Puji Dia yang Tinggal dengan Yehova
Betapa berlimpahnya kita diberkati untuk mengetahui semua yang kita tahu kerana adanya Joseph Smith, nabi zaman keagamaan terakhir ini.
Saudara dan saudari yang terkasih, saya gembira bersama anda pagi ini. Saya berdoa agar Tuhan akan memberkati saya.
Mata saya tidak lagi seperti dahulu. Saya berjumpa dengan doktor mata, dan saya berkata, “Saya tidak dapat melihat perkataan di teleprompter.”
Dan dia berkata, “Mata kamu sudah tua. Ia tidak akan berubah.”
Jadi saya akan melakukan yang terbaik.
Saya ingin berkongsi dengan anda beberapa hal yang berada di minda saya. Sepertinya Nabi Joseph ada di minda saya sejak beberapa bulan lepas. Saya telah duduk dan merenungkan tanggungjawab mulianya untuk menjadi nabi zaman kegenapan keagamaan ini.
Saya berfikir betapa bersyukurnya kita sebagai ahli-ahli Gereja Yesus Kristus Orang Suci Zaman Akhir bahawa Joseph Smith, seorang pemuda yang ingin tahu apa yang dia perlu lakukan agar dosa-dosanya diampuni, berani untuk masuk ke dalam hutan dekat rumahnya di Palmyra, New York, dan berlutut dalam doa di sana dan—melalui kenyataannya sendiri—berdoa dengan bersuara buat kali pertama (lihat Joseph Smith—Sejarah 1:14).
Pada masa itu, ketika Joseph berlutut di tempat yang kita panggil sebagai Sacred Grove, syurga terbuka. Dua lembaga, yang lebih terang daripada matahari pada tengah hari, muncul di hadapannya. Seorang bercakap kepadanya dan berkata, “[Joseph,] inilah Putera-Ku yang Ku kasihi. Dengarkanlah Dia!” (Joseph Smith—Sejarah 1:17). Dengan itu bermulanya Pemulihan kegenapan injil abadi Yesus Kristus.
Kerana Yesus, Juruselamat dan Penebus kita, berbicara kepada Jospeh dan membuka zaman keagamaan yang kita sekarang hidup ini, kita menyanyikan, “Puji dia yang tinggal dengan Yehova!” (“Puji Dia yang Tinggal dengan Yehova,” Nyanyian Rohani, no. 14). Kami berterima kasih kepada Tuhan untuk Joseph Smith dan atas keberaniannya untuk masuk ke dalam hutan itu pada tahun 1820, dekat rumahnya di Palmyra, New York.
Saya telah memikirkan tentang semua perkara baik yang kita tahu dan semua perkara yang kita miliki. Saudara dan saudari yang terkasih, kesaksian saya untuk anda pada pagi ini adalah betapa besarnya kita diberkati untuk mengetahui semua yang kita tahu kerana adanya Joseph Smith, nabi zaman keagamaan terakhir ini.
Kita mempunyai pemahaman tentang tujuan kehidupan, tentang diri kita.
Kita tahu siapa Tuhan; kita tahu siapa Juruselamat, kerana kita ada Joseph, yang masuk ke hutan semasa remaja, untuk mencari pengampunan bagi dosa-dosanya.
Saya rasa ini adalah salah satu perkara mulia dan menakjubkan di mana sesiapa pun di dunia ini boleh tahu—bahawa Bapa Syurgawi kita dan Tuhan Yesus Kristus telah memperlihatkan Diri Mereka di zaman akhir ini dan juga Joseph telah dipanggil untuk memulihkan kegenapan injil Yesus Kristus.
Kita ada Kitab Mormon. Betapa menakjubkan dan hebatnya kurnia Kitab Mormon kepada keahlian Gereja. Ia adalah satu lagi saksi, dan satu lagi kesaksian bahawa Yesus ialah Kristus. Kita memilikinya kerana Joseph layak untuk mendapatkan kepingan-kepingan itu, diilhami oleh syurga untuk menterjemahkannya melalui kurnia dan kuasa Tuhan dan untuk membawa kitab itu kepada dunia.
Walaupun pagi ini pesanan saya mudah, ia mendalam, dan ia penuh dengan kasih terhadap Nabi Joseph Smith dan untuk semua, saudara dan saudari saya, yang telah menyokong dia pada masa remajanya.
Pagi ini saya ingin memberi penghormatan kepada ibunya. Saya selalu terfikir betapa indahnya ketika Joseph pulang ke rumah dari pengalaman di Sacred Grove (Hutan Kudus) itu dan memberitahu ibunya apa yang telah berlaku, dan Lucy Mack Smith mempercayainya.
Saya bersyukur kepada ayahnya dan adik beradiknya serta keluarganya, yang menyokongnya dalam tanggungjawab besar ini. Tuhan memberi kepadanya untuk menjadi nabi yang memulihkan kegenapan injil Yesus Kristus yang abadi di atas bumi ini sekali lagi.
Jadi pagi ini kesaksian saya adalah saya tahu Yesus Kristus adalah Juruselamat dan Penebus dunia. Saya juga tahu Bapa Syurgawi kita dan Tuhan Yesus Kristus muncul dan berbicara kepada Joseph dan menyediakan dia untuk menjadi nabi.
Saya kagum, dan saya yakin ramai di antara anda juga sama, betapa kita diberkati untuk mengetahui apa yang kita tahu tentang tujuan hidup kita, mengapa kita berada di sini, apa yang kita harus cuba lakukan dan capai dalam kehidupan harian kita. Kita dalam proses mempersiapkan diri kita, hari demi hari, untuk menjadi lebih baik, lebih ramah, lebih bersedia untuk hari itu, yang pasti akan datang, apabila kita akan kembali ke hadirat Bapa Syurgawi kita dan Tuhan Yesus Kristus.
Itu semakin dekat bagi saya. Tidak lama saya akan berumur 95 tahun. Anak-anak saya beritahu saya bahawa ada hari saya kelihatan lebih tua daripada umur saya, tetapi itu OK. Saya sedang melakukan segala upaya saya.
Tetapi selama hampir 50 tahun, saudara dan saudari, saya berkesempatan untuk mengunjungi dunia dalam tugasan saya sebagai Penguasa Umum Gereja. Ia merupakan berkat yang menakjubkan. Saya rasa saya sudah hampir melawati ke semua bahagian di dunia. Saya telah bertemu dengan ahli-ahli Gereja di seluruh dunia.
Betapa saya mengasihi anda. Betapa mulianya pengalaman itu—untuk melihat wajah anda, berada di hadapan anda, dan rasa kasih yang anda ada untuk Tuhan dan Pemulihan injil Yesus Kristus.
Semoga Bapa Syurgawi menjaga kita sekarang dan memberkati semua persidangan ini. Dan semoga kita memiliki Roh Tuhan di dalam hati kita, dan semoga kasih kita terhadap injil Yesus Kristus—Juruselamat kita yang dikasihi, Tuhan Yesus Kristus—bertambah semasa kita berusaha untuk melayani-Nya, mematuhi perintah-perintah-Nya dan menjadi lebih seperti Dia sebagai hasil daripada persidangan umum kita yang hadiri. Di mana pun anda berada di dunia ini, semoga Tuhan memberkati anda. Semoga Roh Tuhan bersama kita. Semoga kita merasakan kuasa syurga semasa kita menyembah bersama dalam sesi persidangan ini.
Saya tinggalkan kesaksian saya dan kesaksian bahawa saya tahu Yesus ialah Kristus. Dialah Juruselamat kita, penebus kita. Dialah sahabat baik kita. Dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.