Bangunlah! Yesus Memanggil Kamu
Injil bukanlah cara untuk mengelak cabaran dan masalah tetapi penyelesaian dalam meningkatkan iman kita dan belajar bagaimana untuk menanganinya.
Suatu ketika dahulu saya bertanya kepada isteri saya, “Mengapa sejauh yang saya ingat, kita tidak pernah ada masalah besar dalam hidup kita?”
Dia pandang saya, tersenyum, dan berkata, “Semestinya! Saya akan beritahu kamu mengapa kita tidak pernah hadapi masalah besar; ini kerana kamu ada ingatan jangka pendek!
Jawapannya yang cepat dan bijak sekali lagi menyedarkan saya bahawa menjalani injil Yesus Kristus tidak menyingkirkan kesakitan dan percubaan, ia diperlukan untuk berkembang.
Injil bukanlah cara untuk mengelak cabaran dan masalah tetapi penyelesaian dalam meningkatkan iman kita dan belajar bagaimana untuk menanganinya.
Saya rasa kebenaran ini beberapa bulan lalu, ketika saya berjalan, tiba-tiba penglihatan saya menjadi kabur, gelap, dan beralun. Saya rasa takut. Kemudian, doktor beritahu saya: Jika anda tidak segera mulakan rawatan, dalam masa beberapa minggu anda mungkin kehilangan penglihatan. Saya rasa lebih takut.
Dan kemudian, mereka berkata: Anda perlukan suntikan intravitreal—suntikan di mata—mata terbuka luas—setiap empat minggu, sepanjang hidup anda.
Itu amat mengejutkan.
Kemudian satu renungan datang dalam bentuk soalan. Saya bertanya diri sendiri: “OK! Penglihatan jasmani saya tidak baik, tetapi bagaimana dengan penglihatan rohani saya? Adakah saya perlukan rawatan [rohani]? Dan apakah maksudnya untuk ada penglihatan rohani yang jelas?”
Saya merenung tentang cerita seorang lelaki buta, bernama Bartimeus, yang digambarkan dalam injil Markus. Tulisan suci mengatakan, “Apabila orang buta itu mendengar bahawa yang sedang lalu di situ adalah Yesus orang Nasaret, dia mula berseru, “Yesus, Anak Daud! Kasihanilah hamba!”1
Secara teknikalnya, di mata banyak orang, Yesus hanyalah anak Yusuf, jadi mengapa Bartimeus memanggilnya “Anak Daud”? Kerana dia mengenali bahawa Yesus sememangnya Mesias, yang dinubuatkan akan dilahirkan sebagai keturunan Daud.2
Amat menarik bahawa lelaki buta ini, yang tiada penglihatan jasmani, mengenali Yesus. Dia lihat secara rohani apa yang dia tidak dapat lihat secara jasmani, sementara ramai yang lain dapat lihat Yesus secara jasmani, tetapi benar-benar buta secara rohani.
Dari cerita ini kita belajar lebih lanjut tentang penglihatan rohani yang jelas.
Kita membaca, “Orang ramai memarahi dia dan menyuruh dia diam. Tetapi lebih keras lagi dia berseru, “Anak Daud, kasihanilah saya!”3
Orang sekelilingnya memberitahu dia untuk diam, tetapi dia berseru lebih lagi kerana dia tahu siapa Yesus sebenarnya. Dia abaikan suara-suara itu dan berseru lebih lantang.
Dia bertindak dan bukannya ditindas. Walaupun keadaannya terhad, imannya melampaui batasannya.
Jadi, asas pertama yang kita pelajari adalah Kita kekalkan penglihatan rohani yang jelas apabila kita berfokus pada Yesus Kristus dan tetap setia kepada kebenaran yang kita tahu.
Saudara dan saudari, untuk memastikan penglihatan rohani kita tidak terjejas, kita perlu putuskan untuk abaikan suara-suara dunia di sekeliling kita. Dalam dunia yang mengelirukan ini, kita mesti kekal setia kepada apa yang kita tahu, setia kepada perjanjian kita, setia dalam mentaati perintah-perintah, dan menegaskan kepercayaan kita, bahkan lebih kuat, seperti lelaki ini lakukan. Kita perlu lebih lantang berkongsi kesaksian kita tentang Tuhan kepada dunia. Lelaki ini mengenali Yesus, kekal setia kepada apa yang dia percayai, dan tidak terganggu oleh suara-suara di sekelilingnya.
Terdapat banyak suara hari ini yang cuba merendahkan suara kita sebagai pengikut Yesus Kristus. Suara-suara dunia cuba membisukan kita, tetapi kerana itulah kita mesti mengisytiharkan kesaksian kita tentang Juruselamat dengan lebih lantang dan lebih kuat. Di antara semua suara dunia, Tuhan bergantung kepada anda dan saya untuk mengisytiharkan kesaksian kita, untuk mengangkat suara kita, dan menjadi suara-Nya. Jika kita tidak melakukannya, siapakah yang akan bersaksi tentang Yesus Kristus? Siapakah yang akan berbicara nama-Nya, dan mengisytiharkan misi ilahi-Nya?
Kita ada tanggungjawab rohani yang datang dari pengetahuan kita tentang Yesus Kristus.
Tetapi apakah yang Bartimeus lakukan selepas itu?
Selepas perintah Tuhan untuk bangunlah, dia bertindak dalam iman lagi.
Tulisan suci mengatakan, “Orang buta itu pun melempar jubahnya, lalu melompat dan pergi kepada Yesus.”4
Lelaki yang rendah hati dan beriman ini faham bahawa dia boleh bangun kepada kehidupan yang lebih baik menurut perintah Yesus. Dia tahu bahawa dia lebih baik daripada keadaannya, dan hal pertama yang dia lakukan ketika Yesus memanggilnya adalah membuang jubah pengemisnya.
Sekali lagi, dia bertindak dan bukannya ditindas.
Dia mungkin berfikir, “Saya tidak perlu ini lagi, sekarang Yesus telah datang ke dalam hidup saya. Ini hari baharu. Saya telah puas hidup menderita. Dengan Yesus saya boleh mulakan hidup baharu yang bahagia dan gembira dalam-Nya, bersama-Nya, dan melalui-Nya. Dan saya tidak peduli apa yang dunia fikirkan tentang saya. Yesus memanggil saya, dan Dia akan membantu saya menjalani kehidupan baharu.”
Ini perubahan yang luar biasa!
Semasa dia membuang jubah pengemisnya, dia membuang semua alasan.
Dan inilah asas kedua—Kita kekalkan penglihatan rohani yang jelas apabila kita meninggalkan manusia alamiah, bertaubat, dan memulakan kehidupan baharu di dalam Kristus.
Caranya adalah dengan membuat dan mentaati perjanjian untuk jalani kehidupan yang lebih baik melalui Yesus Kristus.
Selagi kita mencari alasan untuk mengasihani diri sendiri, sedih kerana keadaan dan masalah kita dan untuk semua hal buruk yang berlaku dalam hidup kita, dan bahkan semua orang jahat yang kita fikir membuat kita tidak gembira, kita [sebenarnya] memakai jubah pengemis di atas bahu kita. Kadang-kadang orang, secara sedar atau tidak telah menyakiti kita. Tetapi kita perlu putuskan untuk bertindak dengan iman kepada Kristus dengan menanggalkan jubah mental dan emosi yang mungkin kita masih pakai untuk sembunyikan alasan atau dosa, dan membuangnya, tahu bahawa Dia boleh dan akan menyembuhkan kita.
Bukanlah alasan yang baik untuk berkata, “Saya seperti ini kerana keadaan yang tidak diingini dan tidak menyenangkan. Dan saya tidak dapat berubah, dan saya dibenarkan berasa demikian.”
Apabila kita berfikiran demikian, kita putuskan untuk ditindaki.
Kita memakai jubah pengemis.
Bertindak dengan iman bermaksud bergantung pada Juruselamat kita, mempercayai bahawa melalui Korban Tebusan-Nya , kita boleh bangun melebihi segalanya, menurut perintah-Nya.
Asas ketiga ada dalam empat perkataan terakhir, “[dia] datang kepada Yesus.”
Bagaimanakah dia boleh pergi kepada Yesus walaupun dia buta? Satu-satunya cara untuk berjalan ke arah Yesus adalah dengan mendengar suara-Nya.
Dan inilah asas ketiga—Kita kekalkan penglihatan rohani yang jelas apabila kita mendengar suara Tuhan dan membenarkan Dia membimbing kita.
Seperti lelaki ini mengangkat suaranya melebihi suara di sekelilingnya, dia dapat mendengar suara Tuhan di tengah-tengah semua suara yang lain.
Inilah iman sama yang membenarkan Petrus berjalan di atas air selagi dia kekalkan tumpuan rohaninya kepada Tuhan dan tidak terganggu oleh angin di sekelilingnya.
Kemudian kisah lelaki buta ini berakhir dengan kata-kata “orang itu dapat melihat, lalu dia mengikut Yesus di jalan.”5
Satu pengajaran terpenting dalam cerita ini adalah lelaki ini menjalankan iman sejati kepada Yesus Kristus dan menerima mukjizat kerana dia bertanya dengan niat yang bersungguh-sungguh, niat yang bersungguh-sungguh untuk mengikuti-Nya.
Dan inilah sebab utama untuk berkat yang kita terima dalam kehidupan kita, iaitu untuk mengikuti Yesus Kristus. Ia adalah tentang mengenali Dia, membuat dan mentaati perjanjian dengan Tuhan kerana Dia, mengubah sifat kita melalui Dia, dan bertahan sampai akhir dengan mengikuti Dia.
Bagi saya, kekalkan penglihatan rohani yang jelas adalah tentang berfokus pada Yesus Kristus.
Jadi, adakah penglihatan rohani saya jelas, seperti saya mendapat suntikan mata saya? Jadi, siapa saya untuk mengatakan itu? Tetapi saya bersyukur atas apa yang saya lihat.
Saya dengan jelas melihat tangan Tuhan dalam pekerjaan kudus ini dan dalam hidup saya.
Saya lihat iman ramai orang di mana pun saya pergi, yang menguatkan iman saya sendiri.
Saya lihat para malaikat di sekeliling saya.
Saya lihat iman ramai yang tidak melihat Tuhan secara fizikal tetapi mengenali-Nya secara rohani, kerana mereka mengenali-Nya dengan rapat.
Saya bersaksi bahawa injil ini adalah jawapan untuk segalanya, kerana Yesus Kristus adalah jawapan bagi semua orang. Saya bersyukur atas apa yang saya dapat lihat semasa saya mengikut Juruselamat saya.
Saya berjanji bahawa apabila kita mendengar suara Tuhan dan membenarkan Dia membimbing kita di jalan perjanjian Juruselamat, kita akan diberkati dengan visi yang jelas, pemahaman rohani, dan kedamaian hati dan minda sepanjang hidup kita.
Semoga kita mengisytiharkan kesaksian kita tentang-Nya, lebih lantang daripada suara di sekeliling kita, di dunia yang perlu mendengar lebih banyak tentang Yesus Kristus. Semoga kita tanggalkan jubah pengemis, dan bangkit mengatasi dunia, kepada kehidupan yang lebih baik dalam dan melalui Kristus. Semoga kita hapuskan semua alasan untuk tidak ikuti Yesus Kristus dan cari semua sebab yang baik untuk ikuti-Nya, semasa kita dengar suara-Nya. Ini doa saya dalam nama Yesus Kristus, amin.