Persidangan Umum
Bersatu Dengan Kristus
persidangan umum April 2024


15:5

Bersatu Dengan Kristus

Kita bersatu melalui kasih dan iman kita kepada Yesus Kristus dan Korban Tebusan-Nya. Intipati tergolong yang sebenar adalah bersatu dengan Kristus.

Sejak muda saya ada perasaan mendalam tentang Korban Tebusan Yesus Kristus, tetapi realiti Korban Tebusan Juruselamat datang ketika saya berumur 25 tahun. Saya baru menamatkan Sekolah Undang-undang Stanford dan sedang belajar untuk peperiksaan peguam California. Ibu saya menelefon dan memberitahu, datuk saya Crozier Kimball, yang tinggal di Utah, sedang tenat. Dia berkata jika saya mahu melihat datuk, saya perlu pulang ke rumah. Datuk saya berumur 86 tahun dan sangat tenat. Kunjungan itu menakjubkan. Dia sangat gembira melihat saya dan berkongsi kesaksiannya dengan saya.

Ketika Crozier baru berumur tiga tahun, bapanya, David Patten Kimball, meninggal dunia pada usia 44 tahun.1 Crozier berharap ayah dan datuknya, Heber C. Kimball, akan menyetujui kehidupannya dan rasa dia telah setia kepada warisannya.

Nasihat utama datuk kepada saya adalah untuk elakkan rasa berhak atau keistimewaan kerana nenek moyang yang beriman ini. Dia memberitahu fokus saya haruslah pada Juruselamat dan Korban Tebusan Juruselamat. Dia berkata kita semua anak Bapa Syurgawi yang penuh kasih. Tidak kira siapa nenek moyang duniawi kita, setiap kita akan melaporkan kepada Juruselamat tentang seberapa baik kita mentaati perintah-Nya.

Datuk merujuk Juruselamat sebagai “Penjaga Pintu Gerbang,” rujukan kepada 2 Nefi 9:41. Dia berkata dia berharap dia telah cukup bertaubat untuk melayakkan diri untuk belas kasihan Juruselamat.2

Saya amat tersentuh. Saya tahu dia seorang lelaki yang soleh. Dia seorang bapa bangsa dan melayani beberapa misi. Dia mengajar saya bahawa tidak ada seorang pun dapat kembali kepada Tuhan hanya dengan perbuatan baik tanpa Korban Tebusan Juruselamat. Saya masih ingat kasih dan penghargaan datuk terhadap Juruselamat dan Korban Tebusan-Nya.

Pada tahun 2019 semasa tugasan di Yerusalem,3 saya melawat ruang atas yang mungkin berdekatan dengan tempat Juruselamat membasuh kaki para Rasul-Nya sebelum Penyaliban-Nya. Saya terharu dan memikirkan bagaimana Dia perintahkan para Rasul-Nya untuk saling mengasihi.

Saya ingat Doa Perantaraan Juruselamat bagi pihak kita. Doa ini berlaku pada waktu akhir kehidupan fana-Nya seperti yang dicatatkan dalam Injil Yohanes.

Doa ini diarahkan kepada para pengikut Kristus, termasuk kita semua.4 Dalam permohonan Juruselamat kepada Bapa-Nya, Dia merayu “supaya mereka semua menjadi satu; sebagaimana Engkau bersatu dengan-Ku dan Aku dengan-Mu. Semoga mereka menjadi satu dengan Kita.” Juruselamat kemudian meneruskan, “Aku memberi mereka kemuliaan yang Engkau berikan kepada-Ku, supaya mereka menjadi satu, seperti Engkau dan Aku satu juga.”5 Kesatuan adalah apa yang Kristus doakan sebelum Dia dikhianati dan disalibkan. Kesatuan dengan Kristus dan Bapa Syurgawi kita boleh diperoleh melalui Korban Tebusan Juruselamat.

Belas kasihan Tuhan yang menyelamatkan tidak bergantung pada keturunan, pendidikan, status ekonomi, atau bangsa. Ia berdasarkan kesatuan dengan Kristus dan perintah-perintah-Nya.

Nabi Joseph Smith dan Oliver Cowdery menerima wahyu tentang organisasi dan kerajaan Gereja pada tahun 1830, tidak lama selepas Gereja ditubuhkan. Apakah yang kini dikenali bahagian 20 telah Nabi Joseph bacakan pada persidangan Gereja pertama dan merupakan wahyu pertama yang diluluskan melalui persetujuan bersama.6

Kandungan wahyu ini benar-benar luar biasa. Ia mengajar kepentingan dan peranan Juruselamat dan bagaimana untuk mengakses kuasa dan berkat-Nya melalui rahmat korban tebusan-Nya. Nabi Joseph berumur 24 tahun dan telah menerima banyak wahyu dan melengkapkan penterjemahan Kitab Mormon melalui kurnia dan kuasa Tuhan. Joseph dan Oliver dikenali sebagai Para Rasul yang ditahbiskan, dengan demikian memiliki wewenang untuk mengetuai Gereja.

Ayat 17 sehingga 36 mengandungi ringkasan ajaran Gereja yang penting, termasuk realiti Tuhan, Penciptaan manusia, Kejatuhan, dan rancangan penyelamatan Bapa Syurgawi melalui Korban Tebusan Yesus Kristus. Ayat 37 mengandungi syarat penting untuk pembaptisan ke dalam Gereja Tuhan. Ayat 75 sehingga 79 menunjukkan doa sakramen yang kita gunakan setiap hari Sabat.

Ajaran, asas, sakramen, dan amalan yang Tuhan tubuhkan melalui Joseph Smith, Nabi Pemulihan, adalah benar-benar penting.7

Syarat pembaptisan, walaupun mendalam, ia adalah mudah. Ia termasuk kerendahan hati di hadapan Tuhan, hati yang hancur dan jiwa yang menyesal,8 bertaubat dari semua dosa, mengambil ke atas diri kita nama Yesus Kristus, bertahan sampai akhir, dan menunjukkan melalui pekerjaan kita bahawa kita telah menerima Roh Kristus.9

Ia penting bahawa semua kelayakan untuk pembaptisan adalah rohani. Tiada pencapaian ekonomi atau sosial yang diperlukan. Yang miskin dan yang kaya dikenakan syarat rohani yang sama.

Tidak ada syarat bangsa, jantina, atau kaum. Kitab Mormon menjelaskan bahawa semua dijemput untuk mengambil bahagian dalam kebaikan Tuhan, “hitam dan putih, terikat dan bebas, lelaki dan perempuan; … semua adalah sama bagi Tuhan.”10 “Semua manusia berhak istimewa yang seorang seperti yang lain, dan tiada yang dilarang.”11

Dengan “keserupaan” kita di hadapan Tuhan, ia tidak masuk akal untuk menekankan perbezaan kita. Sesetengah orang telah dengan salah menggalakkan kita “untuk membayangkan orang lain adalah lebih berbeza daripada kita sendiri dan dari satu sama lain berbanding mereka yang sebenarnya. [Ada yang] mengambil perbezaan nyata tetapi kecil, dan membesarkannya berlebihan.”12

Di samping itu, ada yang salah beranggapan kerana semua orang dijemput untuk menerima kebaikan dan kehidupan abadi-Nya, maka tidak ada syarat kelakuan.13

Namun, tulisan suci membuktikan semua orang yang bertanggungjawab diminta untuk bertaubat akan dosa-dosa dan mentaati perintah-perintah-Nya.14 Tuhan menjelaskan semua orang ada hak pilihan moral dan “bebas untuk memilih kemerdekaan dan kehidupan abadi, melalui Pengantara agung bagi semua manusia, … dan mematuhi perintah-perintah agung-Nya; dan setia kepada firman-Nya, dan memilih kehidupan abadi.”15 Untuk menerima berkat-berkat Korban Tebusan Juruselamat, kita mesti secara tegas menjalankan hak pilihan moral kita untuk memilih Kristus dan mematuhi perintah-perintah-Nya.

Dalam hidup saya, maksud “hak pilihan” dan “keinginan bebas” telah dibincangkan dengan mendalam. Terdapat banyak hujah intelektual tentang topik-topik ini.

Pada muka depan penerbitan alumni universiti utama baru-baru ini, seorang profesor biologi terkemuka menegaskan, “Tiada ruang untuk keinginan bebas.”16 Tidak menghairankan, profesor itu dipetik dalam artikel dengan berkata, “Tidak ada hal seperti Tuhan, … dan tidak ada keinginan bebas, … dan ini adalah alam semesta yang luas, tidak istimewa, kosong.”17 Saya sangat tidak bersetuju.

Satu ajaran asas iman kita adalah kita ada hak pilihan moral18 yang termasuk keinginan bebas.19 Hak pilihan adalah keupayaan untuk memilih dan bertindak. Ia sangat penting kepada rancangan keselamatan. Tanpa hak pilihan moral, kita tidak boleh belajar, maju, atau memilih untuk bersatu dengan Kristus. Kerana hak pilihan moral, kita “bebas untuk memilih kemerdekaan dan kehidupan abadi.”20 Dalam Majlis pra-fana di Syurga, rancangan Bapa termasuk hak pilihan sebagai elemen penting. Lusifer memberontak dan “berusaha untuk menghancurkan hak pilihan manusia.”21 Oleh itu, hak istimewa untuk memiliki tubuh fana dinafikan kepada Setan dan mereka yang mengikutinya.

Roh pra-fana lain menjalankan hak pilihan mereka dalam mengikuti rancangan Bapa Syurgawi. Roh-roh yang diberkati melalui kelahiran ke kehidupan fana ini terus mempunyai hak pilihan. Kita bebas untuk memilih dan bertindak, tetapi kita tidak dapat mengawal akibatnya. “Pilihan kebaikan dan kesolehan membawa kepada kebahagiaan, kedamaian dan kehidupan abadi sementara pilihan dosa dan kejahatan akhirnya membawa kepada kesakitan hati dan kesengsaraan.”22 Seperti kata Alma, “Kejahatan tidak pernah merupakan kebahagiaan.”23

Dalam dunia yang sangat kompetitif ini, terdapat usaha berterusan untuk cemerlang. Berusaha untuk menjadi versi terbaik kita adalah usaha yang soleh dan berbaloi. Ia selaras dengan ajaran Tuhan. Usaha untuk mengecilkan orang lain atau mencipta halangan kepada kejayaan mereka adalah bertentangan dengan ajaran Tuhan. Kita tidak boleh menyalahkan keadaan atau orang lain untuk keputusan bertindak bertentangan dengan perintah Tuhan.

Dalam dunia hari ini, mudah untuk fokus pada kejayaan pekerjaan dan benda duniawi. Ada yang kehilangan pilihan dan asas abadi yang mempunyai kepentingan abadi. Ia adalah bijak untuk mengikuti nasihat Presiden Russell M. Nelson untuk “berfikiran Selestial!”24

Pilihan terpenting boleh dibuat oleh hampir semua orang tanpa mengira bakat, kebolehan, peluang, atau keadaan ekonomi. Penekanan dalam mendahulukan pilihan keluarga adalah penting. Ini jelas di sepanjang tulisan suci. Fikirkan laporan dalam 1 Nefi di mana Lehi “berangkat ke dalam padang belantara. Dan dia meninggalkan rumahnya, dan negeri warisannya, dan emasnya, dan peraknya, dan benda berharganya, dan tidak membawa apa pun bersamanya, kecuali keluarganya.”25

Semasa kita menghadapi perubahan kehidupan, banyak peristiwa berlaku di mana kita mempunyai sedikit atau tidak ada kawalan. Cabaran kesihatan dan kemalangan termasuk dalam kategori ini. Pandemik COVID-19 baru-baru ini telah memberi kesan yang teruk kepada orang yang melakukan segalanya dengan betul. Untuk pilihan terpenting, kita dapat mengawalnya. Semasa saya masih misionari, presiden misi, Elder Marion D. Hanks, meminta kami semua menghafal sebahagian puisi oleh Ella Wheeler Wilcox:

Tiada peluang, tiada takdir, tiada nasib,

Boleh mengalahkan atau menghalang atau mengawal

Keazaman jiwa yang teguh.26

Mengenai hal-hal asas, kelakuan, pematuhan agama, dan kehidupan soleh, kita boleh mengawalnya. Iman dan penyembahan kita kepada Tuhan Bapa dan Putera-Nya, Yesus Kristus, adalah pilihan yang kita buat.27

Saya tidak cadangkan untuk mengurangi minat dalam pendidikan atau pekerjaan. Apa yang saya katakan adalah apabila usaha-usaha berkaitan dengan pendidikan dan pekerjaan ditumpukan melebihi keluarga atau bersatu dengan Kristus, akibat-akibat yang tidak diingini boleh menjadi sangat buruk.

Ajaran yang jelas dan sederhana dalam Ajaran dan Perjanjian 20 menyentuh dan meyakinkan kerana ia menguatkan dan menjelaskan konsep-konsep rohani kudus. Ia mengajar bahawa keselamatan datang apabila Yesus Kristus membenarkan dan menguduskan jiwa-jiwa yang bertaubat kerana rahmat Juruselamat.28 Ia menyediakan landasan untuk peranan utama Korban Tebusan-Nya.

Kita harus berusaha untuk memasukkan orang lain dalam lingkungan kesatuan kita. Jika kita mahu ikuti peringatan Presiden Russell M. Nelson untuk mengumpulkan Israel yang tercerai-berai di kedua-dua belah tirai, kita perlu memasukkan orang lain dalam lingkungan kesatuan kita. Seperti Presiden Nelson telah ajarkan dengan begitu indah: “Di setiap benua dan merentasi lembah-lembah laut, orang yang beriman sedang dikumpulkan ke Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir. Perbezaan budaya, bahasa, jantina, bangsa, dan kewarganegaraan lenyap dan tidak lagi penting apabila orang beriman memasuki jalan perjanjian dan datang kepada Penebus terkasih kita”29

Kita bersatu melalui kasih dan iman kita kepada Yesus Kristus dan sebagai anak-anak Bapa Syurgawi yang penuh kasih. Intipati tergolong yang sebenar adalah bersatu dengan Kristus. Tatacara pembaptisan dan sakramen dalam Ajaran dan Perjanjian 20, serta perjanjian bait suci kita menyatukan kita dalam cara yang istimewa dan membenarkan kita untuk bersatu dalam setiap cara yang penting selamanya dan hidup dalam kedamaian dan harmoni.

Saya bersaksi bahawa Yesus Kristus hidup, dan kerana Korban Tebusan-Nya, kita boleh bersatu dengan Kristus. Dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. David, pada umur 17, telah membantu membawa beberapa Orang Suci menyeberangi Sungai Sweetwater yang penuh ais ketika mereka terkandas di dataran tinggi Wyoming (lihat Saints: The Story of the Church of Jesus Christ in the Latter Days, jilid 2,No Unhallowed Hand, 1846–1893[2020], 237).

  2. Lihat Moroni 7:27–28.

  3. Ketua Rabbi dari Norway, Rabbi Michael Melchior, dan saya adalah pembicara utama di dialog sarjana Orang Yahudi-Orang Suci Zaman Akhir yang diadakan pada 5 Jun 2019, di Pusat BYU Yerusalem di Israel.

  4. Lihat Yohanes 17:20.

  5. Yohanes 17:21–22.

  6. Lihat “The Conference Minutes and Record Book of Christ’s Church of Latter Day Saints, 1838–1839, 1844” (dikenali sebagai Far West Record), 9 Jun, 1830, Church History Library, Salt Lake City; Steven C. Harper, Making Sense of the Doctrine and Covenants (2008), 75.

  7. Ajaran dan Perjanjian 20 adalah wahyu pertama yang diterbitkan dalam akhbar Gereja dan digunakan oleh misionari dengan kedua-dua ajaran dan pentadbiran tatacara pembaptisan dan sakramen (lihat Harper, Making Sense of the Doctrine and Covenants, 75).

  8. Lihat 2 Nefi 2:7.

  9. Lihat Ajaran dan Perjanjian 20:37.

  10. 2 Nefi 26:33.

  11. 2 Nefi 26:28.

  12. Peter Wood, Diversity: The Invention of a Concept (2003), 20.

  13. Nehor mengambil kedudukan ini (lihat Alma 1:4).

  14. Lihat Ajaran dan Perjanjian 29:49–50.

  15. 2 Nefi 2:27–28.

  16. Stanford (Penerbitan Stanford Alumni Association), Dis. 2023, halaman utama.

  17. Dalam Sam Scott, “As If You Had a Choice,” Stanford, Dis. 2023, 44. Artikel ini mengenal pasti profesor itu sebagai Robert Sapolsky, seorang profesor biologi, neurologi, dan pembedahan saraf di Stanford, dan penulis terbaik buku sains. Artikel ini mengandungi pandangan bertentangan termasuk daripada Alfred Mele, seorang profesor falsafah di Universiti Florida State, yang memimpin Projek Asas John Templeton besar tentang keinginan bebas. Dia menyatakan, “Para saintis pastinya belum membuktikan bahawa keinginan bebas—malah keinginan bebas yang bercita-cita tinggi—adalah ilusi” (dalam Scott, “As If You Had a Choice,” 46).

  18. Lihat D. Todd Christofferson, “Moral Agency” (pertemuan rohani Brigham Young University , 31 Jan, 2006), speeches.byu.edu.

  19. Lihat Ajaran dan Perjanjian 58:27.

  20. 2 Nefi 2:27.

  21. Musa 4:3.

  22. True to the Faith: A Gospel Reference (2004), 12.

  23. Alma 41:10.

  24. Lihat Russell M. Nelson, “Berfikiran Selestial!,” Liahona, Nov. 2023, 117–20.

  25. 1 Nefi 2:4.

  26. Poetical Works of Ella Wheeler Wilcox (1917), 129.

  27. Saya sentiasa menyukai petikan yang dikongsi oleh Elder Neal A. Maxwell yang menyatakan ini dengan cara yang paling ringkas: “Jika anda tidak memilih kerajaan Tuhan terlebih dahulu, pada akhirnya ia tidak akan mengubah apa yang anda telah pilih sebaliknya” (dikaitkan kepada William Law, seorang paderi Inggeris abad ke-18; dipetik dalam Neal A. Maxwell, “Response to a Call,” Ensign, Mei 1974, 112).

  28. Lihat Ajaran dan Perjanjian 20:29-31. Teologi Kalvinism menekankan justifikasi dan pengudusan jiwa yang jatuh melalui rahmat Yesus Kristus. Ia mengajar bahawa apabila Tuhan telah meramalkan jiwa untuk keselamatan, tiada apa pun yang dapat mengubah hasilnya. Ajaran dan Perjanjian 20 mengajar perbezaan yang jelas dengan Kalvinism. Ia membaca, “Ada suatu kemungkinan bahawa manusia boleh jatuh daripada rahmat dan meninggalkan Tuhan yang hidup” (lihat Ajaran dan Perjanjian 20:32–34, Harper, Making Sense of the Doctrine and Covenants, 74).

  29. Russell M. Nelson, “Building Bridges,” Liahona, Dis. 2018, 51.