2010–2019
Menghormati Nama-Nya
Persidangan Umum Oktober 2019


2:3

Menghormati Nama-Nya

Dengan identiti perjanjian dan kepunyaan, kita dipanggil dengan nama Yesus Kristus.

Seperti ibu bapa yang dengan penuh semangat menunggu kelahiran seorang anak, mereka bertanggungjawab memilih nama untuk bayi baru mereka. Mungkin ketika anda dilahirkan, anda menerima nama yang telah diturunkan dalam keluarga anda selama beberapa generasi. Atau mungkin nama yang anda diberikan adalah popular pada tahun tersebut atau kawasan di mana anda dilahirkan.

Nabi Helaman dan isterinya memberikan nama yang bermakna kepada anak-anak lelaki mereka, Nefi dan Lehi. Helaman kemudian memberitahu anak-anak lelakinya:

“Aku telah memberi kepadamu nama orang tua kita yang pertama … agar apabila kamu mengingati nama-namamu kamu boleh mengingati mereka; dan apabila kamu mengingati mereka kamu boleh mengingati pekerjaan mereka … ianya dikatakan, dan juga dituliskan, bahawa mereka baik.

“Oleh kerana itu, anak-anakku, aku menghendaki agar kamu harus melakukan apa yang baik.”1

Nama Nefi dan Lehi membantu mereka mengingati pekerjaan baik nenek moyang mereka dan mendorong mereka untuk berbuat baik juga.

Saudari sekalian, tidak kira di mana kita hidup, bahasa yang kita guna, atau sama ada kita berusia 8 tahun atau 108, kita semua berkongsi nama istimewa yang mempunyai tujuan yang sama.

‘[Kita] semua telah dibaptis dan disatukan dengan Kristus. Oleh itu, sekarang kamu sudah menerima sifat-sifat Kristus sendiri … [kita] semuanya menjadi satu kerana Kristus Yesus.”2

Sebagai ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, “kita pertama-tama berjanji bahawa kita bersedia untuk mengambil nama Kristus … melalui tatacara pembaptisan.”3 Melalui perjanjian ini, kita berjanji untuk selalu mengingati-Nya, mematuhi perintah-perintah-Nya, dan melayani orang lain. Kesediaan kita untuk menjaga perjanjian ini diperbaharui setiap hari Sabat ketika kita mengambil bahagian dalam sakramen dan bersukacita sekali lagi dalam berkat “mengamalkan hidup yang baru.”4

Nama yang kita diberikan semasa lahir mencerminkan identiti individu kita dan menjadikan kita kepunyaan keluarga kita di bumi. Walau bagaimanapun, apabila kita “dilahirkan semula” sewaktu pembaptisan, pemahaman kita mengenai diri kita diperluaskan. “Kerana perjanjian yang telah kamu buat, kamu akan disebut anak-anak Kristus, … kerana lihatlah, … Dia telah secara rohani memperanakkanmu; kerana kamu berkata bahawa hatimu diubah melalui iman pada nama-Nya; oleh kerana itu, kamu dilahirkan daripada-Nya dan telah menjadi para putera-Nya dan para puteri-Nya.”5

Oleh itu, dengan identiti perjanjian dan kepunyaan, kita dipanggil dengan nama Yesus Kristus. Dan “tidak akan ada nama lain diberikan atau jalan lain atau cara lain apa pun yang melaluinya keselamatan dapat datang kepada anak-anak manusia, hanya dalam dan melalui nama Kristus.”6

Nama Yesus telah lama diketahui jauh sebelum kelahiran-Nya. Kepada Raja Benyamin, seorang malaikat bernubuat, “Dan Dia akan dipanggil Yesus Kristus, Putera Tuhan, … dan ibu-Nya akan dipanggil Maria.”7 Pekerjaan-Nya tentang “kasih penebusan”8 juga telah diberitahu kepada anak-anak Tuhan sejak injil ada di bumi, dari zaman Adam dan Hawa sampai hari ini, sehingga mereka dapat tahu “kepada punca mana mereka dapat berpaling bagi pengampunan dosa-dosa mereka.”9

Tahun lalu, Presiden Russell M. Nelson menghulurkan “satu mohonan kenabian” kepada para saudari “untuk membentuk masa depan dengan membantu pengumpulan bani Israel yang dicerai-berai.” Dia menjemput kita untuk membaca Kitab Mormon dan “menandakan setiap ayat yang bercakap atau merujuk kepada Juruselamat.” Dia meminta kita agar “berniat untuk berbicara berkenaan Kristus, berbahagia dalam Kristus, dan berkhutbah berkenaan Kristus bersama [keluarga kita] dan rakan-rakan.” Mungkin anda telah mula mengenali buah janjinya “anda dan mereka akan menjadi lebih dekat kepada Juruselamat … Dan perubahan, dan juga mukjizat, akan mula berlaku.”10

Janji kita untuk selalu mengingati Juruselamat memberi kita kekuatan untuk berdiri untuk kebenaran dan kesolehan—sama ada kita berada dalam kumpulan besar atau di tempat-tempat yang kita bersendirian, di mana tiada siapa yang tahu tindakan kita kecuali Tuhan. Apabila kita mengingati-Nya dan nama-Nya ke atas diri kita, kita tidak mempunyai tempat untuk membandingkan diri atau menghakimi. Dengan mata kita tertumpu pada Juruselamat, kita melihat diri kita sebenarnya—seorang anak Tuhan yang dihargai.

Perjanjian kita mendiamkan kekhuatiran dunia, mengubah keraguan diri menjadi keberanian, dan memberikan harapan pada masa percubaan.

Dan apabila kita tersadung dan jatuh semasa kemajuan kita di sepanjang jalan perjanjian, kita hanya perlu mengingati nama-Nya dan kasih sayang-Nya kepada kita. “Kerana Dia memiliki segala kuasa, segala kebijaksanaan, dan segala pengertian; Dia memahami segala hal, dan Dia adalah Makhluk yang penuh belas kasihan, … kepada mereka yang akan bertaubat dan percaya pada nama-Nya.”11 Tentunya tidak ada suara yang lebih manis daripada nama Yesus kepada semua orang yang, dengan hati yang hancur dan jiwa yang menyesal, berusaha untuk “melakukan lebih baik dan menjadi lebih baik.”12

Presiden Nelson mengajar: “Hari sudah hilang apabila anda boleh menjadi seorang Kristian yang diam dan selesa. Agama anda bukan hanya untuk muncul ke gereja pada hari Ahad. Ini adalah tentang muncul sebagai pengikut sejati dari pagi Ahad hingga malam Sabtu. … Tiada perkara seperti pengikut ‘sambilan’ Tuhan Yesus Kristus.”13

Kesediaan kita untuk mengambil nama Kristus ke atas diri kita adalah lebih sekadar pertukaran kata-kata rasmi. Ia bukan janji pasif. Ia bukan lambang atau tag nama yang kita pakai. Ia bukannya kalimat kata-kata yang kita hanya letak di rak atau gantung di dinding. Dia adalah nama yang “diterima,”14 ditulis dalam hati kita, dan “terukir pada wajah [kita].”15

Korban tebusan Juruselamat harus diingat, selalu, melalui pemikiran, tindakan, dan pergaulan kita dengan orang lain. Bukan sahaja Dia mengingati nama kita, tetapi Dia mengingati kita selalu. Juruselamat mengisytiharkan:

“Kerana bolehkah seorang wanita melupakan anaknya yang menyusu, sehingga dia tidak mempunyai rasa kasihan terhadap anak lelaki dari rahimnya? Ya, mereka mungkin lupa, tetapi Aku tidak akan melupakanmu, Wahai bani Israel.

“Lihatlah, Aku telah mengukirkanmu di atas tapak tangan-Ku.”16

Presiden George Albert Smith mengajar,”Hormatilah nama-nama yang anda diberikan, kerana suatu hari anda akan memiliki kesempatan dan kewajiban untuk melaporkan … kepada Bapa Syurgawi … apa yang telah anda lakukan dengan [nama-nama itu].”17

Seperti nama Nefi dan Lehi yang telah dipilih dengan cermat, bolehkah dikata dan ditulis tentang kita bahawa kita [juga] merupakan pengikut sejati Tuhan Yesus Kristus? Adakah kita menghormati nama Yesus Kristus yang kita telah mengambil ke atas diri kita sendiri? Adakah kita “seorang pelayan dan saksi”18 bagi kasih sayang dan kuasa penebusan-Nya?

Tidak lama sebelum ini, saya mendengar audio Kitab Mormon. Dalam bab terakhir 2 Nefi, saya dengar Nefi katakan sesuatu yang saya tidak pernah baca dalam cara yang sama sebelum ini. Sepanjang catatannya, dia mengajar dan bersaksi tentang “Penebus,” “Yang Kudus dari Israel,” “Anak Domba Tuhan,” dan “Mesias.” Tetapi semasa dia menutup catatannya, saya mendengar dia berkata: “Aku bermegah dalam kejelasan; aku bermegah dalam kebenaran; aku bermegah dalam Yesusku, kerana Dia telah menebuskan jiwaku dari neraka.”19 Apabila saya mendengar kata-kata ini, hati saya bergembira dan saya perlu mendengarnya berulang kali. Saya mengenali dan membalas pada ayat itu seperti saya mengenali dan membalas kepada nama saya sendiri.

Tuhan telah berfirman, “Ya, diberkatilah umat ini yang bersedia untuk menyandang nama-Ku; kerana dalam nama-Ku akanlah mereka dipanggil; dan mereka adalah milik-Ku.”20

Sebagai ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir, semoga kita “dengan gembira, [mengambil ke atas diri kita] nama Kristus”21 dengan menghormati nama-Nya dengan kasih, kesetiaan, dan pekerjaan yang baik. Saya bersaksi bahawa Dia adalah “Anak Domba Tuhan, ya, bahkan Putera kepada Bapa Yang Abadi.”22 Dalam nama putera kudus-Nya, Yesus Kristus, amin.