Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 104


Bahagian 104

Wahyu yang diberikan kepada Nabi Joseph Smith, di atau berdekatan Kirtland, Ohio, 23 April 1834, mengenai Syarikat Bersatu (lihat pengenalan untuk bahagian 78 dan 82). Peristiwanya adalah sebuah pertemuan majlis Syarikat Bersatu, yang mempertimbangkan keperluan duniawi para umat Gereja yang terdesak. Sebuah pertemuan syarikat terdahulu pada 10 April memutuskan organisasi ini dibubarkan. Wahyu ini mengarahkan bahawa syarikat ini disusun semula; hartanya akan dibahagikan diantara ahli syarikat sebagai pengawasan mereka. Dibawah arahan Joseph Smith, frasa “Syarikat Bersatu” kemudian di ganti dengan “Golongan Bersatu” dalam wahyu tersebut.

1–10, Para Orang Suci yang melanggar terhadap golongan bersatu akan dikutuk; 11–16, Tuhan menyediakan bagi para Orang Suci-Nya dengan cara-Nya sendiri; 17–18, Hukum Injil menetapkan cara menjaga orang yang miskin; 19–46, Tugas pengawasan dan berkat-berkat para saudara ditetapkan; 47–53, Golongan bersatu di Kirtland dan di Sion beroperasi secara berasingan; 54–66, Perbendaharaan suci Tuhan didirikan untuk pencetakan tulisan suci; 67–77, Perbendaharaan umum golongan bersatu harus dijalankan berdasarkan persetujuan bersama; 78–86, Mereka yang berada di dalam golongan bersatu harus membayar semua hutang mereka, dan Tuhan akan membebaskan mereka dari belenggu kewangan.

1 Sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, teman-teman-Ku, Aku memberi kepadamu nasihat, dan sebuah perintah, mengenai semua harta kepunyaan golongan yang telah Aku perintahkan untuk ditubuhkan dan ditegakkan, untuk menjadi sebuah golongan bersatu, dan golongan kekal demi manfaat gereja-Ku, dan demi keselamatan manusia sehingga Aku datang—

2 Dengan janji yang tetap dan tidak berubah, bahawa sejauh mereka yang Aku perintahkan setia mereka akan diberkati dengan suatu penggandaan berkat;

3 Tetapi sejauh mereka tidak setia mereka dekat pada kutukan.

4 Oleh kerana itu, sejauh adanya hamba-Ku tidak mentaati perintah, tetapi telah melanggar perjanjian melalui keserakahan, dan dengan perkataan yang palsu, Aku telah mengutuk mereka dengan kutukan yang sangat parah dan memilukan.

5 Kerana Aku, Tuhan, telah menetapkan dalam hati-Ku, bahawa sejauh sesiapa pun yang masuk dalam golongan itu didapati seorang pelanggar, atau, dengan perkataan lain, melanggar perjanjian yang mana kamu telah terikat padanya, dia akan dikutuk dalam kehidupannya, dan akan dipijak-pijak oleh sesiapa pun yang Aku kehendaki;

6 Kerana Aku, Tuhan, tidak mahu diperbodohkan dalam hal-hal ini—

7 Dan semua ini agar mereka yang tidak berdosa di kalangan kamu tidak dihukum bersama mereka yang tidak soleh; dan agar mereka yang bersalah di kalangan kamu tidak akan terlepas; kerana, Aku, Tuhan, telah menjanjikan kepadamu sebuah mahkota kemuliaan di sebelah tangan kanan-Ku.

8 Oleh kerana itu, sejauh kamu didapati sebagai pelanggar, kamu tidak dapat terlepas dari kemurkaan-Ku dalam kehidupanmu.

9 Sejauh kamu disingkirkan disebabkan pelanggaran, kamu tidak dapat terlepas dari hajaran Setan sehinggalah hari penebusan.

10 Dan sekarang Aku memberi kepadamu kuasa sejak dari waktu ini, bahawa jika sesiapa pun di antara kamu, dari golongan ini, didapati seorang pelanggar dan tidak bertaubat dari kejahatan, maka kamu akan menyerahkannya pada seksaan Setan; dan dia tidak akan memiliki kuasa untuk membawakan kejahatan kepada dirimu.

11 Ini adalah kebijaksanaan di dalam Aku; oleh kerana itu, sebuah perintah Aku berikan kepadamu, bahawa kamu akan mengatur dirimu dan menetapkan kepada setiap orang tugas pengawasannya;

12 Agar setiap orang boleh memberikan laporan kepada-Ku tentang tugas pengawasan yang ditetapkan kepadanya.

13 Kerana adalah arif bahawa Aku, Tuhan, akan menjadikan setiap orang bertanggungjawab, sebagai seorang pengawas terhadap berkat-berkat duniawi, yang telah Aku jadikan dan sediakan bagi para makhluk-Ku.

14 Aku, Tuhan, merentangkan langit, dan membangunkan bumi, bahkan hasil kerja tangan-Ku; dan segala yang ada di dalamnya adalah milik-Ku.

15 Dan ini tujuan-Ku adalah untuk menyara bagi para orang suci-Ku, kerana segalanya adalah milik-Ku.

16 Tetapi ia mestilah dilakukan menurut cara-Ku sendiri; dan lihatlah inilah cara yang telah Aku, Tuhan, tetapkan untuk menyara para orang suci-Ku, agar yang miskin akan dipermuliakan, dimana yang kaya direndahkan.

17 Kerana bumi ini penuh, dan ianya cukup dan berlebihan; ya, Aku telah menyediakan segalanya, dan telah memberikan kepada anak-anak manusia untuk menjadi wakil bagi diri mereka sendiri.

18 Oleh kerana itu, jika sesiapa pun akan mengambil dari kelimpahan yang telah Aku jadikan, dan tidak memberikan bahagiannya, menurut hukum Injil-Ku, kepada yang miskin dan yang memerlukan, dia akan, bersama yang jahat, membuka matanya di dalam neraka, berada dalam seksaan.

19 Dan sekarang, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, berkenaan harta-harta milik golongan tersebut—

20 Biarlah hamba-Ku Sidney Rigdon ditetapkan kepadanya tempat di mana dia tinggal sekarang, dan juga bidang tanah untuk penyamakan kulit itu sebagai tugas pengawasannya, untuk menanggungnya semasa dia bekerja di dalam ladang anggur-Ku, bahkan seperti yang Aku kehendaki, apabila Aku akan perintahkan kepadanya.

21 Dan biarlah segalanya dilakukan menurut nasihat golongan tersebut, dan persetujuan bersatu atau suara golongan, yang tinggal di negeri Kirtland.

22 Dan tugas pengawasan dan berkat ini, Aku, Tuhan, anugerahkan kepada hamba-Ku Sidney Rigdon sebagai sebuah berkat ke atas dirinya, dan keturunannya selepasnya;

23 Dan Aku akan melipatgandakan berkat-berkat kepada dirinya, sejauh dia akan merendahkan hati di hadapan-Ku.

24 Dan lagi, biarlah hamba-Ku Martin Harris ditetapkan kepadanya, sebagai tugas pengawasannya, bidang tanah itu dimana hamba-Ku John Johnson telah dapatkan dari hasil pertukaran dengan harta warisannya yang sebelumnya, untuk dirinya dan keturunannya selepasnya;

25 Dan sejauh dia setia, Aku akan melipatgandakan berkat-berkat kepada dirinya dan keturunannya selepasnya.

26 Dan biarlah hamba-Ku Martin Harris membaktikan wangnya untuk memaklumkan firman-Ku, menurut yang akan diarahkan oleh hamba-Ku Joseph Smith Jr.

27 Dan lagi, biarlah hamba-Ku Frederick G. Williams memiliki tempat itu di mana dia tinggal sekarang.

28 Dan biarlah hamba-Ku Oliver Cowdery memiliki bidang tanah itu yang terpisah tetapi bersebelahan dengan rumah tersebut, yang akan menjadi pejabat pencetakan, iaitu bidang tanah nombor satu, dan juga bidang tanah di mana ayahnya sedang tinggal.

29 Dan biarlah hamba-Ku Frederick G. Williams dan Oliver Cowdery memiliki pejabat pencetakan dan segala hal yang berkaitan dengannya.

30 Dan ini akan menjadi tugas pengawasan mereka yang akan ditetapkan kepada mereka.

31 Dan sejauh mereka setia, lihatlah Aku akan memberkati, dan melipatgandakan berkat-berkat kepada diri mereka.

32 Dan inilah permulaan tugas pengawasan yang telah Aku tetapkan kepada mereka, untuk mereka dan keturunan mereka selepas mereka.

33 Dan, sejauh mereka setia, Aku akan melipatgandakan berkat-berkat kepada diri mereka dan keturunan mereka selepas mereka, bahkan suatu penggandaan berkat.

34 Dan lagi, biarlah hamba-Ku John Johnson memiliki rumah yang dia diami, dan harta warisan itu, semuanya kecuali tanah yang telah disimpan untuk pembangunan rumah-rumah-Ku, yang berkaitan dengan harta warisan itu, dan bidang-bidang tanah itu yang telah dinamakan bagi hamba-Ku Oliver Cowdery.

35 Dan sejauh dia setia, Aku akan melipatgandakan berkat-berkat kepada dirinya.

36 Dan menjadi kehendak-Ku bahawa dia harus menjual bidang-bidang tanah yang telah diasingkan untuk pembangunan kota para orang suci-Ku, sejauh ianya akan diberitahu kepadanya oleh suara Roh, dan menurut nasihat golongan, dan melalui suara golongan itu.

37 Dan inilah permulaan tugas pengawasan yang telah Aku tetapkan kepadanya, sebagai sebuah berkat baginya dan keturunan selepasnya.

38 Dan sejauh dia setia, Aku akan melipatgandakan suatu penggandaan berkat kepada dirinya.

39 Dan lagi, biarlah hamba-Ku Newel K. Whitney ditetapkan kepadanya rumah-rumah dan bidang tanah di mana dia tinggal sekarang, dan tanah dan bangunan dimana kedai barangan itu berada, dan juga bidang tanah yang berada di penjuru selatan kedai barangan itu, dan juga bidang tanah dimana tempat pembuatan garam abu terletak.

40 Dan semuanya ini telah Aku tetapkan bagi hamba-Ku Newel K. Whitney sebagai tugas pengawasannya, sebagai sebuah berkat kepada dirinya dan keturunannya selepasnya, demi manfaat kedai barangan golongan-Ku yang telah Aku tubuhkan untuk pancang-Ku di negeri Kirtland.

41 Ya, sesungguhnya, inilah tugas pengawasan yang telah Aku tetapkan bagi hamba-Ku N. K. Whitney, bahkan juga seluruh kedai barangan ini, dia dan wakilnya, dan keturunannya selepasnya.

42 Dan sejauh dia setia dalam mentaati perintah-perintah-Ku, yang telah Aku berikan kepadanya, Aku akan melipatgandakan berkat-berkat kepada dirinya dan keturunannya selepasnya, bahkan suatu penggandaan berkat.

43 Dan lagi, biarlah hamba-Ku Joseph Smith Jr., ditetapkan kepadanya bidang tanah yang telah diasingkan untuk pembangunan rumah-Ku, yang berukuran dua ratus meter panjangnya dan enam puluh meter lebarnya, dan juga harta warisan di mana ayahnya sedang tinggal sekarang;

44 Dan inilah permulaan tugas pengawasan yang telah Aku tetapkan kepadanya, sebagai sebuah berkat kepada dirinya, dan kepada ayahnya.

45 Kerana lihatlah, Aku telah menyimpan suatu harta warisan untuk ayahnya, untuk menanggungnya; oleh kerana itu dia akan dikira di dalam keluarga hamba-Ku Joseph Smith Jr.

46 Dan Aku akan melipatgandakan berkat-berkat ke atas keluarga hamba-Ku Joseph Smith Jr., sejauh dia setia, bahkan suatu penggandaan berkat.

47 Dan sekarang, sebuah perintah Aku berikan kepadamu mengenai Sion, bahawa kamu tidak akan lagi terikat sebagai sebuah golongan bersatu kepada saudara-saudaramu di Sion, kecuali dengan cara ini—

48 Setelah kamu bikumpul menjadi golongan, kamu akan dipanggil Golongan Bersatu Pancang Sion, Kota Kirtland. Dan saudara-saudaramu, setelah mereka berkumpul menjadi golongan, akan dipanggil Golongan Bersatu Kota Sion.

49 Dan mereka akan digolongkan dalam nama-nama mereka sendiri, dan dalam nama mereka sendiri; dan mereka akan melakukan urusan mereka dalam nama mereka sendiri, dan dalam nama-nama mereka sendiri;

50 Dan kamu akan melakukan urusanmu dalam namamu sendiri, dan dalam nama-namamu sendiri.

51 Dan ini telah Aku perintahkan untuk dilakukan demi keselamatanmu, dan juga demi keselamatan mereka, disebabkan mereka telah dihalau keluar dan apa yang akan datang.

52 Kerana perjanjian-perjanjian itu dilanggar melalui pelanggaran, dengan keserakahan dan perkataan yang palsu—

53 Oleh kerana itu, kamu dibubarkan sebagai sebuah golongan bersatu bersama saudara-saudaramu, agar kamu tidak terikat kepada mereka kecuali sehingga pada waktu ini, kecuali dengan cara ini, seperti yang Aku firmankan, melalui pinjaman yang dipersetujui oleh golongan ini selepas perundingan, seperti mana keadaanmu akan mengizinkan dan suara majlis mengarahkannya.

54 Dan lagi, sebuah perintah Aku berikan kepadamu berkenaan tugas pengawasanmu yang telah Aku tetapkan kepadamu.

55 Lihatlah, semua harta ini adalah milik-Ku, jikalau tidak imanmu adalah sia-sia, dan kamu didapati sebagai orang munafik, dan perjanjian-perjanjian yang telah kamu buat kepada-Ku sudah dilanggar;

56 Dan jika harta-harta itu adalah milik-Ku, maka kamu adalah para pengawas; jika tidak kamu bukanlah pengawas.

57 Tetapi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, Aku telah menetapkanmu untuk menjadi para pengawas ke atas rumah-Ku, bahkan para pengawas yang sebenarnya.

58 Dan untuk tujuan ini Aku telah perintahkan kepadamu untuk mengatur dirimu, bahkan untuk mencetak firman-Ku, kegenapan tulisan suci-Ku, wahyu-wahyu yang telah Aku berikan kepadamu, dan yang akan Aku, selepas ini, berikan kepadamu dari semasa ke semasa—

59 Untuk tujuan pembangunan gereja dan kerajaan-Ku di atas bumi, dan untuk menyediakan umat-Ku untuk waktu apabila Aku akan tinggal bersama mereka, yang semakin hampir.

60 Dan kamu harus menyediakan bagi dirimu sebuah tempat untuk perbendaharaan, dan membaktikannya pada nama-Ku.

61 Dan kamu harus menetapkan seorang di antara kamu untuk menjaga perbendaharaan itu, dan dia akan ditahbiskan pada berkat ini.

62 Dan haruslah ada sebuah kunci pada perbendaharaan itu, dan segala sesuatu yang kudus akan diserahkan pada perbendaharaan; dan tidak seorang pun di antara kamu akan menetapkannya bagi dirinya sendiri, atau mana-mana bahagian pun daripadanya, kerana ianya akan menjadi kepunyaan kamu semua segolongan.

63 Dan Aku memberikannya kepadamu tepat dari waktu ini; dan sekarang pastikanlah, agar kamu pergi dan menggunakan tugas pengawasan yang telah Aku tetapkan kepadamu, kecuali hal-hal yang kudus itu, untuk tujuan pencetakan hal yang kudus ini seperti yang telah Aku firmankan.

64 Dan keuntungan dari hal-hal yang kudus ini haruslah disimpan di dalam perbendaharaan, dan sebuah kunci harus diletakkan padanya; dan ia tidak akan digunakan atau dikeluarkan dari perbendaharaan oleh sesiapa pun, tidak juga kunci yang telah diletakkan padanya itu dibuka, kecuali menurut arahan golongan, atau melalui perintah.

65 Dan demikianlah kamu harus menyimpan keuntungan dari hal-hal yang kudus di dalam perbendaharaan, untuk tujuan-tujuan yang kudus dan suci.

66 Dan ini akan dipanggil perbendaharaan kudus Tuhan; dan sebuah kunci harus diletakkan padanya agar ia dikuduskan dan dibaktikan kepada Tuhan.

67 Dan lagi, harus ada sebuah lagi perbendaharaan disediakan, dan seorang bendahari akan ditetapkan untuk menjaga perbendaharaan itu, dan sebuah kunci harus diletakkan padanya;

68 Dan semua wang yang kamu terima dalam tugas pengawasanmu, dengan memajukan harta-harta yang telah Aku tetapkan kepadamu, pada rumah, atau tanah, atau haiwan ternakan, atau pada apapun kecuali tulisan-tulisan yang suci dan kudus itu, yang telah Aku simpan bagi diri-Ku untuk tujuan yang suci dan kudus, akan diletakkan ke dalam perbendaharaan sebaik sahaja kamu menerima wang, dalam bentuk seratus, atau lima puluh, atau dua puluh, atau sepuluh, atau pun dalam bentuk lima.

69 Atau dengan perkataan lain, jika sesiapa pun di antara kamu mendapat lima dolar biarlah dia memasukkannya ke dalam perbendaharaan; atau jika dia mendapatkan sepuluh, atau dua puluh, atau lima puluh, atau seratus, biarlah dia melakukan yang sedemikian juga;

70 Dan janganlah biarkan seorang pun di antara kamu mengatakan bahawa itu adalah kepunyaannya; kerana ia tidak harus dianggap kepunyaannya, tidak juga mana-mana bahagian pun darinya.

71 Dan mana-mana bahagian pun daripadanya akan digunakan, atau dikeluarkan dari perbendaharaan, kecuali melalui arahan dan persetujuan bersama golongan itu.

72 Dan ini akan menjadi arahan dan persetujuan bersama golongan itu—bahawa sesiapa pun di antara kamu mengatakan kepada bendahari: Aku memerlukannya untuk menolongku dalam tugas pengawasanku—

73 Jika ia adalah lima dolar, atau jika ianya sepuluh dolar, atau dua puluh, atau lima puluh, atau seratus, bendahari akan memberikan kepadanya jumlah yang telah diminta olehnya untuk menolongnya dalam tugas pengawasannya—

74 Sehinggalah dia didapati seorang pelanggar, dan dinyatakan dengan jelas di hadapan majlis golongan bahawa dia ialah seorang pengawas yang tidak setia dan kurang bijak.

75 Tetapi selagi dia berada dalam penemanan yang penuh, dan setia dan bijak dalam tugas pengawasannya, ini akan menjadi buktinya kepada bendahari agar bendahari tidak akan menolak.

76 Tetapi sekiranya berlaku pelanggaran, bendahari itu akan berada dibawah kuasa majlis dan arahan golongan itu.

77 Dan sekiranya bendahari itu didapati seorang pengawas yang tidak setia dan kurang bijak, dia haruslah diserah kepada kuasa majlis dan arahan golongan itu, dan harus dilucutkan jawatannya, dan orang lain akan ditetapkan sebagai penggantinya.

78 Dan lagi, sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, mengenai hutang-hutangmu—lihatlah adalah kehendak-Ku bahawa kamu harus membayar semua hutangmu.

79 Dan adalah kehendak-Ku bahawa kamu harus merendahkan hatimu di hadapan-Ku, dan mendapatkan berkat ini melalui ketekunan dan kerendahan hati dan doamu dengan iman.

80 Dan sejauh kamu tekun dan rendah hati, dan menjalankan doa dengan iman, lihatlah, Aku akan melembutkan hati mereka yang kamu hutangi, sehinggalah Aku akan menghantar kepadamu cara pembebasanmu.

81 Oleh kerana itu tulislah dengan cepat ke New York dan tulislah menurut apa yang akan disampaikan oleh Roh-Ku; dan Aku akan melembutkan hati mereka yang kamu hutangi, sehingga dikeluarkan dari fikiran mereka niat untuk membawa kesengsaraan ke atas dirimu.

82 Dan sejauh kamu rendah hati dan setia dan memanggil nama-Ku, lihatlah, Aku akan memberimu kemenangan.

83 Aku memberi kepadamu sebuah janji, bahawa kamu akan dibebaskan kali ini dari perhambaanmu.

84 Sejauh kamu mendapatkan suatu peluang untuk meminjam wang sebanyak ratusan, atau ribuan, bahkan sehingga kamu akan meminjam secukupnya untuk membebaskan dirimu dari perhambaan, itu adalah peluang baikmu.

85 Dan pajakkanlah harta-harta yang telah Aku letakkan ke dalam tanganmu, kali ini, dengan memberikan namamu melalui persetujuan bersama atau yang lain, menurut apa yang kelihatannya baik bagimu.

86 Aku memberi kepadamu peluang istimewa ini, untuk kali ini; dan lihatlah, jika kamu terus melakukan hal-hal yang telah Aku letakkan di hadapanmu ini, menurut perintah-perintah-Ku, segalanya adalah milik-Ku, dan kamu adalah para pengawas-Ku, dan seorangtuan tidak akan membiarkan rumah-Nya dibinasakan. Demikianlah. Amin.