Kegembiraan yang Lebih Tinggi
Semoga kita semua cari dan temui kegembiraan yang lebih tinggi yang datang dari membaktikan hidup kita kepada Bapa Syurgawi dan Putera Terkasih-Nya.
Saya mempunyai berkat besar untuk berucap di persidangan umum selama tiga dekad sekarang. Pada masa itu, saya telah ditanya soalan berkaitan dengan pesanan-pesanan ini oleh ramai orang di seluruh dunia. Akhir-akhir ini, satu soalan tertentu sering ditanya. Ia seperti ini: “Elder Uchtdorf, saya teliti mendengar ucapan lalu anda tetapi … saya tidak dengar apa-apa tentang penerbangan?”
Selepas hari ini, saya mungkin tidak akan dengar soalan itu lagi buat sementara waktu.
Tentang “Keriangan Menembusi Awan”1
Sukar untuk percaya hanya 120 tahun lalu apabila Wilbur dan Orville Wright pertama kalinya berangkat dan terbang melalui pasir Kitty Hawk, Utara Carolina. Empat penerbangan pendek pada hari Disember itu mengubah dunia dan membuka pintu kepada salah satu ciptaan terhebat dalam sejarah dunia.
Penerbangan berisiko pada zaman awal itu. Adik beradik itu mengetahuinya. Begitu juga dengan ayah mereka, Milton. Malah, dia sangat takut kehilangan dua anak lelakinya dalam nahas kapal sehingga mereka berjanji bahawa mereka tidak akan terbang bersama.
Dan mereka tidak pernah melakukannya—dengan satu pengecualian. Tujuh tahun selepas hari bersejarah itu di Kitty Hawk, Milton Wright akhirnya memberi persetujuannya dan menonton semasa Wilbur dan Orville terbang bersama buat kali pertama. Selepas mendarat, Orville meyakinkan ayahnya untuk ambil pesawat pertama dan satu-satunya untuk lihat bagi dirinya sendiri bagaimana perasaannya.
Semasa pesawat itu berangkat dari tanah, Milton yang berumur 82 tahun dibuai keseronokan dalam pesawat sehingga hilang semua ketakutannya. Orville bersukacita semasa ayahnya bersorak dengan gembira, “Tinggi lagi, Orville, tinggi lagi!”2
Lelaki ini sama seperti saya!
Alasan saya sekali-sekala berucap tentang penerbangan kerana saya tahu apa yang keluarga Wright rasakan. Saya juga pernah “menembusi ikatan Bumi dan sukacita terbang di langit dengan sayap kapal.”3
Penerbangan pertama adik beradik Wright, yang berlaku hanya 37 tahun sebelum kelahiran saya, telah membuka pintu pengembaraan, keajaiban, dan kegembiraan murni dalam hidup saya.
Walaupun kegembiraan itu sangat menakjubkan, ada kegembiraan yang lebih tinggi. Hari ini, dengan semangat Milton Wright berseru, “Tinggi lagi, Orville, tinggi lagi,” saya ingin berucap tentang kegembiraan yang lebih tinggi ini—dari mana ia datang, bagaimana ia memasuki hati kita, dan bagaimana kita dapat mengalaminya dalam ukuran yang lebih besar.
Seluruh Tujuan Kewujudan Manusia
Jelas sekali semua orang ingin menjadi gembira.4 Walaupun demikian, turut jelas bahawa tidak semua orang gembira. Sedihnya, bagi ramai orang, kebahagiaan sukar ditemui.5
Mengapa begitu? Jika kebahagiaan adalah satu hal yang manusia paling hasratkan, mengapakah kita tidak berjaya mencarinya? Memetik satu lagu desa, mungkin kita sedang mencari kegembiraan di tempat yang salah.6
Di Manakah Kita Boleh Temukan Kebahagiaan?
Sebelum kita bincangkan bagaimana untuk cari kegembiraan, saya mengakui kemurungan, cabaran mental, dan emosi lain adalah nyata, dan jawapannya bukan hanya, “Cuba menjadi lebih gembira.” Tujuan saya hari ini bukan untuk mengecilkan atau meremehkan isu kesihatan mental. Jika anda hadapi cabaran itu, saya berduka nestapa dengan anda dan berdiri di sisi anda. Bagi sesetengah orang, menemui kegembiraan termasuk mencari bantuan dari pakar kesihatan mental terlatih yang membaktikan hidup mereka untuk mengamalkan seni yang penting. Kita harus bersyukur atas bantuan seperti itu.
Hidup bukanlah urutan emosi yang tinggi tanpa akhir. “Kerana semestinya ada pertentangan dalam segala hal.”7 Jika Tuhan Sendiri menangis, seperti tertulis dalam tulisan suci bahawa Dia menangis,8 semestinya anda dan saya akan menangis juga. Perasaan sedih bukanlah tanda kegagalan. Dalam hidup ini, sekurang-kurangnya, kegembiraan dan dukacita adalah teman yang tidak dapat dipisahkan.9 Seperti anda semua, saya telah merasakan kekecewaan, dukacita, kesedihan, dan penyesalan.
Walau bagaimanapun, saya turut mengalami subuh mulia yang memenuhi jiwa dengan kegembiraan yang begitu mendalam sehingga ia tidak dapat disembunyikan. Saya telah mendapati bahawa kedamaian ini datang dari mengikuti Juruselamat dan berjalan di jalan-Nya.
Kedamaian yang Dia berikan kepada kita bukanlah seperti apa yang dunia berikan.10 Ia lebih baik. Ia lebih tinggi dan lebih kudus. Yesus berfirman, “Aku datang supaya manusia mendapat hidup, iaitu hidup yang kelimpahan.”11
Injil Yesus Kristus benar-benar adalah “berita baik yang menggembirakan”!12 Ia adalah pesanan harapan yang tiada bandingnya! Sebuah pesanan tentang memikul kuk dan mengangkat beban.13 Tentang pengumpulan cahaya. Tentang kemuliaan syurgawi, pemahaman yang lebih tinggi, perjanjian lebih kudus, keselamatan abadi, dan kemuliaan kekal!
Kegembiraan adalah tujuan rancangan Tuhan untuk anak-anak–Nya. Inilah tujuan anda dicipta—”agar [anda] boleh berbahagia”!14 Anda telah dicipta untuk ini!
Bapa Syurgawi kita tidak menyembunyikan jalan ke arah kebahagiaan. Ini bukanlah rahsia. Ia tersedia untuk semua!15
Ia dijanjikan kepada mereka yang berjalan di jalan penganutan, mengikuti ajaran dan teladan Juruselamat, mentaati perintah-perintah-Nya, dan menghormati perjanjian yang mereka buat dengan Tuhan. Betapa hebatnya janji itu!
Tuhan Ada Lebih Banyak Untuk Ditawarkan
Kita semua kenal orang yang berkata mereka tidak perlukan Tuhan untuk gembira, mereka cukup gembira tanpa agama.
Saya mengakui dan menghormati perasaan ini. Bapa Syurgawi terkasih kita mahu semua anak-anak-Nya mendapat kebahagiaan sebanyak mungkin, jadi Dia telah memenuhi dunia ini dengan keseronokan dan kesenangan yang indah dan berfaedah, “untuk menyenangkan mata mahupun … menggembirakan hati.”16 Bagi saya, penerbangan membawa kebahagiaan yang besar. Yang lain menemukan itu dalam muzik, seni, hobi, atau alam semula jadi.
Dengan menjemput semua orang dan berkongsi berita baik Juruselamat yang menggembirakan, kita tidak mengecilkan sumber-sumber kegembiraan ini. Kita hanya berkata Tuhan ada lebih banyak untuk diberikan kepada kita. Kegembiraan yang lebih tinggi dan lebih mendalam—kegembiraan yang melebihi apa-apa yang dunia ini tawarkan. Inilah kegembiraan yang bertahan semasa kesedihan hati, menembusi dukacita, dan mengecilkan kesunyian.
Kebahagiaan duniawi, tidak bertahan. Ia tidak dapat [bertahan]. Adalah sifat semua hal duniawi untuk menjadi tua, remuk, haus, atau menjadi koyak. Tetapi kegembiraan syurgawi adalah abadi, kerana Tuhan adalah abadi. Yesus Kristus datang untuk mengangkat kita keluar dari duniawi dan menggantikan kebinasaan dengan ketidakbinasaan. Hanya Dia yang memiliki kuasa itu, dan hanya kegembiraan-Nya yang berterusan.
Jika anda rasa terdapat ruang untuk kegembiraan seperti ini dalam hidup anda, saya jemput anda untuk mulakan perjalanan mengikuti Yesus Kristus dan Jalan-Nya. Ia adalah perjalanan seumur hidup—dan seterusnya. Izinkan saya mencadangkan beberapa langkah bermula dalam perjalanan layak ini untuk menemui kegembiraan murni.
Mendekati Tuhan17
Adakah anda ingat wanita dalam Perjanjian Baru yang bertahan penyakit berdarah selama 12 tahun?18 Dia telah menghabiskan segalanya bertemu doktor, tetapi hal-hal hanya menjadi lebih teruk. Dia mendengar tentang Yesus; kuasa-Nya untuk menyembuhkan diketahui. Tetapi bolehkah Yesus menyembuhkan dia? Dan bagaimana dia boleh mendekati Yesus? Penyakitnya menjadikan dia “tidak bersih” menurut hukum Musa, dan oleh itu dia diminta untuk menjauhkan diri daripada orang lain.19
Jelasnya dia tidak dapat mendekati Yesus secara terbuka untuk meminta penyembuhan.
Tetap, dia berfikir, “Jika aku dapat menyentuh jubah-Nya, tentu aku akan sembuh.”20
Akhirnya, imannya mengatasi ketakutannya. Dia berani menahan kutukan orang lain dan maju ke arah Juruselamat.
Akhirnya, dia berada dalam jangkauan. Dia menghulurkan tangannya.
Dan dia disembuhkan.
Bukankah kita sama seperti wanita ini?
Mungkin ada banyak sebab kita teragak-agak untuk mendekati Juruselamat. Kita mungkin hadapi cemuhan atau kutukan daripada orang lain. Dalam keangkuhan kita, kita mungkin menolak kemungkinan akan sesuatu yang sangat bernilai. Kita mungkin berfikir keadaan kita tidak melayakkan kita dari penyembuhan-Nya—bahawa jaraknya terlalu besar atau dosa-dosa kita terlalu banyak.
Seperti wanita ini, saya telah belajar bahawa jika kita mendekati Tuhan dan menjangkau untuk menyentuh-Nya, kita boleh menemukan penyembuhan, kedamaian, dan kegembiraan.
Carilah
Yesus mengajar, “Carilah, maka kamu akan mendapatkannya.”21
Saya percaya frasa mudah ini bukan sahaja satu janji rohani; ia adalah fakta.
Jika kita cari alasan untuk jadi marah, meragui, jadi kecewa atau bersendirian, maka kita akan menemuinya juga.
Namun, jika kita cari kegembiraan—jika kita cari alasan untuk bersukacita dan dengan gembira mengikuti Juruselamat, kita akan menemuinya.
Kita jarang menemui sesuatu yang kita tidak cari.
Adakah anda cari kegembiraan?
Carilah, dan kamu akan mendapatkannya.
Menanggung Beban Satu Sama Lain22
Yesus mengajar, “lebih berbahagia memberi daripada menerima.”23
Mungkinkah dalam pencarian kegembiraan kita, cara terbaik untuk menemuinya adalah membawa kegembiraan kepada orang lain?
Saudara dan saudari, anda tahu dan saya tahu ini benar! Kegembiraan adalah seperti tong tepung atau balang minyak yang tidak akan kehabisan.24 Kegembiraan sejati bertambah apabila ia dikongsi.
Ia tidak perlukan sesuatu yang mewah atau rumit.
Kita boleh lakukan hal-hal yang mudah.
Seperti berdoa untuk seseorang dengan sepenuh hati kita.
Berikan pujian yang ikhlas.
Bantu seseorang merasa dialu-alukan, dihormati, dihargai, dan dikasihi.
Berkongsi tulisan suci kegemaran dan maknanya kepada kita.
Atau hanya dengan mendengar.
“Apabila kamu berada dalam pelayanan sesamamu, kamu semata-mata dalam pelayanan Tuhanmu,”25 dan Tuhan akan membalas kebaikan anda dengan murah hati.26 Kegembiraan yang anda berikan kepada orang lain akan kembali kepada anda dalam “pemberian yang berlimpah-limpah”27
“Apakah yang Harus Kita Lakukan?”28
Dalam hari, minggu, dan bulan yang akan datang, saya jemput anda untuk:
-
Luangkan masa dalam usaha yang ikhlas dan penuh hati untuk mendekati Tuhan.
-
Tekun mencari saat-saat harapan, kedamaian, dan kegembiraan setiap hari.
-
Bawakan kegembiraan kepada orang di sekeliling anda.
Saudara, saudari dan kawan yang dikasihi, semasa anda menyelidiki firman Tuhan untuk pemahaman yang lebih mendalam tentang rancangan abadi Tuhan, terima jemputan ini, dan berusaha untuk berjalan dalam Cara-Nya, anda akan alami “kesejahteraan daripada Tuhan yang tidak mungkin difahami oleh manusia,”29 bahkan di tengah-tengah kesedihan. Anda akan merasakan ukuran kasih Tuhan yang meningkat mengembung dalam hati anda. Subuh cahaya selestial akan menembusi bayang-bayang percubaan anda, dan anda akan mula merasai kemuliaan dan keajaiban yang tidak terkata dari angkasa sempurna, angkasa syurgawi. Anda akan merasakan roh anda mengangkat jauh dari graviti dunia ini.
Dan seperti Milton Wright, mungkin anda akan mengangkat suara anda dalam bersukacita dan berseru, “Tinggi lagi, Bapa, tinggi lagi!”
Semoga kita semua cari dan temui kegembiraan yang lebih tinggi yang datang dari membaktikan hidup kita kepada Bapa Syurgawi dan Putera Terkasih-Nya. Ini doa tulus dan berkat saya dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.