Di dalam Jalan Kewajipan Mereka
Anda yang hari ini sedang maju di dalam jalan kewajipan menjadi kekuatan Gereja Juruselamat yang dipulihkan.
Saya berdoa untuk bantuan Roh Kudus semasa saya menyatakan kasih, kekaguman dan kesyukuran kepada ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir di seluruh dunia.
Perintis dari Gerabak Terakhir
Tahun 1947 menandakan ulang tahun ke-100 para perintis Orang Suci Zaman Akhir yang pertama tiba di Lembah Salt Lake. Banyak sambutan peringatan diadakan pada tahun itu, dan banyak ungkapan kesyukuran diberi kepada para pengikut Yesus Kristus setia yang membuka jalan, membina rumah, menanam tanaman di padang belantara dan menetap di komuniti.
Presiden J. Reuben Clark, penasihat pertama dalam Presidensi Utama, memberi sebuah penghormatan yang tidak dapat dilupakan dan menyentuhkan kepada para perintis setia ini di persidangan umum Oktober 1947.
Dalam pesanannya, Presiden Clark mengakui para pemimpin terkenal yang berperanan dalam penghijrahan ke barat, seperti Brigham Young, Heber C. Kimball, Wilford Woodruff, Parley P. Pratt, dan banyak lagi. Walau bagaimanapun, tujuan utamanya bukanlah untuk menceritakan pencapaian orang-orang yang layak ini. Sebaliknya, dia berfokus kepada jiwa-jiwa yang tidak dikenali atau dicatat secara rasmi dalam sejarah Gereja. Tajuk pesanannya ialah, “Perintis dari Gerabak Terakhir.”1
Presiden Clark menggambarkan dengan terperinci ciri-ciri dan cabaran yang para penghijrah di gerabak terakhir ini hadapi di dalam setiap barisan gerabak yang melintasi dataran. Dia memuji para wirawan yang tidak dikenali ini kerana hari demi hari, minggu demi minggu, dan bulan demi bulan, mereka berseksa nafas kerana debu dari semua gerabak yang bergerak di hadapan mereka—dan yang mengatasi banyak halangan yang dihadapi di sepanjang jalan.
Presiden Clark mengisytiharkan, “Perintis dari gerabak terakhir ini maju ke hadapan, lelah dan penat, sakit kaki, kadangkala hampir putus asa, diperkuatkan oleh iman mereka bahawa Tuhan mengasihi mereka, injil yang dipulihkan adalah benar, Tuhan memimpin dan mengarahkan para Saudara di hadapan.”2
Dia mengakhiri pesanannya dengan pujian hebat ini: “Kepada jiwa-jiwa yang rendah hati ini, bersungguh-sungguh dalam iman, hebat dalam pekerjaan, menjalani hidup yang soleh, menyumbang amalan warisan kita yang tidak ternilai, saya dengan rendah hati memberi kasih, rasa hormat, penghormatan takzim saya.”3
Tidak Kurang Bergunanya
Pada tahun 1990, Presiden Howard W. Hunter, presiden Kuorum Dua Belas Rasul pada tahun 1990, menyampaikan pesanan tentang sumbangan penting ahli-ahli Gereja yang tekun melayan, beriman dan yang menerima sedikit atau tiada pengiktirafan pujian awam.
Presiden Hunter menjelaskan:
“Ia pernah dikatakan tentang Panglima Moroni yang muda dan berani:
“Jika semua orang dahulu, dan sekarang, dan senantiasa, menyerupai Moroni, lihatlah, kekuatan neraka pun akan tergoncang selama-lamanya; ya, iblis sama sekali tidak akan memiliki kuasa atas hati anak-anak manusia’ (Alma 48:17).
“Hebatnya pujian kepada seorang lelaki yang terkenal dan gagah berani. … Dua ayat kemudiannya adalah tentang Helaman dan saudara-saudaranya, yang memainkan peranan yang tidak kurang daripada Moroni, yang tertulis:
“Sekarang, lihatlah, Helaman dan saudara-saudaranya tidak kurang bergunanya bagi umat daripada Moroni’ (Alma 48:19).”
Presiden Hunter meneruskan, “Dalam perkataan lain, walaupun Helaman tidak terkenal atau setinggi seperti Moroni, dia berguna; iaitu, dia turut membantu atau berguna sama seperti Moroni.”4
Presiden Hunter kemudian menasihati kita semua untuk menjadi tidak kurang bergunanya. Dia berkata: “Jika anda merasakan banyak hal yang anda lakukan tahun ini atau pada tahun-tahun yang akan datang tidak membuat anda terkenal, janganlah tawar hati. Kebanyakan orang terbaik dalam hidup ini juga tidak begitu terkenal. Pergilah melayan dan berkembang, dengan iman dan senyap.”5
Di dalam Jalan Kewajipan Mereka
Saya bersyukur keppada berjuta-juta ahli Gereja hari ini yang datang kepada Juruselamat6 dan maju di jalan perjanjian dalam gerabak terakhir kontemporari kita—dan yang benar-benar tidak kurang bergunanya. Iman kuat anda kepada Bapa Syurgawi dan Tuhan Yesus Kristus serta kehidupan anda yang sederhana, mengilhami saya untuk menjadi seorang lelaki dan pengikut yang lebih baik.
Saya kasihi anda. Saya mengagumi anda. Saya berterima kasih kepada anda. Dan saya memuji anda.
Satu pernyataan dalam Kitab Mormon oleh Samuel si bangsa Laman meringkaskan perasaan saya untuk anda dengan paling baik.
“Lihatlah bahawa sebahagian besar daripada mereka berada di dalam jalan kewajipan mereka, dan mereka berjalan dengan berhati-hati di hadapan Tuhan, dan mereka berusaha keras untuk mentaati perintah-perintah-Nya dan peraturan-Nya. …
“Ya, aku berkata kepadamu, bahawa sebahagian besar daripada mereka melakukan ini, dan mereka berusaha dengan ketekunan yang tidak mengenal penat lelah agar mereka boleh membawa saudara-saudara mereka yang lainnya kepada pengetahuan tentang kebenaran”7
Saya percaya frasa “di dalam jalan kewajipan mereka” menggambarkan saudara dan saudari hebat yang pergi duduk di sebelah orang yang bersendirian di pertemuan Gereja dan di tempat lain. Mereka sentiasa berusaha untuk “menghibur mereka yang memerlukan penghiburan,”8 tanpa mengharapkan pengiktirafan atau pujian.
Frasa “di dalam jalan kewajipan mereka” menggambarkan pasangan dan anak-anak yang menyokong satu sama lain yang melayani dalam jawatan kepimpinan di Gereja Tuhan yang dipulihkan. Pengaruh sokongan mereka yang mantap, senyap, dan biasanya tidak dikenali mendatangkan berkat kepada banyak individu dan keluarga dalam cara yang hanya akan diketahui sepenuhnya dalam keabadian.
Frasa “di dalam jalan kewajipan mereka” menggambarkan individu-individu yang, telah berpaling daripada Tuhan, kini berpaling kepada-Nya semula dengan rendah hati,9 bertaubat dari dosa-dosa mereka, dan mencari kuasa pembersihan dan penyembuhan Korban Tebusan Juruselamat. Datang kepada Kristus10 dengan kembali ke jalan perjanjian dari “jalan-jalan terlarang”11 dan berdosa adalah penting secara rohani dan soleh. Apabila mereka maju dengan iman dan tidak jemu berbuat baik, mereka sedang membina landasan bagi usaha dalam kehidupan individu mereka,12 kepada semua generasi dan untuk keabadian.13
Frasa “di dalam jalan kewajipan mereka” menggambarkan individu soleh yang ingin memikul kuk bersama Juruselamat melalui perjanjian dan tatacara injil-Nya yang sah—tetapi mungkin dilarang untuk berbuat demikian atas faktor-faktor di luar kawalan mereka. Saya berjanji kepedihan peribadi anda akan dilegakan, kepatuhan dan kesetiaan untuk menyerahkan kehendak anda kepada Tuhan akan diberikan ganjaran menurut “waktu Tuhan sendiri.”14 “Air mata mungkin mengalir pada waktu malam, tetapi fajar membawa kegembiraan.”15
Frasa “di dalam jalan kewajipan mereka” menggambarkan penterjemah dan jurubahasa berilham di seluruh dunia yang melayani Tuhan dengan membantu kawan-kawan dan ahli-ahli untuk “mendengar kegenapan injil dalam loghat [mereka] sendiri, dan dalam bahasa [mereka] sendiri.”16 Suara, bahasa isyarat tangan, dan dokumen terjemahan mereka menyampaikan kebenaran abadi, namun sedikit daripada kita yang mengetahui nama mereka atau pernah menyatakan penghargaan. Melalui kurnia bahasa yang mereka telah diberkati, para penterjemah dan jurubahasa melayani dengan tekun, tidak mementingkan diri, dan, paling kerap, tanpa nama untuk membantu orang menerima kurnia rohani iman melalui pembacaan dan mendengar firman Tuhan.17
Frasa “di dalam jalan kewajipan mereka” menggambarkan lelaki dan wanita setia yang menghormati tanggungjawab perjanjian mereka untuk beranak cucu dan memenuhi bumi, dan diberkati dengan kekuatan dan stamina untuk mengawal anak-anak mereka dalam pertemuan sakramen. Dalam dunia yang semakin keliru dengan musibah dan kecuaian, jiwa-jiwa berani ini tidak menghiraukan suara-suara sekular yang berpusatkan diri; mereka menghormati kesucian dan kepentingan kehidupan dalam rancangan kebahagiaan Bapa Syurgawi bagi anak-anak-Nya.
Ramai pasangan berkahwin juga percaya kepada Tuhan apabila hasrat soleh mereka tidak menjadi nyata atau ketika mereka berharap dan menghasratkan. Mereka “berharap kepada Tuhan”18 dan tidak mendesak Dia agar memenuhi hasrat mereka mengikut masa mereka. “Kerana sejak permulaan dunia manusia tidak mendengar dan juga mengenali melalui telinga, tidak juga mata sesiapa pun melihat, Ya Tuhan, selain Engkau, betapa besarnya hal-hal yang telah Engkau sediakan kepada [mereka] yang menunggu-Mu.”19
Frasa “di dalam jalan kewajipan mereka” menggambarkan beribu-ribu pemimpin nurseri dan pengajar Sekolah Primer yang mengasihi dan mengajar kanak-kanak setiap hari Sabat.
Pertimbangkan kesan abadi pelayanan para pengikut setia ini—dan berkat-berkat yang yang dijanjikan kepada mereka yang melayani kanak-kanak.
“Dan [Yesus] memanggil seorang kanak-kanak, lalu menyuruhnya berdiri di hadapan mereka semua: dan Dia memeluk kanak-kanak itu sambil berkata kepada mereka,
“Sesiapa yang menyambut kanak-kanak seperti ini kerana Aku, menyambut Aku. Sesiapa yang menyambut Aku, menyambut bukan Aku sahaja, tetapi juga Tuhan yang mengutus Aku.”20
Frasa “di dalam jalan kewajipan mereka” menggambarkan anak-anak yang tekun menjaga ibu bapa yang sudah tua, ibu yang kurang tidur menyenangkan anak kecil yang takut, menjaga sebagai “singa di pintu gerbang” rumahnya,21 ahli Gereja yang tiba awal dan balik lewat untuk menyusun dan mengemas kerusi, dan individu yang menjemput keluarga, kawan-kawan dan kenalan untuk datang dan lihat, datang dan membantu, dan datang dan tinggal.22
Saya hanya menggambarkan beberapa contoh terpilih tentang pengikut Yesus Kristus yang setia dan mentaati perjanjian seperti anda yang sedang maju “di dalam jalan kewajipan [anda].” Berjuta-juta contoh tambahan Orang Suci Zaman Akhir yang mengabdi “seluruh jiwa”23 mereka kepada Tuhan boleh didapati dalam rumah yang berpusat pada Kristus dan unit-unit Gereja di seluruh dunia.
Anda mengasihi dan melayani, mendengar dan belajar, menjaga dan menghibur, dan mengajar dan bersaksi melalui kuasa Roh Kudus. Anda sering berpuasa dan berdoa, dan menjadi semakin kuat dalam kerendahan hati, dan semakin teguh dalam iman kepada Kristus, “sehingga memenuhkan jiwa [anda] dengan kebahagiaan dan kesenangan hati, ya, bahkan kepada pemurnian dan pengudusan hati [anda], yang mana pengudusan itu datang kerana penyerahan hati [anda] kepada Tuhan.”24
Janji dan Kesaksian
Perintis dari gerabak terakhir, semua yang tidak kurang bergunanya, dan anda yang hari ini sedang maju di dalam jalan kewajipan menjadi kekuatan Gereja Juruselamat yang dipulihkan. Dan seperti yang Tuhan janjikan, “segala takhta dan kekuasaan, pemerintahan dan kuasa, akan diwahyukan dan dinyatakan kepada semua orang yang telah bertahan dengan gagah dan berani demi injil Yesus Kristus.”25
Saya dengan sukacita bersaksi bahawa Bapa Syurgawi dan Putera Terkasih-Nya hidup dan janji-janji Mereka adalah benar, dalam nama kudus Tuhan Yesus Kristus, amin.