Persidangan Umum
Saudara dan Saudari dalam Kristus
Persidangan Umum Oktober 2023


16:12

Saudara dan Saudari dalam Kristus

Semoga kita menikmati lebih banyak persaudaraan rohani yang wujud di antara kita dan menghargai sifat-sifat dan kurnia berbeza.

Sahabat saya yang dikasihi, kita telah menikmati sesi persidangan yang hebat hari ini. Kita semua telah merasai Roh Tuhan dan kasih-Nya melalui pesanan-pesanan menakjubkan yang diberi oleh para pemimpin kita. Saya rasa istimewa untuk berbicara kepada anda sebagai pembicara terakhir di sesi ini. Saya berdoa agar Roh Tuhan terus bersama kita semasa kita bersukacita sebagai saudara dan saudari sejati dalam Kristus.

Nabi terkasih kita, Russell M. Nelson menggesa; “Saya menyeru para ahli kita di mana sahaja untuk memimpin dalam meninggalkan sikap dan tindakan prasangka. Saya memohon kepada anda untuk menghormati setiap anak-anak Tuhan.”1 Sebagai gereja global dan berkembang, mengikuti jemputan nabi kita merupakan asas penting untuk membina kerajaan Juruselamat di setiap bangsa di dunia.

Injil Yesus Kristus mengajar kita semua adalah putera dan puteri rohani kepada ibu bapa syurgawi yang mengasihi kita2 dan pernah hidup sebagai sebuah keluarga di hadirat Tuhan sebelum kita dilahirkan di bumi ini. Injil juga mengajar bahawa kita dicipta menurut rupa dan kemiripan Tuhan.3 Oleh itu, kita setara di hadapan-Nya,4 kerana Dia “telah menjadikan semua bangsa [manusia].”5 Oleh itu, kita semua mempunyai sifat ilahi, warisan, dan potensi, kerana adanya “satu Tuhan, Bapa semua orang, yang bekerja melalui semua orang, dan tinggal di dalam semua orang.”6

Sebagai pengikut Kristus, kita dijemput untuk meningkatkan iman kita, dan mengasihi, saudara dan saudari rohani dengan mengikatkan hati kita bersama dalam perpaduan dan kasih, tanpa mengira perbezaan, maka itu akan menambah keupayaan kita untuk meningkatkan rasa hormat terhadap martabat semua putera dan puteri Tuhan.7

Bukankah itu keadaan yang bangsa Nefi alami selama dua abad selepas Kristus melayani mereka?

“Dan sudah pastinya tidak terdapat orang yang lebih bahagia di kalangan semua orang yang telah diciptakan oleh tangan Tuhan. …

“Tidak juga ada bangsa Laman, atau apa-apa nama bangsa pun; tetapi mereka dalam kesatuan, anak-anak Kristus, dan para pewaris kerajaan Tuhan.

“Dan betapa diberkatinya mereka!”8

Presiden Nelson menekankan kepentingan menyebarkan martabat dan rasa hormat kepada sesama manusia apabila dia menyatakan: “Pencipta kita semua memanggil kita untuk meninggalkan sikap prasangka terhadap mana-mana kumpulan anak-anak Tuhan. Sesiapa di antara kita yang mempunyai prasangka terhadap bangsa lain perlu bertaubat! … Setiap kita patut melakukan apa pun yang kita dapat dalam lingkungan pengaruh kita untuk menjaga martabat dan menghormati setiap putera dan puteri Tuhan.”9 Hakikatnya, menghormati perbezaan kita adalah asas utama martabat manusia.10

Mempertimbangkan ikatan kudus yang menyatukan kita dengan Tuhan sebagai anak-anak-Nya, arahan kenabian yang Presiden Nelson berikan adalah satu langkah asas untuk membina jambatan persefahaman dan bukannya membina dinding prasangka dan pengasingan di kalangan kita.11 Namun, apabila Paulus memberi amaran kepada orang Efesus, kita mesti menyedari bahawa untuk mencapai tujuan ini, ia memerlukan usaha individu dan secara kolektif untuk bertindak dengan kerendahan hati, kelembutan hati dan panjang sabar terhadap satu sama lain.12

Ada sebuah cerita tentang seorang rabai Yahudi yang sedang menikmati permandangan matahari terbit dengan dua sahabat. Dia bertanya kepada mereka, “Bagaimanakah kamu tahu apabila malam sudah tamat dan hari baharu telah bermula?”

Salah seorang menjawab, “Apabila kamu boleh memandang ke timur dan boleh membezakan domba dari kambing.”

Yang lain kemudian menjawab, “Apabila kamu boleh melihat ke dalam ufuk dan membezakan pokok zaitun dari pokok ara.”

Mereka kemudian berpaling kepada rabai yang bijaksana dan menanya dia soalan yang sama. Selepas merenung panjang, dia menjawab, “Apabila kamu dapat memandang ke timur dan melihat muka seorang wanita atau muka seorang lelaki dan boleh berkata, ‘Dia ialah saudariku; Dia ialah saudaraku.”13

Sahabat sekalian, saya boleh meyakinkan anda bahawa cahaya hari baharu bersinar lebih cerah dalam kehidupan kita apabila kita melihat dan melayani sesama manusia dengan hormat, martabat dan sebagai saudara dan saudari sejati dalam Kristus.

Semasa pelayanan fana-Nya, Yesus dengan sempurna menunjukkan asas ini semasa Dia “pergi ke serata tempat untuk berbuat baik”14 kepada semua orang, menjemput mereka untuk datang kepada-Nya dan mengambil bahagian dalam kebaikan-Nya, tidak kira asal usul, kelas sosial atau ciri-ciri kebudayaan mereka. Dia melayani, menyembuhkan, dan sentiasa memberi perhatian kepada keperluan orang, terutamanya mereka yang pada masa itu dianggap berbeza, hina atau dikecualikan. Dia tidak menafikan siapapun tetapi melayani mereka dengan kesaksamaan dan kasih, kerana Dia melihat mereka sebagai saudara dan saudari-Nya, putera dan puteri Bapa yang sama.15

Salah satu peristiwa yang paling diingati adalah semasa Juruselamat mengembara ke Galilea, dengan sengaja mengambil jalan yang melalui Samaria.16 Yesus kemudian memutuskan untuk duduk berehat di perigi Yakub. Semasa di sana, seorang wanita Samaria mendekati untuk menimba air. Dalam kejelasan-Nya, Yesus berbicara kepadanya, “Berilah aku minum.”17

Wanita ini kagum kerana seorang Yahudi meminta bantuan seorang wanita Samaria dan dengan hairan, menjawab, “Tuan orang Yahudi sedangkan saya orang Samaria. Mengapa tuan meminta minum daripada saya? (Orang Yahudi tidak mahu menggunakan cawan dan mangkuk yang pernah digunakan oleh orang Samaria.)”18

Tetapi Yesus, meninggalkan tradisi lama di antara orang Samaria dan orang Yahudi, dengan penuh kasih melayani wanita ini, membantunya memahami siapa Dia yang sebenarnya—iaitu, Mesias, yang akan memberitahu segala hal dan Dialah yang wanita itu nantikan.19 Kesan pelayanan itu menyebabkan wanita itu bergegas ke kota untuk mengumumkan kepada orang perkara yang telah berlaku, berkata, “Bukankah ini Kristus?”20

Saya mempunyai belas kasihan yang mendalam terhadap orang yang telah dikasari, dihina atau dianiayai oleh orang yang tidak berperasaan dan lalai, kerana, dalam hidup saya, saya telah melihat secara langsung kesakitan yang orang baik telah deritai akibat dihakimi atau diasingkan kerana cara mereka berbicara, melihat atau hidup adalah berbeza. Hati saya juga merasa sedih bagi mereka yang fikirannya tetap gelap, yang penglihatannya terhad, dan hatinya tetap keras oleh kepercayaan mereka terhadap orang yang berbeza daripada mereka. Pandangan terhad mereka terhadap orang lain sebenarnya menghalang keupayaan mereka untuk melihat diri mereka sebagai anak Tuhan.

Seperti yang para nabi ramalkan, kini kita hidup dalam masa berbahaya yang membawa kepada Kedatangan Kedua Juruselamat.21 Dunia secara umumnya dipengaruh oleh pembahagian besar, ditekankan oleh perkauman, politik dan sosioekonomi. Pembahagian seperti ini kadangkala mempengaruhi cara berfikir dan bertindak terhadap sesama manusia. Oleh itu, adalah biasa melihat orang yang mencirikan cara berfikir, bertindak, dan berbicara tentang budaya lain, kaum, dan etnik sebagai lebih rendah, menggunakan idea-idea andaian, salah, dan sering menyindir, melahirkan sikap kebencian, ketidakpedulian, tidak menghormati, dan bahkan prasangka terhadap mereka. Sikap seperti itu berakar daripada keangkuhan, sombong, cemburu, dan iri hati, ciri-ciri sifat alamiah,22 yang bertentangan dengan sifat-sifat seperti Kristus. Kelakuan ini tidak sesuai bagi orang yang berusaha untuk menjadi pengikut-Nya yang sejati.23 Saudara dan saudari, tidak ada ruang untuk pemikiran atau perlakuan prasangka dalam komuniti Orang Suci.

Sebagai putera dan puteri perjanjian, kita boleh bantu menghapuskan kelakuan seperti ini dengan melihat perbezaan yang ada di antara kita dengan mata Juruselamat24 dan berdasarkan persamaan kita—identiti ilahi dan persaudaraan kita. Selain itu, kita boleh berusaha untuk melihat diri kita dicerminkan dalam impian, harapan, kesedihan dan kesakitan orang ramai. Kita semua adalah sesama pengembara anak-anak Tuhan, sama rata dalam keadaan tidak sempurna dan dalam kemampuan kita untuk berkembang. Kita dijemput untuk berjalan bersama, dengan damai, dengan hati dipenuhi dengan kasih terhadap Tuhan dan semua manusia—atau, seperti yang Abraham Lincoln katakan, “tanpa dengki terhadap sesiapa pun; berkasih ihsan untuk semua orang.”25

Pernahkah anda merenungkan bagaimana asas hormat terhadap martabat manusia dan kesaksamaan ditunjukkan melalui cara kita berpakaian di rumah Tuhan? Kita semua datang ke bait suci bersatu dalam satu tujuan dan dipenuhi dengan hasrat untuk menjadi murni dan kudus di hadirat kudus-Nya. Berpakaian putih, Tuhan sendiri menerima kita sebagai anak-anak terkasih-Nya, lelaki dan wanita Tuhan, keturunan Kristus.26 Kita berkesempatan untuk melaksanakan tatacara yang sama, membuat perjanjian yang sama, mengikatkan diri untuk menjalani kehidupan yang lebih tinggi dan lebih kudus, dan menerima janji-janji abadi yang sama. Bersatu dalam tujuan, kita melihat satu sama lain dengan mata baharu, dan dalam kesatuan kita, kita meraikan perbezaan kita sebagai anak-anak ilahi Tuhan.

Baru-baru ini saya bantu membimbing pegawai kenamaan dan kerajaan melalui rumah terbuka di Bait Suci Brasília Brazil. Saya berhenti seketika di bilik persalinan dengan naib presiden Brazil, dan kami membincangkan pakaian putih yang semua orang pakai di dalam bait suci. Saya menjelaskan kepada dia bahawa pemakaian pakaian putih ini melambangkan bahawa kita semua adalah sama bagi Tuhan dan dalam bait suci, identiti kita bukanlah naib presiden negara atau pemimpin gereja tetapi identiti abadi kita sebagai anak-anak kepada Bapa Syurgawi yang penuh kasih.

Air Terjun Iguaçú.

Sungai Iguaçú mengalir melalui Brazil selatan dan masuk ke dalam dataran tinggi yang membentuk sistem air terjun yang dikenali di seluruh dunia sebagai Air Terjun Iguaçú—salah satu ciptaan Tuhan yang paling indah dan mengagumkan di bumi, dianggap salah satu daripada tujuh keajaiban dunia. Air dalam jumlah yang banyak mengalir ke satu sungai dan kemudian membentuk beratus-ratus air terjun yang tiada bandingan. Secara kiasan, sistem air terjun luar biasa ini adalah cerminan keluarga Tuhan di bumi, kerana kita berkongsi asal dan bahan rohani yang sama, yang datang dari warisan dan pertalian ilahi kita. Bagaimanapun, setiap kita mengalir ke dalam budaya, bangsa, dan kewarganegaraan yang berbeza, dengan pendapat, pengalaman, dan perasaan yang berbeza. Meskipun demikian, kita maju ke hadapan sebagai anak-anak Tuhan dan sebagai saudara dan saudari dalam Kristus, tanpa kehilangan hubungan ilahi kita, yang menjadikan kita bangsa unik dan komuniti yang dikasihi.27

Saudara dan saudari, semoga kita menyelaraskan hati dan minda kita dengan pengetahuan dan kesaksian bahawa kita semua setara di hadapan Tuhan, bahawa kita semua dianugerahi dengan potensi dan warisan abadi yang sama. Semoga kita menikmati lebih banyak persaudaraan rohani yang wujud di antara kita dan menghargai sifat-sifat dan kurnia berbeza. Jika kita berbuat demikian, saya berjanji kepada anda bahawa kita akan “mengalir” dalam cara kita sendiri, seperti air dari Air Terjun Iguaçú, tanpa kehilangan hubungan ilahi yang mengenal pasti kita sebagai bangsa yang unik, “anak-anak Kristus, dan para pewaris kerajaan Tuhan.”28

Saya bersaksi semasa kita terus “mengalir” dalam cara ini dalam kehidupan fana kita, satu hari baharu akan bermula dengan cahaya baru yang akan menerangi kehidupan kita dan menerangi peluang untuk lebih menghargai, dan lebih sepenuhnya diberkati dengan kepelbagaian yang Tuhan cipta di kalangan anak-anak-Nya.29 Kita pasti akan menjadi sarana dalam tangan-Nya untuk menggalakkan rasa hormat dan martabat di kalangan semua putera dan puteri-Nya. Tuhan hidup. Yesus ialah Juruselamat dunia. Presiden Nelson ialah nabi Tuhan pada masa kini. Saya bersaksi tentang semua kebenaran ini dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.