Berdoalah, Dia Ada
Saya menjemput anda berdoa untuk tahu Bapa Syurgawi ada, berdoa untuk berkembang menjadi seperti Dia, dan berdoa untuk menunjukkan kasih-Nya kepada orang lain.
Saudara dan saudari, saya gembira bertindak atas tanggapan untuk berucap kepada kanak-kanak!
Anak-anak, mana pun anda berada di dunia, saya ingin berkongsi sesuatu dengan anda.
Bapa Syurgawi mengasihi anda! Anda anak-Nya. Dia kenal anda. Dia ingin memberkati anda. Saya sepenuh hati berdoa anda akan merasakan kasih-Nya.
Adakah anda suka menerima hadiah? Saya ingin bercakap tentang satu hadiah istimewa yang Bapa Syurgawi telah berikan untuk membantu anda. Iaitu hadiah berdoa. Doa adalah satu berkat! Kita boleh bercakap dengan Bapa Syurgawi pada bila-bila, dimana pun.
Ketika Yesus berada di bumi, Dia mengajar kita untuk berdoa. Dia berfirman, “Mintalah, dan kamu akan menerima.”1
Apakah kurnia yang anda boleh doakan? Ada banyak, tetapi hari ini saya ingin berkongsi tiga:
-
Berdoa untuk tahu.
-
Berdoa untuk berkembang.
-
Berdoa untuk menunjukkan.
Mari bercakap tentang setiap satu.
Pertama, Berdoa untuk Tahu
Apakah yang anda perlu tahu?
Terdapat satu lagu tentang doa yang kanak-kanak Sekolah Primer nyanyi di seluruh dunia. Ia bermula dengan satu soalan. Anda tahu apa lagu itu? Jika saya benar-benar berani, saya akan nyanyikannya untuk anda!
“Bapa, benarkah Engkau di Syurga? Mendengar dan menjawab setiap doa?”2
Bagaimanakah anda tahu bahawa Bapa Syurgawi benar-benar ada, walaupun anda tidak dapat melihat-Nya?
Presiden Russell M. Nelson telah menjemput anda untuk “luahkan isi hati anda kepada Bapa Syurgawi. … Dan kemudian dengar!”3 Dengarkan apa yang anda rasa dalam hati dan fikiran yang datang ke minda anda.4
Bapa Syurgawi mempunyai tubuh daging dan tulang yang dimuliakan dan merupakan Bapa roh anda. Kerana Bapa Syurgawi ada segala kuasa dan tahu segalanya, Dia dapat melihat semua anak-Nya5 dan boleh mendengar dan menjawab setiap doa. Anda boleh tahu sendiri bahawa Dia ada dan Dia mengasihi anda.
Apabila anda tahu bahawa Bapa Syurgawi adalah nyata dan Dia mengasihi anda, anda boleh hidup dengan keberanian dan harapan! “Berdoalah; berbicaralah, ’kan didengarkan-Nya.”6
Pernahkah anda merasa keseorangan? Suatu hari cucu perempuan kami Ashley yang berumur enam tahun, bermain tanpa kawan di taman permainan sekolah. Semasa dia berdiri di sana, berasa tidak penting dan tidak dipeduli, satu fikiran datang ke mindanya: “Tunggu! Saya tidak keseorangan! Saya ada Kristus!” Ashley berlutut di tengah-tengah taman permainan, melipat tangannya, dan berdoa kepada Bapa Syurgawi. Apabila dia membuka matanya, seorang gadis sebayanya berdiri di situ bertanya jika dia mahu main bersama. Ashley mula tahu, “Kita penting bagi Tuhan, dan kita tidak pernah keseorangan.”
Kadangkala anda mungkin ingin tahu mengapa sesuatu yang susah berlaku dalam hidup anda atau mengapa anda tidak menerima berkat yang anda doakan. Sering kali soalan terbaik untuk tanya kepada Bapa Syurgawi bukanlah mengapa tetapi apa.
Ingatkah ketika Nefi dan keluarganya lapar semasa mereka dalam perjalanan di padang belantara? Apabila Nefi dan saudara-saudaranya pergi memburu makanan, busur Nefi patah. Tetapi dia tidak bertanya mengapa.
Nefi membuat busur baharu dan bertanya bapanya, Lehi, ke mana dia patut pergi untuk mendapatkan makanan. Lehi berdoa, dan Tuhan menunjukkan ke mana Nefi patut pergi.7 Bapa Syurgawi akan membimbing anda apabila anda bertanya apa yang anda boleh lakukan dan apa yang anda boleh pelajari.
Kedua, Berdoa untuk Berkembang
Bapa Syurgawi ingin membantu anda untuk berkembang! Dia amat mengasihi kita sehingga Dia menghantar Putera-Nya, Yesus Kristus, untuk menunjukkan caranya.8 Yesus menderita, mati, dan dibangkitkan supaya kita boleh diampuni dari dosa-dosa kita dan berkembang untuk menjadi lebih seperti Dia.
Adakah anda ingin berkembang dalam kesabaran atau dalam kejujuran? Adakah anda ingin berkembang dalam kemahiran? Mungkin anda malu dan ingin berkembang dalam keberanian. “Berdoalah”,9 Dia ada! Melalui Roh-Nya, hati anda boleh berubah, dan anda boleh menerima kekuatan.
Kawan baharu saya Jonah menulis, “Saya sering gementar dalam perjalanan saya ke sekolah. Saya risau hal-hal seperti lewat, terlupa sesuatu, dan ujian. Ketika berumur 10 tahun, saya mula berdoa dalam perjalanan saya dan ibu ke sekolah. Saya meminta bantuan yang saya perlukan, dan saya juga berdoa untuk keluarga saya. Saya juga fikirkan hal-hal yang saya syukuri [Berdoa kepada Bapa Syurgawi] telah membantu saya. Kadangkala saya tidak segera rasa lega apabila keluar dari kereta, tetapi apabila tiba di kelas, saya berasa damai.”10
Iman Jonah semakin berkembang ketika dia berdoa setiap hari dan kemudian bergerak ke hadapan.
Ketiga, Berdoa untuk Menunjukkan
Anda boleh berdoa untuk bantu menunjukkan kasih Bapa Syurgawi kepada orang lain.11 Melalui Roh-Nya, Bapa Syurgawi akan bantu anda menyedari seseorang yang sedih supaya anda boleh menghiburkan mereka. Dia boleh bantu anda menunjukkan kasih-Nya dengan mengampuni seseorang. Dia boleh berikan anda keberanian untuk melayani seseorang dan berkongsi bahawa mereka adalah anak Tuhan. Anda boleh membantu orang lain mengenali dan mengasihi Yesus dan Bapa Syurgawi seperti anda.12
Sepanjang hidup, saya telah berdoa agar bapa saya akan menjadi ahli gereja Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Sejak kecil lagi, saya tahu betapa banyak berkat yang dia boleh terima. Keluarga kami boleh menerima berkat-berkat pemeteraian untuk keabadian. Keluarga, kawan-kawan, dan saya sering berdoa untuk dia, tetapi dia tidak menyertai Gereja. Bapa Syurgawi tidak memaksa sesiapa pun untuk membuat pilihan.13 Dia boleh menghantar jawapan kepada doa kita dengan cara lain.
Apabila saya cukup umur, saya menerima berkat bapa bangsa saya. Dalam berkat itu, bapa bangsa memberitahu bahawa hal terbaik yang saya boleh lakukan untuk bantu keluarga saya bersama di syurga adalah untuk menjadi teladan injil Yesus Kristus. Itulah yang saya boleh lakukan!
Bapa saya hidup sehingga umur 86. Lima hari selepas dia meninggal dunia, saya menerima perasaan gembira yang kudus. Bapa Syurgawi melalui Roh-Nya memberitahu saya bahawa bapa saya ingin menerima berkat-berkat injil Yesus Kristus! Saya tidak akan lupa hari saya berlutut di sekeliling altar di bait suci bersama adik beradik saya untuk dimeteraikan kepada ibu bapa saya. Saya telah mula berdoa untuk berkat ini sejak di Sekolah Primer, dan saya menerimanya semasa saya seorang nenek.
Mungkin anda doakan berkat-berkat untuk keluarga anda dan orang yang anda kasihi. Janganlah berputus asa! Bapa Syurgawi akan menunjukkan kepada anda apa yang anda boleh lakukan.
Kongsi dengan Bapa Syurgawi isi hati anda.14 Semasa anda ikhlas meminta bantuan-Nya, anda akan menerima Roh-Nya untuk membimbing anda.15 Berdoa setiap hari akan memenuhi anda dengan kasih kepada Bapa Syurgawi dan Yesus Kristus. Ini akan membantu anda mahu mengikuti Mereka seumur hidup anda!
Bayangkan apa yang akan berlaku jika semua kanak-kanak di Afrika, Amerika Selatan, Asia, Eropah, Amerika Utara, dan Australia berdoa setiap hari. Seluruh dunia akan diberkati dengan kasih Tuhan!
Saya menjemput anda berdoa untuk tahu Bapa Syurgawi ada, berdoa untuk berkembang menjadi seperti Dia, dan berdoa untuk menunjukkan kasih-Nya kepada orang lain. Saya tahu Dia hidup dan mengasihi anda. “Berdoalah” Dia ada. Dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.