Kitab Suci
Ajaran dan Perjanjian 59


Bahagian 59

Wahyu yang diberikan melalui Nabi Joseph Smith, di Sion, Jackson County, Missouri, 7 Ogos 1831. Mendahului catatan wahyu ini, tanah itu dipersucikan, sebagaimana Tuhan telah arahkan, dan tempat untuk bait suci pada masa depan dibaktikan. Pada hari wahyu ini diterima, Polly Knight, isteri Joseph Knight Sr., mati, ahli Gereja pertama yang mati di Sion. Para ahli terdahulu memahami wahyu ini sebagai “mengarahkan Orang Suci bagaimana untuk menguduskan Sabat dan bagaimana untuk berpuasa dan berdoa.”

1–4, Para Orang Suci yang setia di Sion akan diberkati; 5–8, Mereka mesti mengasihi dan melayani Tuhan dan mentaati perintah-perintah-Nya; 9–19, Dengan mentaati hari Tuhan dengan kudus, para Orang Suci diberkati secara duniawi dan secara rohani; 20–24, Yang soleh dijanjikan kedamaian di dunia ini dan kehidupan abadi di dunia yang akan datang.

1 Lihatlah, diberkatilah, firman Tuhan, mereka yang telah datang ke tanah ini dengan tumpuan matamu satu-satunya pada kemuliaan-Ku, menurut perintah-perintah-Ku.

2 Kerana mereka yang hidup akan mewarisi bumi, dan mereka yang mati akan beristirahat dari segala kerja mereka, dan pekerjaan mereka akan mengikuti mereka; dan mereka akan menerima mahkota di dalam tempat tinggal Bapa-Ku, yang telah Aku sediakan bagi mereka.

3 Ya, diberkatilah mereka yang kakinya berdiri di atas negeri Sion, yang telah mematuhi Injil-Ku; kerana mereka akan menerima untuk ganjaran mereka hal-hal yang baik dari bumi, dan ia akan membawakannya dalam kekuatan.

4 Dan mereka juga akan dimahkotai dengan berkat-berkat dari syurga, ya, dan dengan perintah-perintah yang bukannya sedikit, dan dengan wahyu-wahyu pada waktunya yang tepat—mereka yang setia dan tekun di hadapan-Ku.

5 Kerana itu, Aku memberikan kepada mereka sebuah perintah, memfirmankan demikian: Engkau haruslah mengasihi Tuhan Rajamu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap daya, fikiran, dan kekuatanmu; dan dalam nama Yesus Kristus engkau akan melayani-Nya.

6 Engkau haruslah mengasihi sesamamu seperti dirimu. Janganlah engkau mencuri; janganlah juga berbuat zina, tidak juga membunuh, tidak juga melakukan apa pun yang seperti itu.

7 Engkau haruslah berterima kasih kepada Tuhan Rajamu dalam segala sesuatu.

8 Engkau harus mempersembahkan sebuah pengorbanan kepada Tuhan Rajamu dalam kesolehan, bahkan yang berupakan hati yang hancur dan jiwa yang menyesal.

9 Dan agar engkau boleh lebih sepenuhnya menghindarkan dirimu tidak bernoda dari dunia ini, engkau akan pergi ke rumah doa dan mempersembahkan sakramenmu pada hari kudus-Ku;

10 Kerana sesungguhnya inilah satu hari yang ditetapkan bagimu untuk beristirahat dari pekerjaanmu, dan untuk mempersembahkan kewarakkanmu kepada Yang Maha Tinggi;

11 Walaupun demikian ikrar-ikrarmu haruslah dipersembahkan dalam kesolehan pada setiap hari dan pada setiap waktu.

12 Tetapi ingatlah bahawa pada hari ini, hari Tuhan, engkau harus mempersembahkan sumbanganmu dan sakramenmu kepada Yang Maha Tinggi, mengakui dosa-dosamu kepada saudara-saudaramu, dan di hadapan Tuhan.

13 Dan pada hari ini engkau seharusnya tidak melakukan hal lain, hanya biarlah makananmu disediakan dengan kesatuan hati agar puasamu boleh menjadi sempurna, atau, dengan perkataan lain, agar kebahagiaanmu menjadi penuh.

14 Sesungguhnya, inilah puasa dan doa, atau dengan perkataan lain, kesukacitaan dan doa.

15 Dan sejauh kamu melakukan hal-hal ini dengan kesyukuran, dengan hati dan wajah-wajah yang riang, tidak dengan banyak gelak ketawa, kerana ini adalah dosa, tetapi dengan hati gembira dan wajah yang riang—

16 Sesungguhnya Aku berfirman, bahawa sejauh kamu melakukan ini, kegenapan bumi adalah milikmu, binatang-binatang di ladang dan burung di udara, dan yang memanjat pokok dan berjalan di atas bumi;

17 Ya, dan tumbuhan herba, dan apa pun yang baik yang datang dari bumi, sama ada untuk makanan atau untuk pakaian, atau untuk rumah, atau untuk bangsal, atau untuk kebun buah-buahan, atau untuk taman, atau untuk ladang anggur;

18 Ya, segala sesuatu yang datang dari bumi, pada musimnya, diciptakan untuk manfaat dan kegunaan manusia, baik untuk menyenangkan mata mahupun untuk menggembirakan hati;

19 Ya, untuk makanan dan untuk pakaian, untuk dirasai dan untuk dihidu, untuk menguatkan tubuh dan untuk menyegarkan jiwa.

20 Dan ia menyenangkan Tuhan bahawa Dia telah memberikan segala sesuatu ini kepada manusia; kerana untuk tujuan inilah ia diciptakan untuk digunakan, dengan pertimbangan, bukan secara berlebihan, tidak juga dengan pemerasan.

21 Dan tidak dalam apa pun manusia menyinggung Tuhan, atau tidak terhadap sesiapa pun kemurkaan-Nya dinyalakan, kecuali mereka yang tidak mengakui tangan-Nya dalam segala hal, dan tidak mematuhi perintah-perintah-Nya.

22 Lihatlah, ini adalah menurut hukum dan para nabi; kerana itu, janganlah menyusahkan-Ku lagi tentang hal ini.

23 Tetapi pelajarilah bahawa dia yang melakukan pekerjaan kesolehan akan menerima ganjarannya, bahkan kedamaian di dunia ini, dan kehidupan abadi di dunia yang akan datang.

24 Aku, Tuhan, telah memfirmankannya, dan Roh memberikan kesaksian. Amin.