Persidangan Umum
Tanda-tanda Kegembiraan
Persidangan Umum Oktober 2023


12:15

Tanda-tanda Kegembiraan

Membina di atas landasan Yesus Kristus adalah penting untuk kegembiraan kita.

Dalam penerbangan bisnes beberapa tahun yang lalu, saya duduk di sebelah seorang lelaki dari Belanda. Saya teruja berbual dengan dia kerana saya pernah melayani di Belgium dan Belanda sebagai misionari muda.

Apabila kami berkenalan, dia berikan kad bisnesnya dengan gelaran pekerjaan yang unik “profesor kegembiraan.”  Saya beri komen tentang kerjaya hebatnya dan bertanya apakah tugas seorang profesor kegembiraan. Dia berkata dia mengajar orang ramai bagaimana untuk mempunyai kehidupan yang gembira dengan menjalinkan hubungan dan matlamat yang bermakna. Saya menjawab, “Itu menakjubkan, tetapi bagaimana jika anda juga boleh mengajar bagaimana perhubungan itu boleh berterusan selepas kematian dan menjawab soalan-soalan jiwa yang lain, seperti apakah tujuan kehidupan, bagaimana kita boleh mengatasi kelemahan, dan di mana kita pergi selepas kematian?” Dia mengakui itu mengagumkan jika kita ada jawapan kepada soalan-soalan itu, dan saya gembira untuk berkongsi bahawa kita ada.

Hari ini, saya ingin kaji semula beberapa asas penting untuk kebahagiaan sejati yang sering tidak diamalkan di dunia yang mengelirukan ini. Terdapat banyak perkara yang menarik tetapi hanya sedikit yang penting.

Alma mengajar orang pada zamannya, “Kerana lihatlah, aku berkata kepadamu ada banyak hal yang akan datang; dan lihatlah, ada satu hal yang lebih penting daripada semuanya—kerana lihatlah, waktunya tidaklah terlalu jauh ketika Penebus hidup dan datang di kalangan umat-Nya.”1

Pengisytiharan ini sama penting bagi kita hari ini semasa kita menjangka dan bersedia untuk Kedatangan Kedua Kristus!

Oleh kerana itu, pemerhatian pertama saya ialah membina di atas landasan Yesus Kristus adalah penting untuk kegembiraan kita. Ini landasan yang kukuh, “landasan yang mana jika manusia dibangunkan di atasnya mereka tidak dapat jatuh.”2 Itu menyediakan kita untuk cabaran-cabaran kehidupan.

Bertahun-tahun lalu, saya pergi ke perkhemahan Pengakap musim panas bersama anak kami Justin. Semasa aktiviti dijalankan, dia dengan teruja berkata dia dan kawan-kawannya mahu mendapat lencana merit memanah. Untuk mendapatnya, para pemuda perlu lulus ujian singkat bertulis dan mencapai sasaran dengan anak panah mereka.

Saya berasa sedih. Pada masa itu, Justin agak lemah kerana fibrosis sistik, penyakit yang dia telah bergelut sejak kelahiran. Saya tertanya jika dia boleh menarik busur itu untuk memanah ke sasaran.

Semasa dia dan kawan-kawannya pergi ke kelas memanah, saya berdoa agar dia tidak akan dimalukan oleh pengalaman itu. Beberapa jam kemudian, dia menuju ke arah saya dengan senyuman yang lebar. “Ayah!” dia berseru. “Saya dapat merit lencana itu! Anak panah saya terkena “bull-eye”, sasaran itu kepunyaan orang sebelah, tetapi saya terkena bull-eye!” Dia telah menarik busur itu dengan segala kekuatannya dan anak panah itu berlepas tanpa berfikir tentang trajektorinya. Saya bersyukur atas timbang rasa jurulatih memanah itu, yang tidak pernah berkata, “Maaf ya, salah sasaran!” Sebaliknya, apabila melihat keadaan khusus dan usaha sungguh-sungguh Justin, dia membalas dengan ramah, “Bagus sekali!”

Itu akan jadi yang sama bagi kita jika kita melakukan yang terbaik untuk mengikuti Kristus dan nabi-nabi-Nya dalam keadaan terbatas kami. Jika kita datang kepada-Nya dengan mematuhi perjanjian dan bertaubat dari dosa-dosa , kita akan mendengar dengan gembira pujian Juruselamat kita: “Bagus, kamu hamba yang baik dan setia.”3

Saya berikan kesaksian saya tentang keilahian Juruselamat dunia, kasih dan kuasa penebusan-Nya untuk menyembuhkan, menguatkan, dan mengangkat kita apabila kita berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk datang kepada-Nya. Sebaliknya, tidak ada cara kita boleh mengikuti orang lain dan turut maju ke arah Yesus. Juruselamat telah mengalahkan kematian, penyakit, dosa dan telah menyediakan jalan untuk kesempurnaan kita jika kita akan mengikuti-Nya dengan sepenuh hati.4

Pemerhatian kedua saya, adalah penting demi kegembiraan kita untuk ingat bahawa kita adalah putera dan puteri kepada seorang Bapa Syurgawi yang penuh kasih. Mengetahui dan mempercayai realiti ini mengubah segalanya.

Beberapa tahun yang lalu, dalam penerbangan pulang dari tugasan Gereja, Sister Sabin dan saya duduk di belakang seorang lelaki yang berbadan besar yang mempunyai tatu muka yang besar dan garang di belakang kepala botaknya dan juga nombor 439.

Apabila kami mendarat, saya berkata, “Maafkan saya encik. Bolehkah saya bertanya kepentingan nombor di belakang kepala anda?” Saya tidak berani bertanya tentang muka yang garang itu.

Dia berkata, “Itulah saya. Itulah siapa saya. Itu wilayah saya: 219!”

Empat ratus dan tiga puluh sembilan ialah nombor di belakang kepalanya, jadi saya terhairan kerana dia jawab dengan salah walaupun ia amat penting baginya.

Saya berfikir betapa sedihnya identiti dan keyakinan diri lelaki ini adalah berdasarkan nombor yang berkaitan dengan wilayah geng. Saya berfikir sendiri: Lelaki gagah ini pernah menjadi budak kecil yang masih perlu rasa dihargai dan tergolong. Hanya jika dia tahu siapa dirinya sebenar dan kepada siapa dia benar-benar tergolong, kerana kita semua sudah “dibeli oleh Tuhan dan harganya sudah dibayar lunas.”5

Terdapat sebuah baris indah dalam satu lagu dari filem Putera Mesir (The Prince of Egypt) yang menyatakan, “Lihatlah kehidupanmu melalui mata syurga.”6 Dengan pengetahuan tentang keturunan ilahi dan potensi abadi kita terbenam ke dalam jiwa kita, kita dapat melihat kehidupan ini sebagai pengembaraan yang bertujuan dan bertumbuh untuk belajar dan berkembang, bahkan seperti “kita lihat sekarang ini hanya seperti bayangan kabur pada cermin,”7 untuk suatu masa yang pendek.

Tanda ketiga bagi kegembiraan adalah untuk selalu mengingati nilai suatu jiwa. Kita melakukan ini dengan mengikuti peringatan Juruselamat “Saling mengasihi; Sebagaimana Aku sudah mengasihi kamu.”8

Dia turut mengajar, “Manakala kamu melakukan perkara itu untuk salah seorang daripada saudara-Ku, walaupun dia hina, kamu telah melakukannya untuk-Ku.”9

Kitab Amsal memberi nasihat bijak, “Seboleh-bolehnya, buatlah kebajikan kepada orang yang memerlukannya.”10

Kita tidak akan menyesal kerana terlalu baik hati. Dalam mata Tuhan, kebaikan hati adalah sinonim dengan kebesaran. Sebahagian daripada berbaik hati adalah untuk mengampuni dan tidak menghakimi.

Bertahun-tahun lalu, keluarga muda kami mahu menonton wayang untuk malam keluarga. Kami semua berada dalam van kecuali salah seorang anak lelaki kami dan isteri saya, Valerie. Di luar sudah gelap, dan anak kami membuka pintu dan berlari ke arah kereta. Dia tidak sengaja menendang apa yang dia fikir adalah kucing kami di atas beranda. Malangnya bagi anak dan isteri saya, yang berada di belakangnya, itu bukan kucing kami tetapi seekor skunk yang sedang marah, melepaskan bau busuknya kepada mereka! Kami semua pulang ke rumah, di mana mereka berdua mandi dan membasuh rambut mereka dengan jus tomato, petua yang diandaikan boleh menghapuskan bau skunk. Selepas mereka telah mandi dan menukar pakaian mereka, kami fikirkan kami sudah bebas dari sebarang bau, kami memutuskan bahawa kami OK untuk pergi menonton wayang. 

Apabila kami duduk di tempat duduk jauh daripada skrin wayang, satu demi satu orang di sekeliling kami tiba-tiba keluar untuk mendapatkan popcorn. Bagaimanapun, apabila mereka kembali, tiada seorang pun duduk di tempat asal mereka.

Kami ketawa ketika mengingati pengalaman itu, tetapi bagaimanakah jika semua dosa kita berbau? Bagaimanakah kita boleh mengecam bau ketidakjujuran, nafsu, iri hati atau keangkuhan? Dengan kelemahan kita sendiri yang diungkapkan, kita akan menjadi lebih bertimbang rasa dan berhati-hati terhadap orang lain semasa kita membuat perubahan yang diperlukan dalam hidup kita. Saya suka bau tembakau di gereja, kerana ia menunjukkan ada seorang yang sedang cuba berubah. Mereka perlu tangan kita yang mengalu-alukan mereka.

Presiden Russell M. Nelson berkata, “Salah satu cara yang paling senang untuk mengenal pasti pengikut sejati Yesus Kristus adalah betapa berbelas kasihan orang itu semasa melayani orang lain.”11

Paulus menulis kepada jemaah Efesus, “Hendaklah kamu baik hati, saling berbelas kasihan, dan saling mengampuni sebagaimana Tuhan telah mengampuni kamu melalui Kristus.”12

Sebagai pengikut Yesus Kristus, kita diminta untuk mempercayai Bapa Syurgawi dan Juruselamat kita dan tidak cuba untuk menggantikan Mereka. Yesus Kristus mengetahui ketidaksempurnaan semua orang dengan sempurna dan akan menghakimi mereka dengan sempurna.

Tanda kegembiraan keempat saya adalah untuk mengekalkan perspektif abadi. Rancangan Bapa kita berlanjutan sehingga keabadian; adalah mudah untuk berfokus pada waktu di sini dan sekarang tetapi lupa tentang selepas itu.

Saya belajar pengajaran hebat ini beberapa tahun yang lalu daripada anak perempuan kami yang berumur 16 tahun, Jennifer. Dia mempunyai pemindahan paru-paru berganda, di mana lima lobus paru-parunya akan dialihkan sepenuhnya dan digantikan dengan dua lobus kecil yang sihat, yang didermakan oleh dua kawan yang meneladani sifat Kristus. Prosedur ini amat berisiko tinggi, namun malam sebelum pembedahannya, Jennifer menasihatkan saya dengan segala jiwanya, “Jangan risau, Ayah! Esok saya akan bangun dengan paru-paru baharu atau saya akan bangun di tempat yang lebih baik. Mana-mana pun hebat.” Itulah iman; itulah perspektif abadi! Melihat kehidupan dari titik abadi memberikan kejelasan, penghiburan, keberanian dan harapan.

Selepas pembedahan itu, apabila hari yang lama ditunggu-tunggu datang untuk mengeluarkan tiub pernafasan dan mematikan ventilator yang telah membantu Jennifer bernafas, kami dengan cemas menunggu untuk melihat sama ada dua lobusnya yang lebih kecil akan berfungsi. Apabila dia menghembus nafas pertamanya, dia segera mula menangis. Melihat kebimbangan kami, dia dengan cepat berkata, “Sangat baik dapat bernafas.” 

Sejak hari itu, saya bersyukur kepada Bapa Syurgawi dari pagi sampai malam atas keupayaan saya untuk bernafas. Kita dikelilingi oleh berkat-berkat tidak terhitung yang kita boleh terlepas pandang jika kita tidak cermat. Sebaliknya, apabila tiada apa-apa yang diharapkan dan semuanya dihargai, kehidupan penuh keajaiban.

Presiden Nelson pernah berkata: “Setiap pagi baharu adalah kurnia daripada Tuhan. Bahkan udara yang kita hirup adalah pinjaman kasih daripada-Nya. Dia memelihara kita dari hari ke hari dan menyokong kita dari masa ke masa. Oleh itu, tindakan mulia pertama kita pada pagi itu haruslah doa kesyukuran yang rendah hati.”13

Itu membawa pada pemerhatian saya yang kelima dan terakhir, iaitu anda tidak akan menjadi lebih gembira daripada ketika anda bersyukur.

Tuhan mengisytiharkan, “Dan dia yang menerima segala hal dengan rasa terima kasih akan dijadikan mulia.”14 Ini mungkin kerana kesyukuran melahirkan banyak hemah yang lain.

Bagaimana kesedaran kita akan berubah jika setiap pagi kita bangun dengan hanya berkat-berkat yang kita syukuri untuk malam sebelumnya. Kegagalan untuk menghargai berkat-berkat kita boleh mengakibatkan perasaan tidak puas hati, yang boleh menahan kita daripada merasai kegembiraan yang datang daripada kesyukuran. Mereka yang berada di dalam bangunan besar dan lapang memujuk kita untuk memandang melampaui sasaran, dengan itu terlepas sasaran sepenuhnya.

Hakikatnya, kegembiraan terbesar dan berkat kefanaan ditemui melalui rahmat Tuhan semasa kita membuat dan mentaati perjanjian-perjanjian kudus dengan-Nya. Juruselamat kita akan menggilap dan menyempurnakan kita melalui jasa korban tebusan-Nya dan telah berkata tentang mereka yang sedia mengikuti-Nya, “Mereka akan menjadi milik-Ku pada hari itu apabila Aku akan datang untuk mengumpulkan permata-permata-Ku.”15

Saya berjanji kepada anda, jika kita membina kehidupan kita di atas landasan Yesus Kristus; hargai identiti sebenar kita sebagai putera dan puteri Tuhan; mengingati nilai satu jiwa; mengekalkan perspektif abadi; dan dengan kesyukuran menghargai banyak berkat kita, terutamanya jemputan Kristus untuk datang kepada-Nya, kita dapat temui kegembiraan sejati yang kita cari semasa pengembaraan fana ini. Kehidupan ini masih ada cabaran, tetapi kita akan dapat menghadapi setiap satu dengan tujuan dan perasaan kedamaian kerana kebenaran abadi yang kita fahami dan jalani.

Saya bersaksi tentang realiti Tuhan, Bapa penuh kasih kita, dan Putera Terkasih-Nya, Yesus Kristus. Saya juga bersaksi tentang para nabi, pelihat, dan pewahyu yang hidup. Ia suatu berkat untuk menerima nasihat syurga melalui mereka. Seperti Juruselamat jelas berfirman, “Sama ada melalui suara-Ku sendiri atau melalui suara para hamba-Ku, ia adalah sama.”16 Dalam nama kudus Yesus Kristus, amin.