Kuasa untuk Mengatasi Musuh
Bagaimanakah kita menemui kedamaian, mengingati siapa diri kita, dan mengatasi tiga hal musuh?
Saudara dan saudari, terima kasih untuk segala yang anda lakukan untuk menjadi dan untuk membantu orang lain menjadi, pengikut sejati Yesus Kristus dan menikmati berkat-berkat bait suci. Terima kasih atas kebaikan anda. Anda menakjubkan; anda sungguh indah.
Adalah doa saya bahawa kita akan mengenali pengaruh pengesahan Roh Kudus semasa kita dapat memahami sepenuhnya bahawa kita adalah anak-anak Tuhan. “Keluarga: Suatu Perisytiharan kepada Dunia” menyatakan: “Semua insan—lelaki dan perempuan—dicipta untuk menyerupai Tuhan. Setiap insan adalah anak rohani lelaki atau anak rohani perempuan kepada ibu bapa syurgawi, dan, oleh demikian, masing-masing mempunyai sifat dan takdir ilahi.”1 Kita adalah “roh-roh terpilih yang lain yang telah disimpan untuk datang dalam kegenapan zaman untuk mengambil bahagian dalam meletakkan landasan pekerjaan zaman akhir yang besar.”2 Presiden Russell M. Nelson menyatakan: “Anda telah diajar di dunia roh untuk mempersiapkan anda untuk apa-apa dan semua yang anda akan hadapi pada bahagian terakhir zaman akhir ini. (Lihat A&&P 138:56). Ajaran itu berterusan di dalam diri anda!”3
Anda ialah putera dan puteri terpilih Tuhan. Anda memiliki kuasa untuk mengatasi musuh. Namun, si musuh, mengenali anda. Dia mengetahui warisan ilahi anda dan cuba untuk menghadkan potensi duniawi dan syurgawi anda menggunakan tiga hal ini:
-
Penipuan
-
Gangguan
-
Kehampaan
Penipuan
Musuh menggunakan penipuan pada zaman Musa. Tuhan mengisytiharkan kepada Musa:
Lihatlah, engkaulah anak-Ku. …
“Aku mempunyai sebuah pekerjaan bagimu, … dan engkau memiliki suatu kemiripan dengan Anak Tunggal-Ku.”4
Sejurus selepas penglihatan itu, Setan cuba untuk menipu Musa. Kata-kata yang dia gunakan adalah: “Musa, anak manusia, sembahlah aku.”5 Penipuan itu bukan sahaja dalam jemputan untuk menyembah Setan, tetapi juga dalam cara dia menggambarkan Musa sebagai anak manusia. Ingatlah, Tuhan baru saja memberitahu Musa bahawa dia ialah anak Tuhan, dicipta dalam kemiripan dengan Putera Tunggal-Nya.
Musuh tidak henti-henti dalam cubaannya untuk menipu Musa, tetapi Musa menolak, berkata, “Pergilah daripadaku, Setan, kerana hanya kepada satu Tuhan ini yang akan aku sembah, iaitu Tuhan kemuliaan.”6 Musa tahu dirinya—anak Tuhan.
Firman Tuhan kepada Musa berguna untuk anda dan saya. Kita dicipta menurut rupa Tuhan, dan Dia mempunyai pekerjaan untuk kita lakukan. Musuh cuba untuk menipu dengan membuat kita lupa akan diri kita sebenarnya. Jika kita tidak memahami siapa kita, maka adalah sukar untuk mengenali apa yang kita boleh menjadi.
Gangguan
Musuh juga cuba untuk mengganggu kita dari Kristus dan jalan perjanjian-Nya. Elder Ronald A. Rasband berkongsi yang berikut: “Pelan musuh adalah untuk mengganggu kita dari kesaksian-kesaksian rohani, manakala keinginan Tuhan adalah untuk menerangi dan menghubungkan kita dalam pekerjaan-Nya.”7
Di zaman kita, terdapat banyak gangguan, termasuk Twitter, Facebook, permainan online dan banyak lagi. Kemajuan teknologi ini menakjubkan, tetapi jika kita tidak berhati-hati, mereka boleh mengalihkan perhatian kita daripada memenuhi potensi ilahi kita. Menggunakannya dengan sewajarnya boleh membawa kuasa syurga dan membolehkan kita menyaksikan mukjizat-mukjizat semasa kita berusaha untuk mengumpulkan Israel yang tercerai-berai di kedua-dua belah tirai.
Marilah kita berhati-hati dan bukan bersahaja dalam penggunaan teknologi kita.8 Terus mencari jalan agar teknologi dapat membawa kita lebih dekat kepada Juruselamat dan membolehkan kita untuk melaksanakan pekerjaan-Nya sebagai persiapan untuk Kedatangan Kedua-Nya.
Kehampaan
Akhir sekali, musuh berhasrat agar kita menjadi hampa. Kita mungkin akan hampa ketika kita membandingkan diri kita dengan orang lain atau merasakan kita tidak mencapai apa yang diharapkan, termasuklah kehidupan kita sendiri.
Apabila saya memulakan program kedoktoran saya, saya berasa hampa. Program ini hanya menerima empat pelajar pada tahun itu, dan pelajar-pelajar lain adalah cemerlang. Mereka mempunyai markahh ujian yang lebih tinggi dan lebih banyak pengalaman kerja di jawatan pengurusan kanan, dan mereka menunjukkan keyakinan terhadap kebolehan mereka. Selepas dua minggu pertama saya dalam program ini, perasaan hampa dan keraguan mula datang, nyaris melampaui saya.
Saya memutuskan bahawa jika saya akan melengkapkan program empat tahun ini, saya akan selesai membaca Kitab Mormon setiap semester. Setiap hari semasa saya membaca, saya mengenali perisytiharan Juruselamat bahawa Roh Kudus akan mengajar saya semua perkara dan akan membawa semua perkara kepada peringatan saya.9 Ia mengesahkan siapa diri saya sebagai anak Tuhan, mengingatkan saya untuk tidak membandingkan diri dengan yang lain, dan memberi saya keyakinan dalam peranan ilahi saya untuk berjaya.10
Sahabat-sahabat yang dikasihi, jangan biarkan sesiapa mencuri kebahagiaan anda. Jangan membandingkan diri anda dengan orang lain. Sila ingat firman Juruselamat yang penuh kasih sayang: “Kesejahteraan Aku tinggalkan dengan kamu, kesejahteraan yang Aku berikan kepada kamu bukan seperti yang diberikan oleh dunia. Janganlah kamu risau, dan janganlah takut.”11
Jadi bagaimanakah kita melakukannya? Bagaimanakah kita menemui kesejahteraan ini, mengingati siapa diri kita, dan mengatasi tiga hal musuh?
Pertama, ingat bahawa perintah pertama dan paling besar adalah kasihi Tuhan dengan hati, daya, fikiran, dan kekuatan kita.12 Semua yang kita lakukan harus didorong oleh kasih kita terhadap Dia dan untuk Putera-Nya. Semasa kita mengembangkan kasih kita terhadap Mereka dengan mematuhi perintah-perintah Mereka, keupayaan kita untuk mengasihi diri kita dan mengasihi orang lain akan meningkat. Kita akan mula melayani keluarga, sahabat, dan jiran kerana kita akan melihat mereka seperti Juruselamat melihat—sebagai putera dan puteri Tuhan.13
Kedua, berdoalah kepada Bapa dalam nama Yesus Kristus setiap hari, setiap hari, setiap hari.14 Melalui doa, kita dapat merasakan kasih Tuhan dan menunjukkan kasih kita kepada-Nya. Melalui doa kita menyatakan kesyukuran dan meminta kekuatan serta keberanian untuk menyerahkan kehendak kita kepada Tuhan dan dibimbing serta diarahkan dalam segala hal.
Saya menggalakkan anda untuk “berdoalah kepada Bapa dengan sekuat tenaga hati, agar kamu boleh dipenuhi dengan kasih ini, … agar kamu boleh menjadi anak-anak Tuhan; agar apabila Dia akan memperlihatkan diri-Nya kita akan kelihatan seperti Dia.”15
Ketiga, membaca dan mengkaji Kitab Mormon setiap hari, setiap hari, setiap hari.16 Pengkajian Kitab Mormon saya lebih baik apabila saya membaca dengan soalan dalam minda. Semasa kita membaca dengan soalan, kita dapat menerima wahyu dan mengetahui bahawa Nabi Joseph Smith mengucap kebenaran ketika dia mengisytiharkan: “Kitab Mormon adalah yang paling benar dari kitab apa pun di atas bumi, … dan seseorang akan menjadi lebih dekat kepada Tuhan dengan menuruti ajaran-ajarannya, lebih daripada kitab lain apa pun.”17 Kitab Mormon mengandungi firman Kristus dan membantu kita mengingati siapa diri kita.
Akhirnya, dengan penuh doa mengambil sakramen setiap minggu, setiap minggu, setiap minggu. Ia adalah melalui penerimaan perjanjian dan tatacara imamat, termasuk sakramen, kuasa ketuhanan dinyatakan dalam hidup kita.18 Elder David A. Bednar ajar: “Tatacara sakramen ialah satu jemputan kudus yang berulang-ulang untuk bertaubat dan dibaharui secara rohani. Tindakan mengambil sakramen sahaja tidak menghapuskan dosa. Tetapi semasa kita bersedia dengan sedar dan mengambil bahagian dalam tatacara kudus ini dengan satu hati yang hancur dan jiwa yang menyesal, kita dijanjikan bahawa kita akan selalu memiliki Roh Tuhan bersama kita.”19
Semasa kita dengan rendah hati mengambil sakramen, kita mengingati penderitaan Yesus di taman suci yang disebut Getsemani dan pengorbanan-Nya di kayu salib. Kita mengucapkan kesyukuran kepada Bapa kerana mengutus Putera Tunggal-Nya, Penebus kita, dan menunjukkan kesediaan kita untuk mematuhi perintah-perintah-Nya dan untuk selalu mengingat-Nya.20 Terdapat terang rohani yang berkaitan dengan sakramen—ia adalah peribadi, ia berkuasa, dan ia diperlukan.
Sahabat-sahabatku, saya berjanji bahawa ketika kita berusaha untuk mengasihi Tuhan dengan segenap hati, berdoa dalam nama Yesus Kristus, mengkaji Kitab Mormon, dan dengan penuh doa mengambil sakramen, kita akan memiliki keupayaan, dengan kekuatan Tuhan, untuk mengatasi penipuan yang digunakan oleh musuh, untuk mengurangkan gangguan yang menghadkan potensi ilahi kita, serta untuk melawan kehampaan yang mengurangkan keupayaan kita untuk merasakan kasih Bapa Syurgawi kita dan Putera-Nya. Kita akan sepenuhnya memahami siapa kita sebagai putera dan puteri Tuhan.
Saudara dan saudari, saya berkongsi kasih sayang dan menyatakan kepada anda kesaksian saya bahawa saya tahu Bapa Syurgawi hidup dan Yesus adalah Kristus. Saya mengasihi Mereka. Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir adalah kerajaan Tuhan di bumi. Kita memiliki pelantikan ilahi untuk mengumpulkan Israel dan menyediakan dunia untuk Kedatangan Kedua Mesias. Dalam nama Yesus Kristus, amin.