Persidangan Umum
Anak yang Sesat dan Jalan Pulang
Persidangan Umum Oktober 2023


14:32

Anak yang Sesat dan Jalan Pulang

Walaupun pilihan-pilihan mungkin telah menjauhkan anda dari Juruselamat dan Gereja-Nya, Tuan Penyembuh berdiri di jalan pulang ke rumah, untuk menyambut anda.

Ada Seorang Bapa Mempunyai Dua Orang Anak Lelaki

Ada yang menganggapnya sebagai cerita pendek teragung yang pernah diceritakan.1 Kerana ia telah diterjemahkan ke dalam beribu-ribu bahasa, mungkin sejak dua ribu tahun yang lalu, ia pastinya dirujuk setiap hari di seluruh dunia.

Ia diceritakan oleh Yesus Kristus, Juruselamat dan Penebus kita, yang datang ke bumi “untuk menyelamatkan orang yang sesat.”2 Dia bermula dengan kata-kata mudah ini: “Ada seorang bapa mempunyai dua orang anak lelaki.”3

Dengan segera kita belajar tentang konflik yang menyedihkan. Seorang anak4 memberitahu ayahnya bahawa dia jenuh dengan kehidupan di rumah. Dia mahukan kebebasannya. Dia ingin tinggalkan budaya dan ajaran ibu bapanya. Dia minta hak warisannya—sekarang.5

Bolehkah anda bayangkan perasaan bapa itu ketika dia mendengar ini? Apabila dia sedar bahawa anaknya ingin sekali meninggalkan keluarga itu dan mungkin tidak akan kembali?

Pengembaraan Agung

Anak itu semestinya telah merasai keseronokan pengembaraan dan kegembiraan. Akhirnya, dia bersendirian. Bebas dari asas-asas dan peraturan kebudayaan waktu remajanya, dia akhirnya boleh membuat pilihannya sendiri tanpa dipengaruhi oleh ibu bapanya. Tidak ada lagi perasaan bersalah. Dia boleh diterima oleh komuniti yang berfikir seperti itu dan hidup menurut caranya sendiri.

Setiba di negara yang jauh, dia dengan cepat mendapat kawan-kawan baharu dan mula menjalani kehidupan yang dia selalu impikan. Dia semestinya disukai ramai, kerana dia boros menghabiskan wang. Kawan-kawan baharu—penerima manfaatnya—tidak menghakiminya. Mereka menyambut, memuji, dan menyokong pilihan-Nya.6

Jika media sosial wujud pada masa itu, pastinya dia akan mengisi halaman-halaman dengan gambar animasi kawan-kawan yang ketawa: #Jalanihidupterbaik! #Teramatgembira! #Patutawallakukanini!

Kebuluran

Tetapi pesta itu tidak bertahan—ia jarang bertahan. Dua hal berlaku: pertamanya, dia kehabisan wang, dan kedua, kebuluran melanda seluruh negeri.7

Apabila masalah bertambah teruk, dia panik. Si pemboros itu kini tidak mampu untuk beli makanan, apatah lagi mendapatkan tempat tinggal. Bagaimana dia hendak hidup?

Dia telah bermurah hati kepada kawan-kawannya—adakah mereka akan membantunya sekarang? Saya boleh bayangkan dia meminta sedikit bantuan—hanya untuk sekarang—sehingga dia dapat menyara diri semula.

Tulisan suci memberitahu kita, “Tidak seorang pun memberikannya.”8

Terdesak untuk hidup, dia menemui seorang petani tempatan yang mengupahnya untuk memberi makan kepada babi.9

Kini dia amat lapar, ditinggalkan dan bersendirian, lelaki muda itu pasti tertanya-tanya bagaimana hal-hal teruk itu terjadi.

Bukan sahaja perut kosong yang mengganggunya. Jiwanya turut kosong. Dia begitu pasti bahawa menyerah kepada hasrat duniawinya akan membuat dia gembira, bahawa hukum-hukum moral adalah halangan kepada kebahagiaan itu. Sekarang dia lebih tahu. Dan betapa besar harga yang dibayarnya untuk pengetahuan itu!10

Apabila kelaparan jasmani dan rohani bertambah, dia mengingati bapanya. Adakah bapa akan membantunya selepas semua yang telah terjadi? Bahkan orang gaji ayahnya mempunyai makanan dan dilindungi dari ribut.

Tetapi untuk kembali kepada ayahnya?

Tidak akan.

Mengaku kepada orang kampungnya bahawa dia telah membazirkan warisannya?

Mustahil.

Hadapi jiran-jiran yang sudah memperingatkan dia bahawa dia telah memalukan keluarganya dan mematahkan hati ibu bapanya? Kembali kepada kawan-kawan lamanya selepas bercakap besar tentang bagaimana dia telah bebas?

Tidak sanggup.

Tetapi kelaparan, kesunyian, dan penyesalan tidak akan hilang—sehingga “dia sedar.”11

Dia tahu apa yang harus dia lakukan.

Kepulangan

Sekarang, marilah kita berbalik kepada si bapa, tuan rumah yang patah hati itu. Berapa ratus atau ribuan jam dia habiskan kerana risau tentang anak lelakinya?

Berapa kali dia melihat ke arah jalan yang anaknya telah ambil dan mengingati rasa kehilangan mendalam selepas anaknya melangkah pergi? Berapa banyak doa yang dia ucapkan pada waktu malam, merayu kepada Tuhan agar anaknya akan selamat, agar dia akan temui kebenaran, dan akan kembali?

Dan pada suatu hari, bapa itu memandang jalan sunyi itu—jalan pulang—dan melihat anaknya dari jauh sedang berjalan ke arahnya.

Adakah ini benar?

Walaupun individu itu masih jauh, dengan segera si bapa tahu itu adalah anak lelakinya.

Dia berlari menemuinya, memeluk, dan menciumnya.12

“Ayah,” seru anak itu, mungkin dia telah seribu kali berlatih mengucapnya, “Saya sudah berdosa terhadap Tuhan dan terhadap ayah. Tidak layak lagi saya disebut anak ayah. Anggaplah saya sebagai orang gaji ayah.”13

Tetapi bapa itu menghentikannya. Dengan air mata, dia memerintahkan para orang gajinya: “Bawalah jubah yang terbaik dan pakaikan pada dia. Kenakan cincin pada jarinya dan kasut pada kakinya. Sambut kepulangannya dengan perjamuan. Anak saya telah pulang!”14

Sambutan

Dalam pejabat saya tergantung satu lukisan oleh artis Jerman bernama Richard Burde. Harriet dan saya sukai lukisan ini. Ia menggambarkan satu kejadian yang lembut dari perumpamaan Juruselamat dalam perspektif yang lebih mendalam.

Kepulangan Anak yang Sesat, oleh Richard Burde.

Walaupun hampir semua orang bersukacita kerana kepulangan anak lelaki itu, abangnya tidak.15

Dia dipenuhi dengan banyak emosi.

Dia telah melihat adiknya menuntut warisannya. Dia telah menyaksikan beban kesedihan besar bapanya.

Sejak adiknya pergi, dia cuba meringankan beban bapanya. Setiap hari, dia telah bekerja untuk memulihkan hati bapanya yang hancur.

Dan sekarang, anak itu kembali, dan orang ramai tidak berhenti memberikan perhatian kepada adiknya.

“Bertahun-tahun,” dia memberitahu bapanya, “tidak pernah saya membantah ayah. Namun, ayah tidak pernah menyambut saya.”16

Bapa itu menjawab, “Anakku, segala yang ayah miliki juga milikmu. Ini bukanlah tentang membandingkan ganjaran atau sambutan. Ini tentang kesembuhan. Inilah masa yang kita harapkan selama ini. Adikmu sudah mati dan sekarang hidup lagi! Dulu dia sesat, tetapi sekarang sudah ditemui semula!”17

Perumpamaan untuk Masa Kita

Saudara dan saudari, rakan-rakan yang dikasihi, seperti semua perumpamaan Juruselamat, ini bukan hanya tentang orang yang hidup lama dahulu. Ia mengenai anda dan saya, hari ini.

Siapakah di antara kita yang tidak pernah meninggalkan jalan kekudusan, dengan bodohnya berfikir kita dapat mencari kegembiraan yang lebih dengan mementingkan diri?

Siapakah di antara kita yang tidak merasa rendah hati, patah hati, dan terdesak untuk pengampunan dan belas kasihan?

Mungkin kita tertanya-tanya, “Bolehkah saya pulang? Adakah saya akan selamanya dilabelkan, ditolak, dan dijauhi oleh kawan-kawan lama saya? Adakah ia lebih baik untuk terus hilang sahaja? Bagaimanakah Tuhan akan bertindak jika saya cuba untuk kembali?”

Perumpamaan ini memberi kita jawapan.

Bapa Syurgawi kita akan berlari menemui kita, hati-Nya penuh dengan kasih dan belas kasihan. Dia akan memeluk kita; pakaikan kita jubah, pakaikan cincin pada jari kita dan kenakan kasut pada kaki kita; dan mengisytiharkan, “Hari ini kita meraikan! Kerana anak saya, yang dulunya mati, telah hidup semula!”

Syurga akan bersukacita apabila kita kembali.

Sukacita yang Tidak Terkata dan Sungguh Mulia

Bolehkah saya mengambil masa sekarang dan berucap kepada anda secara individu?

Tidak kira apa yang mungkin berlaku dalam hidup anda, saya menggemakan dan mengisytiharkan kata-kata rakan terkasih dan rakan rasul saya Elder Jeffrey R. Holland: “Ianya [mustahil] untuk anda tenggelam lebih rendah daripada [jangkauan] cahaya yang tidak terhad dari korban tebusan Kristus.”18

Walaupun pilihan-pilihan mungkin telah menjauhkan anda dari Juruselamat dan Gereja-Nya, Tuan Penyembuh berdiri di jalan pulang, untuk menyambut anda. Dan kami sebagai ahli Gereja Yesus Kristus berusaha untuk mengikuti teladan-Nya dan memeluk anda sebagai saudara dan saudari kita, sebagai kawan-kawan kita. Kami bersukacita dan menyambut anda.

Kepulangan anda tidak akan mengecilkan berkat orang lain. Kerana kemurahan hati Bapa tidak terhad, dan apa yang diberikan kepada seseorang tidak mengecilkan hak kelahiran yang lain.19

Saya tidak berpura bahawa pengembalian semula adalah mudah untuk dilakukan. Saya boleh bersaksi tentang itu. Hakikatnya, ia adalah pilihan paling susah yang anda akan buat.

Tetapi saya bersaksi bahawa di saat anda memutuskan untuk kembali dan berjalan dalam jalan Juruselamat dan Penebus kita, kuasa-Nya akan memasuki kehidupan anda dan mengubahnya.20

Para malaikat di syurga akan bersukacita.

Dan begitu juga kami, keluarga dalam Kristus anda. Lagipun, kami tahu bagaimana rasanya untuk menjadi sesat. Kita semua bergantung pada kuasa penebusan Kristus yang sama setiap hari. Kami tahu jalan ini, dan kami akan berjalan bersama anda.

Tidak, jalan kita tidak akan bebas dari kepiluan, dukacita, atau kesedihan. Tetapi kita telah mencapai sejauh ini “melalui firman Kristus dengan iman yang tak tergoncang kepada-Nya, bersandar sepenuhnya pada jasa Dia yang perkasa untuk menyelamatkan.” Dan bersama kita akan “maju terus dengan ketabahan di dalam Kristus, memiliki kecerahan harapan yang sempurna, dan kasih bagi Tuhan dan bagi semua [orang].”21 Bersama kita akan “[alami kegembiraan] itu sungguh besar, mulia, dan tidak terkata,”22 kerana Yesus Kristus adalah kekuatan kita!23

Saya berdoa agar setiap kita boleh mendengar, dalam perumpamaan yang mendalam ini, suara Bapa memanggil kita untuk ikut jalan pulang—agar kita berani untuk bertaubat, menerima pengampunan, dan mengikuti jalan kembali kepada Tuhan kita yang penuh belas kasihan. Saya bersaksikan ini dan tinggalkan berkat saya, dalam nama Yesus Kristus, amin.

Nota

  1. Ditemui dalam Lukas 15, perumpamaan itu adalah salah satu daripada tiga (domba yang hilang, duit syiling yang hilang, dan anak yang sesat) yang menggambarkan nilai hal-hal yang hilang dan perayaan yang terjadi apabila apa yang hilang itu ditemui.

  2. Lukas 19:10.

  3. Lukas 15:11.

  4. Anak ini mungkin muda. Dia belum berkahwin, yang mungkin menunjukkan dia masih muda, tetapi bukan terlalu muda sehingga dia tidak dapat menuntut harta warisannya dan meninggalkan rumah setelah dia memperolehnya.

  5. Menurut hukum dan tradisi Yahudi, anak lelaki yang lebih tua daripada dua anak itu berhak mendapat dua pertiga bahagian daripada warisan bapanya. Anak yang bongsu, berhak untuk bahagian yang satu pertiga. (Lihat Ulangan 21:17.)

  6. Lihat Lukas 15:13.

  7. Lihat Lukas 15:14.

  8. Lukas 15:16.

  9. Kepada orang Yahudi, babi dianggap “tidak bersih” (lihat Ulangan 14:8) dan menjijikkan. Orang Yahudi tidak menternak babi, yang menunjukkan bahawa pengawas itu adalah orang bukan Israel. Ia juga boleh mencadangkan betapa jauh lelaki muda itu telah pergi dari pengamal ajaran Yahudi.

  10. Elder Neal A. Maxwell mengajarkan: “Sudah tentu, adalah lebih baik jika kita merendahkan hati ‘kerana firman’ dan bukannya dijadikan rendahkan hati oleh keadaan, tetapi keadaan sukar cukup untuk merendahkan hati kita! (lihat Alma 32:13–14). Kebuluran boleh mendorong kepada kelaparan rohani” (“The Tugs and Pulls of the World,” Liahona, Jan. 2001, 45).

  11. Lukas 15:17.

  12. Lihat Lukas 15:20.

  13. Lihat Lukas 15:18–19, 21.

  14. Lihat Lukas 15:22–24.

  15. Ingatlah, anak lelaki yang lebih muda itu telah menerima warisannya. Bagi yang lebih tua, itu bermaksud bahawa semua yang lain adalah kepunyaannya. Memberi segalanya kepada anak yang lebih muda bermaksud memberikan hak anak sulung yang tinggal itu.

  16. Lihat Lukas 15:29.

  17. Lukas Lukas 15:31–32.

  18. Jeffrey R. Holland, “Pekerja di Ladang Anggur,” Liahona, Mei 2012, 33.

  19. Apa yang diberikan kepada seseorang tidak mengecilkan hak kelahiran orang lain. Juruselamat mengajar ajaran ini ketika Dia mempersembahkan perumpamaan para pekerja dalam Matius 20:1–16.

  20. Lihat Alma 34:31.

  21. 2 Nefi 31:19–20.

  22. 1 Petrus 1:8.

  23. Lihat Mazmur 28:7.