2010–2019
Hendaklah Kau Rendah Hati
April 2016


10:58

Hendaklah Kau Rendah Hati

Kerendahan hati membolehkan kita menjadi ibu bapa, anak-anak, suami dan isteri, jiran dan rakan yang lebih baik.

Gereja kita diberkati dengan koleksi lagu rohani yang membantu kita menyembah melalui nyanyian. Dalam pertemuan Gereja kita, “lagu rohani mengundang Roh Tuhan, menciptakan perasaan ketakziman, mempersatukan kita sebagai anggota, serta menyediakan cara bagi kita untuk memberikan puji-pujian kepada Tuhan. Beberapa di antara khutbah paling agung disampaikan dengan menyanyikan lagu rohani.”1

Beberapa bulan selepas Gereja diorganisasikan, Nabi Joseph Smith menerima satu wahyu untuk isterinya Emma. Tuhan telah mengarahkannya untuk “membuat seleksi lagu rohani yang kudus, sebagaimana akan diberikan kepadamu, yang menyenangkan bagi-Ku, untuk dimiliki di dalam gereja-Ku.”2

Emma Smith telah mengumpul lagu-lagu rohani yang tampil pertama kalinya dalam buku lagu rohani Kirtland pada tahun 1836.3 Hanya terdapat 90 lagu yang termasuk dalam buku kecil ini. Kebanyakkan daripadanya adalah lagu rohani dari gereja Protestan. Lebih kurang 26 daripadanya dikarang oleh William W. Phelps, yang kemudiannya menyedia dan membantu mencetak buku lagu rohani. Hanya lirik lagu yang ditulis; tiada nota muzik disertakan dengan teks. Buku nyanyian pujian kecil yang sederhana ini terbuktinya satu berkat besar bagi ahli-ahli Gereja awal.

Muka surat daripada buku lagu rohani Emma Smith
Halaman tajuk daripada buku lagu rohani Emma Smith

Edisi terkini bagi buku lagu rohani dalam bahasa Inggeris telah diterbitkan pada tahun 1985. Banyak di antara pilihan Emma dari perawalannya masih termasuk dalam buku lagu rohani kita seperti “Dia Hidup Sang Penebusku” dan “Teguhlah Landasan.”4

Satu nyanyian yang baru dalam buku lagu rohani 1985 ialah “Hendaklah Kau Rendah Hati.”5 Lagu rohani yang menenangkan ini telah dikarang oleh Grietje Terburg Rowley, yang baru meninggal dunia tahun lepas. Dia menyertai Gereja pada tahun 1950, di Hawaii, di mana dia mengajar. Sister Rowley melayan dalam Komiti Muzik Umum dan membantu mengadaptasikan lagu-lagu rohani dalam pelbagai bahasa. Dia mengasaskan teks untuk “Hendaklah Kau Rendah Hati” dari dua ayat dalam kitab suci: Ajaran dan Perjanjian 112:10 dan Eter 12:27. Ayat dalam Eter membaca: “Dan jika manusia datang kepada-Ku Aku akan memperlihatkan kepada mereka kelemahan mereka. Aku memberikan kepada manusia kelemahan agar mereka boleh merendahkan hati; …orang yang merendahkan hati mereka di hadapan-Ku, dan beriman kepada-Ku, maka Aku akan menjadikan hal-hal yang lemah menjadi kuat bagi mereka.”

Seperti lagu-lagu rohani lain Gereja, “Hendaklah Kau Rendah Hati” mengajar kebenaran yang mudah dan suci. Ia mengajar bahawa jika kita merendahkan hati, doa kita akan dijawab; kita nikmati ketenangan minda; kita melayan dalam panggilan kita dengan lebih berkesan; dan jika kita beriman dengan berterusan, kita akan kembali ke hadirat Bapa Syurgawi

Juruselamat telah mengajar pengikut-pengikut-Nya bahawa mereka harus merendahkan hati bagaikan seorang kanak kecil untuk layak memasuki kerajaan syurga.6 Apabila kita membesarkan anak-anak sendiri, kita harus membantu mereka kekal rendah hati apabila mereka menjadi dewasa. Janganlah kita lakukannya dengan mematahkan hasrat mereka melalui kekejaman atau melalui pendisiplinan yang terlalu keras. Sambil kita memupuk keyakinan diri dan harga diri mereka, kita perlu mengajar mereka sifat-sifat tidak mementingkan diri, baik hati, kepatuhan, tidak banggakan diri, kesopanan, dan ketidak pura-puraan. Kita memerlukan mereka belajar untuk bergembira dengan kejayaan adik-beradik dan kawan-kawan. Presiden Howard W. Hunter telah mengajar bahawa “perhatian tulen kita haruslah terhadap kejayaan orang lain.”7 Jika tidak, anak anda akan terlalu memikirkan kebaikan diri, iri hati dan berasa tidak puas hati dengan kejayaan rakan sejawat. Saya bersyukur ke atas seorang ibu yang, apabila mendapati saya semakin bongkak ketika kecil, akan berkata, “Anak, sedikit kerendahan hati kini akan membawa faedah nanti.”

Namun kerendahan hati bukanlah sesuatu yang khas diajar kepada kanak-kanak sahaja. Kita semua harus berusaha untuk menjadi lebih rendah hati. Kerendahan hati penting untuk memperoleh berkat-berkat Injil. Kerendahan hati membolehkan kita mempunyai hati yang hancur apabila kita berdosa atau melakukan kesalahan dan membolehkan kita untuk bertaubat. Kerendahan hati membolehkan kita untuk menjadi ibu bapa, anak-anak, suami isteri, jiran dan kawan yang lebih baik.

Sebaliknya, keangkuhan boleh melarutkan perhubungan keluarga, memecahkan perkahwinan dan menghancurkan persahabatan. Ia sangatlah penting untuk mengingati kerendahan hati apabila kamu merasai pertikaian meningkat dalam rumah kamu. Fikirkan semua kesakitan hati yang boleh dihindari dengan merendahkan hati diri dan mengucapkan, “Maafkan saya”; ”Saya tidak bertimbang rasa”; “Apakah yang kamu ingin saya lakukan?”; “Saya tidak terfikirkannya”; atau “Saya sangat bangga dengan kamu.” Jika ayat-ayat kecil ini digunakan dengan rendah hati, tentunya pertikaian akan berkurangan dan terdapatnya lebih kedamaian dalam rumah kita.

Hanya dengan menjalankan kehidupan boleh dan sering kali suatu pengalaman yang merendahkan hati. Kemalangan dan kesakitan, kematian orang yang tersayang, masalah perhubungan, dan juga cabaran kewangan boleh membebani kita. Tidak kira pengalaman susah ini akibat bukan kerana kesalahan diri atau melalui pilihan yang salah dan pertimbangan yang kurang baik, cabaran-cabaran ini semua sangat merendahkan hati. Jika kita memilih untuk lebih peka secara rohani dan kekal rendah hati dan boleh diajar, doa kita akan menjadi lebih bersungguh dan keimanan dan kesaksian akan bertambah apabila kita mengatasi kesengsaraan dalam kewujudan fana. Kita semua memandang terhadap kemuliaan, tetapi sebelum ini boleh berlaku, kita perlu tabah menghadapi apa yang telah dirujuk sebagai “lembah kerendahan hati.”8

Beberapa tahun sebelumnya, Eric, anak lelaki kami yang berumur 15 tahun mengalami kecederaan kepala yang serius. Melihatnya dalam keadaan koma selama seminggu lebih menyedihkan hati kami. Para doktor memberitahu bahawa mereka tidak pasti apa yang harus dilakukan seterusnya. Jelasnya, kami amat gembira apabila dia mulai sedar. Kami terfikir kini semuanya akan menjadi baik, tetapi kami silap.

Apabila dia sedar, dia tidak dapat berjalan atau bercakap atau makan dengan sendiri. Paling teruknya, dia tidak punyai daya ingatan jangka pendek. Dia boleh ingat hampir setiap perkara sebelum kemalangan itu, tetapi langsung tidak dapat mengingati peristiwa-peristiwa selepasnya, termasuklah perkara yang berlaku beberapa minit sahaja sebelumnya.

Ketika itu, kami risau anak kami terperangkap dalam minda seorang yang berumur 15 tahun. Kehidupan Eric sangat mudah sebelum kemalangan itu. Dia seorang olahragawan, popular, dan murid sekolah yang baik. Sebelum ini, masa depannya tampak cerah; kini kami bimbang dia tidak akan mempunyai apa pun masa depan, lebih-lebih lagi satu yang dia akan ingati. Kini dia bergelut untuk mempelajari kemahiran yang amatlah mudah. Ia merupakan satu masa yang merendahkan hati baginya. Ia juga merupakan satu masa yang merendahkan hati bagi ibu bapanya.

Seikhlasnya, kami tertanya-tanya bagaimana perkara sedemikian boleh berlaku. Kami sentiasa berusaha untuk melakukan perkara yang betul. Menghidupi ajaran Injil telah pun menjadi keutamaan yang penting dalam keluarga kami. Kami tidak faham bagaimana sesuatu yang amat memilukan boleh berlaku kepada kami. Kami berdoa dengan bersungguh apabila ia menjadi nyata bahawa pemulihannya akan mengambil masa yang panjang. Perkara yang paling susahnya ialah kesedaran bahawa dia tidak akan seperti dulu kala.

Pada ketika ini, banyak titisan air mata dan doa-doa kami menjadi lebih tulus dan ikhlas. Melalui pandangan yang rendah hati, kami mulai melihat mukjizat-mukjizat kecil yang dialami oleh anak kami pada masa yang memilukan ini. Dia mulai mencapai kemajuan yang beransur. Sikap dan pandangannya sangat positif.

Hari ini, anak kami Eric telah mengahwini seorang teman yang hebat, dan mereka mempunyai lima orang anak yang cantik. Dia pengajar dan penyumbang yang bersemangat kepada komuniti, dan juga gereja. Paling pentingnya, kini dia menjalankan kehidupan dengan roh rendah hati yang diperoleh sebelum ini.

Apakah kita boleh menjadi rendah hati sebelum kita berjalan melalui “lembah kerendahan hati”? Alma telah mengajar:

“Diberkatilah mereka yang merendahkan hati mereka tanpa dipaksa untuk merendahkan hati.”

“Ya, [mereka] jauh lebih diberkati daripada mereka yang dipaksa untuk menjadi rendah hati.”9

Saya bersyukur kepada nabi-nabi, seperti Alma, yang telah mengajar kita sifat yang amat bernilai ini. Spencer W. Kimball, Presiden Gereja ke-12, telah berkata: “Bagaimanakah seseorang itu menjadi rendah hati? Bagi saya, seseorang itu perlu sentiasa diingati kebergantungannya. Kebergantungan terhadap siapa? Terhadap Tuhan. Bagaimana untuk mengingati diri? Melalui doa yang ikhlas, berterusan, menyembah dan bersyukuran.”10

Tidak hairanlah bahawa lagu rohani kegemaran President Kimball’s ialah “Ku Memerlukan-Mu Setiap Saat.”11 Elder Dallin H. Oaks melaporkan bahawa inilah lagu rohani yang paling kerap dinyanyikan oleh Saudara-saudara di bait suci pada permulaan layanannya dalam Kuorum Dua Belas. “Gambarkanlah kesan rohani oleh sekumpulan hamba Tuhan menyanyikan lagu itu sebelum mereka berdoa untuk bimbingan bagi memenuhi tanggungjawab yang besar.”12

Saya bersaksikan kepentingannya kerendahan hati dalam kehidupan kita. Saya amat bersyukur kepada individu-individu yang telah menulis kata-kata dan muzik yang mengilhamkan untuk membantu kita pelajari ajaran Injil Yesus Kristus, yang termasuk kerendahan hati. Saya bersyukur kita punyai warisan lagu-lagu rohani yang membantu kita menyembah melalui nyanyian, dan saya bersyukur untuk kerendahan hati. Adalah doa saya agar kita semua berusaha untuk mempunyai kerendahan hati dalam kehidupan kita supaya kita boleh menjadi ibu bapa, anak-anak, dan pengikut-pengikut Juruselamat yang lebih baik. Dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. “Kata Penghantar Presidensi Utama,” Lagu Rohani Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir (1985), ix.

  2. Ajaran dan Perjanjian 25:11.

  3. Halaman tajuk edisi pertama Lagu Rohani Orang Suci Zaman Akhir bertarikh 1835, tetapi ia tidak dilengkapkan dan di sedia dapati sehinggalah awal tahun 1836

  4. Dua puluh enam lagu-lagu yang terdapat dalam buku lagu rohani 1835 dimasukkan dalam buku lagu rohani yang terkini (lihat Kathleen Lubeck, “The New Hymnbook: The Saints Are Singing!” Ensign, Sept. 1985, 7).

  5. “Hendaklah Kau Rendah hati,”Lagu Rohani, no. 47.

  6. Lihat Matius 18:1–4.

  7. Howard W. Hunter, “The Pharisee and the Publican,” Ensign, Mei 1984, 66.

  8. Anthon H. Lund, dalam Conference Report, Apr. 1901, 22.

  9. Alma 32:16, 15.

  10. The Teachings of Spencer W. Kimball, ed. Edward L. Kimball (1982), 233.

  11. “Ku Memerlukan-Mu Tiap Saat,” Lagu Rohani, no. 36; lihat juga Brent H. Nielson, “I Need Thee Every Hour,” Ensign, Apr. 2011, 16.

  12. Dallin H. Oaks, “Worship through Music,” Ensign, Nov. 1994, 10.