Persidangan Umum
Dalam Menyokong Generasi Muda
persidangan umum April 2024


11:14

Dalam Menyokong Generasi Muda

Ia adalah hubungan dalam kehidupan remaja yang mempunyai pengaruh terbesar dalam pilihan mereka.

Dalam persediaan untuk berbicara kepada anda, saya tertarik kepada cerita Helaman dan para putera teruna orang Amon. Saya merasakan kuasa para nabi Kitab Mormon mengajar ibu bapa, para uskup, dan ahli-ahli bahagian melalui kajian laporan ini.

Helaman mendapat kepercayaan pemuda Bangsa Amon. Dia membantu mereka berkembang dalam kesolehan. Mereka mengenali dan mengasihinya dan “menghendaki agar [dia] menjadi pemimpin mereka.”1

Helaman mengasihi para pemuda ini seperti anak-anaknya dan melihat potensi mereka.2 Elder Dale G. Renlund mengajar bahawa “untuk melayani orang lain dengan berkesan, kita perlu melihat mereka … melalui mata Bapa Syurgawi. Hanyalah dengan itu kita boleh mula memahami nilai sebenar suatu jiwa. Hanya demikian kita boleh merasai kasih Bapa Syurgawi terhadap kesemua … anak-Nya.”3 Para uskup hari ini diberkati dengan kebijaksanaan untuk melihat identiti ilahi remaja di bawah jagaan mereka.

Helaman “menghitung”4 para pemuda di bawah jagaannya. Dia utamakan membina hubungan kuat dengan mereka.

Ketika soal hidup dan mati perlu dipertimbangkan, Helaman dan para pahlawan mudanya kehilangan jejak tentera yang mengejar mereka. Helaman berunding dengan remaja itu:

“Lihatlah, kita tidak tahu sama ada mereka telah berhenti untuk maksud agar kita hendaknya datang melawan mereka …

“Oleh itu apa katamu, para puteraku … ?”5

Para putera muda beriman ini menjawab, “Bapa, lihatlah Tuhan kita berserta kita, dan Dia tidak akan membiarkan bahawa kita akan jatuh; maka marilah kita pergi.”6 Mereka menang kerana Helaman menyokong keputusan para putera muda ini7 untuk bertindak.8

Para pemuda bangsa Amon ada tujuan yang hebat dan mereka berani dalam “menyokong orang.”9 “Pasukan kecil ini,” yang Helaman pimpin, menyebarkan “harapan yang besar dan banyak sukacita”10 ke dalam hati tentera Orang Nefi yang berpengalaman. Uskup hari ini boleh memimpin para remaja mereka dalam memberkati bahagian dan mengumpulkan Israel. Presiden Russell M Nelson telah mengajar inilah misi “yang [mereka] telah diutus ke bumi.”11

Seperti para pemuda Bangsa Amon yang “jujur pada setiap masa dalam hal apa pun yang dipercayakan kepada mereka,”12 Helaman mengikuti para pemimpinnya dengan setia. Tidak kira apa pun cabaran, Helaman selalu kekal “bertekad dengan suatu keazaman”13 untuk memajukan tujuan mereka. Apabila dia diarahkan untuk “bergerak maju bersama para putera muda[nya],”14 dia menuruti.

Remaja hari ini diberkati semasa para uskup mengikuti panduan pemimpin kita untuk “berunding dengan presiden Remaja Puteri bahagian.”15 Presiden pancang memastikan uskup dan presiden Remaja Puteri diarahkan dalam memenuhi tanggungjawab mereka untuk remaja16

Helaman menghormati perjanjian. Apabila Amon mengajar injil kepada ibu bapa para pemuda itu, ibu bapa ini menerimanya dengan hati terbuka. Mereka begitu komited pada kehidupan baharu sebagai pengikut soleh sehingga mereka membuat perjanjian untuk “meletakkan senjata pemberontakan mereka.”17 Satu-satunya hal yang membuat mereka melanggar perjanjian ini atau kembali ke masa lampau mereka, adalah melihat bangsa Nefi dalam bahaya.

Bangsa Amon mahu membantu orang-orang yang telah memberi mereka rumah yang selamat. Helaman, bersama yang lain, memujuk mereka untuk mentaati perjanjian mereka untuk tidak bertempur. Dia lebih mempercayai kekuatan Tuhan daripada kekuatan pedang dan anak panah Bangsa Amon.

Apabila Helaman dan pahlawan mudanya menghadapi cabaran, Helaman tetap berdiri teguh. “Tetapi, lihatlah, itu tidak penting—kami percaya Tuhan akan membebaskan kami.”18 Pada suatu masa, ketika mereka hampir mati kelaparan, mereka bertindak dengan “mencurahkan jiwa [mereka] dalam doa kepada Tuhan, agar Dia akan menguatkan [mereka] dan membebaskan [mereka] … [dan] Tuhan … mengunjungi [mereka] dengan kepastian bahawa Dia akan membebaskan [mereka]”19 “kerana iman mereka yang besar pada apa yang telah diajarkan untuk mereka percaya.”20

Kita belajar daripada Helaman bahawa para pemuda ini disokong oleh ibu bapa mereka. Ibu bapa yang beriman ini tahu tanggungjawab utama mereka untuk mengajar anak-anak mereka. Mereka mengajar anak-anak mereka untuk mentaati perintah dan “berjalan dengan lurus”21 di hadapan Tuhan. Ibu mereka mengajar “jika mereka tidak ragu, Tuhan akan membebaskan mereka.”22 Bapa mereka menjadi teladan yang berkuasa dalam membuat perjanjian.23 Bekas pahlawan ini tahu kengerian pertempuran. Mereka mempercayakan anak lelaki mereka yang tidak berpengalaman kepada Helaman dan menyokong mereka dengan menghantar “banyak bekalan.”24

Helaman tidak bersendirian ketika dia melayani tentera mudanya. Dia ada orang di sekelilingnya yang menyokong dan membimbingnya. Dia meminta bantuan Kapten Moroni dan menerimanya.

Tiada orang yang melayani bersendirian dalam kerajaan Tuhan. Tuhan telah memberkati kita dengan bahagian dan pancang. Melalui organisasi-Nya yang dipulihkan, kita ada sumber-sumber, kebijaksanaan, dan ilham untuk mengharungi sebarang cabaran.

Seorang uskup menyediakan panduan untuk bahagian melalui majlis.25 Dia menggalakkan temu duga pelayanan suku tahunan dan kemudian menggalakkan kuorum penatua dan Lembaga Pertolongan untuk memenuhi tanggungjawab mereka dalam melayani keluarga. Presidensi ini memimpin dalam menilai keperluan dan mencari penyelesaian yang diilhamkan. Presiden pancang menawarkan sokongan dengan mengajar ahli presidensi kuorum penatua dan Lembaga Pertolongan dalam tanggungjawab ini.

Panduan yang diperlukan untuk para pemimpin dan ibu bapa tersedia dalam aplikasi Gospel Library dan Gospel Living. Dalam sumber-sumber yang diilhamkan ini, kita boleh temui tulisan suci, ajaran nabi moden, dan Buku Panduan Umum. Tab Remaja dalam Gospel Library ada banyak sumber untuk kuorum dan presidensi kelas26 dan ada Untuk Kekuatan Remaja: Panduan untuk Membuat Pililhan. Semasa semua ahli bahagian mengkaji sumber-sumber yang diilhamkan ini dan mencari bimbingan Roh, setiap orang boleh diarahkan oleh Tuhan dalam menguatkan para remaja.

Seluruh bahagian akan diberkati dan diperkuatkan apabila para ahli fokus pada generasi muda. Walaupun ketidaksempurnaan dan kekurangan kita, Bapa Syurgawi menjemput setiap kita , melalui penemanan Roh-Nya, untuk menjangkau orang lain. Dia tahu bahawa kita berkembang dan disucikan apabila kita mengikuti dorongan Roh Kudus.27 Tidak kira jika usaha kita tidak sempurna. Apabila kita bekerjasama dengan Tuhan, kita boleh percaya bahawa usaha kita akan selari dengan apa yang Dia akan lakukan untuk remaja.

Dengan mengikuti bimbingan Roh Kudus dalam menjangkau remaja, kita menjadi saksi-saksi kasih Bapa Syurgawi dalam hidup mereka. Bertindak atas dorongan daripada Tuhan membina hubungan kasih dan kepercayaan. Ia adalah hubungan dalam kehidupan remaja yang mempunyai pengaruh terbesar dalam pilihan mereka.

Remaja akan mempelajari corak wahyu apabila mereka menyertai kita dalam proses mencari dan bertindak atas dorongan untuk melayani orang lain. Apabila remaja berpaling kepada Tuhan untuk panduan berilham ini, hubungan mereka dan kepercayaan dalam-Nya akan mendalam.

Kita menyatakan keyakinan kita kepada para remaja dengan menawarkan sokongan dan panduan, tanpa mengambil alih.28 Semasa kita berundur dan membenarkan para remaja belajar melalui berunding bersama, memilih jalan yang diilhamkan, dan melaksanakan rancangan mereka, mereka akan mengalami sukacita dan perkembangan yang sebenar.

Presiden Henry B. Eyring mengajar: “hal terpenting ialah apa yang mereka belajar dari [anda] mengenai siapa mereka sebenarnya dan apa yang mereka dapat menjadi. Saya rasa mereka tidak akan belajar banyak melalui leteran. Mereka akan belajar melalui siapa anda, tanggapan anda terhadap mereka, dan harapan anda bagi mereka.”29

Remaja kita mengagumkan kita dengan keberanian, iman, dan kebolehan mereka. Apabila mereka memilih untuk menjadi pengikut Yesus Kristus sepenuhnya, injil-Nya akan terukir di dalam hati mereka. Mengikuti Tuhan akan menjadi sebahagian daripada identiti mereka, bukan sahaja hal yang mereka lakukan.

Helaman membantu pemuda Bangsa Amon melihat cara hidup seorang pengikut Yesus Kristus yang berani. Kita boleh menjadi teladan yang berkuasa kepada remaja tentang cara hidup pengikut Kristus hari ini. Ibu bapa yang beriman doakan contoh-contoh ini dalam kehidupan anak-anak mereka. Tidak ada program yang boleh menggantikan pengaruh orang dewasa yang penuh kasih dan mentaati perjanjian.

Sebagai presiden kuorum imam, uskup boleh menjadi teladan kepada remaja bagaimana untuk menjadi suami yang setia dan bapa yang penyayang30 dengan melindungi, menyediakan, dan memimpin31 dalam cara-cara soleh. Para uskup, dengan “fokus tinggi kepada remaja,”32 akan mempunyai pengaruh yang berkekalan selama bergenerasi.

Remaja hari ini adalah di antara roh-roh Bapa Syurgawi yang paling mulia33. Mereka adalah antara pembela kebenaran dan hak pilihan yang setia di dunia prafana.34 Mereka dilahirkan pada zaman ini untuk mengumpulkan Israel melalui kesaksian berkuasa mereka dalam Tuhan Yesus Kristus. Dia mengenali setiap mereka dan tahu potensi hebat mereka. Dia bersabar semasa mereka berkembang. Dia akan menebus dan melindungi mereka. Dia akan menyembuhkan dan membimbing mereka. Dia akan mengilhami mereka. Kita, ibu bapa dan para pemimpin, telah disediakan untuk menyokong mereka. Kita ada Gereja Juruselamat untuk membantu kita membesarkan generasi seterusnya.

Saya bersaksi bahawa Gereja Kristus, dipulihkan melalui Nabi Joseph Smith dan dipimpin oleh Presiden Russell M. Nelson hari ini, telah diorganisasikan untuk membantu remaja memenuhi tujuan hebat mereka pada zaman akhir ini. Dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Alma 53:19.

  2. “Dan jika mahu, … Anda boleh menjadi sebahagian sesuatu yang besar, hebat, dan agung! … Anda di kalangan paling baik yang Tuhan pernah hantar ke dunia ini. Anda memiliki keupayaan untuk menjadi lebih cerdas, bijak, dan berpengaruh di dunia berbanding dengan generasi lain!” (Russell M. Nelson, “Hope of Israel” [pertemuan rohani remaja sedunia, 3 Jun 2018], Gospel Library).

  3. Dale G. Renlund, “Melalui Mata Tuhan,” Liahona, Nov. 2015, 94.

  4. Alma 56:55.

  5. Alma 56:43–44.

  6. Alma 56:46.

  7. “Matlamat Bapa Syurgawi dalam keibubapaan bukanlah untuk anak-anak-Nya melakukan apa yang betul; ia adalah supaya anak-anak-Nya memilih untuk melakukan apa yang baik” (Dale G. Renlund, “Tentulah Sekarang,” Liahona, Nov. 2018, 104).

  8. “Ketika kita memperkuatkan para remaja dengan menjemput dan membiarkan mereka untuk bertindak, Gereja akan maju dengan penuh mukjizat” (dari mesyuarat dengan Elder David A. Bednar; lihat juga 2020 Temple and Family History Leadership Instruction, 27 Feb, 2020, Gospel Library).

  9. Alma 53:22.

  10. Alma 56:17.

  11. Russell M. Nelson, “Hope of Israel,” Gospel Library.

  12. Alma 53:20.

  13. Alma 58:12.

  14. Alma 56:30.

  15. Buku Panduan Umum: Melayani dalam Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, 7.1.2, Gospel Library.

  16. Lihat Buku Panduan Umum, 6.7.2.

  17. Alma 23:7.

  18. Alma 58:37.

  19. Alma 58:10–11.

  20. Alma 57:26.

  21. Alma 53:21.

  22. Alma 56:47.

  23. Lihat Alma 23:7; 24:17–19.

  24. Alma 56:27.

  25. Lihat Buku Panduan Umum, 7.1.1.

  26. “Apabila kita mencari kebenaran abadi, dua soalan berikut dapat membantu kita mengenali sama ada konsep itu datang dari Tuhan atau dari sumber lain: Adakah ia konsisten seperti diajar dalam tulisan suci dan oleh nabi hidup? Adakah konsep itu disahkan oleh kesaksian Roh Kudus? Tuhan mengungkapkan kebenaran ajaran melalui para nabi, dan Roh Kudus bersaksi tentang kebenaran kepada kita dan bantu kita mengaplikasinya” (John C. Pingree Jr., “Kebenaran Abadi,” Liahona, Nov. 2023).

  27. Lihat Ajaran dan Perjanjian 4:2–4.

  28. “Jika remaja [kita] tidak cukup dicabar [oleh pekerjaan Tuhan], mereka mungkin akan diatasi oleh dunia. … Berapa presidensi kuorum diaken dan pengajar yang tugas mereka hanya meminta seseorang untuk berdoa atau memberi sakramen? Saudara, roh-roh ini amat istimewa, dan mereka dapat melaksanakan tugas besar jika diberikan peluang!” (Neal A. Maxwell, “Unto the Rising Generation,” Ensign, Apr. 1985, 11).

  29. Henry B. Eyring, “Teaching Is a Moral Act” (ucapan yang diberikan pada persidangan tahunan Universiti Brigham Young, 27 Ogos, 1991), 3, speeches.byu.edu.

  30. Lihat “Tema Kuorum Imamat Harun,” Gospel Library.

  31. Lihat “Keluarga: Satu Perisytiharan Kepada Dunia,” Gospel Library.

  32. “Harapan kami adalah lembaga uskup akan memberikan penekanan dan tumpuan yang besar kepada tanggungjawab imamat remaja putera dan membantu mereka dalam tugas kuorum mereka. Pembimbing (adviser) dewasa Remaja Putera yang berkebolehan akan dipanggil untuk membantu presidensi kuorum Imamat Harun dan lembaga uskup dalam tugas mereka. Kami yakin bahawa lebih banyak remaja putera dan remaja puteri akan berjaya menghadapi cabaran dan kekal pada jalan perjanjian kerana tumpuan kuat seperti ini pada remaja kita” (Quentin L. Cook, “Pelarasan untuk Menguatkan Remaja,” Liahona, Nov. 2019).

  33. “Bapa Syurgawi telah menyediakan banyak roh-roh yang mulia—menurut saya, pasukan terbesar-Nya—pada fasa terakhir ini. Roh-roh mulia itu—wira-wira itu—ialah anda!” (Russell M. Nelson, “Hope of Israel,” Gospel Library).

  34. “Remaja yang anda kasihi mungkin adalah salah seorang pahlawan yang berani di sisi hak pilihan dan kebenaran. … Kita boleh membantu dalam cara kita bertindak balas terhadap keazaman mereka untuk memilih sendiri. Mereka akan tahu sama ada kita melihat mereka seolah-olah mereka adalah salah seorang pahlawan setia dari kewujudan prafana, masih komited untuk mempertahankan hak pilihan moral dan menyedari nilai besarnya dalam membawa kebahagiaan kepada mereka. Jika kita dapat melihat mereka sebagai pahlawan setia dari kewujudan prafana, kita juga mungkin melihat tuntutan kemerdekaan mereka sebagai tanda potensi mereka, tanda bahawa mereka sedang menguji kuasa hak pilihan yang akan membawa mereka kebahagiaan” (Henry B. Eyring, “A Life Founded in Light and Truth” [pertemuan rohani Brigham Young University ,15 Ogos, 2000], 3, 4, speeches.byu.edu).