi kita kekuatan yang diperlukan untuk mengubah hati kita dan mengatasi cabaran dengan lebih mudah.
Kedua, batu iman saya kepada Juruselamat kita, Yesus Kristus. Apabila Yesus Kristus datang ke bumi, Dia menderita untuk dosa-dosa kita5 dan Dia mengambil ke atas diri-Nya dukacita, kesakitan, kelemahan, dan penyakit fizikal dan mental kita. Sebab itu Dia tahu bagaimana untuk membantu kita. Beriman kepada Yesus Kristus bermaksud mempercayai sepenuhnya pada kebijaksanaan-Nya, masa-Nya, kasih-Nya, dan kuasa-Nya untuk menebus dosa-dosa kita. Batu iman kepada Yesus Kristus akan mengalahkan mana-mana “gergasi” dalam hidup kita.6 Kita boleh mengatasi dunia yang terjatuh ini kerana Dia mengatasinya dahulu.7
Nombor tiga, batu pengetahuan identiti sebenar saya. Nabi terkasih kita, Presiden Russell M. Nelson, mengajar kita bahawa identiti terpenting kita adalah sebagai anak-anak Tuhan, anak-anak perjanjian, dan pengikut Yesus Kristus.8
Semuanya berubah apabila saya tahu siapa saya sebenarnya.9 Apabila saya meragui kebolehan saya, saya sering mengulangi dalam fikiran saya atau dengan lantang, “Saya adalah anak perempuan Tuhan, saya adalah anak perempuan Tuhan,” seberapa banyak kali yang saya perlukan sehingga saya sekali lagi berasa yakin untuk teruskan.
Keempat, batu pertaubatan harian saya. Dalam panduan Untuk Kekuatan Remaja , kita membaca: “Pertaubatan bukan hukuman untuk dosa; ia merupakan cara Juruselamat membebaskan kita dari dosa. Untuk bertaubat bermaksud untuk berubah—untuk berpaling daripada dosa dan kepada Tuhan. Ia bermaksud untuk menambah baik dan menerima keampunan. Perubahan seperti ini bukanlah suatu peristiwa yang berlaku hanya sekali; ia suatu proses yang berterusan.”10
Tiada yang lebih membebaskan daripada merasakan pengampunan Tuhan dan mengetahui bahawa kita bersih dan berdamai dengan-Nya. Pengampunan adalah mungkin untuk semua orang.
Batu kelima ialah batu akses saya kepada kuasa Tuhan. Perjanjian yang kita buat dengan Tuhan, seperti yang kita buat dalam tatacara pembaptisan, berikan kita akses kepada kuasa ketuhanan.11 Kuasa Tuhan adalah kuasa sebenar yang membantu kita menghadapi cabaran, membuat keputusan yang baik, dan meningkatkan keupayaan kita untuk menahan situasi yang sukar. Ia adalah kuasa di mana kita boleh berkembang dalam kebolehan tertentu yang kita perlukan.12
Panduan Untuk Kekuatan Remaja menjelaskan: “Perjanjian mendorong anda kepada Bapa Syurgawi dan Juruselamat. Perjanjian meningkatkan kuasa Tuhan dalam hidup anda.”13
Marilah kita bercakap tentang perhubungan itu. Ingat apabila Kristus mengajar perbezaan di antara rumah yang dibina di atas batu dan di atas pasir?14 Elder Dieter F. Uchtdorf menjelaskan: “Sebuah rumah tidak dapat bertahan dalam ribut kerana rumah itu kuat. Ia juga tidak bertahan hanya kerana batu itu kuat. Rumah itu selamat dalam ribut kerana ia dilandaskan dengan kuat kepada batu yang kuat itu. Ia adalah kekuatan berhubung dengan batu yang penting.”15
Hubungan peribadi kita dengan Yesus Kristus akan memberi kita keberanian dan keyakinan untuk maju ke hadapan di tengah-tengah orang yang tidak menghormati kepercayaan kita atau siapa yang membuli kita. Kristus jemput kita untuk sentiasa simpan Dia dalam fikiran kita; Dia beritahu kita, “Lihatlah kepada-Ku dalam setiap pemikiran.”16 Memikirkan tentang Juruselamat memberi kita kejelasan fikiran untuk membuat keputusan, bertindak tanpa ketakutan, dan untuk mengatakan tidak kepada apa yang bertentangan dengan ajaran Tuhan.17 Apabila hari saya susah dan saya rasa saya tidak dapat menahan lagi, berfikir tentang Kristus membawakan saya kedamaian dan memberi saya harapan.
Bagaimanakah kita boleh menggunakan kuasa Yesus Kristus ini? Mematuhi perjanjian kita dan meningkatkan iman kita kepada Yesus Kristus adalah kuncinya.
Saya sebenarnya berharap Daud memiliki satu lagi batu; iaitu batu kesaksian saya. Kesaksian kita dibina oleh pengalaman rohani peribadi di mana kita mengenali pengaruh ilahi dalam hidup kita.18 Tiada siapa yang boleh mengambil pengetahuan itu daripada kita. Mengetahui apa yang kita tahu kerana menjalani pengalaman rohani kita adalah tidak ternilai. Berpegang teguh pada pengetahuan itu memberi kita kebebasan. Ia memberi kita kebahagiaan! Jika kita mengasihi kebenaran, kita akan mencarinya, dan apabila kita menemuinya, kita akan mempertahankannya.19
Satu Jemputan
Sama seperti saya memilih batu nombor enam, saya menjemput anda untuk bertemu dengan kelas, kuorum, atau keluarga anda dan berfikir tentang kekuatan lain yang perlu anda peroleh untuk kekal beriman kepada Tuhan dan, dengan itu, mengatasi dunia.
Perjanjian
Rakan yang dikasihi, Kristus ingin menemani kita dalam perjalanan hidup kita. Saya berjanji kepada anda, semasa anda berpegang pada batang besi, anda akan berjalan berganding bahu dengan Yesus Kristus.20 Dia akan membimbing anda, dan Dia akan mengajar anda.21 Dengan tangan-Nya , anda akan dapat mengalahkan setiap Goliat yang muncul dalam hidup anda.
Kesaksian
Saya bersaksi bahawa terdapat kebahagiaan dalam berdoa setiap hari, dalam membaca Kitab Mormon setiap hari, dalam mengambil sakramen setiap Ahad, dan pergi ke seminari—bahkan pada awal pagi! Terdapat kebahagiaan dalam berbuat baik.
Terdapat kebahagiaan dalam beriman kepada Tuhan seluruh alam, Juruselamat dunia, Raja kepada raja-raja. Terdapat kebahagiaan dalam menjadi pengikut Yesus Kristus.
Tuhan ialah Bapa kita. Dia tahu hasrat hati dan kemungkinan anda, dan Dia percayai anda.
Remaja yang dikasihi, Yesus Kristus akan membantu anda untuk beriman sampai akhir. Atas kebenaran ini, saya bersaksi dalam nama Yesus Kristus, amin.