Waspada supaya dapat Berdoa Secara Berterusan (Alma 34:39; Moroni 6:4; Lukas 21:36)
Kewaspadaan berterusan diperlukan untuk mengatasi sikap berpuas hati dan bersahaja.
Saya berdoa untuk bantuan Roh Kudus bagi anda dan saya apabila kita bersukacita dan menyembah bersama.
Pada April 1976, Elder Boyd K. Packer berucap khusus kepada remaja Gereja dalam persidangan umum. Dalam pesanan klasiknya yang bertajuk “Spiritual Crocodiles,” dia menggambarkan bagaimana semasa tugasan di Afrika, dia memerhatikan buaya yang menyamarkan diri dan menunggu untuk menyerang mangsa yang tidak curiga. Dia kemudian menyamakan buaya kepada Setan, yang menyerang remaja yang tidak berwaspada dengan menyamarkan sifat dosa yang membahayakan.
Saya berusia 23 tahun semasa Elder Packer memberi ucapan itu. Susan dan saya sedang menunggu kelahiran anak pertama kami dalam beberapa hari. Kami kagum dengan isi pesanannya tentang mengelakkan dosa dan cara dia menggunakan kelakuan biasa haiwan untuk mengajar satu pengajaran rohani yang penting.
Susan dan saya juga pernah ke Afrika untuk banyak tugasan. Dan kami mempunyai peluang untuk melihat haiwan-haiwan megah yang hidup di benua itu. Kesan ucapan Elder Packer itu telah menggalakkan kami untuk cuba memerhati dan belajar ajaran dari kelakuan hidupan liar Afrika.
Saya ingin menggambarkan ciri-ciri dan taktik dua cheetah yang Susan dan saya perhatikan semasa mereka memburu mangsanya dan menceritakan beberapa perkara yang kami telah perhatikan kepada kehidupan harian injil Yesus Kristus.
Cheetah dan Topi
Cheetah ialah haiwan darat yang terpantas di bumi dan berlari mencapai kelajuan setinggi 120 km/per jam. Haiwan cantik ini boleh memecut dari keadaan berdiri ke berlari sepantas 109km/j kurang daripada tiga saat. Cheetah ialah pemangsa yang menyelinap mangsa mereka dan berlari jarak dekat untuk mengejar dan menyerang.
Susan dan saya menggunakan hampir dua jam memerhatikan dua cheetah menghendap satu kumpulan topi yang besar, antelop yang paling meluas dan biasa didapati di Afrika. Rumput kering yang tinggi di savana Afrika berwarna perang keemasan dan hampir menyembunyikan pemangsa sepenuhnya ketika mereka mengejar kumpulan topi. Cheetah dipisahkan dari satu sama lain dengan kira-kira 91 meter tetapi bekerja bersama-sama.
Sementara satu cheetah duduk tegak di rumput dan tidak bergerak, cheetah lain mendekam rendah ke tanah dan perlahan-lahan merangkak lebih dekat kepada topi yang tidak curiga. Kemudian cheetah yang duduk tegak lenyap di rumput pada saat yang sama cheetah lain itu duduk tegak. Corak bersilih ganti satu cheetah mendekam rendah dan merangkak ke hadapan sementara cheetah lain duduk tegak di rumput berterusan untuk masa yang lama. Strategi yang senyap ini bertujuan untuk mengalihkan perhatian dan menipu topi dan dengan itu mengalihkan perhatian mereka dari bahaya yang menghampiri. Dengan kesabaran dan berterusan, dua cheetah itu bekerja sebagai satu pasukan untuk menjamin makanan mereka yang seterusnya
Di antara kumpulan topi yang besar dan cheetah yang menghampiri adalah beberapa topi yang lebih tua dan lebih kuat yang berdiri sebagai penjaga pada gundukan anai-anai. Pemandangan lebih luas dari bukit-bukit kecil membolehkan penjaga-penjaga topi ini untuk melihat tanda-tanda bahaya.
Kemudian tiba-tiba, ketika cheetah kelihatan dalam jarak serangan, seluruh kumpulan topi bergerak dan melarikan diri. Saya tidak tahu sama ada atau bagaimana penjaga-penjaga topi berkomunikasi dengan kumpulan yang lebih besar itu, tetapi entah bagaimana amaran diberikan, dan semua topi berpindah ke tempat keselamatan.
Dan apakah yang dilakukan cheetah seterusnya? Tanpa berhenti, kedua-dua cheetah meneruskan corak bersilih ganti satu cheetah mendekam rendah dan ke hadapan sementara cheetah lain duduk tegak di rumput. Corak pengejaran itu berterusan. Mereka tidak berhenti. Mereka tidak rehat atau berhenti seketika. Mereka tidak henti-henti dalam mengikuti strategi mengalih perhatian mereka. Susan dan saya melihat cheetah hilang dari jauh, sentiasa bergerak lebih dekat kepada kumpulan topi.
Malam itu, Susan dan saya mempunyai perbualan yang mengesankan tentang apa yang kita telah perhatikan dan pelajari. Kami juga membincangkan pengalaman ini dengan anak-anak dan cucu kami dan mengenal pasti banyak pengajaran yang berharga. Saya sekarang akan menerangkan tiga pengajaran itu.
Pengajaran #1—Berhati-hati dengan Penyamaran Kejahatan yang Memperdayakan
Kepada saya, cheetah ialah makhluk yang anggun, memikat, dan menawan. Bulu cheetah yang kekuningan ke kelabu putih dengan bintik hitam bertindak sebagai penyamaran indah yang membuat haiwan ini hampir tidak kelihatan ketika mereka menghendap mangsa mereka di padang rumput Afrika.
Dalam cara yang sama, idea dan tindakan berbahaya secara rohani selalunya kelihatan menarik, diinginkan, atau menyenangkan. Oleh itu, dalam dunia kontemporari kita, setiap kita mesti berhati-hati dengan kejahatan yang memperdayakan yang berpura-pura menjadi baik. Seperti diingatkan oleh Yesaya, “Malanglah kamu! Kamu memutarbalikkan yang baik dan yang jahat, yang gelap dan yang terang, serta yang pahit dan yang manis!”1
Dalam tempoh paradoks apabila melanggar kesucian kehidupan manusia digambarkan sebagai hak dan kekacauan digambarkan sebagai kebebasan, betapa diberkati kita untuk hidup dalam zaman keagamaan akhir ini apabila cahaya injil yang dipulihkan dapat bersinar terang dalam hidup kita dan membantu kita membezakan penipuan dan gangguan musuh.
“Kerana mereka yang bijak dan telah menerima kebenaran, dan telah mengambil Roh Kudus untuk pembimbing mereka, dan tidak terpedaya—sesungguhnya Aku berfirman kepadamu, mereka tidak akan ditebang dan dilemparkan ke dalam api, tetapi akan bertahan pada hari itu.”2
Pengajaran #2—Berjaga dan Berwaspada
Untuk seekor topi, satu saat yang cuai atau tidak berwaspada boleh menyebabkan serangan pantas dari cheetah. Demikian juga, sikap berpuas hati dan bersahaja dalam kerohanian membuat kita terdedah kepada musuh. Ketidakbijaksanaan dalam kerohanian menjemput bahaya besar ke dalam hidup kita.
Nefi menggambarkan bagaimana Setan akan cuba tenangkan dan lalaikan anak-anak Tuhan ke dalam perasaan “keselamatan duniawi yang palsu, sehingga mereka akan berkata: Segalanya baik di Sion; ya, Sion makmur, segalanya baik—dan demikianlah iblis mengakali jiwa mereka, dan menuntun mereka pergi dengan hati-hati turun ke neraka.”3
Kewaspadaan berterusan diperlukan untuk mengatasi sikap berpuas hati dan bersahaja. Berwaspada ialah keadaan atau tindakan untuk berjaga untuk kemungkinan bahaya atau kesukaran. Dan berjaga bermakna tindakan tetap terjaga untuk menjaga dan melindungi. Bercakap secara rohani, kita mesti tetap terjaga dan bersiap sedia untuk dorongan Roh Kudus dan isyarat-isyarat yang datang daripada penjaga Tuhan di menara.4
“Ya, dan aku juga mendesakmu … agar kamu waspada supaya dapat berdoa secara berterusan, agar kamu tidak akan disesatkan oleh godaan iblis, … kerana lihatlah, dia memberi ganjaran kepadamu itu yang tidak baik.”5
Menumpukan hidup kita pada Juruselamat dan Injil-Nya membolehkan kita mengatasi kecenderungan manusia alamiah untuk menjadi malas dan tidak berjaga secara rohani. Kerana kita diberkati dengan mata untuk lihat dan telinga untuk dengar,6 Roh Kudus boleh meningkatkan keupayaan kita untuk lihat dan dengar ketika kita rasa tidak perlu melihat atau mendengar atau ketika kita fikir tidak ada apa pun yang boleh dilihat atau didengar.
“Berjagalah, oleh kerana itu, agar kamu boleh bersedia.”7
Pengajaran #3—Memahami Niat Musuh
Seekor cheetah ialah pemangsa yang secara semula jadi menyerang haiwan lain. Sepanjang hari, setiap hari, seekor cheetah ialah pemangsa.
Setan “ialah musuh kepada kesolehan dan kepada mereka yang berupaya untuk melakukan kehendak Tuhan.”8 Sepanjang hari, setiap hari satu-satunya niat dan tujuannya adalah membuat anak lelaki dan anak perempuan Tuhan sengsara seperti dirinya sendiri.9
Rancangan kebahagiaan Bapa direka cipta untuk menyediakan panduan untuk anak-anak-Nya, untuk membantu mereka mengalami kegembiraan abadi, dan membawa mereka kembali dengan selamat kepada-Nya dengan tubuh yang dibangkit dan dimuliakan. Iblis berusaha untuk membuat anak lelaki dan anak perempuan Tuhan keliru dan tidak gembira dan menghentikan perkembangan abadi mereka. Musuh bekerja tanpa henti untuk menyerang unsur-unsur rancangan Bapa yang dia sangat benci.
Setan tidak mempunyai tubuh, dan perkembangan abadinya telah dihentikan. Sama seperti air yang mengalir di dasar sungai dihentikan oleh sebuah empangan, maka perkembangan abadi musuh telah digagalkan kerana dia tidak mempunyai tubuh jasmani. Kerana pemberontakannya, Lusifer telah menafikan dirinya semua berkat dan pengalaman fana yang dimungkinkan melalui daging dan tulang. Salah satu makna kitab suci yang kuat ialah perkataan dilaknat yang ditunjukkan dalam ketidakupayaannya untuk terus berkembang dan menjadi seperti Bapa Syurgawi kita.
Kerana tubuh jasmani sangat penting dalam rancangan kebahagiaan Bapa dan perkembangan rohani kita, Lusifer mahu mengganggu perkembangan kita dengan menggoda kita untuk menggunakan tubuh kita dengan tidak baik. Presiden Russell M. Nelson telah mengajar bahawa keselamatan rohani akhirnya terletak dalam “tidak mengambil langkah pertama ke tempat anda tidak patut pergi dan membuat apa yang anda tidak patut buat.’ … Sebagai manusia kita semua mempunyai nafsu makan [jasmani] yang penting untuk hidup kita. ‘Nafsu makan ini amat penting untuk kelanjutan hidup. Jadi, apakah yang musuh buat? … Dia menyerang kita melalui nafsu makan kita. Dia menggoda kita untuk makan makanan yang tidak patut, minum minuman yang tidak patut, dan mengasihi sebagaimana kita tidak harus mengasihi!’”10
Salah satu ironi keabadian terbesar adalah bahawa musuh, yang sengsara kerana dia tidak mempunyai tubuh jasmani, mengajak dan memujuk kita untuk berkongsi kesengsaraannya melalui penggunaan badan kita yang tidak baik. Alat yang dia tidak miliki dan tidak boleh menggunakan adalah sasaran utama percubaannya untuk mengumpan kita untuk pemusnahan fizikal dan rohani.
Memahami niat musuh adalah penting untuk penyediaan efektif untuk penyerangan yang mungkin berlaku.11 Kerana Panglima Moroni mengetahui niat bangsa Laman, dia bersedia untuk menghadapi mereka pada masa kedatangan mereka dan akhirnya menang.12 Asas dan janji yang sama itu adalah untuk setiap kita.
“Jika kamu bersedia kamu tidak akan takut.
“Dan agar kamu boleh terlepas daripada kuasa musuh.”13
Jemputan, Janji, dan Kesaksian
Sama seperti ajaran penting boleh dipelajari dengan memerhatikan tingkah laku cheetah dan topi, setiap kita boleh mencari ajaran dan amaran yang boleh didapati dalam acara harian. Apabila kita membuka minda dan hati untuk menerima panduan syurgawi melalui kuasa Roh Kudus, sesetengah arahan paling baik yang kita akan terima dan kebanyakan amaran yang paling berkuasa yang boleh melindungi kita akan datang daripada pengalaman biasa kita sendiri. Perumpamaan yang hebat boleh didapati dalam tulisan suci dan dalam kehidupan harian kita.
Saya hanya menekankan tiga daripada pengajaran yang boleh di kenal pasti dalam pengembaraan saya dan Susan di Afrika. Saya menjemput dan menggalakkan anda untuk membayangkan episod ini dengan cheetah dan topi dan mengenal pasti pengajaran tambahan untuk anda dan keluarga anda. Sila ingat selalu bahawa rumah anda adalah pusat sebenar pembelajaran injil.
Apabila anda menjawab jemputan ini dengan iman, pemikiran berilham akan datang kepada minda anda, perasaan rohani akan berkembang dalam hati anda, dan anda akan tahu tindakan yang perlu dilakukan atau diteruskan supaya anda boleh “ambillah ke atas dirimu seluruh perlengkapan perang [Tuhan], agar kamu boleh dapat menghadapi hari yang jahat, setelah melakukan semuanya, agar kamu boleh dapat bertahan.”14
Saya berjanji bahawa berkat-berkat penyediaan berkesan dan perlindungan rohani akan masuk ke dalam hidup anda apabila anda waspada supaya dapat berdoa secara berterusan.
Saya bersaksi bahawa menekan ke hadapan dalam jalan perjanjian memberi keselamatan rohani dan menjemput kegembiraan berterusan ke dalam hidup kita. Dan saya bersaksi bahawa Juruselamat yang hidup dan yang dibangkitkan akan menyokong dan menguatkan kita pada kedua-dua masa baik dan masa kesusahan. Saya bersaksi atas perkara-perkara ini dalam nama kudus Tuhan Yesus Kristus, amin.